Khamis, 16 Februari 2017

Pembelian syarikat ladang Indonesia langgar peraturan pelaburan Felda

Pembelian EHP oleh Felda mengundang kritikan umum.Pembelian EHP oleh Felda mengundang kritikan umum.
Pengerusi Felda Tan Shahrir Samad diminta mendedahkan had pelaburan dana Felda kerana pembelian syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations oleh agensi itu baru-baru ini memaksa Felda berhutang bagi membiayai pembelian tersebut.
Malah naib presiden PKR Rafizi Ramli yakin pembelian PT Eagle High Plantations telah melanggar dasar dan strategi pelaburan kumpulan Felda yang mengehadkan jumlah pelaburan kepada 24% daripada jumlah baki simpanan wang Felda.
Malah tambah beliau, pelaburan yang menggunakan hutang pada harga yang lebih tinggi sudah tentu membawa risiko yang lebih besar kepada Felda.
Rafizi turut merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai pelanggaran peraturan dan dasar pelaburan yang ditetapkan Lembaga Pengarah Felda bagi tempoh auditan Oktober hingga Disember 2010.
Beliau menambah, pembelian PT Eagle High Plantations boleh dianggap melanggar dasar dan peraturan yang ditetapkan Felda, dan ahli lembaga pengarah yang bersekongkol meluluskan pembelian itu boleh disiasat dan didakwa sekiranya keputusan itu menjejaskan kepentingan Felda.
"Oleh yang demikian, saya mencabar Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi lembaga pengarah Felda untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa Felda melanggar peraturan dan dasar yang mengawalselia pelaburannya yang ditetapkan sendiri oleh Lembaga Pengarah Felda?
"Jika Tan Sri Shahrir Samad percaya keputusan membeli PT Eagle High Plantations itu tidak melanggar peraturan dan dasar pelaburan Felda, saya cabar beliau mendedahkan minit-minit mesyuarat Lembaga Pengarah untuk menunjukkan bahawa peraturan dan dasar Felda yang mengehadkan jumlah pelaburan di dalam syarikat (melalui pembelian saham-saham) telah dimansuhkan," tegasnya.


Menurut Rafizi, sejak isu pembelian saham 37% di dalam PT Eagle High Plantations didedahkan, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan lembaga pengarah Felda.
Malah beliau kesal apabila Shahrir lebih selesa mempertahankan pembelian itu walaupun Felda terpaksa menjual harta dan meminjam wang untuk membiayai pembelian berjumlah RM2.263 bilion itu.
"Sehingga sekarang, saya menunggu maklum balas dari mana-mana ahli lembaga pengarah Felda memandangkan merekalah yang akan didakwa di mahkamah satu hari nanti sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau dasar Felda bersabit pembelian tersebut," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA