Khamis, 13 April 2017

Dana 1MDB: Isu Nasha tiada kena mengena dengan kami kata PAS

PAS berkata isu dakwaan penerimaan dana 1MDB oleh bekas timbalan presiden parti itu Datuk Nasharudin Mat Isa tiada kena mengena dengannya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata Nasharudin bukan lagi pemimpin PAS, tiada peranan, “tiada hubungan langsung” dan tidak boleh mempengaruhi parti itu.

“Itu antara dia dengan pihak berkuasa. Kalau laporan telah dibuat terhadap dia, tiada kena mengena dengan PAS sama sekali,” katanya.
Setelah seminggu berteka-teki, Rafizi Ramli mendedahkan nama bekas pemimpin PAS yang didakwa menerima dana berkaitan 1MDB, yang dikatakan Nasharudin.
Rafizi juga membuat akuan berkanun (SD) berhubung perkara itu di hadapan pesuruhjaya sumpah di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Memetik seorang bekas penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rafizi mendakwa dana itu disalurkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak kepada “peguam tertentu” sebelum diedarkan kepada tokoh-tokoh politik lain, termasuk Nasharudin.
Sejak beberapa hari lalu, Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Nasharuddin melalui pelbagai cara – panggilan telefon, pesanan teks, e-mel dan faks – untuk mendapatkan reaksinya tetapi tidak berbalas.
Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Takiyuddin juga menafikan PAS menerima sebarang dana daripada Nasharudin sejak 2015.
PAS juga, katanya, tidak tahu menahu sama ada Nasharudin menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

2 ulasan:

  1. Jgn terburu2 nak lepas tangan. Byk misteri lg

    BalasPadam
  2. PAS juga, katanya, tidak tahu menahu sama ada Nasharudin menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC.
    Aik, sebiji jawapan macam najib yang tak tahu ada wang berjuta juta masuk akaun beliau.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA