Sabtu, 15 April 2017

Dana 1MDB: Pentadbiran Selangor tak terjejas isu Nasharudin, sembang PAS

PAS tidak membiarkan tuduhan terhadap Nasharudin mengganggu perjalanan kerajaan
Iskandar-Abdul-Samad_selangor_600
KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Saman mengakui pentadbiran kerajaan Selangor masih berjalan seperti biasa walaupun Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyerang kepimpinan PAS.
Beliau berkata pihaknya tidak membiarkan tuduhan itu mengganggu perjalanan kerajaan.
“Di Selangor, PAS, PKR dan DAP mendapat mandat memerintah kerajaan negeri, jadi kita kena penuhi tanggungjawab tersebut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Nasional Negaraku Menjelang 60 Tahun Merdeka di Hotel De Palma, Ampang hari ini.
Kelmarin, Rafizi menerusi akuan berkanun menamakan bekas timbalan Presiden PAS Datuk Nasharudin Mat Isa sebagai individu yang menerima sejumlah wang berkait 1MDB.
Menurutnya, perkara itu diberitahu kepada beliau secara lisan oleh bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan mengesahkan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali turut mendapat maklumat yang sama.
Mengulas lanjut, exco perumahan, pengurusan bangunan dan kehidupan bandar itu berkata, Rafizi boleh membuat apa sahaja pertuduhan tapi mestilah mengutamakan kehendak rakyat.
“Ahli politik sepatutnya menyelesaikan masalah rakyat, bukannya cerita siapa dapat RM3.5 juta, siapa dapat RM9.5 juta.
“Rakyat sebenarnya menyampah, mereka nak kerajaan atau parti politik selesai masalah mereka, bukan menjaja cerita sebegitu,” katanya.
Mengulas mengenai muktamar PAS yang akan diadakan pada hujung bulan ini, Iskandar yang akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS melihat ia sebagai perlawanan persahabatan.

“Saya lihat saingan kali ini tidaklah sengit seperti dulu dengan pelbagai spekulasi, sekarang ia seperti perlawanan persahabatan saja.”
Beliau berkata Isnin ini adalah tarikh akhir sama ada beliau terima atau tidak dicalonkan untuk menyandang kerusi Naib Presiden PAS.
Selain beliau, Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan turut dicalonkan tetapi hanya 3 calon akan dipilih pada muktamar ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA