Jumaat, 14 April 2017

Dedak Gred A: Mengapa Umno tawar hadiah RM1 juta sempena ulang tahun ke-71?

PADA musim pilihan raya, semuanya diperbesarkan. Kehadiran yang sedikit dalam sesi ceramah atau ketidakhadiran pemimpin penting pada majlis sudah cukup membuatkan khabar angin bertiup kencang.
Tetapi sejauh mana yang boleh dibayangkan, tiada yang lebih teruk daripada kegagalan memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai kapasiti 100,000 pada sambutan ulang tahun Umno ke-71.
Justeru, adalah langkah tidak dijangka Umno dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM1 juta, termasuk kereta dan motosikal adalah bagi memastikan stadium itu penuh sesak pada 11 Mei?
Pengkritik, termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya insentif itu bertujuan menarik kehadiran orang ramai dalam jumlah yang besar dan menghalang pemergian ahli Umno yang semakin lemah semangat dengan serangan berterusan dilemparkan terhadap pemimpin Umno bulan lalu oleh Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yasin.
Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusof, bagaimanapun, menolak dakwaan hadiah itu bertujuan menarik ahli Umno untuk memenuhi stadium.
"Ia adalah satu cara mengucapkan terima kasih kepada ahli kami terhadap sokongan mereka selama 71 tahun kepada Umno. Mereka akan datang tidak kira sama ada kita menawarkan hadiah atau tidak," kata Rauf, yang mempengerusikan jawatankuasa penganjuran acara.
"Jika kita mahu merasuah orang untuk datang, kita akan membahagikan nilai hadiah dan memberikannya kepada semua orang. Tetapi kita tidak berbuat demikian."
Mengiktirafnya sebagai program terbesar dalam sejarah Umno, menurut Ab Rauf, hadiah kereta termasuk Proton Perdana, Suprima, Persona, Preve, Iriz, Saga dan Perodua Myvi.
Beberapa ahli Umno terkejut dengan nilai hadiah yang diberikan, berkata sebelum ini mereka hanya diberikan wang saku dan t-shirt bagi menghadiri program.
Oleh kerana kebanyakan ahli Umno terdiri daripada penduduk luar bandar berpendapatan rendah, mereka biasanya bergantung kepada pemimpin negara dan negeri untuk menyediakan pengangkutan, makanan, elaun sekitar RM30 hingga RM50, dan jika perlu, penginapan bagi program luar negeri.
Semasa perhimpunan Baju Merah Umno pada 2015, ahli parti berkata pengangkutan dan makanan juga ditaja pemimpin mereka.
"Kali ini nampaknya lebih istimewa kerana mereka mahu seberapa ramai yang mungkin untuk menghadiri ulang tahun kerana khuatir tidak ramai yang memenuhi stadium," kata seorang lagi ketua cawangan Umno dari Negeri Sembilan.

"Oleh itu, parti perlu menunjukkan ia masih mempunyai bilangan penyokong yang ramai. Jumlah yang kurang hanya menjadi bencana kepada persepsi awam."
Beliau berkata jumlah kehadiran itu akan membolehkan kepimpinan Umno mengukur kesan pembelotan kepada Bersatu, yang dipimpin bekas presiden Umno Dr Mahathir dan bekas timbalan presiden Muhyiddin.
"Pada masa ini hampir semua ahli Umno sudah membuat keputusan sama ada mereka akan menyertai Bersatu atau kekal dalam Umno," katanya.
Pengkritik seperti Dr Rais Hussin daripada Bersatu, berkata pemberian hadiah sebegitu mendedahkan Umno mengambil idea membiayai ahli mereka ke tahap mengejutkan.
"Sudah menjadi pengetahuan umum parti itu membiayai aktiviti ahlinya tetapi ini tahap baru. Ia mewakili falsafah presiden (Najib Razak) yang wang tunai adalah raja," kata Rais, yang pernah menjadi ahli Umno sebelum menyertai Bersatu.
"Masalah dengan aktiviti seperti ini, anda hanya akan menarik mereka yang didorong dengan bayaran. Ini bukan apa yang presiden awal Umno inginkan untuk parti," kata ahli Majlis Tertinggi Bersatu.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Kadir Jasin, berkata hadiah menunjukkan bagaimana Umno meninggalkan akarnya yang berdasarkan perjuangan politik untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu Islam.
Beliau berkata Tunku Abdul Rahman mencagarkan aset beliau di Pulau Pinang dan Kedah untuk membiayai kempen parti itu pada pilihan raya 1955 dan 1959.
"Sebelum ini ia menjadi parti di mana orang Melayu menderma. Kini ia pula memberi ahli wang untuk menghadiri program."
Ketua Pemuda Umno Ibdillah Ishak mengkritik pihak pembangkang yang mendakwa hadiah cabutan bertuah bertujuan menarik ahli menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Gabungan pimpinan DAP akan terus mengatakan semua ini rasuah dan 'gula-gula' sebelum pilihan raya. Tetapi ini tidak benar," kata Ibdillah, yang merupakan exco Pemuda Umno.
"Kami bukan parti yang hanya terbentuk semasa pilihan raya atau oleh pihak tidak puas hati seperti mereka yang dalam Bersatu dan Amanah.
"Kami berkhidmat kepada rakyat selama 71 tahun."

1 ulasan:

  1. Saipa muka brader Ni semcm aja..Ada sakit2 apa ka

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA