Isnin, 17 April 2017

Badai PRU14 makin kuat, parti politik betulkan kompas

Minggu-minggu akan datang akan diwarnai dengan lebih banyak kenyataan bagi menawan dan memikat pengundi.
pru14
Hujung minggu ke-2 April kelihatan sarat dengan gelombang kenyataan yang berkisar tentang pilihan raya umum. Setiap penjuru negara dibadai angin pilihan raya. Tiada pemimpin, tidak kira parti, yang terlepas daripada tidak bercakap mengenai pilihan raya.
Segalanya berkaitan dengan persiapan dan persediaan yang dibuat parti masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Di sebalik kenyataan itu, mereka mempertahankan kedudukan masing-masing. Serangan politik tidak ketinggalan.
Sudah pasti tarikh PRU14. Bila PRU akan dipanggil menjadi perhatian semua. Hanya Najib yang tahu tarikh yang sebenar. Nampaknya beliau belum mendapat ilham lagi.
PAS meramalkan antara Julai dan September ini. Pemimpin DAP pula menjangkakan dalam tempoh 5 bulan lagi. Umno-BN beranggapan lagi cepat lagi bagus.
Cuba kita lihat apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin sejak sehari 2 ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berada di Terengganu semlalam dan kelmarin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membawa lonjakan perubahan dan kemajuan besar buat rakyat dalam usaha menjadikan Malaysia terus disanjung tinggi masyarakat antarabangsa.
Beliau mempertahankan perubahan yang telah dilakukan sejak PRU13. Kata Najib, transformasi yang mahu dibawa BN turut merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk keperluan fizikal, emosi dan akal.
“Sebab itu, saya bekerja bersungguh-sungguh. Perubahan yang kita nak buat bukan perubahan yang berdikit-dikit. Tetapi kita nak buat pembangunan dengan lonjakan berganda sebab kita mahu Malaysia terus dihormati oleh dunia luar.
“Baru-baru ini, kita mendapat pengiktiran beberapa badan dunia termasuk Forum Ekonomi Dunia dan University Of Pennsylvania, Amerika Syarikat sebagai antara destinasi pelaburan terbaik dunia,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut atau Gerbang Pelancongan Antarabangsa semalam. Selain itu, pemilihan Malaysia sebagai lokasi Pusat Keamanan Global Raja Salman turut membuktikan negara ini menerima pengiktirafan negara-negara Islam, kata perdana menteri.
Dalam pada itu, Najib berkata, perubahan dan kemajuan yang dikecapi rakyat khususnya di Terengganu membuktikan kerajaan BN sentiasa mengotakan janjinya kepada rakyat.
“Saya lihat di Terengganu kini banyak perubahan dan tahniah kepada Menteri Besar dan rakyatnya yang berusaha gigih untuk membangunkan negeri ini.
“Jadi, saya datang ini bukan datang biasa-biasa, saya datang ini nak bawa perubahan yang besar supaya kita (BN) menang sokmo-sokmo,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta rakyat tidak perlu terpengaruh dengan janji-janji dan tohmahan yang dilakukan pihak pembangkang yang mahu melihat kerajaan dibenci oleh rakyat.
Politik janji tinggal janji
“Kita tidak boleh hidup dengan politik janji tinggal janji dan menabur kata-kata dusta yang boleh menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan. Kita adalah kerajaan yang bila dia berjanji dia akan tepati dan bila dia umumkan sesuatu dia akan laksanakan.
“Jadi, yang persendakan kita tu adalah atas dasar politik semata-mata dan kita jangan ambil peduli.
“Betulkan kompas kita. Kita mesti istiqomah dan konsisten dan pastikan perjuangan kita diteruskan untuk membawa negara kita ke arah kemajuan yang lebih hebat,” kata Najib yang juga Presiden Umno.
Di Seremban, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta semua anggota parti melaksanakan gerak kerja dengan baik bagi menghadapi PRU14.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, ini bagi memastikan pentadbiran negara dan negeri kekal diterajui Umno dan BN.
“Bersiapsiagalah kita menghadapi PRU14 yang mana pilihan raya ini amat penting untuk BN terus mentadbir negara dan negeri.
“Kita kena pastikan pentadbiran negara kita akan tetap berada di tangan Umno dan BN. Jangan kecewakan generasi Melayu yang bergantung harapan kepada kita,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Sukan Umno Negeri Sembilan 2017, semalam.
Jangan malu-malu hadapi pembangkang
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan BN Sabah tidak perlu gentar mahu pun malu terhadap mana-mana pihak kerana parti itu mempunyai rekod pencapaian yang bagus dalam membawa pembangunan dan membela nasib rakyat di negeri ini.

Kata Musa, kerajaan BN negeri tidak pernah gagal dalam merealisasikan janjinya kepada rakyat menerusi peruntukan besar bagi pembangunan.
“Kita (BN Sabah) berpijak di bumi nyata, kita ada rekod pencapaian, kita ada bukti dan fakta bahawa kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan dibantu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berada di landasan yang benar,” katanya semasa berucap pada pelancaran Perdana Seranta Felcra Berhad oleh Ahmad Zahid di Kinabatangan.
Musa yang juga Pengerusi BN Sabah meminta semua anggota BN di Sabah supaya terus bekerjasama dan mengekalkan perpaduan bagi memastikan BN beroleh kemenangan besar pada PRU14.
“Kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan anggota menjadi kekuatan untuk parti terus tetap kuat menerajui kerajaan,” katanya.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup pula mahu anggota parti itu agar terus mengekalkan kerjasama dengan parti-parti komponen BN sebagai 1 pasukan bagi memastikan BN terus kukuh dan menjadi pilihan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerjasama seperti perkongsian maklumat dan membudayakan hubungan erat amat perlu sebagai contoh kepada rakyat, sekali gus menarik mereka untuk terus menyebelahi parti pemerintah.
“Perpaduan dalam parti kompenan ini sangat penting,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat baharu PBRS kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan di Nabawan.
Kurup berkata, kerjasama yang kuat dan berkesan lahir daripada komitmen, kesungguhan, iltizam serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti kompenan di peringkat akar umbi.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) yang dilancarkan Najib minggu lalu akan memberi kegerunan kepada pihak pembangkang terhadap perpaduan BN dalam menghadapi PRU14.
“Sebenarnya kami telah bersiap sedia (untuk menghadapi PRU14) lebih awal lagi dan kami tidak tunggu dan lihat apa yang pembangkang buat.
“Saya rasa semua yang lihat pelancaran JR Plus sedikit gerun dengan perpaduan yang ada dalam BN dan persiapan kami,” katanya semalam.
Mesej PAS dan DAP
Bagaimana dengan nada parti-parti pembangkang?
PAS, yang dilihat sebagai sudah menjalin hubungan baik dengan Umno berkata, sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada BN pada PRU14.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, PAS akan meletakkan calon untuk memastikan sekurang-kurangnya PAS dapat memenangi majoriti kecil untuk tubuh kerajaan.
“Antara sebab kami mengadakan Muktamar PAS Ke-63 di Kedah tahun ini ialah untuk menonjolkan bahawa kita sudah bersedia untuk memenangi PRU14 di Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di Bukit Mertajam, semalam.
Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu untuk menghadapi PRU14.
Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meramalkan PRU14 akan diadakan antara Julai dan September tahun ini.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata, PAS juga akan bertanding lebih banyak kerusi DUN dan Parlimen di Pulau Pinang dalam PRU14. PRU akan datang tidak sama seperti PRU lepas dan PAS negeri sudah bersedia dari segala sudut termasuk menghadapi pertembungan 3 penjuru, katanya.
Tambah beliau, PRU14 dijangka diadakan lebih awal dan jentera pilihan raya PAS peringkat kawasan mestilah diaktifkan dan berada dalam mode bersedia manakala bilik gerakan mesti dibuka sebelum Jun 2017.
Pada PRU13, PAS Pulau Pinang hanya memenangi satu kerusi DUN iaitu di Permatang Pasir menerusi Datuk Mohd Salleh Man.
Kelmarin, Najib dilaporkan berkata, beliau berhasrat untuk memanggil PRU14 dengan cepat, tetapi masih menilai sentimen pengundi sebelum membuat keputusan muktamad.
“Kalau ikut suasana di Kuala Nerus ini, nak buat cepat, namun kami kena lihat kepercayaan rakyat. Kalau pilih BN, banyak lagi transformasi yang akan kami lakukan,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus.
Tempoh mandat kerajaan semasa akan berakhir pertengahan tahun depan. Pun begitu ramai membuat spekulasi PRU14 kemungkinan akan dipanggil akhir tahun ini – sekitar Oktober.
Sempena ulang tahun ke-3 memperingati mendiang Karpal Singh, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru rakyat Malaysia membawa kemenangan kepada parti itu dan Pakatan Harapan dalam PRU14.
Katanya, terdapat 2 cara untuk mengingati dan menghormati Karpal, yang meninggalkan kita 3 tahun lalu dengan banyak perkara yang belum selesai untuk negara.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan, Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP perlu dipilih semula untuk penggal ke-3 manakala Pakatan Harapan harus dibolehkan membentuk kerajaan persekutuan demi menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal dan penyangak.
Berdasarkan sedutan sebahagian kata-kata di atas, dapat dirumuskan parti-parti politik sudah masuk gear kedua untuk menghadapi PRU14. Kita akan mendengar lebih banyak kenyataan-kenyataan yang menawan dengan harapan dapat memikat pengundi dalam minggu-minggu akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA