Khamis, 13 April 2017

Alibaba China bakal ancam gedung beli-belah Malaysia?

Seorang pakar ekonomi berkata gergasi perniagaan internet yang dijangka beroperasi akhir 2019 boleh mengancam survival pusat membeli-belah dan peniaga kecil-kecilan.
hoo-ke-ping
PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi veteran meramalkan peruncit tradisional bakal berhadapan dengan ancaman apabila Kumpulan Alibaba dari China menubuhkan hab logistik di Malaysia.
Bercakap kepada FMT, Hoo Ke Ping berkata, hab itu yang dijangka beroperasi akhir 2019 akan mengancam survival pusat membeli-belah dan peniaga kecil-kecilan.
Beliau berkata, bagi peruncit tradisional yang sudah pun berhadapan dengan persaingan daripada rakan-rakan atas talian mereka, hab itu akan memberi cabaran yang lebih ketara.
Beliau menyifatkan Lazada, peruncit dalam talian milik Alibaba, antara yang paling berpatutan harga, akan menjadi satu cabaran bagi peruncit-peruncit berasaskan gedung membeli-belah kerana mereka tidak dapat mengelak kos-kos asas seperti sewa, utiliti dan upah.
Hoo memberitahu, keadaan diburukkan lagi ekoran lebihan bekalan pusat membeli-belah, dengan kebanyakannya bersaing untuk mencari penyewa ruang runcit mereka.
Bulan lalu, laporan berita memetik Pengarah Urusan Savills Malaysia Allan Soo berkata, pasaran runcit boleh mengambil masa sehingga 4 tahun untuk melihat perubahan disebabkan h lebihan bekalan dalam ruang runcit.
Lembah Klang sahaja mempunyai 160 pusat membeli-belah dan pasar raya besar, termasuk 7 gedung membeli-belah. Tujuh lagi dalam perancangan.
Hoo juga berkata, Pos Malaysia yang kini mengendalikan penghantaran bungkusan untuk Alibaba telah membina keupayaan menceburi pasaran e-dagang.
Dalam temu bual Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pihaknya dalam proses memantapkan keupayaan dan infrastruktur supaya ia boleh menyediakan pelbagai perkhidmatan e-fulfilment yang diperlukan industri.

Istilah e-fulfilment menerangkan manusia, proses dan teknologi yang digunakan dalam menyampaikan pesanan dalam talian kepada pelanggan.
Hoo berkata, hab logistik Alibaba Malaysia akan mempercepatkan peralihan ke arah e-dagang.
Baru-baru ini, Reuters melaporkan hab itu akan berfungsi sebagai pelepasan kastam, gudang dan memenuhi kemudahan berpusat bagi Malaysia dan negara-negara jiran dan akan mempercepatkan kelulusan untuk import dan eksport.
“Ini bermakna ia akan menjadi lebih mudah bagi orang ramai untuk menjual dan memindahkan barang-barang mereka dalam negara,” kata Hoo.
“Oleh itu, prospek bagi pusat membeli-belah dan juga peruncit kecil di kawasan luar bandar tidak kelihatan begitu baik.”
Menurut beliau, keadaan itu bukan hanya berlaku di Malaysia.
Dengan merujuk kepada pihak-pihak seperti rantaian pakaian wanita The Limited dan Bebe, kata beliau, keadaan yang sama berlaku di Amerika Syarikat di mana lebih banyak perniagaan beralih kepada pasaran dalam talian.
Menurut laporan Business Insider, The Limited telah menutup kesemua 250 kedai, 4,000 pekerja diberhentikan dan memindah perniagaannya ke dalam talian.
Bulan lalu, Bloomberg melaporkan Bebe merancang untuk mengambil pendekatan yang sama.
Laporan Ecns.cn tahun lalu memetik seorang pegawai Akademi Sains Sosial China sebagai berkata, 1 pertiga daripada pusat membeli di China dijangka ditutup dalam tempoh 5 tahun lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA