Isnin, 20 Mac 2017

Sudah sampai masa, PAS juga perlu ditewaskan

“Sekiranya saya betul, orang Jerman akan mengatakan saya orang Jerman dan orang Perancis akan mengatakan saya Yahudi; sekiranya saya salah, orang Jerman akan mengatakan saya Yahudi dan orang Perancis mengatakan saya orang Jerman” – Albert Einstein, 1922.
Begitulah tafsiran yang sering kali dibuat andai anda meluahkan pendapat yang diterima oleh satu kelompok tetapi ditolak oleh kelompok yang lain. Persetankan samada apa yang anda katakan itu benar atau salah, penilaian manusia akan mendahului semuanya. Politik juga tidak terkecuali.
Jadi, tidak keterlaluan untuk penulis mengungkapkan sesuatu dalam tulisan ini yang boleh jadi ditolak oleh puak tertentu tetapi boleh jadi diterima oleh satu pihak yang lain.
Bukan sahaja UMNO-BN, tetapi PAS juga harus ditolak
Presiden PAS – Datuk Seri Abdul Hadi Awang – semalam telah mengesahkan bahawa dengan pendekatan politik matang dan sejahtera mereka, PAS kini telah bersedia memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya untuk menang sebahagian dan redha jika UMNO memenangi sebahagian yang lainnya.
Beliau bagaimanapun menafikannya. Tetapi, sekeping gambar boleh menjelaskan beribu kisah, dan beliau memiliki rakaman video yang menyebut akannya!
Bayangan PAS ini bolehlah kita tafsirkan sebagai satu persefahaman diantara PAS dan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kalaupun tidak sebagai kerajaan bersama di masa depan, tapi sekurang-kurangnya dapat mengekalkan UMNO-BN di tampuk kuasa.
Di saat hampir semua rakyat Malaysia di semua peringkat ghairah mahu menghumban UMNO-BN pada PRU-14 yang akan datang, PAS datang dengan senang hati untuk menawarkan kemenangan mudah buat seteru rakyat ini.
Adakah PAS sekadar mahu menjadi parti politik penasihat dan hanya sanggup duduk berkecuali dengan mensia-siakan peluang memperlihatkan bantahan dan kritikan seperti yang ada di dalam Dewan Rakyat? Jadi, apa lagi yang boleh kita harapkan dari PAS ini?
Skandal-skandal UMNO-BN dan posisi PAS?
Petunjuk ini telah terang lagi bersuluh. UMNO-BN sebagai pemerintah dan telah memperkenal pelbagai polisi yang memberi kesan buruk secara langsung sehingga memburukkan lagi kedudukan ekonomi negara malah ekonomi isi rumah setiap rakyat.
Kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang rata-ratanya dirasai semua lapisan masyarakat kita, baik di bandar atau di kampung, baik pekerja swasta atau penjawat awam termasuk peniaga-peniaga kecil di pasar malam, peruncit-peruncit di kampung-kampung, baik nelayan baik petani, baik orang muda ataupun tua – semuanya telah merasai bebannya. Isu ini sahaja sudah cukup untuk menguburkan UMNO-BN.
Tambah lagi, rakyat Malaysia dan semua parti pembangkang sudah sepatutnya telah boleh disatukan dengan skandal-skandal besar seperti 1MDB, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Felda, Tabung Haji atau kes-kes rasuah melibatkan penjawat awam yang turut melibatkan anak isteri.
Namun, jika rakyat Malaysia tidak boleh juga keluar dari segala siri skandal yang memalukan ini, apakah kita perlukan skandal besar lain yang boleh menjatuhkan UMNO-BN selepas ini? Sudah pasti tidak, malah ramai menjangka jika peluang terbaik di dalam PRU-14 kali ini disia-siakan, ianya pasti akan membuka lebih besar jalan untuk UMNO-BN terus berkuasa pada masa hadapan.
Lalu, bukti yang bagaimana lagi yang PAS perlukan untuk memandu mereka duduk bersama blok pembangkang dan sama-sama menjatuhkan UMNO-BN yang sudah busuk sampai ke usus ini?
PAS menuju arah mana?
Oleh itu, jika PRU-14 kali ini bakal menjadi penentu masa depan Malaysia, para pengundi harus diberitahu dan mereka mesti diberi maklum bahawa PRU-14 kali ini, bukan sahaja UMNO-BN yang perlu dinyahkan dari kerusi kuasa, malah PAS dengan lagak oportunis juga terpaksa kita tolak mentah-mentah. Apatah lagi PAS hari ini dilihat seperti tidak bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan UMNO-BN.
Jika Presiden PAS menyebut yang mereka tidak boleh meramal masa depan dan perlu mengukur baju di badan sendiri; lalu bukankah dengan cara memperkuatkan blok pembangkang bersama PKR, Amanah, DAP dan Pari Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah strategi paling ampuh untuk menjatuhkan UMNO-BN?
Atau mungkin PAS sebenarnya tidak mahu pun UMNO-BN ditumbangkan dan hanya mahu menang atau ‘sepatutnya memimpin’ di beberapa negeri tertentu dan rela UMNO-BN kekal pada sebahagian yang lain?
PAS mahu menjadi kuasa penentu. Kata presidennya, semua parti, baik dari UMNO, baik dari Pakatan Harapan; kedua-duanya memerlukan mereka untuk sekurang-kurangnya membentuk kerajaan di Putrajaya. Ini adalah kerana mereka akan bertanding di 40 kawasan Parlimen, dan posisi merekalah yang akan menjadi penentu kepada pembentukan sebuah kerajaan di Putrajaya.
Namun, dengan memasuki pilihan raya berseorangan tanpa parti sekutu, apakah ini rancangan terbaik PAS berdepan rakyat dan UMNO-BN di dalam pilihan raya?
PAS masih dalam kerajaan Selangor bersama DAP
PAS tidak keluar daripada kerajaan Selangor sedangkan mereka telah memutuskan sebarang kerjasama dengan DAP atau mana-mana parti yang ada kaitan dengannya. Presiden PAS sudah sepatutnya lebih awal lagi mengarahkan ADUN mereka meletak jawatan EXCO kerana di dalamnya ada DAP.
Alasan tidak boleh mengabaikan mandat rakyat adalah alasan paling naïf dan yang paling cuai yang pernah dibuat oleh parti yang sudah berusia hampir 66 tahun ini. Namun, apakah PAS lupa, dengan mandat rakyat yang sama jugalah yang mengikat kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat? Jadi, apakah alasan sebenar yang mengekalkan kedudukan jawatan EXCO mereka di dalam kerajaan negeri sehingga ke hari ini?
Maka, terbit soalan dari kotak akal penulis; apakah jika menang PRU-14 nanti, kerjasama demi kuasa seperti di Selangor hari ini akan wujud dengan prinsip sama itu tadi?
Kebatilan hanya ada satu penjuru
Atas kertas, pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada BN-UMNO. Tetapi, dengan pendirian terkini PAS seperti semalam, maka tidak ada keperluan untuk rakyat risau akan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru.

Ini kerana satu penjuru hanyalah Pakatan Harapan dan tersudut satu lagi penjuru hanyalah UMNO-BN dan PAS! Mereka di dalam kelompok yang sama, kerana kebatilan hanya ada satu penjuru sahaja!
Biarpun semangat mahu berunding masih ada pada parti-parti dalam Pakatan Harapan, namun selepas keluarnya usul demi usul untuk menolak kerjasama dengan parti-parti yang berkait rapat dengan DAP atau Amanah menjelang muktamar PAS di Kedah bulan depan, kita seolah-olah telah mendapat bayangan yang paling jelas, yakni hanya ada dua sudut penjuru sahaja menjelang PRU-14 kali ini; satu sudut adalah pihak yang bekerjasama bagi menjatuhkan UMNO-BN dan menukar kerajaan di Putrajaya, dan satu sudut yang lain pula adalah mereka yang bersama-sama mempertahankannya.
PRU-14 akan datang bakal menjadi ibu kepada semua pilihan raya di Malaysia
Harapan rakyat memeluk kemenangan di Putrajaya sesekali terasa begitu hampir. Dengan segala skandal demi skandal didedahkan – BN dan UMNO hari ini boleh diumpamakan seperti peribahasa; berumah di tepi tebing – orang yang setiap hari dilanda kebimbangan.
Seperti janji Datuk Seri Najib Razak yang tidak pernah gagal; Rakyat didahulukan. Maka semuanya telah kita rasainya terlebih dahulu. Kesan kenaikan harga barang akibat pengenalan GST misalnya atau ketidakyakinan para pelabur sehingga melemahkan Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat ditambah pula kesan kenaikan harga barang akibat ketidaktentuan harga minyak dunia; maka hari ini penulis mahu mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa terkecuali untuk sama-sama berikrar bukan sahaja menolak UMNO-BN di dalam PRU-14 yang akan datang, tetapi berikrar untuk turut sama menolak PAS.
Tiada apa yang perlu dikhuatirkan dengan ikrar ini. Kenyataan Presiden PAS semalam telah mengesahkan keperluan ikrar ini. Malah ianya menjadikan misi menewaskan UMNO-BN dan PAS sebagai sebuah misi yang sama, kerana telah tiba masanya, PAS juga perlu ditewaskan.
“Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri apabila ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (bagi menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dn bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” – Surah Shura, ayat 41-42.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA