Rabu, 15 Februari 2017

Orang Asli Kelantan berhimpun di KL protes Jabatan Perhutanan

Kumpulan itu mendesak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan JPNK menghentikan segera operasi ke atas Orang Asli serta aktiviti pembalakan di kawasan penempatan mereka dengan menggantung lesen syarikat terbabit.
orngasliprotes
KUALA LUMPUR: Lebih 50 Orang Asli dari Gua Musang hari ini mengadakan bantahan terhadap tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) meroboh dan membakar pondok yang menghalang laluan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, minggu lalu.
Mereka yang ditemani wakil daripada lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berarak hampir 1km dari Wisma Tani di Jalan Sultan Salahuddin menuju Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di jalan sama, bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada agensi itu.
NGO itu termasuk Pertubuhan Pribumi Parkasa (Perkasa), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Otai Reformasi serta Parti Sosialis Malaysia (PSM). Turut hadir ialah peguam dan aktivis Orang Asli, Siti Kasim.
Bagaimanapun, pengawal keselamatan bertindak menghalang kumpulan itu memasuki bangunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
asliprotes
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Azmi Badun mendakwa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bersekongkol dengan JPNK untuk merobohkan sekatan dibuat Orang Asli, bagi membolehkan pembalak membawa keluar hasil hutan di Kelantan demi keuntungan pihak tertentu.
“Apabila kami buat sekatan, kami dikecam dan dituduh menceroboh hutan, sedangkan kami sekian lama tinggal di sana. Kami tahu tindakan JPNK merobohkan sekatan kami disokong pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung.
“Ini tindakan zalim dan menghina Orang Asli. Kami desak kerajaan hormati hak kami, sepertimana kami menghormati kaum lain. Malah, Islam tidak ajar umatnya tidak menghormati hak orang lain,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk Kampung Orang Asli Lojing, Radar Jambu mendakwa pemimpin politik mengabaikan kebajikan dan kepentingan mereka.
“Masa pilihan raya mereka ajak mengundi, tetapi selepas pilihan raya, (mereka) biarkan kami. Buat kami macam hamba, sepatutnya mereka utamakan kami, bukannya biarkan pembalak.

asliprotes12
“Jabatan Perhutanan sangat kurang ajar dengan kami, bakar kawasan kami. Kalau kami sumpit macam mana? Tetapi, kami bersabar sebab kami hormat undang-undang,” kata Angah Anjang yang mewakili penduduk Kampung Orang Asli Kuala Betis.
Mereka berpanas hampir 2 jam di luar pintu pagar Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sebelum Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar dan Perancangan), Datuk Nor Akhirrudin Mahmud bersetuju menerima memorandum bantahan itu.
“Saya tidak boleh komen apa-apa sebelum meneliti butiran memorandum terlebih dahulu dan kami berjanji akan memberi jawapan bertulis selepas ini,” katanya.
Dalam memorandum 5 muka surat itu, kumpulan terbabit mendesak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan JPNK menghentikan segera operasi ke atas Orang Asli dan aktiviti pembalakan di kawasan penempatan mereka dengan menggantung lesen syarikat terbabit.
Dalam pada itu, seorang wakil Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia memberitahu FMT, jabatan itu hanya membuat dasar dan pihak yang menguatkuasakan undang-undang itu, termasuk ke atas hutan simpan di Kelantan ialah kerajaan negeri.
Protes yang bermula 10.30 pagi tadi, berakhir kira-kira 3 jam kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA