Rabu, 15 Februari 2017

Yang Kelantan perlu ialah RUU banjir, bukan 355, kata Amanah

Anwar percaya RUU itu akan disokong ahli Parlimen BN, selain dapat memberi tanggapan lebih baik kepada rakyat yang PAS benar-benar mementingkan kebajikan rakyat, bukannya sekadar bermain politik persepsi melalui RUU 355.
wan-anwar
PETALING JAYA: PAS sepatutnya mengusulkan rang undang-undang (RUU) persendirian berkaitan pengurusan bencana bukannya RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) memandangkan Kelantan di bawah pimpinan parti itu sering dilanda banjir besar, kata Amanah.
Naib Ketua Pemuda Amanah, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, RUU itu lebih penting kerana hampir 20 akta, mekanisma dan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung banjir dan alam sekitar yang diguna pakai kerajaan ketika ini gagal mengurangkan impak banjir.
Jika PAS memperjuangkan RUU pengurusan bencana itu, beliau percaya ia akan disokong ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), selain dapat memberi tanggapan lebih baik kepada rakyat yang parti Islam itu benar-benar mementingkan kebajikan rakyat, bukannya sekadar bermain politik persepsi melalui RUU 355.
“Daripada sibuk memberikan tumpuan kepada agenda RUU 355 yang masih tidak tahu hala tujunya, PAS melalui kerajaan negeri Kelantan sewajarnya memfokuskan satu RUU persendirian berkenaan pengurusan bencana yang jauh lebih penting dan mendesak kerana negeri tersebut acap kali terjejas dengan banjir skala besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga timbalan pengerusi Biro Undang-undang Amanah memberi contoh Akta Pengurusan Bencana 2005 di India yang merangkumi garis panduan menggerakkan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pasukan pertahanan awam dan syarikat korporat untuk menguruskan bencana banjir.

“Bagi syarikat korporat (di India), penglibatan aktif mereka dalam pengurusan bencana tersebut dijadikan tanggungjawab sosial korporat (CSR).”
Katanya, di Belanda pula, kerajaannya menyediakan dana besar dan berterusan bagi melaksanakan program pengurusan banjir seperti peruntukan 2.2 bilion euro (RM10.3 bilion) untuk projek Room for the River pada 2006 bagi mengurangkan risiko banjir di 4 sungai utama negara itu.
Menurut laporan media pada Januari 2015, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggarkan nilai kerugian harta benda awam akibat banjir besar yang melanda Kelantan pada akhir 2014 melebihi RM1 bilion.
Kementerian Kerja Raya pula menganggarkan RM338 juta diperlukan untuk membaik pulih kerosakan jalan, sistem pembentungan dan longkang akibat banjir yang melanda 9 negeri di Semenanjung pada hujung 2014.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.
Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

1 ulasan:

  1. Rakyat bukan islam mahukan lihat pas memakmurkan ekonomi orang islam kelantan bkn menyebuk dgn ruu355. Keadaan ekonomi dan pendapatan rakyat islam kelantan jauh masih rendah dan ramai yang hidup miskin susah. Dalam keadaan rakyat sebegini, adakah pemimpin pas bangga dpt laksanakan hudud? rakyat belum mengamalkan islam betul2.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA