Selasa, 21 Mac 2017

KERAJAAN DIGESA TINGKATKAN BAJET ASET KETENTERAAN UNTUK KESELAMATAN RAKYAT

Saya mengambil maklum mengenai kenyataan bekas bridiger jeneral iaitu Datuk Mohd Arshad Raji mengenai kekurangan peruntukan aset TUDM, sehingga mengakibatkan penangguhan pembelian aset dan keterpaksaan mengoptimumkan keupayaan aset ketenteraan yang sudah lapuk.

Merujuk pada Bajet 2017, Kementerian Pertahanan hanya memperoleh anggaran RM3.37 billion untuk tujuan pembangunan, iaitu berkurangan sebanyak RM473 juta berbanding Belanjawan 2016 yang asal.

Disebabkan faktor geopolitik yang semakin mencabar, ditambah lagi dengan aktiviti terorisme yang semakin menular, Malaysia memerlukan aset ketenteraan yang mencukupi dan berfungsi dengan baik bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi musuh yang tidak terjangka.

Kerajaan Persekutuan seharusnya melabur dalam industri persenjataan dan menaiktaraf teknologi kenderaan Angkatan Tentera Malaysia yang sedia ada. Pembangunan ketenteraan seharusnya berada pada tahap yang optimum, bukannya dipandang sepi oleh sesetengah pihak pemerintah. Insiden Lahad Datu telah membuktikan keperluan untuk menyediakan logistik yang mencukupi, serta ditempatkan di kedua-kedua belah Semenanjung dan Borneo dalam jumlah aset yang mencukupi.

Tambahan pula, kejadian dua orang tentera yang terjatuh di Pulau Perak pada bulan Oktober lepas menunjukkan bahawa kerajaan seharusnya mengutamakan pembangunan infrastruktur demi keselamatan tentera yang mengawal di sempadan negara. Saya mempertanggungjawabkan kepada kementerian atas kejadian ini oleh sebab infrastruktur yang ada di kepulauan tersebut masih tidak cukup, khusunya bekalan air, elektrik dan juga kemudahan-kemudahan komunikasi.


Di samping menambahkan peruntukan untuk pembangunan Kementerian Pertahanan terutama bagi perolehan aset ketenteraan, saya juga menggesa Kerajaan telus dalam proses pembelian aset seperti pemilihan kontrak dan pengamalan tender secara terbuka. Saya mahu memastikan Malaysia berjaya memperoleh lebih banyak aset ketenteraan pada masa yang terdekat tanpa mencipta skandal atau unsur-unsur rasuah, kronisme dan penipuan.

Laksamana Pertama (B) YB Mohamad Imran Abd Hamid
Ahli Parlimen Lumut
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA