Rabu, 15 Februari 2017

Forex: Kabinet Najib tubuh pasukan siasat kerugian BNM


Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.
"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, kerajaan akan sentiasa terbuka dan telus dalam siasatan itu memandangkan ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.
"Penubuhan pasukan petugas khas ini merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan - menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan.
"Ia juga bertujuan untuk mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini," menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA