Jumaat, 14 April 2017

Dana 1MDB: Rafizi berdepan hukuman jika dakwaan tidak benar - Peguam

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bakal berdepan hukuman sekiranya akuan berkanun yang dilakukannya berhubung dakwaan bekas pemimpin Pas, Dr Nasharudin Mat Isa menerima dana 1MDB daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Peguam, Syahredzan Johan berkata, akuan berkanun adalah satu dokumen, di mana seorang deponen membuat pengakuan sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah mengenai kebenaran pengataan-pengataan yang terkandung di dalamnya.
“Akaun berkanun ini boleh digunakan sebagai suatu dokumen undang-undang sama di mahkamah sebagai bukti atau dalam urusan rasmi.
Rafizi Ramli “Sekiranya dakwaan Rafizi tidak benar, beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 199 iaitu membuat kenyataan palsu di dalam suatu deklarasi yang boleh diterima sebagai keterangan, seperti akaun berkanun.
“Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga boleh dikenakan denda,” katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan Nasharudin mengenai dakwaan Rafizi namun menemui jalan buntu selepas beliau gagal dihubungi.
Sebelum ini, Rafizi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Invoke, semalam berkata, pendedahan itu dibuat setelah seminggu beliau mendakwa ada wang dari akaun peribadi Najib mengalir kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, Rafizi juga berisiko berdepan hukuman saman fitnah di mahkamah oleh Nasharudin melalui tindakan undang-undang sivil.
“Tidak ada keperluan khusus untuk Rafizi buat akuan sumpah tersebut tetapi ia untuk menunjukkan bahawa apa yang beliau dakwa itu adalah benar.

“Dan beliau bukan sahaja sanggup disaman fitnah tetapi disiasat di bawah kanun keseksaan dan didakwa di mahkamah sekiranya didapati bahawa apa yang dikatakan adalah palsu,” katanya.
Sehubungan itu, Syahredzan berpandangan, dakwaan Rafizi sesuatu yang serius dan pihak yang dinamakan tidak boleh berdiam diri serta perlu memberi respons terhadap perkara tersebut.
Menurutnya, sekiranya tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap Rafizi, orang ramai akan membuat kesimpulan bahawa apa yang didakwa olehnya adalah benar.
“Bola di gelanggang Nasharudin pada masa ini dan dia perlu mengambil tindakan di atas dakwaan tersebut,” katanya.

1 ulasan:

  1. Kita hrp Rafizi berada dipihak yg benar. Pimpinan pas tgh cr jln utk menafikan isu ini. Wajib diingat... Allah Maha Mengetahui

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA