Rabu, 15 Februari 2017

Kelantan cuti Ahad ini sempena Himpunan RUU 355 di Kuala Lumpur

Timbalan menteri besar berkata ia bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan turut serta dalam himpunan dan tidak tergesa-gesa pulang.
Mohd-Amar-Nik-Abdullah_kelanatan_law_600
KOTA BHARU: Kerajaan PAS Kelantan mengisytiharkan Ahad ini (19 Feb) sebagai cuti peristiwa sempena Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan untuk turut serta dalam himpunan tersebut bagi memastikan mereka tidak pulang dalam keadaan tergesa-gesa selepas perhimpunan itu tamat.
“Ia sebagai sokongan moral kerajaan negeri kepada usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah melalui pindaan kepada Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016).
“Ia juga bagi membolehkan seberapa ramai rakyat Kelantan untuk menyertai himpunan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Pada 24 Nov lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Sementara itu, polis memberi kelulusan kepada pihak penganjur mengadakan perhimpunan bermula 3 petang hingga 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata penganjur dan peserta perhimpunan perlu mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada hari itu, Dataran Merdeka dan sebahagian Jalan Parlimen pula akan ditutup mulai 8 pagi hingga 12 tengah malam, katanya dalam kenyataan media hari ini.

2 ulasan:

  1. Ini aje yg mampu pas buat. Kerajaan kelantan patut tumpu tenaga bagaimana nak improve ekonomi rakyat islam kelantan drpd sibuk dgn ruu355. Akhirnya tak lulus juga, suka buang masa weh.

    BalasPadam
  2. Bayangkan apakah akta ini akan lulus jika 3 juta peserta hadir di KL nanti? Padang merbuk tiada kuasa. Yg akn meluluskan akta ini ialah umno. Adakah umno dah bersedia utk menyokong akta ini sdg kan semua parti komponen menentang. Tidak kah perhimpunan ini sia sia buang masa tenaga dan wang negeri kelantan yg dah sedia miskin itu? Baiklah pi bantu mangsa banjir di ulu ulu kelantan. Mereka lebih menerlukan budget itu.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA