Rabu, 15 Februari 2017

PAS sahkan Jamil Khir akan hadiri himpunan Akta 355

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan hadir pada perhimpunan menyokong pemerkasaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan, berkata Jamil Khir akan hadir atas kedudukannya sebagai menteri kabinet.
"Beliau akan (menyertai kami) pada sesi solat," katanya, sambil menambah bahawa tindakan itu membuktikan pihak kerajaan menyokong perhimpunan tersebut.
Menurutnya, perhimpunan 18 Februari ini bukannya anjuran PAS tetapi didukung bersama oleh sepuluh NGO sebagai penganjur.
Perhimpunan Sabtu ini bertujuan mendapatkan sokongan rakyat terhadap pindaan itu yang akan membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman yang lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.
"Terdapat himpunan untuk orang Islam dan bukan Islam, kami jemput semua rakyat Malaysia untuk hadir," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pemimpin bukan Islam Persatuan Pendebat BN dan Persatuan Hindu Pahang adalah antara 21 orang dijemput untuk berucap.
Perhimpunan itu diadakan untuk menyokong usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasakan akta berkenaan.
Nasrudin yang juga adalah ahli parlimen Temerloh yakin bahawa perhimpunan itu akan berjaya menarik kehadiran lebih 200,000 orang walaupun Padang Merbok hanya boleh menampung 45,000 orang.
Perhimpunan ini dijadual bermula jam 2 petang hingga 11 malam.
Sebelum ini, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai BEBAS mengumumkan akan mengadakan perhimpunan balas pada hari yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA