Isnin, 17 April 2017

Amanah: Tak sesuai babit peniaga bukan Islam dalam ibadat Islam

Husam Musa berkata, kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan arahan menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib untuk menunjuk-nunjuk yang mereka sebuah kerajaan Islamik.
husam-musaKUALA LUMPUR: Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa mempertikaikan tindakan kerajaan negeri itu mewajibkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib.
Beliau yang juga naib presiden Amanah menyifatkan arahan menghentikan operasi yang melibatkan peniaga bukan Islam dalam ibadat umat Islam itu tidak sesuai.
“Orang bukan Islam tidak perlu solat, saya percaya pelanggan di kedai bukan Islam juga bukan orang Islam,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, hari ini.
Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood memberitahu FMT, arahan pemberhentian operasi tidak melebihi 15 minit itu bertujuan memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.
Dasar tersebut dimulakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu tahun lalu.
Sewaktu pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar, MPKB menyediakan lori tangki air di pasar malam untuk memudahkan umat Islam mengambil wuduk dan menunaikan solat.

Fattah dilaporkan berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib sebagai pemberitahuan kepada peniaga untuk menghentikan operasi, manakala wisel ke-2 akan dibunyikan 2 kali 10 minit kemudian.
Husam yang juga adun Salor berkata, kerajaan negeri mengeluarkan arahan itu untuk menunjuk-nunjuk mereka ialah sebuah kerajaan Islamik.
“Kelantan janji mahu beri kesenangan kepada rakyat, tapi tak buat, itu sudah dikira tidak Islamik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA