Jumaat, 21 April 2017

APABILA RM250J DANA NFC TIDAK DIKIRA DUIT RAKYAT

Banyak masa saya dihabiskan di mahkamah bermula minggu ini untuk melalui perbicaraan bagi 3 kes berturut-turut: kes NFC (minggu ini dan depan), kes menghina Umno (minggu depan), kes kedudukan kewangan Tabung Haji (minggu satu lagi).
Ada orang tanya apa perasaan saya turun naik mahkamah bagi kes-kes yang bertahun-tahun lamanya seperti NFC. Ada orang kata tindakan saya menumpukan usaha saya mendedahkan penyelewengan wang seperti ini adalah sia-sia kerana akhirnya yang ambil wang dilepaskan, saya pula didakwa dan rakyat pun sudah lupa.
Orang-orang PAS yang dulu ghairah menggunakan saya untuk menarik orang ke ceramah mereka semasa skandal NFC memuncak kini sudah berkata penyelewengan dana rakyat RM250 juta itu satu fitnah, kata sahabat-sahabat yang menghantar mesej kepada saya.
Saya tidak pedulikan itu semua.
Apabila saya "terjumpa" skandal wang rakyat diselewengkan (bermula dengan NFC), saya anggap itu ujian Allah kepada saya.
Pilihan saya ialah sama ada saya memalingkan muka dan tidak ambil kisah kerana hidup saya senang dan langsung tidak terkesan bila wang rakyat sebegitu hilang (gaji besar, kereta besar).
Tetapi saya rasa Allah akan murka jika pada masa Allah kurniakan saya peluang pendidikan yang lebih baik, saya lebih petah, saya lebih selesa dengan hal ehwal kewangan tetapi saya memilih untuk berdiam diri.
Maka saya bersuara kerana saya bimbang saya kufur nikmat dan saya tidak "berkongsi" kebolehan yang Allah kurniakan itu demi kebaikan orang lain.
Ada orang sedih tengok saya saban minggu duduk di dalam kandang tertuduh. Ada orang bisikkan semuanya sia-sia kerana semasa isu tengah panas ramai yang mahu saya naik pentas dan tumpang sekaki, tetapi bila duduk di kandang setiap minggu ramai yang tidak endah.
Saya langsung tidak terkesan kerana saya lega saya telah lulus ujian yang saya anggap Allah kenakan terhadap saya.
Sama juga dengan hakim-hakim (ada yang berbudi baik dengan saya, ada yang kasar dengan saya) dan pendakwaraya dan peguam (ada yang berbudi, banyak yang kasar dengan saya kerana saya orang kena tuduh).
Ada yang tanya sekiranya PH menang, adakah saya akan cari kembali semua watak-watak yang setiap minggu turun naik mahkamah mahu memastikan saya dipenjara?

Saya sebenarnya tidak ambil kisah pun perangai dan lagak setiap orang yang saya terpaksa lalui dalam saya menjalankan amanah ini. Yang berbudi baik dengan saya, saya ingat sampai bila-bila. Yang kasar dan menunjukkan kuasa kepada saya, saya lupakan terus.
Bagi saya itu ujian Allah kepada mereka bila mereka diberikan kuasa, seperti mana setiap hari saya diberi ujian dalam keadaan saya juga ada sedikit pengaruh yang terhad.
Mereka akan disoal suatu hari kelak seperti mana saya akan disoal bagi setiap perlakuan saya kerana sebesar mana kita dalam ruang hidup kita yang sempit, kita hanyalah zarah yang lebih kecil dari zarah dibandingkan kekuasaan Allah.
Sama juga bila Dato' Seri Salleh Ismail dengan bangga menyatakan bahawa dana RM250 juta yang dibelanjakan beliau dan keluarga bagi projek itu bukanlah duit rakyat kerana ia duit kerajaan. Rakyat tiada hak untuk mengetahui apa yang dibuat dengan wang itu kerana apabila beliau meminjam dari kerajaan, itu soal peribadi beliau dan kerajaan.
Allah datangkan ujian kepada beliau dan keluarga beliau dalam bentuk wang yang melimpah ruah dan kedudukan dunia, terpulanglah kepada beliau bagaimana melaluinya kerana Allah memandang semua.
Ada orang menghantar mesej memaki saya kerana katanya padan muka kerana saya kini menjadi penjenayah turun naik mahkamah.
Mereka lupa hampir semua tokoh dunia yang membawa perubahan kepada masyarakat bermula dengan dipandang sebagai penjenayah oleh penguasa pada ketika itu: dari zaman Rasulullah SAW, kepada George Washington (bapa kemerdekaan USA), Mahatma Ghandi, Sukarno, Mandela sehinggalah kepada Erdogan.
Saya akan terus dilabel penjenayah oleh penguasa selagi mereka berkuasa kerana suara saya mengancam kekuasaan mereka.

 Rafizi Ramli

8 ulasan:

  1. Knp org2 mcm ni tidak berada dlm penjara sedangkan org2 biasa yg curi satu tin susu demi anak dipenjarakan berbulan2. Aku nak semua yg mengaku ulama tlg jawab bermula drp yg tertinggi, iaitu naib ketua dewan ulama dunia. Keadilan apakah ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dia nak jawab apanya..semua dianggap sedekah dan hadiah..

      Padam
    2. Dia nak jawab apanya..semua dianggap sedekah dan hadiah..

      Padam
  2. Syabas saudara Rafizi.... Sesungguhnya anda adalah hero yg sebenar di mata rakyat. Watak yg anda bawa adalah satu dlm sejuta payah dicari. Semoga usaha saudara dipermudahkan & diberikan ganjaran terbaik oleh ALLAH Swt. Sekali lagi Tahniah & Syabas!!!

    BalasPadam
  3. Dalam setiap ujian kita hanya dapat kepastian bila keputusan diumumkan. Begitu juga ujian didunia ni...keputusannya diumumkan diakhirat nanti...berbahagia mereka yg keputusannya cemerlang diakhirat nanti

    BalasPadam
  4. Semoga rafizi dilindungi Allah.
    Saya sokong usaha rafizi.

    BalasPadam
  5. Hooooiiii....kamilah penyamun didlm ini negeri....kambing dan lembu semua kami curi....hihihihi

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA