Isnin, 20 Mac 2017

Najib sendiri produk tak laku, Amanah nafi pembangkang sabotaj ekonomi


Salahuddin Ayub dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari iniSalahuddin Ayub dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menuding jari kepada pembangkang kononnya telah mensabotaj ekonomi negara, diselar Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata, kemerosotan ekonomi negara bukannya disebabkan pembangkang, namun sebaliknya berpunca daripada kepercayaan pelabur terhadap integriti Najib itu sendiri.
"Bukan masalah pembangkang tapi Najib sendiri menyebabkan pelabur berfikir dua tiga kali untuk melabur di Malaysia.
"Dia sendiri produk yang tidak laku kerana terpalit dengan isu 1MDB", katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara, hari ini.
Najib sewaktu melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya Sabtu lalu mendakwa Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco kerana sikap tidak patriotik sesetengah pihak yang menyalurkan maklumat tidak betul mengenai negara kepada syarikat minyak Arab Saudi itu.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco pada mulanya keberatan untuk melabur di Malaysia setelah diberi maklumat kononnya Malaysia diletakkan dalam kategori berisiko politik.
Katanya Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia tidak stabil, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap dan kerajaan tidak berkemampuan untuk membayar gaji penjawat awam.
"Ini kerana ada orang yang tiada hati perut, motif mereka adalah politik tetapi yang jadi mangsa adalah rakyat Malaysia," katanya seperti dilaporkan media.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, walaupun kehadiran Raja Arab Saudi awal bulan lalu yang dijadikan modal oleh Najib untuk melepaskan dirinya dari tuduhan terbabit skandal 1MDB, ia sedikitpun tidak dapat membersihkan nama perdana menteri itu di mata dunia.
"Dalam isu 1MDB Najib tidak dapat membersihkan nama beliau malah Raja Arab Saudi sewaktu lawatan ke Malaysia baru-baru ini pun tidak membersihkan nama Najib.
"Kalau benar wang itu adalah derma daripada Arab Saudi saya berpandangan masa itulah masa yang paling sesuai untuk membersihkan nama Najib," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA