Ahad, 25 Disember 2016

Mahathir ingatkan rakyat BR1M umpama rasuah

Suara anak muda penting untuk semak, imbang - Nik Nazmi

Perkumpulan anak muda yang kuat amat penting sebagai mekanisme semak dan imbang dalam negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bukan saja penting kepada pemerintah, tetapi semua pihak termasuk parti-parti pembangkang.
Menurutnya, ia merupakan kuasa ketiga yang kuat dan kukuh untuk menampung suasana politik semasa.
“Malaysia sememangnya memerlukan sebuah kuasa ketiga yg kuat untuk menampung suasana politik semasa.
Nik Nazmi Nik Ahmad “Ditambah dalam kondisi politik Malaysia hari ini yang dibelenggu skandal dan krisis kepercayaan terhadap pemerintah, kehadiran kumpulan anak muda yang kuat boleh menjadi faktor yang meletakkan hala tuju negara kembali kepada matlamat rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melahirkan sokongan terhadap usaha anak muda menganjurkan Kongres Anak Muda Malaysia pada 17-19 Februari depan.
Katanya, inisiatif ini dilihat sebagai manifestasi anak muda makin resah dengan kemelut politik tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
“Kami juga mengharapkan semua pihak termasuk kerajaan dapat memberi sokongan penuh terhadap Kongres ini. Janganlah Kongres ini dianggap secara negatif walaupun para penganjurnya merupakan kumpulan yang selama ini kritikal terhadap polisi-polisi kerajaan,” katanya lagi.

Umno tumpu tiga parlimen 'kelabu' dalam usaha tawan Kelantan

Umno Kelantan akan memberi tumpuan kepada tiga Parlimen 'kelabu' di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata tiga Parlimen itu ialah Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai dengan Umno tewas kurang daripada 1,000 undi di ketiga-tiga kawasan berkenaan.
"Saya dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan) serta Ketua Umno bahagian akan mengadakan program jelajah kecil ke setiap peti undi di ketiga-tiga Parlimen itu.
"Dalam jelajah itu, kami akan melihat perancangan dan persiapan yang
dilakukan oleh anggota jawatankuasa peti undi di ketiga-tiga Parlimen tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Parlimen Jeli hari ini.
Menurutnya program jelajah kecil itu merupakan sebahagian daripada
Program Gelombang Merah yang dilancarkan oleh Umno Kelantan bagi menawan kembali negeri ini daripada PAS pada PRU14 nanti.
Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata pihaknya juga akan mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13.
Beliau berkata lima kerusi berkenaan ialah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Ketereh.
"Selain itu, BN akan berusaha untuk meningkatkan jumlah undi di kelima-lima Parlimen terbabit," katanya.

Exco Pas Selangor nafi mahu letak jawatan


 Pas Selangor kini mempunyai tiga exco iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib Pas Selangor kini mempunyai tiga exco iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib
Pas menafikan desas-desus tiga ahli Exco Selangor itu akan meletak jawatan pada hujung tahun ini ekoran beberapa kenyataan pemimpin PKR yang banyak melemparkan tuduhan tidak berasas kepada parti itu.

Menurut salah seorang daripada exco berkenaan Datuk Yunus Hairi, isu berkenaan sudah tidak dibincangkan lagi, memandangkan pendirian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang bertegas mahu meneruskan kerjasama politik dengan parti itu.

"Secara peribadi saya tidak dengar lagi (mengenai exco PAS Selangor akan letak jawatan), di peringkat Pas negeri pun kita tidak pernah bincangkan sebab kita memegang konsep kerjasama dengan PKR masih lagi utuh.

"Kalau di peringkat Pas pusat masih bertegas dengan PKR, pentadbiran negeri kita masih bersama atas dasar mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU13 dan pendirian Menteri Besar sendiri yang sama masih lagi mahu mentadbir kerajaan negeri bersama dengan Pas," katanya dipetik Antarapos.
Isu mengenai peletakan jawatan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor kembali melanda arena politik negeri itu.

Khabar angin ini timbul sekali lagi selepas Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution pada September lalu, menyifatkan bahawa PKR lebih terkesan dengan pengkhianatan yang dilakukan Pas terhadap parti itu.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan selepas Pas sering mengatakan bahawa parti itu dikhianati PKR meskipun masih menjadi rakan tahaluf siyasi di Selangor.

Terbaru, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyindir PKR dan menyatakan kekecewaan ekoran kerap dihentam parti itu ketika Ceramah Mega Rakyat anjuran Pas di Paya Jaras awal bulan ini.

KISAH FGV YANG TERUS KERUGIAN, PENEROKA TANGGUNG HUTANG SAHAM..!!!


FGV disenaraikan di KLSE pada 28 Jun 2012, dicanang dengan megah oleh Najib Razak sebagai penyenaraian saham awam (IPO) kedua terbesar di dunia selepas Facebook dan terbesar di Asia.
Pada penyenaraian FGV, KWSP mempunyai 185 juta saham yang diperuntukkan kepada badan korporat.
Dari 29 Jun, 2012 hingga 4 Januari 2013, KWSP menambah lagi 90 juta saham FGV, membelanjakan kira‐kira RM455 juta. Harga pembelian KWSP pula adalah RM5.05 sesaham.
Enam pemegang saham terbesar FGV adalah Lembaga Tabung Haji (TH), KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Felda Badan Berkanun, Felda Asset Holding Company Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Pahang.
Ketika harga saham FGV menurun kepada RM2.02 sesaham:
a) Felda Badan Berkanun mengalami kerugian sebanyak RM1.84 bilion
b) Felda Asset Holding Company Sdn Bhd rugi sebanyak RM1.26 bilion
c) Lembaga TH rugi RM717.7 juta
d) KWSP rugi RM527.7 juta
e) Kumpulan Wang Persaraan rugi sebanyak RM546.2 juta DAN
f) Kerajaan Negeri Pahang menanggung rugi RM461.5 juta.
Pada 22 Jun 2015, FGV dinyahsenaraikan (dibuang dari senarai) dari 30 FBM Indeks BSKL (Indeks Emas) kerana menyebabkan indeks tersebut merosot.

Amanah: Tangkap pesalah, bukan pelindung alam sekitar

Raja Bahrin Shah tidak berpuas hati dengan tangkapan ke atas aktivis yang cuba memelihara alam sekitar
Raja-Bahrin-ShahPETALING JAYA: Mereka yang cuba melindungi khazanah negara daripada pembalakan berleluasa harus diraikan, bukan ditangkap dan diganggu pihak berkuasa yang membenarkan alam sekitar dicabul, kata Amanah.
Sambil mengecam penahanan aktivis yang mengkritik kerajaan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata itulah yang menyebabkan orang asing menganggap Malaysia negara dunia ketiga.
“Kita sudah biasa kedengaran ahli politik pembangkang ditahan dan direman atas alasan yang remeh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Akhir ini pihak berkuasa meluaskan sasaran mereka meliputi aktivis, tokoh NGO, siswa, personaliti dan juga pelukis kartun.
“Apa yang sudah berlaku pada negara yang kita cintai ini?”
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah itu merujuk kepada tindakan yang dikenakan terhadap golongan yang cuba memelihara alam sekitar dengan menonjolkan kemusnahan akibat aktiviti pembalakan.
Ini termasuklah kesusahan yang dialami Orang Asli suku Temiar di Gua Musang, yang menyaksikan Orang Asli ditangkap kerana mendirikan halangan bagi menghalang pembalak yang dibenarkan kerajaan Kelantan memasuki tanah adat mereka.
“Kami semua terkejut dengan tahap kemusnahan ketika banjir di Kelantan 2 tahun lalu,” kata Raja Bahrin.
“Barangkali bantahan Orang Asli hari ini ada kaitan dengan betapa besarnya banjir yang dialami Kelantan ketika itu.

Selesai isu baiah, Husam harap Adun pro-Amanah tinggalkan Pas



Sampai bilakah para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas yang menyokong Amanah di Kelantan akan kekal dalam parti itu kini menjadi isu yang hangat diperdebatkan.
Malam tadi, mentor mereka, Datuk Husam Musa mencadangkan agar mereka membuat keputusan lebih awal berbanding dengan meninggalkan Pas selepas parlimen dan Dun dibubarkan.
Husam Musa"Boleh saja kalau selepas Dun dibubar tetapi soalnya orang ramai boleh percaya ke kalau saat-saat macam tu," kata Husam dalam ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina Kelantan malam tadi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan para penyokong Amanah ini bertindak meninggalkan Pas lebih awal, iaitu sebelum parlimen dan Dun dibubarkan.
Sebelum ini, Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendakwa 10 Adun Pas akan bersama Husam jika beliau menyertai Amanah.
Namun kemudiannya beliau berkata, 10 orang yang beliau maksudkan adalah kemasukan Husam sama dengan kekuatan 10 Adun Pas menyertai Amanah.
Husam akan berdebat dengan Exco Agama Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud tidak lama lagi.
Tajuk yang akan diperdebatkan adalah "Baiah" yang menjadi antara batu penghalang kepada kemasukan para Adun Pas ke dalam Amanah.
Bagi Husam isu "Baiah" ini adalah isu pokok yang menyekat kebebasan bersuara dan berpolitik di negeri itu.
"Jika kita berjaya merungkaikan ini, saya berharap seorang dua lagi rakan-rakan saya dalam Pas boleh menyertai Amanah," kata Husam malam tadi.
Bagi Husam, baiah ini terbatal selepas Pas sendiri sudah bertukar haluan menuju satu yang lain berbanding sebelum ini.
Husam mengucapkan terima kasih kepada Amanah Kelantan kerana telah memberikan beliau surat watikah membenarkan beliau menyertai debat itu.
Para pemimpin Amanah mendakwa, ada antara 12 hingga 19 Adun Pas berpotensi meninggalkan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dr M sedia jadi penasihat jika pembangkang menang PRU14

Dr Mahathir berkata, kerajaan BN di bawah pimpinannya memenangi 5 PRU kerana pembangkang tidak bersatu.
Mahathir
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menjadi penasihat kerajaan dan membersihkan keadaan kucar-kacir dalam negara ini, jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bekas perdana menteri itu juga yakin pembangkang mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi negara.
“Jika mereka (pakatan pembangkang) mengambil alih sebagai kerajaan (persekutuan) dan biar saya jadi penasihat, saya akan buat apa yang mampu untuk selamatkan negara daripada masalah kewangan,” katanya dipetik Sin Chew Daily.
Jika tampuk pemerintahan negara bertukar tangan, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu optimis pembangkang boleh mendapatkan semula sekurang-kurangnya 50% dana Malaysia serta mencari pendapatan bagi menutup separuh daripada kerugian ditanggung negara.
Dr Mahathir berkata, jika Najib terus berkuasa, pembangkang sukar menyelamatkan Malaysia, walaupun mereka akhirnya dapat memimpin negara dan generasi akan datang bakal menjadi mangsanya.
Katanya, faktor utama beliau boleh berkuasa selama 22 tahun sebagai perdana menteri dan mengetuai Barisan Nasional memenangi 5 PRU disebabkan pembangkang tidak bersatu dan masing-masing hanya mengutamakan kepentingan diri.

PAS AKAN TERSINGKIR DENGAN STERATEGI POLITIK MAKAN KELILING.

1. Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan kemudiannya disokong oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat bahawa "PAS bersedia untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan campuran selepas pilihanraya umum ke14 akan datang adalah suatu kenyataan yang mengelirukan.

Dalam kenyataan Datuk Dr Mahfodz Mohamad kepada FMT beliau berkata, "Sekarang ini PAS bersendirian dan PAS hanya dengan Ikatan dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain termasuk Bn."

2. Kenyataan terbaru ini merupakan lanjutan dari kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 3 Dis 2015 di Masjid Pengadang Baru Kuala Terangganu yang membawa maksud yang sama dengan kenyataan Dr Mohd Zuhdi Marzuki menimbulkan persoalan besar di minda rakyat yang semakin hari semakin tidak jelas ke arah manakah sebenarnya haluan parti yang pernah dianggap sebagai parti pembangkang utama di negara ini.

3. Dalam keadaan rakyat Malaysia yang semakin mengharapkan perubahan kerajaan dan garis pertentangan politik yang semakin ketara dan tajam di antara BN dan Pakatan Harapan dan PPBM,  strategi PAS yang cuba 'makan keliling' akan hanya menyebabkan PAS dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

POLITIK TAK TENTU HALA DITOLAK RAKYAT DAN AHLI PAS

4. Saya percaya Rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri dari PAS apabila menyedari PAS hanya berkehendakkan undi mereka untuk dijadikan 'alat tawar menawar' dengan mana-mana pakatan politik yang menang. Saya juga merasakan baik BN mahu pun blok pembangkang PH dan PPBM setelah memperhalusi pengumuman 'strategi' dari PAS ini, tidak terlalu naif untuk merelakan diri mereka berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada PAS bagi membentuk kerajaan. "Budaya politik tak tentu hala PAS sudah pasti akan dijadikan panduan kepada kedua-dua blok politik untuk menentukan apakah sikap mereka terhadap PAS dalam menghadapi PRU ke 14"?.

5. Dengan pengumuman sedemikan secara tidak langsung menunjukkan PAS telah mengakui bahawa ianya bukan lagi sebuah parti pembangkang yang selama ini menentang kebobrokan dan penyelewengan kerajaan UMNO/BN. Malah sudah sanggup dan bersedia untuk sama-sama membentuk kerajaan dengan UMNO/BN walaupun kenyataan Presiden PAS, YB Datuk Seri Hj Abd Hadi Awang yang PAS akan menentang Umno/BN dalam PRU14 nanti, tetapi kenyataan tersebut  tidak menafikan strategi makan keliling termasuk untuk  membentuk kerajaan campuran dengan UMNO/BN selepas PRU14 nanti.

"Saya yakin penerimaan majorati ahli dan penyokong PAS tidak menyenangi terhadap pernyataan sikap terbaru PAS ini sebagaimana yang diumumkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan disokong pula oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

6. Apa yang jelas, kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Dewan Ulamak Pusat ini jelas menjadikan kenyataan Naib Presiden PAS,YB Ustaz Idris Ahmad bahawa PAS akan masuk bertanding PRU 14 sebagai pembangkang dan tidak akan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN  sebagai satu kenyataan terpinggir dan pandangan minoriti di dalam PAS.

Ezam: Jho Low & bekas CEO 1MDB perlu diburu & diheret kemuka pengadilan

Hadi mungkin sudah ijtihad sebelum ke Iran, kata Nasharudin Mat Isa

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin telah berijtihad (membuat ketetapan dan menyelidik) sebelum memutuskan untuk pergi ke Iran.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Nasharudin Mat Isa berkata Hadi selaku orang alim mungkin sudah berfikir terlebih dahulu mengenai perkara itu.
“Saya tak pasti apa sebab beliau pergi ke Iran. Sebagai seorang alim sudah tentulah beliau sudah berijtihad.
“Ijtihad seorang alim ini Rasulullah SWA sudah sebut, bila kita berijtihad kita dapat dua iaitu kalau salah dapat satu pahala dan kalau betul dapat dua pahala.
“Saya pasti beliau sudah berijtihad dalam konteks itu. Saya dapati perdebatan dalam sosial media, saya tengok banyak perdebatan itu lebih kepada sentimen dan bukannya fakta,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia.
Nasharudin yang juga bekas timbalan presiden PAS berkata demikian ketika ditanya mengenai kecaman yang diterima Hadi kerana berkunjung ke Iran baru-baru ini dalam wawancara eksklusif bersama akhbar milik Umno itu.
Sebelum ini Hadi menjadi sasaran kecaman beberapa pihak yang tidak senang dengan kunjungan beliau ke Tehran ketika konflik di Syria masih berpanjangan.
Iran dianggap satu daripada negara asing yang membantu Presiden Bashar al-Assad menundukkan pemberontak terutama di Aleppo.
Perang di Syria juga ditafsir kebanyakan pihak sebagai pertembungan antara kumpulan Syiah dan Sunni.
Hal itu menyebabkan Hadi yang juga Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) turut menyatakan kesediaannya meletak jawatan setelah menerima teguran dari Presidennya dibuat Dr Yusuf al-Qaradawi.

Amanah mahu beri peluang Orang Asli bertanding PRU14


Datuk Husam Musa berucap di majlis makan malam dana PRU14 anjuran pemuda Amanah negeri Kelantan malam tadiDatuk Husam Musa berucap di majlis makan malam dana PRU14 anjuran pemuda Amanah negeri Kelantan malam tadi
Kebangkitan masyarakat Orang Asli memprotes tindakan memusnahkan hutan secara rakus oleh pihak kapitalis perlu diberi penghargaan dan seluruh rakyat Malaysia terhutang budi kepada mereka.
Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata Parti Amanah Negara (Amanah) memang berhasrat untuk memberi peluang kepada Orang Asli untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berkunjung ke kampung Orang Asli di Gua Musang minggu lalu telah bersetuju dengan cadangan itu.
"Kita yakin telah sampai masanya masyarakat Orang Asli yang telah berusaha mempertahankan khazanah hutan kita diberi peluang bersuara," katanya ketika berucap di majlis makan malam dana PRU14 anjuran pemuda Amanah negeri Kelantan malam tadi.
Rakyat Malaysia kata Husam harus merasa terhutang budi kepada Orang Asli yang sanggup berjuang untuk mempertahankan kelestarian alam sekitar yang amat penting kepada kehidupan.
"Mereka sanggup mengambil risiko berhadapan kerakusan kapitalis yang disokong pihak pemerintah yang menindas.
"Mereka juga tidak terpengaruh dengan cubaan memberi sogokan," katanya.
Menurutnya dalam peristiwa penangkapan di Gua Musang baru-baru ini, mereka menunjukkan solidariti luar biasa apabila pihak jabatan hutan membuat tangkapan.
"Semasa pihak berkuasa menyerang tempat mereka membuat blockade, tujuh orang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam trak polis.
"Kawan-kawan mereka yang lain turut memanjat naik ke dalam trak menjadikan jumlah semuanya 47 orang," katanya.

Pas Selangor tiada masalah kongsi pentas

Pas Selangor tidak mempunyai masalah untuk mengadakan program bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, setakat ini dua program ceramah umum Pas di Selangor diadakan dengan penceramah-penceramah daripada PKR dan Bersatu.
Iskandar Abdul Samad Beliau berkata, ceramah terkini adalah pada 5 Disember lalu, di mana menyaksikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa Rasiah bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di atas pentas.
Katanya, ceramah tersebut merupakan ceramah mega yang menarik sambutan luar biasa dan merupakan satu isyarat kepada penerimaan rakyat terhadap gandingan tiga parti itu.
"Ceramah itu juga membuka mata rakyat kepada kemungkinan-kemungkinan dalam perkembangan politik tanah air.
"Pas memang ada hubungan politik dan hubungan dalam kerajaan dengan PKR...malah ceramah Pas yang melibatkan pimpinan PKR memang kerap diadakan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hanya ceramah bersama pimpinan Bersatu di Selangor baharu dimulakan.
"Bagaimanapun, Pas di Kelantan dan Terengganu lebih dahulu menjemput pemimpin Bersatu dalam ceramah-ceramah mereka.
"Tapi kita masih bertegas untuk tidak bersama DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) di atas pentas politik kerana Pas tidak mempunyai hubungan politik dengan mereka," katanya.

Sama-sama cari pesalah skandal 1MDB

Hisbah Centre for Reform (Hisbah) mendesak rakyat Malaysia bersama-sama mengesan dan membawa setiap pesalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, hanya dengan usaha begini  maruah negara yang tercalar akibat skandal 1MBD dapat diperbaiki dan Malaysia kembali dihormati.
“Kita akan mengumpul maklumat, mencari segala ruang undang-undang yang ada, bekerjasama dengan semua badan-badan masyarakat dan institusi-institusi relevan yang lain. Sehingga akhirnya kita dapat pastikan mereka yang bertanggungjawab dalam skandal 1MDB ini tidak terlepas daripada hukuman menerusi proses undang-undang di dalam negara dan luar negara.
“Sejak beberapa minggu lalu, Hisbah sudah mula mengumpulkan beberapa pengamal undang-undang yang bersedia membantu inisiatif ini. Hisbah juga sudah mendapatkan khidmat beberapa individu dan syarikat perakaunan yang sedia membantu memastikan setiap langkah  diambil mengikut lunas perakaunan dan undang-undang negara dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, Hisbah membuka penyertaan awam seluruh rakyat Malaysia yang mahu bersama inisiatif ini.
“Matlamat terdekat inisiatif ini ialah untuk mengesan dan membawa personaliti utama di dalam kes ini ke muka pengadilan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini penting untuk mengembalikan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempertahankan prinsip undang-undang terhadap setiap pesalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

MUJURLAH HANYA ADA SATU JAMAL....

Pada mulanya saya agak malas untuk menulis mengenai Jamal Mohd Yunus yang sekali lagi menjadi percakapan ramai berikutan aksinya yang hanya bertuala kerana mahu menumpang mandi di pejabat Menteri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Tetapi, ramai rakan-rakan bertanyakan kenapa saya tidak mencuit walau sepatah pun tentang aksi terbaru Jamal itu. Dalam blog ini pun, ada juga yang meminta saya menulis mengenainya.

Untuk tidak menghampakan mereka, walaupun mungkin agak  terlewat dan isu berkaitan Jamal juga sudah mulai sejuk, saya akur akhirnya.

Sesiapa pun yang waras pasti akan mengatakan bahawa pemimpin politik, lebih-lebih lagi jika berjawatan Ketua UMNO Bahagian, bertitle Datuk Seri dan sedang melobi-lobi untuk bertanding dalam pilihanraya, tidak wajar sama-sekali berkelakuan sebegitu rupa. 

Perbuatan Jamal bertuala adalah kelakuan yang memalukan UMNO sebagai parti yang sudah lama berkuasa. Perlakuan Jamal hanya sesuai dilakukan oleh watak-watak jalanan yang tidak ketentuan kedudukan serta tarafnya.

Bagi pemimpin politik, akal dan fikiran haruslah mengatasi pertimbangan emosi dan perasaan. Membantah sesuatu isu, tidak menjadi kesalahan apa-apa, tetapi sampai sanggup bertuala, adalah keterlaluan dan seolah-olah sudah hilang pertimbangan akal fikiran.

Sebab itu, aksi Jamal tidak mendapar respon yang baik daripada UMNO dan para pemimpinnya. Saya cuba bercakap dengan beberapa kawan yang berjawatan dalam parti itu, semuanya terasa malu dan diaibkan dengan perlakuan Jamal itu.

Kata mereka, dalam kedudukan UMNO dan Najib Razak yang makin ditolak dan dipersoalkan, munculnya watak "badut"  seperti Jamal lebih menyukarkan lagi parti itu untuk mewajarkan perlunya ia terus disokong dan dikekalkan kuasanya.

Akan ada yang mempersoalkan, begitukah rupa wajah parti yang ingin diberikan kuasa?

Mujur hanya ada satu Jamal, kata mereka lagi.

BAILOUT: DR. MAHATHIR PERLU BERSIKAP JUJUR – PEMUDA UMNO


KUALA LUMPUR  – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa bersikap jujur dalam memperkatakan isu bailout dan bukan hanya menggunakan istilah itu semata-mata kerana dendam politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, ini kerana Dr. Mahathir ketika menerajui kepemimpinan kerajaan selama 22 tahun, beliau tidak pernah sunyi dalam melakukan bailout yang sesetengahnya dikaitkan dengan dakwaan wujud­nya amalan kronisme.
Katanya, fakta tidak pernah membohongi sesiapa dan jika bekas Perdana Menteri itu ghairah mahu melaungkan istilah bailout bagi memburukkan kepemimpinan Najib khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau perlu meneliti kembali sejarah pemerintahannya sebelum ini.
“Pada saya persoalan bailout ini hanya akan membongkarkan tindak-tanduk Dr. Mahathir ketika beliau memerintah, sesuatu yang sehingga kini tidak dilakukan oleh Najib sejak beliau mengambil alih kepemimpinan negara daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Kita tidak lupa isu melibatkan Bumiputra Malaysia Finance (BMF), isu Forex, Perwaja Steel,

Pengusaha teksi bakal kalah perang melawan GrabCar, Uber

Tanda-tanda menunjukkan industri teksi akan tumbang tidak lama lagi
Shamsubahrin-Ismail,-Uber,-GrabCar,-SPADPETALING JAYA: 2016 merupakan tahun yang baik untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan, dan malang buat industri teksi.
FMT menemui pemandu GrabCar dan Uber dan mendapati mereka positif akan masa depan industri itu.
Nick Koh, seorang siswa universiti berusia 23 tahun dan memandu GrabCar dan Uber secara separuh masa, percaya industri perkongsian kenderaan berkembang dengan pantas.
“Saya perasan kedua-dua syarikat giat mengambil pemandu baharu,” katanya. “Itu perkembangan yang bagus daripada segi perkhidmatan untuk pelanggan kerana lebih mudah untuk membuat tempahan.”
Sementara itu, Marvin Chong, seorang lagi pemandu GrabCar, tidak bimbang akan persaingan sesama mereka.
“Industri ini memang berkembang dengan baik, dan sebagai pemandu, memang boleh buat duit lebih,” katanya.
Koh, yang secara purata bekerja 20 jam seminggu, berharap kerajaan tidak mengenakan terlalu banyak peraturan ke atas mereka.
“Jangan terlalu mengawal industri ini,” katanya. “Galakkan persaingan sihat. GrabCar dan Uber boleh tawarkan kadar terbaik untuk pelanggan serta insentif bagi mengalakkan pemandu memberi khidmat terbaik.”
Perkembangan ini nampaknya berita buruk untuk pengusaha teksi.
Pengasas Perkhidmatan teksi Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, masa depan industri teksi menjadi kelam apabila Uber memulakan perkhidmatan mereka 3 tahun lalu.
“Kita sedar ribut sudah melanda industri,” katanya.
“2016 tahun yang malang untuk pengusaha teksi, dan tanda-tanda menunjukkan industri ini akan tumbang tidak lama lagi.

Kit Siang, jangan pura-pura tanya soalan, kata Salleh

Pemimpin DAP itu didakwa mengadun tuduhan sebagai soalan bagi mengelak daripada dikecam kerana membuat tuduhan palsu.
 lim-kit-siang,-salleh-said-keruakKUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pemimpin DAP Lim Kit Siang perlu menghentikan permainannya bertanya soalan yang beliau sudah tahu jawapannya.
Beliau juga meminta Kit Siang supaya tidak lagi berpura-pura untuk bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya membuat kenyataan atau tuduhan, dan belajarlah untuk menerima perbezaan pandangan.
“Lim Kit Siang mengemukakan banyak soalan kepada saya: sudah 35 setakat ini. Tetapi, walaupun beliau mengolahnya supaya kelihatan seperti soalan, ia sebenarnya kenyataan yang bertopengkan soalan.
“Ini adalah taktik biasa untuk membuat kenyataan yang kelihatan seperti soalan untuk menyebabkan orang yang anda tanya soalan itu tidak mempunyai banyak ruang untuk memberi jawapan,” kata Salleh dalam catatan terbaru melalui blog beliau hari ini.
Salleh berkata jika Kit Siang ingin membuat kenyataan atau tuduhan, buatlah dengan berterus terang.
“Kenapa hendak berpura-pura bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya bukan bertanya soalan? Beliau hanya ingin membuat tuduhan.
“Bagaimanapun, bagi mengelak daripada dikecam kerana membuat tuduhan palsu atau mengelirukan, beliau mengadunnya sebagai soalan dan jika diasak, beliau boleh mempertahankan diri dengan berkata beliau tidak membuat tuduhan, tetapi hanya bertanya soalan,” kata Salleh.
Menurut beliau, kebanyakan “soalan” yang Kit Siang kemukakan sebenarnya sudah dijawab anggota Kabinet lain dan pemimpin DAP itu juga tahu mengenainya, tetapi tetap berpura-pura tidak tahu mengenainya.

Drama calon PM sementara belum berakhir..!!

Timmy Say
Pembaca dinasihatkan untuk meninggalkan otak mereka ketika mengikuti drama ini. Anggaplah ia sebagai satu bentuk hiburan.
pakatan-harapan-bersatuNovember 12:
Di konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang pertama, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menegaskan calon perdana menteri sebelum terbebasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ditentukan segera.
“Siapa dia? Konvensyen ini akan putuskan dalam apa cara sekalipun,” kata beliau yang dipetik Malaysia Dateline.
Di sinilah bermulanya cadangan diadakan jawatan PM sementara.
Disember 15:
Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula mengesahkan PH akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan calon PM pakatan pembangkang.
Namun begitu, sebelum mesyuarat sempat diadakan…
Disember 16:
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dipetik China Press sebagai berkata PH sudahpun mencapai kata sepakat pada 13 Disember mengenai calon PM and timbalan PM sementara. Kit Siang juga memetik nama Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk menguatkan hujahnya.
“Seperti Mat Sabu sebut tadi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi calon yang baik untuk perdana menteri sementara. Saya akan menambah, dengan perjanjian yang dicapai antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada hari Selasa untuk pakatan pilihan raya bagi mengalahkan Umno/BN dalam pilihan raya umum akan datang, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi calon yang sesuai untuk jawatan timbalan perdana menteri sementara,” kata Kit Siang ketika menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran Jawatankuasa Perhubungan DAP Parlimen Bukit Gelugor.
Betul ke PH dah bincang?
Disember 20:
Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah pula muncul menafikan kata-kata Kit Siang dengan menegaskan bahawa PH tidak pernah berbincang untuk melantik Muhyiddin sebagai calon timbalan perdana menteri, lapor Free Malaysia Today.
Melihat kelam-kabutnya PH dalam isu ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tidak dapat menahan diri lalu masuk ke dalam perdebatan ini.
Disember 21:
“Lebih banyak kita bercakap mengenai siapa yang akan jadi perdana menteri, kita akan hilang sokongan rakyat yang kita perlukan undi mereka. Saya tidak ada pendapat (mengenai) siapa yang akan jadi perdana menteri, saya hanya fikir (perbincangan) ini perlu dihentikan,” tegas Rafizi seperti yang dilapor Malaysiakini.
Nada Rafizi seolah-olah tidak dipersetujui Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Salahuddin.
Disember 22:
Dalam membalas teguran Rafizi, Khalid menegaskan calon perdana menteri bagi PH perlu ditentukan untuk mengelakkan berlakunya perebutan kuasa dan memastikan PH dapat bertahan selepas pilihanraya, lapor Antarapos.
Salahuddin pula memberi amaran kegagalan PH memuktamadkan calon perdana menteri seolah-olah mengulangi kesilapan pakatan pembangkang dalam PRU13 pada 2013 yang lalu.
“Kali ini, kita mesti berani untuk menamakan siapa yang patut menjadi perdana menteri,” tegas beliau.
Melihat situasi yang semakin tegang ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mencadangkan agar Muhyiddin menjadi calon PM pembangkang pula bersuara.
Disember 23:

Ambil BR1M itu rasuah, salah di sisi undang-undang - Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) merupakan rasuah dan salah di sisi undang-undang.
Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.
“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tidak menolak kemungkinan pemberian BR1M dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,200 kerana percaya ‘umpan’ yang ditaburkan kepada rakyat berkesan.
“Pernah seorang penduduk kampung, apabila ditanya kenapa tidak menyokong BERSATU dan saya, dia jawab BERSATU tak bagi duit, Najib bagi duit.
“Inilah kesalahan kita, kita masih terima sedangkan tindakan itu akan merosakkan negara,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Mahathir turut berkata dengan pemberian BR1M, Najib kelihatan sangat yakin bantuan itu dapat meraih undi rakyat untuk terus menyokong BN.
“Najib (mungkin) percaya, “cash is king”, bagi duit cukup (dan) rakyat akan sokong dia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Tun Mahathir yang juga perdana menteri keempat itu berkata umpan BR1M itu mungkin dilihat sebagai usaha meringankan beban kewangan namun rakyat tetap menderita dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.
“Ketika ini banyak sektor berdepan kekangan perbelanjaan sehingga memberi tekanan kepada rakyat.
“Sekarang kalau ke hospital, ubat pun kena beli sendiri. Banyak lagi perbelanjaan yang tidak mencukupi, tetapi BR1M yang diberikan,” katanya.