Khamis, 16 Februari 2017

Jasa perlu dedah nama kakitangan kontrak sebagai bukti tidak diperalat Umno

Jasa perlu dibubarkan kerana fungsi propaganda tidak sesuai untuk dibiayai kerajaan.Jasa perlu dibubarkan kerana fungsi propaganda tidak sesuai untuk dibiayai kerajaan.
Ketua pengarah jabatan hal ehwal khas (Jasa) disaran menyiarkan nama setiap penjawat jawatan sementara lantikan kontrak (JSKT) di ibu pejabat Jasa dan pejabat Jasa negeri-negeri agar orang ramai dapat mengesahkan sama ada benar ia digunakan untuk menempatkan aktivis Umno bagi menjalankan kerja propaganda dengan dibiayai wang rakyat.
Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, keengganan ketua pengarah Jasa berbuat demikian akan terus mengukuhkan dakwaan bahawa aktivis Umno dilantik ke jawatan kerajaan melalui kaedah JSKT untuk menjalankan kerja propaganda mempertahankan Datuk Seri Najib Razak.
Rafizi turut menjawab reaksi panel pemikir Jasa, Lokman Noor Adam berhubung cadangan beliau agar Jasa dimansuhkan bagi menjimatkan RM22 juta setahun wang kerajaan sedangkan jabatan itu hanya digunakan untuk mempertahankan Najib.
Lokman dalam reaksinya kepada cadangan Rafizi berkata, jika PKR dan Pakatan Harapan memenangi tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan, Jasa akan melakukan tugas yang sama iaitu 'mempertahankan kerajaan' yang dibentuk Pakatan Harapan.
Bagaimanapun secara sinis Rafizi menjawab, kerajaan Pakatan Harapan yang bakal dibentuk tidak akan menggaji Lokman dan Tun Faisal Ismail Aziz kerana rekod buruk mereka dalam mempertahankan dasar-dasar kerajaan pimpinan Najib.
"Mereka akan terus diingati sebagai individu-individu yang bermati-matian mempertahankan bahawa GST itu baik untuk rakyat, juga bermati-matian mempertahankan 1MDB walaupun seluruh dunia tahu wang rakyat telah lesap.
"Malah berani saya katakan bahawa, akibat Umno menyerahkan tugas propaganda kepada mereka inilah juga, kedudukan sokongan Umno di kalangan orang Melayu pun sudah jatuh menjunam sehingga hanya 40% pengundi Melayu yang akan mengundi Umno dalam PRU14 mengikut kaji selidik PRU14 yang disertai 104,000 pengundi baru-baru ini," ujarnya.

Rafizi juga yakin kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak memerlukan sebarang jabatan propaganda kerana tugas menjawab kritikan dan serangan ke atas sebarang dasar kerajaan adalah tugas menteri yang bertanggungjawab.
Malah tambah beliau, sebaran maklumat selain perkhidmatan kerajaan tidak boleh dibuat oleh jabatan kerajaan dengan ditanggung rakyat, apatah lagi propaganda yang mempertahankan pemimpin dan parti politik yang dituduh terlibat di dalam penyelewengan wang rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA