Kalau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dianggap rasuah, bagaimana pula dengan skim insurans dan bantuan anak masuk universiti yang diamalkan kerajaan Selangor serta Kelantan, soal Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.
Katanya, kedua-dua kerajaan yang diperintah oleh pembangkang, dalam konteks negeri itu juga dianggap mengamalkan rasuah apabila memberi bantuan kewangan kepada rakyat mereka.
Sehubungan itu, ujar beliau, kedangkalan pemimpin pembangkang dalam membuat penilaian berhubung bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat itu amat mendukacitakan.
“Amat mendukacitakan dan dangkal sekali apabila pembangkang menyifatkan bantuan kerajaan BR1M sebagai rasuah.
“Susah untuk dinilai apabila pemimpin yang suatu ketika dahulu cukup hebat, tiba-tiba apabila tidak sebulu dengan kerajaan, tidak tahu membezakan rasuah dan bantuan kerajaan.
“Salahkah kerajaan menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat. Ataupun pembangkang iri hati kerana ketika pentadbirannya tidak ada bantuan secara langsung disalurkan kepada rakyat, namun zaman Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, hasil negara dikongsi bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Menurut Sohaimi, peruntukan BR1M berjumlah RM6.8 billion dapat memanfaatkan kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara tanpa mengira kaum atau syarat sokongan dengan disalurkan terus kepada mereka yang layak mengikut purata setiap Parlimen sebanyak RM31 juta.
“BR1M sebenarnya menyampaikan subsidi secara langsung kepada rakyat dengan cara tersasar kepada mereka yang layak dan secara tidak langsung menggerakkan ekonomi setempat dan negara.
“Bayangkan dengan jumlah RM6.8 bilion jika dalam bentuk kontrak hanya berapa kontraktor sahaja dapat menikmatinya,” ujar beliau.