Jumaat, 21 April 2017

Adam Rosly didakwa atas tuduhan beri keterangan palsu

Pemimpin muda PKR itu berdepan denda sehingga RM3 juta dan penjara 5 tahun bagi setiap kesalahan.
Adam-Rosly3KUALA LUMPUR: Selepas rumah banglonya disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Ketua PKR Ampang Datuk Adam Rosly hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkait keterangan palsu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang berkait kesalahan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan pada Februari lepas.
Kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun.
Adam, 28, tiba di mahkamah hari ini dengan berbaju lokap berwarna jingga, dan diwakili peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal. Turut hadir menyatakan sokongan untuk beliau ialah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Hakim Allaudeen Ismail meletakkan wang jaminan RM300,000, dan mengarahkan pasport Adam dirampas. Sebutan kes ditetapkan pada 29 Mei.
Adam ditahan sejak 13 April bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa termasuk sebuah banglo mewah.
November tahun lalu, beliau menjadi sasaran Datuk Seri Jamal Yunos yang mempersoalkan kekayaan “luar biasa” Adam.

Ketua Umno Sungai Besar itu membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk meninjau banglo mewah milik Adam, sambil mempersoalkan sumber “kekayaan luar biasa” pemimpin PKR itu.
Susulan itu, Ketua Bahagian Umno Ampang Datuk Ismail Kijo membuat laporan kepada SPRM.
Sebelum ini, Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang menafikan Adam pernah bertugas di bawahnya.
“Cubaan untuk mengaitkan kedudukan saya selaku ahli Parlimen Ampang dengan Adam Rosly yang kini dalam siasatan SPRM adalah percubaan lemah untuk memacu persepsi umum ke arah mengaitkan saya dalam kes tersebut,” katanya pada Rabu.

2 ulasan:

  1. Harap sprm jg siasat semua ketua2 umno, bini2 umno dan jg anak beranak umno. Bagaimana mrk boleh hidup begitu mewah sedangkan rakyat bergelut dgn kehidupan harian. Jgn sprm dijadikan ba*ua umno sudah

    BalasPadam
  2. Kenyataan mengenai isu RM 2.6 bilion tak mau siasat ka ketulenan surat yang kononnya dari kerajaan Arab Saudi tu?

    Kepala surat nama lain, yang tandatangan nama lain.

    Pihak berkuasa kena jujur, sebab mereka akan bertanggungjawab di mahsyar kelak.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA