Selasa, 31 Januari 2017

Jangan sampai dunia percaya pada Trump

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Donald Trump dan falsafah pentadbirannya.
Ramai yang sudah membantah tentang sikap dan langkah ekstrimis lagi rasis yang ditampilkan beliau.

Ini menunjukkan masih ramai penduduk dunia ini daripada pelbagai latar agama, negara dan kaum mempunyai kewarasan dan nilai kemanusiaan.
Apa yang saya kagum ialah rakyat Amerika yang pelbagai latar belakang; datuk bandar, senator, artis, peguam dan ratusan ribu yang lain yang bukan beragama Islam turut membela hak rakyat Muslim Amerika.

Mereka bukan sekadar bersuara tetapi sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan emosi untuk pembelaan tersebut.

Mereka bukan sekadar tidak bersetuju bahkan berdemonstrasi, membawa isu ke mahkamah dan pelbagai langkah yang lain.

Ini memberikan kesedaran kepada kita bahawa hubungan keinsanan ataupun kemanusiaan itu merentasi sempadan agama.

Persoalan, apakah kita dalam dunia Muslim dapat menunjukkan contoh yang sama iaitu membela hak setiap insan tanpa mengira latar agama?
Islam mengajar untuk adil kepada semua pihak tanpa mengira latar agama dan bangsa. Dunia Islam hendaklah menjadi model dalam hal ini.
Pemikiran lapuk

Pemikiran lapuk yang menganggap keindahan Islam itu hanya dapat dilihat dengan dipancung yang murtad, dipotong tangan pencuri dan direjam penzina semata, hendaklah dihentikan di dunia Islam.

Itulah yang menyuburkan ideologi IS dalam dunia ini.
Keindahan Islam itu akan dapat dilihat apabila dunia Muslim itu anti-rasuah, mempunyai urus tadbir yang baik, menjaga hak setiap warganya dan memelihara alam sekitar dan segala makhluk Allah yang lain.

Itulah Islam yang menjadi rahmat untuk sekalian alam.
Jika ada Muslim memikirkan kejayaan Muslim itu dengan memancung yang tidak menyokong golongan mullah, memotong tangan pencuri dan merejam penzina tanpa bertungkus lumus

PAS bijak atur strategi henti kerjasama pembangkang..!!

Pas
  Tsunami politik kini dilihat makin reda apabila Pas membuat keputusan strategik dengan menghentikan kerjasama politik bersama parti pakatan.
Penganalisis Politik, Suhaimee Sahar berkata, hala tuju politik Pas dalam memastikan syiar Islam terus terpelihara dan tidak diancam melalui pakatan-pakatan sulit, licik dan halus merupakan satu strategi politik yang tepat pada masanya.
“Analisis daripada pilihan raya lepas dari segi kedudukan kerusi dan dominasi kuasa oleh parti politik pembangkang melihatkan bahawa Pas sememangnya sudah bersedia.
“Bersedia dalam konteks memastikan ideologi politik mereka kekal terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman dalaman dan pengaruh individu tertentu yang menggunakan kekuatan Pas selama ini demi kepentingan politik mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Islam memerintah selain membayangkan sasarannya iaitu empat negeri melibatkan Kedah, Selangor, Terengganu, selain terus kekal kukuh di Kelantan.
Menurutnya,  kini realiti politik semakin berubah, mengikut perubahan landskap politik global dan juga serantau.
Beliau berkata, oleh sebab itu survival politik sesebuah parti tidak boleh lagi terjamin dengan kuasa dominasi, tetapi permuafakatan dan kerjasama antara politik diperlukan bagi memastikan pengundi dapat memilih.
“Pilihan itu pula melibatkan pemimpin dan parti yang benar-benar menjiwai dan memenuhi nilai-nilai politik mereka. Daripada dapatan kajian lepas, jelas menunjukkan pengundi memilih calon melalui nilai kepimpinan dan kredibiliti calon itu,” katanya.

Skandal MARA: Ismail tak dimaklum Annuar 'digantung'

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggantung tugas pengerusi mereka, Tan Sri Annuar Musa.
Kata Ismail Sabri, beliau kini sedang menunggu laporan mesyuarat daripada Ahli Majlis MARA.
"Saya tak pasti apakah mesyuarat khas ada kuasa untuk menggantung pengerusi.
"Saya tidak tahu sama ada keputusan tersebut menggantung atau mencadang untuk menggantung.
"Setahu saya kuasa melantik pengerusi adalah di bawah kuasa menteri dan mendapat persetujuan perdana menteri.
"Saya yakin ianya termasuk memberhentikan pengerusi atau menggantung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, sebentar tadi.
Menurut Ismail Sabri, beliau yakin keputusan mesyuarat berkenaan hanya bersifat cadangan.
Terdahulu, MARA dilaporkan menggantung tugas Annuar termasuk sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB), berkuat kuasa serta-merta.
Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan BH Online, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob.
Ismail Sabri berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang mengenai perkara itu.
"Saya dimaklumkan tentang mesyuarat, tetapi tidak tahu apa agendanya," katanya.

NAJIB TAKUT KEPADA PRESIDEN PARIA AS TRUMP RAKAN IKRABNYA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib sekarang berada dalam keadaan tercabar dalam pendirian mempromokan Malaysia sebagai sebuah negara Islam anti pelampau yang berpegang kepada dasar kesederhanaan.
Beliau menginisiatifkan penubuhan The Global Movement of Moderates Foundation yang sekarang ketua eksekutifnya adalah bekas pemimpin besar Pas Datuk Nasaruddin Mat Isa.
Walaupun Presiden Baru AS Donald Trump telah mengisytiharkan dasar extremisme Amerika dan menjalankan tindakan keras dan kejam kepada beberapa negara Islam yang melibatkan orang Islam yang tidak berdosa tetapi Najib menunjukkan sikap kesederhanaan Islam kerana Trump adalah kawan golfnya dan kerana masalah peribadinya menakutkannya terhadap tindak balas dari Trump.
Sikap ini tidak sahaja melibatkan Imej UMNO tetapi turut menekan PAS setelah berkonspirasi dengan UMNO.
Apakah wajar sikap pelampau Presiden baru Amerika Syarikat ini dilayan dengan dasar sederhana Islam?
Yang menjadi mangsa utama ialah orang Islam yang tidak berdosa dari beberapa buah negara Islam yang dihitamkan oleh Presiden Paria Amerika Syarikat ini.
Dibakar oleh dasar paria ini, telah bangun golongan rakyat yang anti Islam yang membakar sebuah masjid orang Islam yang telah sekian lama hidup berbaik- baik dengan orang bukan Islam di Quebec.
Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan di kalangan orang Islam tetapi juga orang Yahudi setempat. Dibimbangi akan merebak ke Amerika Syarikat.Yang tidak marah hanya Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib kerana berpegang teguh kepada dasar toleransi atas kepentingan diri.
Kita masih ingat begitu ghairah Najib hendak menunjukkan kepada bekas Presiden AS Obama dan juga kepada dunia tentang sikap moderartion of Islam Malaysia tetapi sekarang beliau terpaksa berkawan dengan extremist yang menjadi Presiden Amerika.
Apakah pandangan dunia apabila beliau langsung tidak bersuara walaupun sekadar menyatakan kebimbangan apabila Trump memijak dasar sederhananya?
Perubahan sikap AS ke arah xenophobia akan mencalar imejnya sebagai kawan dunia dengan dasar kemanusiaan dan perlindungan keselamatannya kepada terlihat sebagai memusuhi dunia.
Kita juga tidak mendengar sepatah kata pun dari Ketua Eksekutif The Global Movement of Moderation Foundation Datuk Nasaruddin Mat Isa yang berasal dari Pas.
Begitu hebat Najib hendak menjadi juara penentang kekejaman terhadap orang Rohingya sehingga Perdana Menteri menjadi penunjuk perasaan (sebenarnya tidak disokong oleh Negara-negara Asean lain dengan sepenuh hati malah menimbulkan kemarahan Indonesia kerana Malaysia cuba memperkecilkannya) tetapi apabila kawan baiknya Trump menggunakan kuasa besarnya untuk melakukan tindakan tidak berperi kemanusiaan terhadap orang Islam maka terkelu lidah Datuk Seri Najib.

Walau dihina, PPBM tetap bertemu PAS Khamis ini

Ahli Majlis Tertinggi PPBM berkata parti itu cukup matang untuk beri peluang perdamaian dalam kalangan pembangkang.
tariq-ismail-pas
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan tetap bertemu PAS pada Khamis ini walaupun akar umbi parti itu marah kerana PAS menghina Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tariq Ismail.
Ahli Majlis Tertinggi PPBM itu berkata jika rundingan itu gagal, ia angkara PAS dan bukan PPBM atau Pakatan Harapan (PH).
“Kami meluat dan marah tetapi berdiam diri dan memberi peluang kepada rundingan yang sedang berjalan dengan PAS, tetapi ia tidak bermakna kita tidak menghormati pengerusi parti kita.
“Ia hanya bermakna kita cukup matang untuk memberi peluang perdamaian dalam pakatan pembangkang.
“Kita tidak memburuk-burukkan mereka atau melepaskan tembakan,” katanya kepada FMT.
Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini mengkritik PPBM atas kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS meskipun parti Islam itu menghina Dr Mahathir.
Zaid berkata PAS membayangkan bekas perdana menteri itu sebagai seorang yang tidak berguna malah memberitahu beliau supaya bertaubat dan tinggalkan DAP.
PAS dan DAP memutuskan hubungan akibat perbalahan mengenai hudud. PAS berikrar tidak akan bekerjasama dengan DAP dan parti serpihan, Amanah.
PPBM dan PAS akan bertemu pada Khamis ini untuk membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti pada pilihan raya umum akan datang.
Tariq berkata partinya mahu berlaku adil dengan mendengar syarat PAS kerana PPBM tidak mahu membuli parti lain dengan menerima syarat mereka.
Menjawab kenyataan Zaid mengenai PPBM mahu pertandingan 1 lawan 1 menentang BN di kerusi mereka, Tariq berkata situasi seperti itu sesuatu yang ideal.
Ini kerana katanya, BN pasti menang dalam pertandingan 3 penjuru.
“Walaupun BN hanya menang 40% undi di satu-satu kawasan, mereka tetap menang jika PAS raih 30% dan PH atau PPBM dapat 30%.
“BN tahu mereka memiliki sekurang-kurangnya 40% undi selamat di setiap kawasan kerana jumlah ahli mereka,” katanya.
Zaid dalam catatan blognya meramalkan PPBM tidak akan dapat memberi jaminan PAS tidak akan meletakkan calon melawan Amanah, DAP dan PKR pada PRU nanti.
“Zaid betul jika merasakan begitu, tetapi kita berusaha membentuk Barisan Rakyat yang memerlukan disiplin dalam kalangan parti komponen,” kata Tariq.

PBB bidas Saudi, dakwa pegawai Malaysia turut bantu operasi di Yaman

PBB mendapati hampir 300 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman pada 2016.
united-nation-yemen-attack
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman, selepas laporan terkini badan dunia itu mengutuk serangan ke atas Yaman sambil menyifatkannya jenayah perang.
Ia memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak.
“Semua negara dalam gabungan itu dan sekutunya mempunyai tanggungjawab mengambil langkah perlu memastikan undang-undang kemanusian antarabangsa dihormati gabungan itu,” kata laporan 63 muka surat itu dipetik AFP hari ini.
Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.
Menurut laporan PBB itu, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketentaraan Arab Saudi itu turut dibantu perisikan Amerika Syarikat, dan disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.
Puak Houthi merupakan penganut Islam Syiah Zaidi, aliran yang dianuti hampir separuh penduduk Yaman. Kerjasama puak itu dengan Ali dikatakan menambahkan sokongan menggulingkan presiden yang disokong Arab Saudi, Abdrabbuh Mansour Hadi.

DAP, PKR bersalah pecah belah PAKATAN sembang PAS

Lim Kit Siang menimbulkan lagi fitnah terhadap presiden PAS kononnya beliau tidak mengikut prinsip konsensus kerana tidak bersetuju dengan pendirian DAP serta PKR.
Bagi Lim - dan orang yang sama waktu dengannya - tidak bersetuju dengan majoriti, maka ia bererti tidak konsesus.
Dia keliru antara prinsip majoriti dan prinsip konsensus.
Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara konsensus.
Majoriti ialah kaedah melibatkan keputusan yang dipersetujui majoriti ahli diterima pakai. Minoriti pula mesti patuh sebagai keputusan kolektif. Tidak timbul soal ia bukan keputusan mereka (minoriti). Semua kena menerima.
Pakatan Rakyat (PAKATAN) memilih kaedah konsensus, bukan kaedah majoriti.
Maksudnya, hanya agenda yang dipersetujui secara konsensus boleh dilaksanakan sebagai agenda PAKATAN.
Jika ada mana-mana ahli tiga parti dalam PAKATAN tidak bersetuju - walaupun yang lain bersetuju - maka ia tidak konsensus. Justeru, tidak boleh menjadi agenda bersama PAKATAN.
Konsensus tidak menghalang mana-mana pihak untuk berlainan pandangan. Konsensus juga tidak memaksa mana-mana pihak mesti bersetuju dengan pandangan majoriti.
Apabila presiden PAS menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PAKATAN. (Menariknya, akhirnya mahkamah membuktikan tuduhan tersebut semuanya palsu dan fitnah).
Apabila PAS tidak bersetuju dengan satu nama saja sebagai calon menteri besar Selangor oleh PKR dan DAP, itu juga bukan menentang konsensus.
Sudah terang lagi bersuluh
Itu adalah hak ahli dalam prinsip konsensus. Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti. Akhirnya DAP dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengingkari arahan baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.
Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden PAS adalah tepat. Akhirnya terbukti DAP dan PKR gopoh dan cuai mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.
Lim tidak memahami perbezaan antara konsensus dengan majoriti, atau sengaja cuba menegakkan benang basah? Mencipta alasan karut kerana marah beliau kepada presiden PAS?
Lim juga sengaja memejam mata terhadap satu lagi prinsip PAKATAN iaitu "setuju untuk tidak bersetuju" yang dicanang beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke hulu ke hilir suatu waktu dahulu.
Jelas, sudah terang lagi bersuluh, dalam PAKATAN, mana-mana parti daripada tiga parti tersebut boleh berbeza pandangan. Apabila ada perbezaan pandangan, maka konsensus tidak dicapai dan tidak boleh dijadikan agenda bersama PAKATAN.

Skandal MARA: Annuar digantung tugas

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menggantung tugas pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkuat kuasa serta-merta.
Turut digantung, jawatan Annuar sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB).
Dengan itu, semua tugas Annuar di agensi berkenaan kini dipangku Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, lapor BH Online.
Difahamkan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar yang bermula sejak jam 9 pagi tadi di Ibu Pejabat MARA, di Kuala Lumpur.
Menurut laporan sama, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Yusof dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.
Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.

ELOK BENAR SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUH MENYIASAT KERUGIAN AS$10 BILION FOREX, TAPI....

Kecoh benar laskar maya 6.6 peratus dalam sehari dua ini menjaja cerita mengenai kerugian dalam urusniaga forex sebagaimana yang ditimbulkan kembali oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Tanpa menilai bahawa Abdul Murad sendiri sebenarnya tiada kredibiliti kerana pernah didenda RM500 ribu atau penjara enam bulan atas kesalahan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dan 51 hartanah, laskar maya atau cybertrooper 6.6 peratus, senada dengan Abdul Murad yang mengatakan penyiasatan tidak pernah dijalankan terhadap kerugian AS$10 bilion itu, turut sama mendesak perlunya siasatan dijalankan dengan segera.

Dalam banyak-banyak desakan itu terpacul pula cadangan agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhakan untuk menyiasatnya.

Kata mereka, hanya dengan penubuhan suruhanjaya diraja dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. 

Kerugian sebanyak AS$10 bilion itu, tambah mereka, mesti diketahui punca dan siapa yang bersalah kerana dengan wang sebanyak itu berapa banyak rumah, sekolah, masjid, tajaan pelajaran dan sebagainya mampu mendapat manfaat daripadanya.

Walaupun difahami bahawa sasaran sebenarnya yang mahu ditembak oleh laskar maya 6.6 peratus dalam isu kerugian forex itu ialah Tun Mahathir Mohamad, namun ia sebenarnya belum tentu akan mengena. 

Ini kerana ketika itu Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim, manakala orang yang bertanggungjawab menjalankan urusniaga forex itu difahamkan ialah Nor Mohamed Yakcob, yang kemudian dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua di era Tun Abdullah Badawi. Sekarang pula Nor Mohamed Yakcob ialah Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan, manakala Pengerusi Khazanah adalah Najib sendiri.

Tun Mahathir cuba dipersalahkan hanya kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri. Jika Tun Mahathir sekarang ini tidak berbalah dengan Najib, pasti kes kerugian itu tidak diungkit dan Abdul Murad pula tidak akan dipedulikan sama-sekali untuk ditemubual oleh mana-mana media.

Penarikan Saudi Aramco tak jejas projek Rapid kata Menteri Umno

Tidak ada kesan daripada penarikan syarikat Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) daripada projek kerjasama dengan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.
Menteri Penerangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata hal itu kerana Petronas memang membiayai sendiri projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) sejak awal.
"Aliran tunai untuk dana projek ini sehingga siap sentiasa berdasarkan hanya kepada kemampuan Petronas sendiri," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Minggu lalu dilaporkan syarikat Saudi Aramco menangguhkan rancangannya menjalin kerjasama dengan Petronas.
Khamis lalu akhbar The Wall Street Journal yang memetik sumber berkata, Saudi Aramco berpendapan projek berkenaan tidak akan menjana pulangan mencukupi untuk syarikat terbabit.
Bagaimanapun sehari kemudian Reuters melaporkan Petronas akan meneruskan projek Rapid itu dengan sasaran memulakan operasi pada 2019.
Menurut Johari, rancangan pembabitan Saudi Aramco untuk projek Rapid itu hanyalah suatu pililhan.
"Disebabkan Petronas tidak mencapai persetujuan pada sebahagian terma, justeru kedua-dua pihak memutuskan menamatkan rundingan," katanya.

PECAT PEGUAM NEGARA, TRUMP BELAJAR DENGAN SIAPA?

Antara yang dilaksanakan oleh Presiden baru AS, Donald Trump di awal kemasukannya ke Rumah Putih ialah mengeluarkan perintah sekatan kepada pendatang muslim daripada tujuh negara untuk memasuki negara itu.

Negara yang terbabit ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
Bagaimanapun perintah larangan itu dibantah serta enggan didukung oleh Pemangku Peguam Negara, Sally Yates atas alasan peranannya ialah memastikan pendirian AS di mahkamah selari dengan tanggungjawab untuk "menegakkan keadilan dan mempertahankan apa yang benar".

Sebagai tindak balas, Donald Trump dilaporkan telah memecat Sally Yates kerana tidak mempertahankan perintah eksekutifnya itu.

Sally Yates telah mengkhianati Jabatan Kehakiman dengan keengganan menguatkuasakan arahan perundangan yang bertujuan melindungi rakyat AS, demikian kata kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih.

Peguam Negara AS dipecat, sama macam Peguam Negara Malaysia sebelum ini.
Adakah Trump mempelajarinya daripada apa yang pernah berlaku di negara kita?

Bila agaknya Presiden AS nak main golf dengan Perdana Menteri Malaysia?

Pas-PPBM: Umno benarkan musuh kerjasama dengan rakan 'ta'awun?


Mahfuz Omar
Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mencari ruang membentuk kerjasama tetapi dalam masa yang sama parti Islam itu dan Umno sudah pun mesra menjalin hubungan 'kerjasama' dalam istilah 'ta'awun', kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, walaupun hubungan kerjasama Pas dan Umno tidak dinamakan 'kerjasama politik' secara terang-terangan tetapi Umno dan Pas begitu selesa dengan pendekatan 'ta'awun'.
Menurut beliau yang masih ahli Pas, sudah tentu kedua-dua parti mahukan pulangan keuntungan politik (political mileage) daripada pendekatan ta'awun tersebut.
"Umno sudah pasti berpuas hati apabila Pas bertegas dan istiqamah untuk tidak menerima DAP dan Amanah serta tidak menyertai Pakatan Harapan.
"Persoalannya adakah Umno akan membiarkan rakan ta'awunnya iaitu Pas menjalinkan kerjasama politik dengan PPBM yang menjadi amcaman pada Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi tujuan mengalahkan Umno-BN?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Pas dan PPBM dilaporkan akan mengadakan pertemuan pada 2 Februari ini bagi memutuskan sama ada Pas akan menjadi sebahagian daripada blok pembangkang atau sebaliknya.
Bagaimanapun menurut Mahfuz pertemuan itu diawalkan kepada 1 Februari ini.
Mahfuz juga berkata, rakyat sedang memerhati sama ada Umno akan menghalang kerjasama rakan ta'awunnya ataupun Umno akan menjadikan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai beban yang akan dipikul Pas dari kerjasama ini untuk memaksa Pas menolak kerjasama ini.
"Apakah 1 Februari 2017 nanti akan menyaksikan tandatangan persefahaman dokumen kerjasama Pas dan PPBM beserta dengan persetujuan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU14 nanti?" soalnya.

Masalah negara bukan kerana DAP tetapi angkara Umno-BN


Pemuda Amanah Negeri Johor menyifatkan sikap konfrontasi Pas tidak menggambarkan keindahan Islam apabila memainkan sentimen DAP memerangi Islam yang sebelum ini menjadi alat Umno-BN.
Ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata, seluruh rakyat tidak harus hilang tumpuan memandangkan kepincangan urus tadbir negara berpunca daripada pemimpin Umno bukan disebabkan DAP.
Taqiuddin Cheman"Hari ini yang menjadi masalah negara bukan DAP tetapi kebejatan pimpinan Umno dalam menguruskan harta negara. Fokus kita dan rakyat sewajarnya diberikan kepada menurunkan Umno dan mengembalikan kemuliaan negara melalui kepimpinan yang amanah, adil dan kompeten," tegasnya.
Mengulas sikap semasa politik Pas, beliau berkata, parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal mempraktikkan akhlak Islam seperti apabila mengutuk DAP kononnya memusuhiIslam dan pada masa sama memperlekeh Amanah.
"Saban hari, kita lihat Pas menghentam DAP dengan melaungkan DAP anti-Islam walaupun tiada bukti yang kukuh. Bahkan ada beberapa pimpinan tidak malu untuk melempar fitnah menuduh DAP menghalang azan di Pulau Pinang yang akhirnya terbukti fitnah.
"Fiil Pas yang memberi label-label jahat terhadap Amanah juga memberi gambaran bahawa parti ini gagal mengamalkan akhlak Islam yang dilaung-laungkan," bidas Taqiuddin dalam satu kenyataan.
Sepatutnya, tegas beliau, Pas sebagai parti yang membawa agenda Islam menghulur tangan damai dan membina permuafakatan dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama iaitu menolak rasuah dan kleptokrasi serta membina perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Sikap Pas yang mencipta musuh ini akhirnya memberi tanggapan negatif dan busuk tentang Islam kepada masyarakat awam terutamanya bukan Islam," tambahnya lagi.

Najib mesti jelaskan mengapa Saudi Aramco tarik diri dari projek Pengerang


Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan punca pembatalan perjanjian kerjasama antara Saudi Arabian Oil Co (Saudi Aramco) dan Petronas bernilai AS$27 bilion di Pengerang, Johor.
“Kita lihat seperti satu keputusan yang dilakukan secara tiba-tiba (oleh Saudi Aramco).
“Isu utamanya adalah kenapa?” katanya, memetik laporan Malaysiakini.
Minggu lalu, media melaporkan syarikat minyak dan gas gergasi Arab Saudi itu merancang untuk menangguhkan kerjasama dengan Petronas, sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang masa depan projek berkenaan.
Perancangan Saudi Aramco itu diketahui ketika Petronas sedang bergelut dengan kejatuhan harga minyak dunia.
Bagaimanapun Reuters pada Jumaat lalu melaporkan, Petronas akan meneruskan projek itu demi memastikan operasi Rapid bermula pada 2019, walaupun tanpa penyertaan Saudi Aramco.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata Najib yang juga menteri kewangan bertanggungjawab untuk menjelaskan kenapa pelaburan di projek projek kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) itu ditarik balik.
“Kita mungkin boleh mengaitkan dengan kehilangan keyakinan oleh syarikat asing untuk melabur di Malaysia, sebagai kesan daripada skandal 1MDB yang menjadi tumpuan media-media asing,” katanya.

DAPSY anjur protes di kedutaan Amerika, Perdana Menteri masih belum bersuara?

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sudah lebih dua hari berlalu setelah Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif menghalang kemasukan pelarian ke Amerika, selain mengenakan larangan ketat ke atas warga tujuh negara Islam untuk tempoh tiga bulan mendatang.
Namun apa yang mengecewakan ialah sikap membisu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas arahan yang begitu kejam oleh pentadbiran presiden Amerika yang baru itu.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Najib untuk menjauhkan diri daripada gelombang kemarahan global terhadap dasar baru Trump itu sebagai sangat membimbangkan.
Menurut Kit Siang, Najib begitu bersemangat mengkritik pentadbiran Aung San Suu Kyi dalam isu Rohingnya, namun kelihatan begitu ‘jinak’ di saat dunia Islam begitu berang dengan penindasan Trump ke atas para pelarian dan warga Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman.
“PAS juga nampaknya langsung membisu terhadap arahan Trump yang begitu kejam.
“Ini langsung berlainan dengan sikap pimpinan PAS yang selalunya paling awal menyanggah dasar Trump itu,” ujar Kit Siang, menyifatkan sikap membisu PAS sebagai isyarat kerjasama antara Perdana Menteri dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua Najib Razak dan Hadi Awang sebelum ini telah berganding bahu duduk sepentas di acara Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, Disember tahun lalu.
Kedua-duanya turut dijangka muncul bersama sekali lagi Jumaat nanti bagi melancarkan flotila bantuan kemanusiaan Rohingya.
“Alangkah baiknya jika program hari Jumaat nanti turut disertai protes terhadap arahan eksekutif Trump,” tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Nasrudin Tantawi mahu Haji Hadi kalah saman seperti dia juga?

PETALING JAYA, 30 JAN: Pertimbangan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran gambaran anti-Islam terhadapnya mendapat respon segera Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.
Nasrudin seperti dilapor media berkata, jutaan umat Islam dan masyarakat bukan Islam negara ini akan bangkit membela presidennya jika disaman DAP.
Kenyataan Nasrudin itu bagaimanapun mendapat sindiran Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.
“Dulu Nasrudin cabar Lim Guan Eng saman beliau. Nasrudin kena saman dan terpaksa tarik balik fitnah yang diakui tak berasas, dan bayar kos kepada Lim Guan Eng.
“Kini, Nasrudin macam tak dapat pengajaran. Minta pula Lim Kit Siang saman presiden PAS.
“Sendiri kalah tak cukup, nak sangat presiden beliau bayar gantirugi juga?” soalnya dalam satu kemaskini Facebook malam tadi.
Dalam perkara berkaitan, serangan Hadi terhadap DAP dan kerajaan Pulau Pinang turut dibidas ramai pihak antaranya Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Kassim.
Menurut Abdul Malik, sejak kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Mac 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.
“Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN,” katanya.

Penjaja Melayu, bukan Melayu terima layanan berbeza, dakwa PAS Pulau Pinang

Ketua PAS negeri berkata sementara peniaga bukan Melayu di kawasan bandar dibenarkan, penjaja Melayu di luar bandar diambil tindakan.
fauzi-penang-1
BUTTERWORTH: PAS mempertahankan kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan dasar Pulau Pinang mengenai Islam dan Melayu, dan berkata kerajaan pimpinan DAP itu juga mengamalkan 2 undang-undang berbeza ke atas peniaga Melayu dan bukan Melayu.
“Didapati wujud tindakan yang berbeza terhadap penjaja yang melanggar peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu,” kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.
“Terdapat sebilangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai mereka berbanding penjaja bukan Melayu yang tidak dikenakan tindakan perobohan,” tambahnya.
Beliau memberi contoh penjaja Melayu di kawasan luar bandar seperti Teluk Bahang dan Sungai Tiram yang dirobohkan gerai mereka, tetapi penjaja bukan Melayu di kawasan bandar seperti di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan Komtar tidak diambil tindakan sama.
“Bahkan, difahamkan terdapat di kalangan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut adalah merupakan warga orang kelainan upaya (OKU) yang juga penerima pinjaman Tekun,” katanya merujuk skim bantuan perniagaan Bumiputera tajaan kerajaan pusat.
Hadi pada Jumaat dilaporkan berkata DAP menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang. Ia disangkal Exco Hal Ehwal Islam negeri, Abdul Malik Kassim.
PAS dan DAP memutuskan kerjasama mereka selepas berselisih faham mengenai langkah PAS meneruskan usaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Ia membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, yang digantikan dengan Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah, parti diterajui beberapa bekas pimpinan tertinggi PAS.
Susulan itu, kerajaan Pulau Pinang mengarahkan semua ahli majlis PAS dalam pihak berkuasa tempatan meletak jawatan.
Pada Jun 2015, 2 ahli majlis mewakili PAS dipecat daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), manakala 2 lain meletakkan jawatan.

Azmin puji kerajaan DAP Pulau Pinang


Datuk Seri Azmin Ali berbual mesra dengan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin (tengah) dan Lim Guan Eng sambil menikmati limau mandarin di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Bandar Taiping, semalamDatuk Seri Azmin Ali berbual mesra dengan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin (tengah) dan Lim Guan Eng sambil menikmati limau mandarin di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Bandar Taiping, semalam
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuji kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang sangat menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menguruskan ekonomi dan kewangan dengan cekap wajar dijadikan contoh di peringkat Putrajaya.
"Kita harus berasa gembira kerana negeri Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng telah menjadi negeri contoh yang akan kita laksanakan di peringkat Putrajaya.
"Beliau telah meletakkan asas yang cukup kuat, sebuah negeri yang cukup demokratik dengan menguruskan kewangan dan ekonomi dengan telus dan bertanggungjawab.
"Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja orang Cina tetapi orang Melayu, India dan kaum-kaum lain berasa amat selesa di bawah pimpinan Lim Guan Eng," katanya.
Azmin berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak di Dewan Persatuan Kwang Tung, Taiping semalam.
Majlis anjuran Pakatan Harapan Taiping itu turut dihadiri Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Menteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menjadi tetamu khas di Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan PerakMenteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menjadi tetamu khas di Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Perak
Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, negeri itu di bawah Pakatan Harapan turut menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh dengan mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat.
"Kita juga mengambil contoh yang sama. Selangor juga sebuah negeri yang maju tetapi kemajuan ini tidak ada gunanya kalau rakyat tdiak mendapat manfaat.
"Ekonomi di Selangor sekarang berkembang maju. Selangor merupakan negeri yang terbesar menyumbang kepada KDNK negara. Kita menyumbang 25 peratus kepada ekonomi negara.
"Selangor dan Pulau Pinang kita boleh gunakan kekayaan ini untuk serah balik kepada rakyat. Hanya beberapa hari yang lepas Selangor melancarkan skim perlindungan perubatan dan kesihatan atau skim peduli sihat untuk rakyat Selangor.
"1,000 klinik swasta yang berdaftar di Selangor menyediakan khidmat kesihatan kepada rakyat Selangor yang mendaftar untuk skim ini," katanya yang juga Ahli parlimen Gombak.

DAP, PKR tak peduli pembangunan insan, kata PAS

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang juga mendakwa kerajaan negeri mempromosikan 'Islam liberal'.
fauzi-zairil-1
BUTTERWORTH: PAS berkata DAP dan PKR tidak memberi tumpuan terhadap keperluan pembangunan rohani umat Islam dan hanya menekankan aspek kebendaan bagi memancing undi.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata dasar kedua-dua parti di negeri itu tidak akan dapat melahirkan rakyat bertamadun.
“Usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR untuk membela Melayu dan Islam di Pulau Pinang didapati masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata dan mengabaikan aspek pembinaan insan, spiritual dan ruhiyah.
“Pembelaan Melayu dan Islam yang hanya difokuskan kepada aspek material ini sama seperti kaedah yang digunakan oleh BN, bersifat jangka pendek untuk menang pilihan raya dan kekal berkuasa, namun tidak akan dapat melahirkan rakyat dan negeri yang bertamadun,” katanya di Markaz Tarbiah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.
Fauzi turut mendakwa badan pemikir milik kerajaan negeri, Institut Pulau Pinang mempromosikan “Islam liberal” yang bercanggah dengan Sunnah Wal Jamaah, dan ini dapat dilihat menerusi penulisan Pengarah Eksekutifnya Zairil Khir Johari.
“Beliau didapati memperkecilkan institusi mufti dan jawatankuasa fatwa negeri apabila tidak hadir memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau, walaupun dipanggil beberapa kali oleh mufti,” katanya.
Dalam reaksinya, Zairil, yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera, mempertahankan pandangannya, dan berkata ia sebahagian daripada perbicangan dan perdebaatan.
“Saya memetik hujah cendekiawan Islam dan terpulang pada pembaca untuk percaya atau tidak. Bahkan, mereka boleh menulis dan menyangkal hujah saya,” katanya yang sebelum ini dipanggil jawatankuasa fatwa negeri atas artikelnya dalam penerbitan kerajaan negeri, Buletin Mutiara.

Indonesia bantah AS, Najib masih diam?

Tujuh negara dihuni majoriti penganut Islam disenarai hitam oleh TrumpTujuh negara dihuni majoriti penganut Islam disenarai hitam oleh Trump
Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengharamkan kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu telah mengundang bantahan Indonesia.
Negara yang memiliki penduduk Islam terbesar di dunia itu menyifatkan keputusan Presiden AS ke-45 itu sebagai “pemeriksaan ekstrem”.
Walaupun tidak termasuk daripada senarai terbabit, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, negaranya kesal dengan arahan Trump pada 27 Januari lalu iaitu seminggu selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden.
Trump pada Jumaat lalu, menggantung program kemasukan pelarian ke AS selama empat bulan serta menyekat kemasukan pelawat dari Syria dan enam negara majoriti Islam lain buat sementara iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Menurut Trump, perintah yang berkuatkuasa serta-merta itu bagi memastikan pengganas tidak berada di negaranya sekaligus melindungi rakyat AS daripada serangan pengganas.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad al Hussein melalui laman sosial Twitternya menganggap langkah Trump tersebut sebagai 'haram' serta membawa kemudaratan dan kesakitan kepada mereka terbabit.
Beliau dilapor berkata, sekatan 90 hari yang dikeluarkan Trump tidak menggunakan sumber yang betul dalam langkah memerangi jenayah keganasan bahkan diskriminasi atas kewarganegaraan semata-mata adalah dilarang sama sekali di bawah undang-undang hak asasi manusia.
Ekoran kemarahan larangan perjalanannya ke atas tujuh negara Islam itu juga hampir sejuta rakyat Britain menandatangani petisyen mendesak kerajaan supaya membatalkan kunjungan rasmi Trump ke negara itu termasuk mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline setakat pagi ini mendapati kerajaan Malaysia sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan bantahan rasmi berhubung arahan Trump itu.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP melalui kempen #NoMuslimBan akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS di Jalan Tun Razak di ibu negara pada Jumaat (3 Februari) ini selepas solat Jumaat.

Isnin, 30 Januari 2017

PAS: Kerajaan DAP-PKR campuri proses fatwa

PAS mendakwa kerajaan Pulau Pinang memeriksa, malah menangguhkan, fatwa yang akan dipersembahkan kepada Agong
fauzi-fatwa-penang
GEORGE TOWN: PAS hari ini menuduh kerajaan Pulau Pinang mencampuri proses penfatwaan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Yang di-Pertuan Agong.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof berkata kerajaan DAP-PKR mengarahkan semua fatwa perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu sebelum diluluskan sebagai fatwa.
Mengikut undang-undang negeri, jawatankuasa boleh mengeluarkan fatwa yang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk diperkenankan, sebelum diwartakan sebagai fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004.
Fauzi berkata campur tangan kerajaan DAP-PKR bertentangan dengan Seksyen 48 enakmen yang menyatakan semua fatwa yang dikeluarkan di Pulau Pinang perlu dipersembahkan kepada Agong untuk dipertimbangkan.
Yang di-Pertuan Agong berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja, seperti Pulau Pinang.
“PAS semasa di dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan bantahan secara tertutup kepada Exco Hal Ehwal Islam Datuk Abdul Malik Abul Kassim.
“Namun, sehingga kini, amalan campur tangan dalam proses penfatwaan masih berlaku. Fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa perlu dimaklumkan kepada MMKN yang dipengerusikan ketua menteri terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Agong.
“Keadaan ini seolah-olah menjadikan MMKN yang dipengerusikan ketua menteri lebih berkuasa daripada jawatankuasa fatwa negeri dalam hal ehwal hukum orang Islam.
“Ini secara tidak langsung meletakkan fungsi mufti dan Agong lebih rendah daripada sepatutnya mengikut enakmen,” kata Fauzi pada sidang media di markas tarbiah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas hari ini.
Fauzi mendakwa terdapat fatwa yang ditangguhkan kerajaan Pulau Pinang.
“Berdasarkan maklumat, terdapat fatwa yang telah ‘dibekukan’ oleh kerajaan negeri dan tidak dipersembahkan kepada Agong, kerana tidak mengikut selera DAP dan PKR,” katanya.
Pada sidang media yang sama, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Hafnan Hamimi Taib Azamudden berkata MMKN menangguhkan banyak fatwa.

'Ceiba Chodatii': Pemuda Amanah gesa SPRM siasat


Sebatang pokok Ceiba Chodatii yang diimport dari Brazil sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus bernilai RM180,000Sebatang pokok Ceiba Chodatii yang diimport dari Brazil sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus bernilai RM180,000
Isu pembelian tiga batang pokok 'Ceiba Chodatii' di Kuala Nerus, Terengganu melebihi setengah juta ringgit memerlukan campur tangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hasbie MudaHasbie MudaKetua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda berkata, siasatan badan berautoriti berkenaan penting bagi menjawab status sebenar pembelian pohon yang habitat asalnya dari Amerika Selatan itu.
"Ya, memang pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) sudah menafikan pokok yang juga digelar benang sutera itu diperoleh tanpa menggunakan dana negeri sebaliknya ditanggung pihak kontraktor.
"Namun, pihak kontraktor terbabit identitinya masih belum didedahkan lagi. Rakyat Terengganu umumnya masih tertanya-tanya. Wajar benar SPRM siasat sebab dilapor bahawa pembelian pokok itu tidak termasuk skop projek," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Menurutnya, pembelian pokok dengan sebatang menelan kos sebanyak RM180,000 sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus memang menjolok mata ketika majoriti masyarakat nelayan di kawasan terbabit tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.
"Harga pokok jauh dengan realiti kemiskinan yang dialami majoriti rakyat. Sebarang keputusan hatta memilih objek untuk dijadikan mercu tanda pun biarlah adil dan bersesuaian dengan realiti sosio-budaya dan sosio-ekonomi masyarakat tempatan," tambahnya lagi.
Terdahulu, Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud dalam kenyataannya hari ini meminta orang ramai tidak membuat apa yang dianggapnya sebarang spekulasi liar berhubung isu pokok tersebut.
Beliau menafikan pembelian pokok 'Ceiba Chodatii' yang diimport dari Brazil itu melibatkan sebarang kos kewangan kerajaan negeri.

Masihkah PAS mahu menentang kleptokrasi?

Skandal korupsi bertahap mega, salah guna kuasa dan tadbir urus buruk pemerintahan Datuk Seri Najib Razak dan BN sudah diketahui umum.
Namun rakyat tetap menunggu satu gabungan yang kuat untuk menggantikan BN sebagai kerajaan Persekutuan.
Dari sinilah timbulnya hasrat di kalangan rakyat untuk melihat pembangkang persekutuan bersatu tenaga menewaskan BN dan membentuk kerajaan baru.
Atas keperluan yang mendesak bagi menyelamatkan Malaysia daripada tangan para kleptokrat, Lim Kit Siang telah menghulurkan salam perdamaian kepada PAS.
Beliau mengajak agar usaha menyelamatkan Malaysia ini diutamakan terlebih dahulu.
Ia sepatutnya meletakkan agenda bersama barisan pembangkang negara - yang disokong oleh kebanyakan rakyat - lebih ke atas berbanding perkara-perkara lain.
Malang sekali, salam perdamaian itu ditepis dengan kasar sekali. Dengan alasan Lim dan DAP anti-Islam. Sebelum ini tuduhan itu biasanya dilontarkan hanya oleh Umno.
Namun, apakah sebenarnya keutamaan pembangkang ketika ini?
Sebagai seorang yang pernah berada dalam kelompok usrah PAS dan mengalami sendiri tarbiyah parti itu di kampus, saya masih ingat dalam tamrin demi tamrin kami, sering kali diselitkan bahawa menentang pemimpin zalim itu adalah keutamaan gerak kerja siasah atau politik jemaah.
Rakyat ingin tahu
Berulang kali kami diingatkan bahawa Allah berfirman (bermaksud): "Janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka." (Hud: 113)
Malah sering diulang-ulang - baik ketika tamrin mahupun kuliah - kata-kata Sufyan at-Tsauri bahawa, tukang jahit baju pemimpin yang zalim itu sendiri termasuk dalam kelompok zalim.
Jika diturut apa yang diajarkan itu, keutamaan PAS tentulah senada dengan seruan Lim iaitu untuk menyelamatkan negara dari kezaliman-kezaliman Umno dan BN.
Apakah bagi PAS, Umno di zaman Najib sudah tidak zalim lagi meskipun pelbagai undang-undang mengarut digunakan untuk menekan pejuang-pejuang rakyat, manakala kleptokrat berleluasa menyamun kekayaan negara?
Kerusi-kerusi DAP tidak akan terjejas teruk tanpa kerjasama dengan PAS pada pilihan raya akan datang. Namun atas jiwa besar dan mahu melihat pembangkang berada dalam satu saf yang kukuh atau sekurang-kurangnya mengelakkan pertembungan tiga penjuru, DAP menghulurkan salam perdamaian.

PAS: Betul kata Hadi, kerajaan DAP-PKR abai orang Islam

Kerajaan Pulau Pinang gagal bela kampung warisan Melayu, berat sebelah terhadap penjaja, menyebarkan Islam liberal dan menambak lubuk udang nelayan.
Fauzi-Yusoff--penang-1
BUTTERWORTH: PAS Pulau Pinang hari ini mempertahankan presiden mereka yang dikatakan mendakwa kerajaan DAP-PKR mengabaikan orang Melayu dan Islam.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff berkata Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan yang tepat, apabila didakwa mengatakan kerajaan DAP-PKR gagal melindungi hak orang Melayu dan Islam.
Beliau memberikan contoh kampung warisan Melayu yang wujud sejak 1700an tidak dilindungi, yang dijanjikan DAP dan PKR dalam manifesto Pakatan Rakyat.
“DAP dan PKR melalui kuasa di dalam kerajaan Pulau Pinang didapati tidak melaksanakan manifesto untuk mewujudkan ‘persempadanan perkampungan warisan Melayu’.
“Berdasarkan maklumat yang direkodkan, terdapat 25 buah kampung warisan Melayu di Pulau Pinang terhapus sejak zaman pemerintahan BN hingga kini, akibat projek pembangunan,” katanya pada sidang media di Markas Tarbiah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas hari ini.
Fauzi berkata pihak berkuasa tempatan tempatan berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap penjaja Melayu dan bukan Melayu yang melanggar peraturan.
Katanya gerai penjaja Melayu yang berniaga di kawasan luar bandar, termasuk gerai milik orang kelainan upaya, dirobohkan kerana melanggar peraturan PBT.
“Penjaja bukan Melayu yang berniaga di Jalan Baru, sekitar Komtar, Jalan Chulia dan sekitar Kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Sungai Ara tidak diambil tindakan walaupun dilaporkan melakukan kesalahan yang sama.
“Wakil PAS di MBPP pernah membantah tindakan dwi standard ini. Namun, disanggah wakil DAP dengan alasan penjaja Melayu yang dirobohkan gerai tersebut ‘kumpulan yang cenderung kepada UMNO’ dan ‘tidak perlu dipertimbangkan rayuan mereka'” katanya.
“Bahkan, wakil PAS tersebut pula dituduh rasis dan pro-UMNO semata-semata kerana mempertahankan penjaja Melayu berkenaan,” kata Fauzi.
Fauzi berkata perkara lain seperti penyebaran Islam liberal, melanggar fatwa kerajaan negeri dan bantahan terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah menunjukkan kerajaan Pulau Pinang tidak peduli akan orang Islam.
“Langkah DAP dan PKR untuk mewujudkan 3 buah pulau di Teluk Kumbar bagi membiayai kos projek mega Penang Transportation Master Plan (PTMP) memberi implikasi negatif terhadap ribuan penduduk Melayu Islam yang menetap di kawasan berkenaan.

LANTIK PENDAKWA BEBAS KHAS (“SPECIAL INDEPENDENT PROSECUTOR”) UNTUK BUKA KEMBALI KES DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK


Penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali semalam berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung skandal dana RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum. Bukan sahaja alasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memulangkan kembali “derma” yang diterimanya itu tidak masuk akal, malah ada beberapa perkara asas yang tidak dijawab oleh beliau.

Berhubung pemindahan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Apandi Ali seolah-olah lupa bahawa SRC International Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Sebab itu saya terus bertanyakan siapa yang bertanggungjawab meluluskan pemindahan dana itu dari SRC International Sdn Bhd kerana pegawai teratas yang bertanggungjawab adalah tidak lain dan tidak bukan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Oleh yang demikian, alasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak tahu menahu sebanyak RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dipindahkan ke akaun peribadinya tidak boleh menyelamatkan beliau dari dakwaan, atas asas-asas berikut:

1. Mengambil kira bahawa beliau adalah pegawai teratas yang bertanggungjawab kepada keputusan SRC International Sdn Bhd di atas kapasiti beliau sebagai Menteri Kewangan, adalah mustahil beliau tidak mengetahui mengenai keputusan memindahkan dana itu. Besar kemungkinan beliau sedia maklum dan pemindahan itu berlaku dengan mendapat kelulusan mengikut prosedur Kementerian Kewangan. Jika ini keadaannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadi beliau;

2. Jika beliau berkeras beliau tidak tahu menahu mengenai pemindahan tersebut, ini bermakna beliau telah cuai dalam menjalankan amanah sebagai pegawai teratas yang bertanggungjawab menguruskan syarikat awam iaitu SRC International Sdn Bhd. Dalam keadaan ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sepatutnya didakwa di atas tuduhan cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam.

Dalam kedua-dua keadaan, ada kes yang kukuh untuk mendakwa Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Larangan Perjalanan: Senyap Najib tanda tunduk M'sia pada AS

Tiadanya kenyataan dibuat Datuk Seri Najib Razak terhadap larangan perjalanan Presiden Donald Trump menunjukkan Malaysia kini tunduk kepada AS dan China, kata Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
"Kita bukan saja tunduk kepada AS malah semakin tunduk kepada komunis China dengan membenarkan dominasi ekonomi besar-besaran," kata anggota parlimen Kuala Terengganu itu dalam kenyataannya hari ini.
Perdana menteri memang sudah lama dikritik kerana membenarkan pembabitan pemaju China dalam projek pembangunan di negara ini.
Sesetengah pihak malah mendakwa Najib "menjual" Malaysia kepada China.
Perkembangan terbaru pula menyebabkan Najib didesak supaya memberikan kenyataan atau bertindak ekoran larangan dikuatkuasakan AS yang melarang kemasukan rakyat Iran, Iraq, Libya, Sudan, Somalia, Syria dan Yaman mulai Jumaat lalu.
Larangan itu berkuat kuasa selama tiga bulan.
Ia adalah antara langkah awal diambil Trump selain membawa Rumah Putih keluar daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani Barack Obama.
Pada 4 Disember lalu Najib hadir ke suatu perhimpunan solidariti untuk etnik Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Katanya, himpunan solidariti itu bertujuan untuk memberi mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa Malaysia membantah penganiayaan dilakukan ke atas etnik Rohingya di negara itu.
Pada majlis itu Najib berkongsi pentas dengan pelbagai pertubuhan, termasuk PAS yang diwakili presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sokong pindah kedutaan
Untuk makluman, etnik Rohingya adalah penganut Islam yang berada di Myanmar namun tidak diiktiraf sebagai warganegara mereka.
Pada 19 Januari lalu pula perdana menteri menggesa dalang kepada serangan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya itu dibawa kemuka pengadilan.
Katanya, Myanmar juga harus segera menghentikan tindakan berbentuk diskriminasi dan serangan terhadap sesuatu etnik.
Selain itu perdana menteri turut mendesak supaya Naypyidaw menyediakan akses tanpa had kepada bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada kawasan mengalami krisis kemanusiaan berkenaan.
Raja Bahrin berkata, Malaysia "merindui" pemimpin negara yang bersuara untuk pihak yang lemah atau negara Dunia Ketiga, dan negara luar mengagumi keberanian serta pendirian kerajaan.

Usah menjadi tongkat buat elit penguasa yang kian lumpuh


Oleh Ahmad Lutfi Othman
Apabila lebih 50 penulis merakamkan pengalaman kewartawanan saya dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas, sebenarnya dunia penulisan saya selama hampir 30 tahun sudah menjadi sejarah dan kenangan.

Selama diuji dengan keuzuran berpanjangan, saya tidak mampu lagi melakarkan idea atau sekurang-kurangnya memberi makna dan tafsiran terhadap pergolakan politik di sekeliling. Hanya keresahan dan sesekali kebingungan menghimpit. Namun, kesakitan juga memberi kesempatan untuk mengenal diri, melatih untuk reda dan ikhlas.
"Selalunya buku tribute dihasilkan selepas seseorang itu meninggal dunia, tapi saya bernasib baik dapat membacanya semasa nyawa masih dikandung badan," kata saya selepas menatap Lorong Sunyi sebaik saja siap dicetak.
Buku setebal lebih 800 halaman itu -- yang dilancarkan sebanyak dua kali oleh Dr Syed Husin Ali dan Dr Redzuan othman -- hasil tanggapan teman-teman termasuk sahabat rapat mengenai perjuangan kebebasan akhbar yang saya rasa sepi dan keseorangan.
Terkenang bagaimana sukarnya mencari rakan-rakan wartawan yang sanggup melakukan gimik mengusung keranda Detik "yang sudah mati", apabila majalah pro-Reformasi dua kali sebulan itu diharamkan KDN selepas Pilihan Raya Umum 1999 yang menyaksikan kebangkitan majoriti pengundi Melayu menolak Umno-BN.
Bertempat di tingkat dua, pejabat penerbitan saya di Medan Idaman, Gombak, kami hanya bertiga mengangkat keranda Detik sedangkan ia sekurang-kurangnya memerlukan empat orang. Detik ketika itu dicetak lebih 100,000 naskhah dan dianggap seteru Umno kerana berjaya mempengaruhi kecenderungi pengundi terutama di utara Semenanjung.
Akhbar Harakah yang turut menjadi mangsa pancungan KDN, dikurangkan kekerapannya daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan -- sekali gus mematikan fungsinya sebagai sebuah akhbar -- dan mencatat sejarah apabila diedarkan hampir 400,000 naskhah.
Saya kira Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi ketika itu mungkin turut terkejut dengan respons pasif masyarakat terhadap amalan primitif KDN. Idealisme kebebasan akhbar rupanya kurang dihayati, termasuk oleh warga media. Tiada tunjuk perasaan atau aksi protes besar-besaran.
Dan sehingga kini, walaupun selepas melalui pengalaman panjang menuntut hak asasi bersuara, isu-isu berkaitan media bebas jarang mendapat reaksi yang sepatutnya. Kempen menghapuskan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disambut hebat dan demonstrasi raksasa di tengah kotaraya Kuala Lumpur menjadi saksinya, sehingga akhirnya hukum rimba itu terpaksa dimansuhkan. Namun, kongkongan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan seolah-olah dipandang sepi, sekali gus dibiarkan bermaharajela.
Sebenarnya dunia kewartawanan saya tidak boleh dipisahkan dengan pengalaman berkaca Harakah. Bermula dengan jemputan Ustaz Nakhaie Ahmad, Naib Presiden Pas, dibimbing wartawan-penulis politik terkemuka, Haji Subky Abd Latif, saya menyertai lidah rasmi Parti Islam itu seminggu sebelum keluaran sulungnya diterbitkan.
Cerita Harakah adalah kisah pahit manis pengorbanan. Sokongan daripada ahli dan penyokong akar umbi, termasuk mendahulukan duit saku masing-masing. Juga kesediaan petugasnya untuk berkhidmat dengan tekun, begitu juga semangat tinggi rangkaian pengedarannya. Ramai menghulurkan bantuan termasuk dari sahabat-sahabat dalam media arus perdana.
Sehingga dilantik Ketua Pengarang pada Februari 2006, sebenarnya sudah beberapa kali saya keluar-masuk Harakah. Kadang-kadang dalam tempoh itu saya terpaksa mengundur diri kerana isu-isu dalaman tertentu, termasuk berbeda pendapat dengan Pengarah Urusan. Saya akur dengan disiplin parti dan peraturan organisasi walaupun terpaksa memendam rasa menggigit keyakinan pada kebebasan akhbar.
Justeru, ada teman-teman, termasuk penulis dalam Lorong sunyi Media Bebas, yang menyifatkan saya tidak sesuai menerajui organ parti. Katanya, Lutfi sebagai pejuang kebebasan media akan menempuh situasi sukar apabila parti memutuskan sesuatu dasar atau pendirian politik yang mungkin bercanggah dengan keyakinannya. Tambahnya, Lutfi lebih cocok dan sepadan dengan penerbitan bebas yang tidak dikawal parti politik.

KERJASAMA YANG LUAR BIASA


Tarikh 2hb Februari ini amat penting sekali kepada politik negara. Kata kawan-kawan, inilah hari pertemuan yang akan menentukan sama ada Pas akan bekerjasama atau tidak dengan Bersatu dalam PRU 14 nanti. Saya pun sebenarnya tidaklah mengetahui apa bentuk kerjasama yang akan dibincangkan oleh Bersatu dan Pas nanti, tetapi saya harap mereka beritahulah kepada orangramai perkara utama perbincangan mereka dan sama ada mereka berjaya atau tidak dalam usaha itu.
Sudah tentunya, Amanah dan DAP tidak termasuk dalam perbincangan itu. Pas menggangap Amanah dan DAP sebagai musuh yang tidak boleh dimaafkan. Bagi mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak berguna langsung, malah mereka mahu bekas Perdana Menteri itu bertaubat terlebih dahulu. Inilah sikap sombong ulama-ulama Pas.
Nampaknya Bersatu rela ketua mereka diperhinakan sebegitu rupa, semata-mata kerana mahu “satu lawan satu” menjadi kenyataan. Apa maksud “satu lawan satu?” Bagi Bersatu mereka mahu kerusi-kerusi yang mereka tandingi tidak akan ditandingi oleh Pas, manakala Bersatu pula tidak akan meletakkan calon di mana Pas bertanding.
Bersatu parti baru dan untuk memenuhi janji mereka kepada orang Melayu, maka mereka mestilah bertanding di kerusi-kerusi UMNO. Jadi, kita tunggulah sejauh mana Pas akan memberi laluan kepada Bersatu dalam 60 kerusi yang mereka tandingi dalam PRU13 dahulu.
PKR juga mestilah memberi laluan kepada Bersatu di kerusi-kerusi yang mereka berlawan dengan UMNO kerana kalau tidak, tidak ada ertinya usaha “satu lawan satu” yang diidamkan itu. Tidak ada erti juga kerjasama dengan Pas yang giat diusahakan selama ini. Amanah pun mestilah sanggup memberi laluan kepada Bersatu di semua kerusi pilihan Bersatu untuk bertanding, jika tidak, turut sia-sialah juga usaha mewujudkan kerjasama dengan Pas itu.

Kos pelabuhan Pulau Carey hampir menyamai bajet negara

Kos RM200 bilion untuk projek itu hampir menyamai RM260 bilion bajet nasional 2017 dan memerlukan beberapa generasi untuk membayarnya jika projek gagal.
liew-chin-tong
PETALING JAYA: DAP berkata kos pembinaan projek pelabuhan bandar industri RM200 bilion di Pulau Carey, Selangor terlalu besar dan hampir menyamai RM260 bilion bajet nasional untuk tahun 2017.
Ahli Parlimen Kluang Liow Chin Tong berkata jumlah itu memerlukan masa dan beberapa generasi untuk membayarnya jika projek yang dicadangkan gagal.
“Rakyat Malaysia masih tidak faham, kenapakah kita memerlukan sebuah Pelabuhan Klang baru apabila Pelabuhan Barat (Westport) sudah melakukan cadangan membesarkan pelabuhan.
“Apakah projek ini masih berdaya maju dengan adanya kapasiti pengendalian kontena yang terlalu banyak atau berlebihan di Selat Melaka?
“Atau ini satu permainan hartanah menggunakan cadangan pembinaan pelabuhan sebagai topeng?” kata wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan pelabuhan terbaharu di Pulau Carey meliputi kawasan selepas 100km persegi, di bawah zon bebas dagangan, serta mempunyai zon perumahan, komersil dan prasarana sokongan.
Sebelum ini, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tekad meneruskan projek ini dan percaya ia sebagai persediaan masa depan.
Pengerusi LPK Tan Sri Kong Cho Ha berkata kompleks pelabuhan ini melengkapkan kemudahan di Pelabuhan Klang, Westport dan Northport serta tidak mengancam projek pelabuhan baharu di Melaka.

Mengapa PAS desak siasat Tun M, membisu terhadap Najib?


Raja Bahrin Shah

Saya membaca dengan kaget cadangan Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Nurul Islam agar dibuka kembali kes BMF yang dikaitkan dengan Tun Mahathir. Memberi cadangan itu adalah hak beliau dan saya tidak mahu berhujah mengenainya.
Raja Bahrin ShahWalau bagaimanapun, suka untuk saya berbahas mengenai keutamaan yang lebih penting dan kritikal hari ini untuk disiasat iaitu berkenaan kes yang menjadi perhatian media antarabangsa, tidak lain skandal 1MDB.
Cadangan tersebut ibarat seperti meminta agar siasatan tentang tenggelamnya Kapal Titanic dibuat namun tidak pula mendesak untuk menyiasat kes baru, sebuah kapal besar bernama Malaysia yang sedang hampir tenggelam hari ini yang mana kesannya ternyata jelas lebih besar kerana melibatkan kredibiliti dan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Nilai mata wang kita terus menjunam jatuh dan pelabur lari meninggalkan negara kita. Adakah dengan membuka kembali siasatan terhadap skandal kes BMF akan menyelesaikan masalah hari ini? Menurut pandangan saya, hanya dengan membuka kertas siasatan terhadap skandal 1MDB akan membantu memulihkan kembali nama Malaysia.
Sebagai Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan yang mewakili kelompok belia dan pemimpin masa depan, Nurul Islam seharusnya menyentuh isu-isu semasa yang mampu memberi kesan kepada generasi akan datang. Adakah beliau maklum mengenai kes 1MDB dan penyingkiran Peguam Negara semasa siasatan dijalankan? Dan kes pembunuhan pegawainya, Kevin Morais. Adakah Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan juga maklum mengenai penyiasatan dan pendakwaan kes berkait 1MDB di Switzerland, Amerika, Singapura, Hong Kong, Australia dan Abu Dhabi?
Adakah Nurul Islam tidak mengambil peduli tentang penglibatan 1MDB dalam kes pengubahan wang haram di pusat pengubahan wang haram terbesar dunia di Pulau Cayman serta pelaburannya di dalam dua kelab malam melalui individu dari Abu Dhabi di Las Vegas yang menjadi sumber penajaan jemaah haji menggunakan hasil wang pelaburan ini?
Semua ini adalah isu semasa yang harus diambil perhatian kerana ia masih boleh diperbetul dan ditangani. Mengapa gesaan untuk meneruskan siasatan terhadap kes BMF dituntut sedemikian rupa namun bersikap seolah tutup mata terhadap penyelewengan-penyelewengan 1MDB oleh Najib Razak?
Mengapa begitu beria serangan dibuat terhadap Tun Mahathir, pemimpin yang sudah tidak lagi mempunyai kuasa namun menutup mata terhadap skandal besar Perdana Menteri hari ini? Nurul Islam harus menghidupkan keizzahan namanya bukan sebaliknya menghinakan nama yang diguna melalui sikap sedemikian. Seorang Ketua pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyerang seorang bekas Perdana mentri berusia 91 tahun yang tidak lagi berkuasa sementara Perdana Menteri Najib Razak yang menerajui 1MDB yang disiasat sembilan buah negara tidak disentuh.

Bekas gabenor letak jawatan kerana orang lain, kata Nur Jazlan

Nur Jazlan berkata tindakan bapa mertuanya, Jaffar Hussein sesuati yang jarang berlaku dalam kerajaan walaupun pada hari ini.
jazlan-1
PETALING JAYA: Kebenaran di sebalik peletakan jawatan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akhirnya terbongkar 2 dekad selepas peristiwa berlaku, kata Nur Jazlan Mohamed.
“Beliau meletak jawapan hari April Food (1 April) 1994, kerana kesalahan orang lain,” kata timbalan menteri dalam negeri melalui Twitter hari ini.
Nur Jazlan menantu kepada Jaffar Hussein, gabenor BNM 1985-1994 yang meninggal dunia pada 1998, 4 tahun selepas meletak jawatan.
Kenyataan Nur Jazlan itu menyusuli pendedahan Datuk Abdul Murad Khalid, bekas penolong gabenor BNM, yang mendakwa bank pusat itu kehilangan berbilion dolar akibat dagangan mata wang asing pada awal 1990an ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Beliau mendakwa kerugian tukaran mata wang asing lebih besar dari yang dilaporkan dan dalam bentuk dolar AS, tetapi tiada siasatan dilakukan ke atas mereka yang bertanggungjawab.
Nur Jazlan memuatnaik twit memaparkan keratan wawancara Murad oleh New Straits Times, bertajuk “US$10 bilion bombshell”.
Nur Jazlan juga menaikkan keratan muka hadapan Utusan Malaysia yang menampilkan gambar Jaffar, bertajuk “Saya silap – Gabenor”, dengan tajuk kecil “Bank Negara rugi RM5.7 bilion tahun lalu”.
“Bapa mertua saya meletak jawatan kerana rasa bertanggungjawab ke atas kesilapan orang lain, sesuatu yang jarang berlaku dalam politik dan kerajaan walaupun pada hari ini.
“Kesalahan seperti itu selalunya disentuh sepintas lalu demi perpaduan dan kestabilan, hanya didedahkan pada masa yang sesuai beberapa tahun kemudian,” kata Nur Jazlan.
Bercakap kepada FMT, bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata beliau tidak tahu keseluruhan peristiwa itu.
Bagaimanapun, kenyataan Murad mengatakan pihak tertentu yang sebenarnya bertanggungjawab untuk skandal yang menggemparkan awal 1990an itu.

BAGAIMANA PAS NAK MENANG 40 KERUSI?

Presiden Pas, Hadi Awang dilaporkan mahu parti itu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Selain itu, katanya, Pas juga perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor, selain memerintah semula Kedah dan Terengganu.

Besorrnya cita-cita  Hadi Awang dan Pas?

Tidak cukup dengan sebelum ini bertegas mahu 70 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam pilihanraya 2013 lalu tidak diganggu, kini bercita-cita pula menang 40 kerusi daripadanya dan kekal berkuasa di Kelantan, berkongsi kuasa di Selangor serta menawan semula Kedah dan Terengganu.

Bolehkah semua impian itu dicapai?
Ketika Pas bersendirian dahulu, berapa banyak kerusi Parlimen yang pernah mereka menangi?

Jika kita masih ingat,  jumlah terbanyak pernah dimenangi Pas ialah pada pilihanraya 1999 dan 2008 iaitu 27 dan 23 kerusi Parlimen, manakala ketika bersendirian pula jumlah yang dimenanginya tidak pernah lebih daripada 10 kerusi.

Tetapi, apakah Pas sedar bahawa pada 1999 itu mereka bekerjasama dengan PKR dan mendapat laba selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, manakala pada 2008  kerana dibantu dengan jalinan kerjasama bersama PKR dan DAP?

Ketika bersendirian dahulu dahulu, berapa negeri yang pernah ditawan oleh Pas?

PAS, Umno kongsi pentas lagi 3 Februari

Wakil 2 parti itu akan turut serta dalam pelancaran bantuan kemanusiaan menggunakan kapal Nautical Aliya, yang membawa 1,500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Myanmar.
nasruddin
PETALING JAYA: PAS mengesahkan parti Islam itu sekali lagi akan berkongsi pentas dengan Umno pada majlis pelancaran misi “Food Flotilla For Myanmar” yang dijadualkan bertolak ke Myanmar pada 3 Februari.
“Insya-Allah. Ada wakil PAS yang hadir,” kata Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan ketika dihubungi FMT bagi mengesahkan perkara itu.
Misi pelayaran Flotilla akan bertolak dari Pelabuhan Klang selepas solat Jumaat bagi membantu kira-kira 70,000 orang di Teknaf, Bangladesh dan hampir 150,000 orang di Sittwe, Myanmar.
Lebih 240 delegasi yang mewakili 40 badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara akan turut serta dalam kerja mengedar bantuan, merawat, mendirikan khemah, memasak dan melihat keperluan kanak-kanak dan wanita di kem pelarian Rohingya.
Menggunakan Kapal Nautical Aliya, misi itu akan membawa 1,500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat yang terjejas di Rakhine, barat Myanmar
Bagaimanapun, Nasruddin tidak dapat mengesahkan sama ada Presiden PAS Datu Seri Abdul Hadi Awang akan menyertai majlis pelancaran itu atau tidak.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata PAS akan menyertai majlis pelancaran misi itu.
Najib berkata kerjasama dengan PAS itu bersandarkan isu umah sejagat dan Islam, bukannya atas dasar politik.