Isnin, 20 Mac 2017

Nik Abduh ucap tahniah PPBM sertai PH

Ketua Pemuda PAS berkata secara rasminya hubungan PAS putus dengan PPBM dan perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat parti.
nik-abduh
KUALA LUMPUR : PAS hari ini mengesahkan tiada lagi hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas parti itu menjadi ahli terbaru dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam nada menyindir mengucapkan “tahniah” kepada PPBM.
“Kita ucap tahniah kepada PPBM kerana dah rasmi hubungan dalam Pakatan Harapan. Selamat maju jaya untuk PPBM,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
PPBM hari ini menjadi ahli terbaru dalam PH, selepas gabungan itu secara rasmi menerima kemasukan parti itu hari ini.
Keputusan itu dicapai oleh majlis gabungan presiden, yang sebulat suara menerima permohonan PPBM untuk menjadi ahli pakatan.
Nik Abduh berkata secara rasminya hubungan putus dengan PPBM itu akan dibawa dalam mesyuarat parti itu.
“Tok guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dah sebut semalam kalau rasmi PPBM dengan Pakatan Harapan maka rasmilah juga belah sini. Cuma benda itu akan dibawa dalam mesyuarat secara rasmi,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan PAS Bayan Baru dan Permatang Pauh yang memutuskan hubungan dengan PKR, Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Pasir Mas berkata perkara itu usul dan ia akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS pada bulan depan.
Beliau sama turut ditanya bagaimana kedudukan PAS di Selangor selepas cawangan parti itu mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.
“Selangor kekal. Keputusan kita sebelum ini pentadbiran kita berdasarkan Pilihan Raya Umum ke-13. Kita konsisten pegang amanah rakyat di Selangor sehingga pilihan raya nanti,” katanya.
Mengulas isu sama, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kemasukan PPBM ke dalam PH merupakan hak parti itu dan PAS membentuk blok yang tersendiri.
Katanya, jika PPBM ingin bekerjasama dengan PAS, parti itu akan mengenakan syarat.
“Syarat pertama kita ialah jangan bersama mereka yang menyerang PAS. Macam mana kita nak berkawan kalau kita berkawan dengan orang yang menyerang PAS. Tak mungkin. Logik pun tak boleh diterima.

“Itu perkara biasa bagi saya. Nampaknya tak ada lagi (kerjasama dengan PPBM). Nak buat macam mana dia dah bersama dengan sana. Tak ada lagilah,” katanya.
Mengulas mengenai PAS Bayan Baru dan Permatang Pauh mengusulkan memutuskan hubungan dengan PKR, Khairuddin berkata perkara berkenaan menjadi fenomena kini.
“Banyak kawasan yang mengusulkan benda sama. Ini tidak pelik kerana mereka melihat dengan mata sendiri tindakan PKR bersama dengan DAP dan Amanah menyerang PAS di pentas ceramah PH. Itu tidak pelik.
“Semua usul akan dibawa ke Muktamar Pusat PAS nanti, Insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA