Isnin, 20 Mac 2017

Selagi laporan siasatan Ketua Audit tidak didedah, skandal 1MDB belum selesai

Sukar untuk rakyat mempercayai kenyataan menteri UMNO bahawa kes skandal 1MDB tidak boleh didakwa dengan alasan laporan Ketua Audit Negara (AG) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menemukan sebarang kesalahan terhadapnya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, ini kerana laporan AG yang dikeluarkan sejak Februari 2016 itu, sehingga kini diklasifikasikan sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN), sekaligus tersorok daripada pengetahuan umum.
“Malah, bekas AG, Tan Sri Ambrin Buang menekankan bahawa klasifikasi mengikut OSA itu adalah untuk memastikan laporan PAC dilengkapkan tanpa ada sebarang kebocoran yang tidak diingini.
“Dia sendiri menyatakan dengan jelas bahawa tidak perlu untuk laporan AG diklasifikasikan mengikut OSA selepas laporan PAC siap dan menyerahkan kepada budi bicara kerajaan untuk mengubah status (OSA) dokumen tersebut.
“Bolehkah Datuk Seri Johari (Menteri Kewangan Kedua) beritahu kami mengapa laporan AG masih sulit?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Tony Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP justeru membangkitkan persoalan sama ada laporan AG itu akan mendatangkan masalah kepada kerajaan UMNO-BN jika ia terus didedahkan kepada umum.
Katanya, ini kerana laporan AG dan PAC mendapati terdapat banyak salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi 1MDB antaranya kesalahan melakukan beberapa transaksi bernilai berbilion dolar tanpa kebenaran Lembaga Pengarah.
“PAC dan AG juga membuat kesimpulan bahawa pihak pengurusan tertinggi (1MDB) telah memberikan maklumat palsu kepada Lembaga Pengarah dalam banyak perkara.
“Lebih buruk lagi, pihak pengurusan tertinggi didapati telah bertindak mengingkari keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa siasatan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi yang kini menjawat jawatan Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) tidak diselesaikan sehingga kini sejak setahun yang lalu.
“Adakah kerana dia (Shahrol) ‘tidak boleh disentuh’ dan dilindungi Perdana Menteri sendiri, untuk menutup hakikat bahawa berpuluh bilion ringgit telah diselewengkan 1MDB, yang mana sebahagian besar darinya disalurkan kepada Datuk Seri Najib Razak?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA