Khamis, 12 Januari 2017

Pendapatan hasil bumi diasingkan jika kami berkuasa, kata Pakatan

Sebuah kerajaan PH berhasrat melabur hasil minyak dan hasil kekayaan bumi lain ke dalam sektor yang memberikan pulangan seperti yang diamalkan beberapa negara lain.
tony-pua_pakatan_6001
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berkata ia akan mengasingkan sumber pendapatan dari sumber organik dan sumber hasil bumi sekiranya membentuk kerajaan.
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata kerajaan PH juga akan melabur pendapatan hasil minyak ke dalam sektor yang memberikan pulangan.
“Kita asingkan pendapatan daripada minyak, lombong, gas dan barang-barang yang tiada kaitan dengan kerja keras atau kebijaksanaan rakyat. Malah kita tubuhkan satu badan asing untuk mentadbir kewangan tersebut.
“Kita masukkan dalam pelaburan, kita gunakan dalam pendidikan, infrastruktur tertentu dan bukannya gunakan untuk membayar gaji dan mengubah suai pejabat serta perkara lain yan tidak memberikan pulangan,” katanya dalam forum bertajuk “Berapa beban hutang dari projek mega Najib”, malam tadi.
Pengasingan sumber pendapatan bukanlah perkara baru dan unik kerana langkah tersebut diambil negara pengeluar minyak seperti Norway, yang menetapkan kerajaan tidak boleh mengambil sebarang hasil minyak.
Sebaliknya, hasil itu dimasukkan ke dalam bank pusat yang diuruskan satu badan dan kerajaan hanya boleh mengambil keuntungan daripada situ sahaja.
Perkara sama turut dilakukan Emiriah Arab Bersatu (UAE), salah sebuah negara pengeluar minyak terbesar dunia.
Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata Malaysia sebelum ini mengikuti sistem pengasingan sumber pendapatan, namun ia tidak berjaya dilaksanakan.
“Malaysia pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN). Tahun pertama diumumkan, ia mengumpul dan ada beberapa tahun kumpul sahaja, ada RM200 juta di dalam akaun.

“Minyak setiap tahun dari Petronas dan cukai minyak pada saat harga minyak berharga AS$100 (setong), setiap tahun (Petronas) beri sebanyak RM70 bilion kepada kerajaan, tetapi yang ada dalam tabung hanya RM200 juta,” katanya.
Menurut Pua, ia berpunca daripada pembaziran, ketirisan perbelanjaan dan kelonggaran memasukkan dan mengeluarkan wang.
Pua berkata kesilapan kerajaan adalah kedua-dua hasil pendapatan itu digabungkan lalu bertindak untuk berhutang, walaupun pada asasnya kerajaan tidak mampu untuk membayar semula jika pendapatan hasil bumi terjejas.
“Bila pendapatan daripada sumber minyak habis, macam mana? Yang kita hadapai sekarang adalah harga minyak turun daripada AS$100 setong ke AS$40-50 setong. Kemampuan kita untuk membayar hutang itu sudah tiada. Akibatnya, kerajaan beri tumpuan kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya.

1 ulasan:

  1. Kami Bantah Caj 20 Sen Guna Beg Plastik. Ini kempen menyusahkan rakyat.

    Ini kerana kempen berkenaan hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan penjual kerana tak perlu sediakan apa2 beg.

    Kerajaan selangor sepatutnya mengarahkan penjual sediakan beg kertas.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA