Isnin, 17 April 2017

Dr Mahathir minta peguam negara dedah aliran wang RM2.6 bilion

KERAHSIAAN bank tidak seharusnya menghalang siasatan jenayah, kata Dr Mahathir Mohamad, berhubung RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
"Jika, sebagai contoh, AS$681 juta (kira-kira RM3 bilion) disumbangkan kepada seseorang, maka jumlah ini akan berada di dalam rekod bank penderma juga.
"Akan ada rekod dalam bank mengenai wang yang didepositkan itu. Rekod ini akan mempunyai butiran sumber dan bentu wang dan banyak maklumat lain," tulis bekas perdana menteri itu dalam blognya hari ini.
"Pihak berkuasa menyiasat skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) akan dapat mengesan berbilion ringgit didepositkan ke dalam akaun bank Najib Razak kembali kepada ‘putera Arab Saudi yang pemurah’ yang memberikan wang sebagai derma."
Dr Mahathir berkata, surat penerimaan daripada penderma yang bermurah hati tidak mencukupi, begitu juga keputusan Peguam Negara (Mohamed Apandi Ali) yang tiada sebarang salah laku boleh diterima, tanpa semua rekod.
"Malah bersumpah dengan al-Quran juga tidak boleh diterima kerana kita tidak boleh mengetahui sejauh mana keimanan individu yang bersumpah itu," kata Dr Mahathir.
Apa yang boleh disimpulkan, kata Dr Mahathir, AS$681 juta dijumpai di dalam akaun perdana menteri adalah wang 1MDB.
"Dan melainkan ia dapat dibuktikan sebaliknya, wang itu pasti dicuri. Orang yang mencuri wang mesti diklasifikasikan sebagai pencuri sama ada dihukum atau tidak," katanya.
Apandi baru-baru ini memberitahu The Malaysian Insight siasatan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut), tetapi menambah kedua-dua kes tidak ditutup.
"Apabila kami mengisytiharkan NFA, ia bermakna kita meletakkan ia diketepikan. Melainkan jika terdapat bukti baru yang memerlukan fail dibuka semula dan disiasat lagi, kami akan berbuat demikian.
"Tiada fail ditutup secara kekal apabila kita mengatakan NFA, termasuk fail 1MDB," Apandi memberitahu The Malaysian Insight, sambil menambah beliau mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan ke atas SRC International tidak lama lagi.

Dilaporkan SRC International memindahkan RM42 juta ke dalam akaun bank Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015 melalui anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan syarikat berasingan, Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Ihsan Perdana adalah syarikat swasta yang ditubuhkan untuk mengendalikan "tanggungjawab sosial korporat" sumbangan 1MDB.
Dalam satu sidang akhbar tahun lepas, Apandi berkata beliau berpuas hati dengan hasil siasatan dilakukan SPRM yang mendedahkan AS$681 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib adalah sumbangan peribadi yang diberikan tanpa syarat daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA