Selasa, 18 April 2017

Bersatu cari calon muda, mampu tawan hati orang kampung


Bersatu cari calon muda, mampu tawan hati orang kampung
DIKEHENDAKI: Wajah baharu dengan kelayakan akademik cemerlang dan percaya terhadap pembaharuan Malaysia. Dan syarat lain – calon lelaki dan wanita ini perlu selesa berbual dengan penduduk kampung.
Mereka perlu mampu menyesuaikan diri dengan orang biasa serta tidak bersikap memilih untuk menghadiri majlis perkahwinan, pengebumian dan majlis lain di kampung.
Mungkin daripada semua kualiti di atas, kemampuan menyesuaikan diri adalah perkara paling diperlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada calon yang dipersiapkan untuk membuat kemunculan sulung pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini kerana Bersatu akan menghadapi Umno, yang sejak Merdeka, menawan hati dan minda orang Melayu luar bandar.
Dalam usaha menewaskan Umno, calon Bersatu itu bukan sahaja perlu mampu mendekatkan diri dengan orang kampung tetapi juga menawarkan wawasan yang progresif, adil dan inklusif bagi negara yang mahu dibina oleh parti itu, kata ahli Majlis Tertinggi.
Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Insight, kemampuan berinteraksi adalah paling penting memandangkan Bersatu mencadangkan kepada sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) yang ia akan menerajui kempen di Johor, Kedah dan Perak, negeri yang kini dikuasi Barisan Nasional (BN).
Pelan ini memerlukan Bersatu bertanding di sejumlah besar kerusi di tiga negeri dengan tujuan menggantikan Umno sebagai parti pilihan orang Melayu luar bandar dan membentuk kerajaan negeri dengan rakan PKR, DAP dan Amanah.
Satu lagi karakter perkara penting yang Bersatu pertimbangkan apabila memilih calon adalah pengalaman politik atau kerajaan. Tetapi ini tidak bermakna veteran Umno atau orang lain yang mempunyai pengalaman politik akan mengatasi pendatang baru, kata pemimpin Majlis Tertinggi Dr Rais Hussin.
"Kemahiran, pengetahuan dan kebolehan adalah paling utama. Pengalaman dalam politik dan kerajaan juga penting. Kami perlu menawarkan harapan kepada rakyat yang kita membawa satu jenama baru politik, jadi kita juga akan meletakkan ramai muka baru," kata Rais memberitahu The Malaysian Insight.
Tindakan parti itu yang masih berselindung dalam mengenal pasti calon berpotensi, membawa kepada kritikan yang ia akhirnya hanya akan meletakkan bekas ahli politik Umno pada pemilihan akan datang.
Parti yang diketuai Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin itu mungkin akan meletakkan ramai ahli Majlis Tertinggi termasuk Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri Jorak Dr Shahruddin Md Salleh, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya  Abdul Rashid Abdul Rahman, Akramshah Sanusi serta Tareq Ismail Mustafa yang juga ahli Majlis Tertinggi.
Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden Hamidah Osman dijangka mengetuai kempen di Johor, Kedah dan Perak.
Rais berkata parti itu masih belum membuat keputusan mengenai senarai calon yang berpotensi untuk pilihan raya umum akan datang.
"Keutamaan kami sekarang adalah membina cawangan dan bahagian di semua negeri dan melatih orang kami," kata Rais, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pemikir parti.
"Tetapi kami sedang mencari untuk meletakkan ramai pemimpin muda yang mempunyai kedua-dua ciri iaitu kemahiran dan semangat. Kami mahu mereka percaya terhadap prinsip teras kami – reformasi, keadilan, inklusif, progresif dan sederhana."

Seorang lagi pemimpin kanan Bersatu berkata walaupun parti itu mempunyai ramai bekas pemimpin dan ahli Umno, pengalaman itu bukan prasyarat.
"Budaya mengutamakan mereka yang mempunyai status atau kedudukan adalah sesuatu yang kita cuba hapuskan daripada Bersatu. Kami menyemai budaya memilih berdasarkan merit dan keupayaan kerana kita tidak mahu menjadi seperti Umno," kata pemimpin kanan itu.
Rais berkata, kelayakan akademik adalah sangat penting kerana parti itu mahu individu yang selesa dengan perubahan trend.
"Kelulusan akademik melengkapkan anda dengan keupayaan menangani perubahan berterusan dalam teknologi, cita rasa dan pemikiran."
Rais enggan mengulas mengenai rancangan Bersatu untuk memimpin kempen PH bagi mengambil alih Johor, Kedah dan Perak memandangkan rundingan kerusi antara rakan sekutu masih berjalan.
"Kami belum mencapai kata sepakat dengan sekutu kami tetapi rundingan sedang berjalan lancar."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA