Khamis, 13 April 2017

Dana 1MDB: Wang boleh mengubah musuh jadi kawan, kata Zaid

Wakil rakyat PAS Mahfuz Omar berkata pimpinan parti bertanggungjawab membersihkan nama dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi
Zaid-Ibrahim_Rafizi_600
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim tidak terkejut dengan akuan bersumpah Ahli Parlimen Rafizi Ramli yang mendakwa bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menerima dana berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagaimana sebuah parti, yang menjadi musuh ketat Umno sejak 5 dekad lalu, tiba-tiba menjadi kawan?
“Wang boleh mengubah, dan PAS tidak pernah mempunyai wang sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Rafizi pada sidang media tadi berkata PAS kini mempunyai tanggungjawab sebagai parti Islam untuk memastikan tidak ada sesen wang meragukan digunakan untuk membiaya aktiviti mereka.
Bagaimanapun bagi Zaid, PAS bukan parti keagamaan atau berdasarkan moral.
“PAS cuma ‘parti serban’, dimana pemimpinnya menggunakan serban untuk menutup kepala.
“Jadi saya tak terkejut mereka menerima wang daripada (Perdana Menteri) Najib (Razak),” katanya.
Rafizi dalam akuan bersumpah hari ini mendakwa Nasharudin menerima wang yang didakwa daripada anak syarikat 1MDB.
Rafizi mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada Nasharudin.
Menurut Rafizi, maklumat ini diberitahu kepadanya pada 28 Januari tahun ini, oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan dakwaan pembabitan Najib dalam skandal itu.
Menurut Rafizi, perkara sama diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali.
Zaid mengiyakan ketika ditanya sama ada pimpinan PAS perlu membuat laporan terhadap Rafizi sekiranya dakwaan tersebut palsu.
“Tetapi mereka tidak akan buat. Walaupun mereka membisukan diri, mereka sudah ‘habis’.”
Sementara itu, seorang ahli Parlimen PAS Mahfuz Omar berkata walaupun beliau belum pernah mendengar partinya menerima wang daripada 1MDB, ini bukan kali pertama parti Islam dituduh rasuah.
Jika dakwaan Rafizi salah, pimpinan PAS bertanggungjawab membersihkan nama parti dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap naib presiden PKR itu, katanya.
Lebih-lebih lagi apabila Rafizi membahayakan diri dengan membuat akuan bersumpah, kata bekas ketua penerangan PAS.

“Tak mustahil seseorang yang mahukan gaya hidup mewah mengambil tawaran duit, walaupun dia tahu itu tindakan rasuah.
“Tetapi pimpinan parti tidak boleh berdiam diri dan mereka perlu jawab dakwaan Rafizi. Lagipun Rafizi mendedahkan hakikat pimpinan PAS tidak banyak bercakap mengenai skandal 1MDB.”
Nasharudin kini mengetuai idea cetusan Najib, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Najib berulangkali nafi mengambil dana awam, dan namanya dibersihkan daripada sebarang salahlaku oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Sehingga kini FMT masih belum berjaya mendapatkan respon dari Nasharudin walaupun teks kiriman mesej sudah dihantar.

2 ulasan:

  1. Bagi aku, dakwaan rafizi ini benar jika tiada saman pembersihan diri dari nasha dan pas.
    Nasha masih ahli pas yg patut dibuang jika benar dia terima dana 1mdb tanpa restu presiden

    BalasPadam
  2. Sepatutnya bila dah jadi CEO pertubuhan yg Najib taja... terus dipecat. Tapi sebaliknya.. ditatang baik punya oleh PAS..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA