Isnin, 19 Disember 2016

Nasib Safwan Anang diketahui esok, kata peguam

Eric Paulsen berkata Safwan mungkin dibebaskan sekiranya anggota kehakiman terima pakai tafsiran undang-undang dalam keputusan kes Adun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei.
safwan-anang-1
PETALING JAYA: Pengkritik Akta Hasutan berharap Mahkamah Rayuan akan menyebelahi mereka dalam keputusan ke atas rayuan kes hasutan aktivis Safwan Anang esok.
Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata, Safwan mungkin dibebaskan sekiranya anggota kehakiman terima pakai tafsiran undang-undang dalam keputusan ke atas sebuah kes di Mahkamah Rayuan bulan lepas.
Paulsen berharap denda RM5,000 yang dikenakan ke atas Safwan dan rayuan balas kerajaan dibuang.
Pada 25 November lalu, anggota kehakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Adun Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei, yang mencabar keperlembagaan Akta Hasutan berhubung kecenderungan menghasut dan hukumannya, memutuskan niat dan hasrat perlu dibuktikan bagi menentukan kes prima facie dalam kes hasutan.
Paulsen bagaimanapun menambah anggota kehakiman dalam kes Safwan tidak terikat kepada tafsiran kes Mat Shuhaimi, kerana semua hakim Mahkamah Rayuan berada pada kedudukan sama rata, dan boleh membuat kesimpulan tersendiri.
Mereka tidak terikat kepada keputusan kes Mat Shuhaimi, katanya.
Rayuan Safwan didengari hakim Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Prasad Sandosham Abarahim pada Julai.
Aktivis itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lepas yang mengekalkan pensabitan di bawah Akta Hasutan.

Kontraktor China lebih dipercayai Umno berbanding tempatan - PAS Terengganu

Oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah
PAS Terengganu melahirkan rasa dukacita terutama kepada kontraktor-kontraktor tempatan yang mutakhir dilihat sebagai tidak dapat memenangi hati pimpinan Umno bagi menjalankan projek-projek mega buka sahaja di negeri Terengganu malah juga di seluruh Malaysia.


Rasa kekesalan PAS ini lebih pedih apabila melihat angka bagi nilai projek-projek yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dua hari lepas memaklumkan kepada Dewan Negara, sebanyak 140 projek yang bernilai RM38 bilion telah dianugerahkan kepada kontraktor dari China semenjak 2010.

Saya ingin mengecilkan skop penulisan ini dengan hanya menumpukan kepada projek-projek yang berada di dalam Terengganu sahaja. Beberapa projek seperti Projek Bekalan Air di Kemaman, telah diserahkan kepada sebuah syarikat daripada China, Beijing Enterprise Water, dengan cara kontrak runding terus, menggunakan cara bayaran tertangguh bernilai RM500 juta. Saya tidak mengetahui apakah sistem yang terlalu canggih yang digunakan oleh China, sehingga kontraktor tempatan tidak diberikan tanggungjawab sebagai kontraktor utama bagi membina Projek Bekalan Air ini.

Nun jauh berpuluh tahun yang lalu, 1990, kerajaan negeri juga telah mengadakan perjanjian dengan Syarikat China Anshan Corporation dengan perjanjian pajakan selama 21 tahun bagi lesen melombong bijih di Bukit Besi yang akhirnya kerajaan negeri disaman oleh Anshan kerana didakwa melanggar terma perjanjian. Sehingga kini, kita tidak tahu status saman itu.

Manakala dengan kontrak baru tawaran melombong kepada syarikat-syarikat lain termasuk beberapa syarikat dari China, akhirnya sekitar tahun 2015, menyaksikan Bukit Besi menjadi gondol kerana pembalakan yang beralasan kepada perlombongan yang tidak mengikut peraturan. Malah lebih teruk dari itu, banyak hidupan sungai juga turut musnah. Paling malang, dalam jawapan di Dun, kerajaan hanya mengutip kira-kira RM800,000 sahaja bagi tempoh tujuh tahun perlombongan berjalan daripada 13 buah syarikat yang melabur.

Oleh kerana kegagalan projek perlombongan Bukit Besi ini, Kilang Eastern Steel yang dimiliki bersama oleh Hiap Teck Venture Berhad dengan Shougang Group of China, yang terletak di Kemaman itu, dikatakan tidak dapat beroperasi. Sedangkan ianya dahulu dikatakan kononnya sebagai penyelamat kepada pekerja-pekerja Perwaja Steel yang diberhentikan.

PAS tak tertakluk kepada perjanjian pilihan raya, kata Hadi

Strategi PAS berhubung kerusi pilihan raya bergantung kepada kekuatan parti di kawasan berkenaan
hadi-pas
PETALING JAYA: Gerak PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak tertakluk dengan perjanjian pilihan raya dengan parti lain, kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya strategi PAS berhubung pemilihan kerusi pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bergantung kepada kekuatan parti di kawasan berkenaan.
“Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, samada 2 penjuru, 3 penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya.
“Selain, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membentuk satu pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan Barisan Nasional.
Ia antara lain bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang.
PAS meneruskan kerjasamanya dengan PKR, didekati PPBM, dan memusuhi DAP dan Amanah yang merupakan komponen Pakatan Harapan.
Keengganan bekerjasama dengan PH menyebabkan parti Islam itu didakwa menerima habuan “dedak” – istilah yang dikaitkan dengan rasuah – dan tidak lagi berminat menukar kerajaan BN.
“PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS,” kata Hadi.

Utamakan manifesto, bukan calon PM, kata Ibrahim Ali

Calon PM tidak menjelaskan dasar dan hala tuju pakatan yang dibentuk oleh parti pelbagai latar belakang dan ideologi.
ibrahim-ali-pakatan
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya digesa menumpukan pembentukan manifesto supaya pengundi jelas dasar dan hala tuju pakatan pilihan raya itu.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menjelaskan manifesto lebih penting daripada calon perdana menteri, kerana pakatan pembangkang dibentuk oleh parti pelbagai latar belakang dan ideologi.
“Saya rasa belum tiba masanya lagi (untuk umum calon PM). Orang nak tengok manifesto. Bila sebut saja Pakatan Harapan, dasar reformasi, apa yang reformasi?
“Apakah reformasi dan dasar yang diperjuangkan oleh DAP akan menjadi dasar Pakatan, yang ada menyentuh nadi Perlembagaan Persekutuan?” kata Ibrahim dalam wawancara bersama FMT di ibu pejabat Perkasa hari ini.
DAP sebelum ini sering dituduh anti-Melayu dan anti-Islam, tuduhan yang dinafikan oleh parti sosial demokrat itu. Ia membentuk Pakatan Harapan bersama Amanah, yang membawa aliran Islam, dan PKR, yang membawa agenda reformasi bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pakatan menandatangani satu kerjasama pilihan raya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Manifesto lebih penting daripada calon perdana menteri. PH kena jelaskan dahulu,” kata Ibrahim, pemimpin Perkasa yang membawa agenda pro-Bumiputera.
Tokoh DAP Lim Kit Siang pada Sabtu dilaporkan berkata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan dan PPBM menang pilihan raya.
Azizah akan memangku jawatan nombor 1 itu sehingga Anwar dibebaskan dari penjara.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

PAS tentang rasuah BN, tapi tetap tolak DAP, AMANAH

PAS adalah sebuah organisasi yang mengambil jalur tarbiyah, dakwah dan politik dengan berpegang pada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.
PAS juga maklum bahawa suasana politik Malaysia ada ketikanya statik dan kadangkalanya dinamik.
Justeru itu, PAS bersikap terbuka, berhati-hati dan mengambil pengalaman lalu dalam menentukan sikap politiknya terutama isu tahaluf dan kerjasama kepartian, namun PAS akan sentiasa tegas dalam prinsip.
Jelasnya matlamat PAS terlibat dalam politik adalah untuk membawa mesej menyelamatkan manusia dengan Islam sebagai cara hidup yang tidak memisahkan dunia dengan agama, di mana perkara dasar dan prinsip PAS adalah tetap manakala cara perubahan dilakukan pula boleh berbagai selagi mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah.
Persepsi songsang yang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya PAS telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan BN yang ada pada masa kini termasuklah fitnah PAS menerima habuan "dedak" tertentu.
PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS.
PAS akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.
Pada masa yang sama PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan ummatnya.
PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita.
Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, sama ada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisisnya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan.

Telahan akhbar Singapura: PRU14 - April, Mei atau Oktober?

Meskipun hayat Parlimen tidak perlu dibubarkan sebelum Ogos tahun depan, akhbar harian Singapura, Straits Times, membuat spekulasi mengenai bila pilihan raya umum akan datang.
Menurut akhbar itu tidak mungkin pilihan raya umum diadakan pada bulan puasa atau minggu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.
Musim tengkujuh, katanya, adalah satu lagi tempoh pilihan raya dielakkan berikutan banjir di negeri-negeri pantai timur.
Berdasarkan faktor-faktor ini, Straits Times berkata adalah tidak mungkin bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen pada bulan Januari, Februari, Mac, Jun, September, November atau Disember 2017.
"Slot jelas untuk mengadakan pilihan raya adalah pada separuh pertama tahun depan iaitu pada bulan April dan Mei, sebelum ibadah puasa bermula pada 27 Mei, kata pemerhati politik,” petik laporan itu.
Bagi separuh kedua tahun 2017, akhbar itu berkata masa yang sesuai adalah sekitar akhir Julai hingga awal bulan Ogos, tetapi kebanyakan penganalisis dan ahli politik lebih memihak kepada bulan Oktober.
Penganalisis Amir Fareed Rahim daripada kumpulan perundingan KRA adalah antara mereka yang percaya pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober berdasarkan beberapa faktor.
Pada bulan Ogos nanti, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA, di mana ia berharap untuk meraih sebanyak manapingat emas. Susulan itu, negara akan menyambut kemerdekaan ke-60 pada 31Ogos.
Perdana menteri kemudian dijadual membentangkan bajet pilihan raya pada bulan Oktober, yang lazimnya dilakukan pada minggu ketiga bulan ini.
"Kejayaan sukan SEA, sambutan kemerdekaan dan Bajet; naratifnya adalah jika mahu semua ini, terus undi kami," kata Amir.
Straits Times juga menyatakan reputasi Najib sebagai seorang ahli politik yang cukup berhati-hati berhubung pemilihan tarikh pilihan raya.
"Najib tidak dikenali sebagai seorang yang membuat keputusan muktamad. Jika perkara itu tidak pasti, beliau akan melenggah-lenggahkannya, beliau bukan seorang yang mengambil risiko," kata felo Institut Pulau Pinang Wong Chin Huat.

Legasi Najib melalui hutang yg akan membebankan rakyat Malaysia

Ringgit lemah, kos barangan dan sara hidup naik

"Anwar calon selesa pada DAP, boleh telan bulat-bulat dasar DAP," kata Tok Him

Komitmen PKR untuk PH-PPBM lebih penting berbanding PAS, kata Abdullah Sani

Kerajaan Umno@Bn akan teruskan pindaan undang-undang mengikut TPP

Antara pindaan itu termasuk undang-undang tidak membenarkan kanak-kanak bekerja, kata menteri perdagangan antarabangsa
Mustapa-Mohamed-TPPA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas bersetuju untuk meneruskan pindaan undang-undang berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata persetujuan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meneruskan pindaan 18 undang-undang negara berkaitan TPP walaupun perjanjian itu diteruskan atau tidak.
Katanya, sebahagian undang-undang yang dipinda itu adalah undang-undang spesifik mengenai TPP sekiranya Malaysia menjadi ahli TPP dan sebahagiannya lagi merupakan undang-undang di mana kerajaan bersetuju untuk meminda dan ia tiada kaitan dengan TPP.
“Mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas telah membuat keputusan untuk tetap meneruskan pindaan undang-undang berkaitan TPP seperti yang berkaitan Kementerian Sumber Manusia mengenai undang-undang tidak membenarkan kanak-kanak bekerja,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengenai strategi Malaysia terhadap perancangan perjanjian TPP berikutan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Usah dahului mahkamah, Faiz belum dibuktikan bersalah - Mat Sabu

Mohamad berharap peguam-peguam dari Biro Undang-undang Amanah (Kanun) akan membela Mohd faiz jika beliau dihadapkan ke mahkamah
Prinsip keadilan Islam meletakkan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan ia terpakai dalam semua keadaan dan semua orang termasuk kepada bukan Islam, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Mengulas mengenai isu Mohd Faiz yang yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, beliau berkata tuduhan yang dilempar terhadap pemuda itu seolah-olah beliau benar-benar bersalah walaupun belum diadili.
"Dalam isu Mohd Faiz, kita melihat komen dan tuduhan dilemparkan terhadap beliau di media-media sosial seolah-olah beliau telah bersalah sedangkan beliau belum diadili.
"Pada masa yang sama beliau juga telah menyatakan permohonan maaf diatas keterlanjuran tulisnnya itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Mohd Faiz memohon maaf dengan menjelaskan status Facebooknya sebelum ini tidak berniat menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja sebaliknya hanya mahu melihat kuasa Majlis Raja-raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagaimanapun berkata, pihaknya akan tetap meneruskan siasatan terhadap Mohd Faiz walaupun beliau telah memohon maaf.

Perlembagaan sudah perjelas, Hanipa tegur pengadu domba PANDAP

Saya melihat ada dua jenis kekeliruan ditujukan terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu kekeliruan yang disengajakan dan kekeliruan yang tidak disengajakan. Bagi saya kekeliruan yang pertama itu adalah suatu kekeliruan yang tidak jujur (dishonest), manakala kekeliruan yang kedua lebih jujur sifatnya.
Saya tidak akan bicara panjang mengenai kekeliruan yang pertama kerana bagi saya kekeliruan ini datangnya dari pihak pihak yang amat tidak senang dengan kewujudan Amanah sejak dari awal lagi. Maka antara lain digelar Parti Amanah Negara sebagai PAN. Pada Facebook saya, golongan ini amat minat menggelar Parti Amanah sebagai PANDAP.
YB Hanipa Maidin, Anggota Parlimen Sepang dan Pengerusi Biro Kanun Amanah Nasional.
Menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN menunjukkan secara jelas yang mereka mungkin tidak pernah melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara.
Perpatah Arab ada menyatakan “manusia menjadi musuh kepada perkara yang mereka tidak tahu”. Memandangkan golongan pertama ini tidak tahu isi Perlembagaan Parti Amanah maka mereka menjadi musuh kepada Amanah lalu menggelar Parti Amanah Negara dengan istilah PAN.
Jika orang yang menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN mengambil masa sedikit melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara sudah tentu tidak timbul penggunaan istilah PAN. Ini kerana di Bahagian 1 Perlembagaan Parti Amanah Nasional iaitu di dalam Artikel 1 dinyatakan dengan jelas akronim (nama pendek) bagi Parti Amanah adalah AMANAH dan bukannya PAN.
Ada juga pihak yang mendakwa kononnya Amanah bukan parti yang berlandaskan Islam. Mungkin kerana Amanah adalah parti yang mengambil alih parti pekerja maka golongan ini merasakan Islam tidak ada tempat di dalam Amanah.

Rundingan PAS-PPBM: Tunggu keputusan pimpinan tertinggi

Amanah tidak akan secemerlang PAS, kata penganalisis

Pendirian PAS setakat ini takkan serah kerusi kepada parti lain - Iskandar

Azmin sedia timbang cadangan PKR bergabung dengan AMANAH

PKR sedia beri kerusi kepada BERSATU - Azmin

RUU 355: Jamil Khir silap, perlu persetujuan negeri, Raja-raja - Zaid

Persetujuan oleh negeri-negeri dan Raja-Raja Melayu diperlukan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) walaupun ini melalui rang undang-undang ahli persendirian, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Oleh itu, kata Zaid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom silap apabila berkata kerajaan boleh berbuat demikian dengan mengambil alih rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda akta berkenaan.
"Sama ada ia dibentangkan oleh Abdul Hadi atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, keperluannya adalah sama.
"Undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan Raja-Raja Melayu, jadi sebarang pindaan kepada Akta 355 mesti mendapatkan persetujuan mereka," kata Zaid dalam blog video hari ini.
Semalam, Jamil Khir pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur disoal mengapa kerajaan tidak membentangkan pindaan kepada Akta 355 itu sendiri.
Beliau menjawab dengan berbuat demikian kerajaan terpaksa mendapatkan persetujuan dari semua negeri.

Bersih mahu SPR beri butiran 500,000 pengundi baharu

Maria Chin juga mahu SPR menjelaskan bagaimana pengundi baharu memberi kesan kepada proses persempadanan semula.
Maria-ChinPETALING JAYA: Bersih 2.0 mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi butiran 500,000 pengundi berdaftar baharu kerana bimbang mereka adalah pengundi hantu, kata Maria Chin Abdullah.
Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, ia tidak menjadi masalah jika terdapat 500,000 pengundi baharu, tetapi SPR perlu memberikan butiran mereka.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming menyuarakan kebimbangan berhubung Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2016 yang menunjukkan terdapat 501,799 pengundi baharu antara Julai dan September lalu.
Katanya, ia adalah 5 kali ganda berbanding jumlah biasa pengundi baharu untuk setiap suku.
Maria juga mahu SPR menjelaskan bagaimana pengundi baharu itu akan memberi kesan kepada proses persempadanan semula dan lebih penting ialah daftar pemilih sedia ada tidak lengkap.
“Ada beribu pengundi dalam daftar pemilih itu yang alamatnya tidak lengkap. Keutamaan perlu diberikan untuk memastikan maklumat itu lengkap.”
Beliau juga mahu SPR mendedahkan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik sebagai penolong pegawai pendaftaran.
“Kami tak nampak orang berjalan di sekitar bandar mendaftar pengundi. Jadi, siapa yang buat kerja ini dan di mana ia dilakukan. Perlu ada ketelusan.”

RUU355: Parti komponen BN akan bantah atau terus ikut telunjuk UMNO?

GEORGE TOWN, 19 DIS: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) pindaan Akta 355 perlu menyatakan pendirian dengan segera jika tidak mahu dituduh sebagai ‘pak turut’ kepada UMNO.
Ia berikutan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, semalam, yang mendesak agar RUU itu disokong komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana ia akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan.
“Parti komponen BN yang menentang RUU tersebut perlu membuat pendirian jelas terhadap kenyataan Ahmad Maslan berkenaan, jika tidak mereka akan dianggap sebagai menyokong,” tegas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, RUU penuh kontroversi itu dibawa dan dibentang secara persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
Mengikut prosedur, untuk sebarang akta atau RUU melepasi Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia haruslah dibentangkan sendiri oleh pihak kerajaan.

Umno takut hilang undi orang Melayu

ALOR SETAR – Umno didakwa sengaja memainkan isu perkauman kerana khuatir parti itu tidak mendapat kepercayaan dan sokongan lagi daripada majoriti orang Melayu pada PRU14 nanti.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, tindakan itu adalah keterlaluan dan cuba menghasut rakyat supaya tidak mengundi DAP dengan alasan kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan.
Umno “Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) cuba menakutkan, mengeliru dan menghasut rakyat bahawa DAP adalah musuh terbesar dalam negara semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 baru-baru ini.
“Dikatakan kalau pilih DAP, maksudnya hak-hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan. Bukankah ini menghasut? Sebenarnya kalau kita dengar mesej Najib, dia bukan ambil kisah tentang orang Cina pun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan semasa forum cerdas rakyat anjuran PKR Alor Setar di Dewan Kang Har Tong, Kampung Berjaya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, Najib sedia maklum bahawa orang Cina sendiri sudah hilang keyakinan terhadap BN, MCA dan Gerakan. Malah ramai pengundi India juga tidak menyokong lagi MIC.
“Tetapi apa yang paling dia takut adalah sekiranya orang Melayu hilang keyakinan kepada Umno dan BN. Sebab itu dia menggunakan perkauman untuk menakutkan orang Melayu.
“Kalaulah orang Melayu, dia nak serang pun mungkin PKR, Amanah dan Parti Bersatu. Kalau rakyat sokong pembangkang, maksudnya sokong DAP. Itulah niat mereka di sebaliknya. Tetapi sangat penting untuk kita memperbetulkan pandangan penipu ini,” katanya.

BRITAIN TUNJUK MINAT SIASATAN SKANDAL 1MDB?

Sebuah akhbar berpengaruh di Britain, The Guardian, membuat percubaan mendapatkan akses kepada dokumen bagi memastikan sama ada United Kingdom melakukan siasatan terhadap 1MDB.
Beberapa cubaan untuk memperoleh maklumat berkenaan dibuat melalui permohonan kepada agensi penguat kuasa negara terbabit.
Antara agensi yang dihubungi ialah Kementerian Dalam Negeri, kastam dan polis.
“Semunya ditolak,” lapor akhbar itu dalam laporan disiarkan mereka hari ini.
Bagaimanapun The Guardian dilaporkan memperoleh akses satu laporan diplomatik berkaitan yang dibuat Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur walaupun dokumen berkenaan mengalami suntingan yang banyak.
Apa yang tinggal pada laporan berkenaan adalah fakta berkaitan keputusan Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Datuk Seri Najib Razak daripada tuduhan rasuah berkaitan wang RM2.6 bilion dalam akaun persendirian perdana menteri.
“Najib berkata beliau menerima AS$700 juta (RM2.6 bilion) sebagai derma daripada keluarga bangsawan Arab Saudi dan ia adalah untuk menyokong amalan Islam di Malaysia serta melawan Daesh.
“Bagaimanapun minggu ini AG berkata wang berkenaan diberikan ‘tanpa sebarang pertimbangan’,” kata laporan bertarikh 29 Januari itu, namun nama penulisnya telah disunting.
PM sudah nafikan
Satu lagi laporan yang banyak disunting – bertarikh 13 Ogos – juga diperolehi The Guardian.
“Pada 8 Ogos Najib mengumumkan MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membebaskannya daripada tuduhan rasuah dan dana dalam akaun banknya adalah derma dari Timur Tengah, bukannya dari 1MDB.
“Tiada sebarang kenyataan rasmi oleh MACC berhubung isu berkenaan,” kata laporan berkenaan.
The Guardian menyatakan walaupun ada petunjuk satu siasatan terhadap 1MDB sedang berjalan di UK, tiada sebarang pengesahan mengenainya.

Tak perlu panik, ringgit akan pulih, kata menteri kewangan

Johari berkata, tambatan ringgit atau kawalan modal tidak perlu memandangkan Malaysia merupakan ekonomi terbuka.
Johari-Abdul-Ghani_ringgit_600KUALA LUMPUR: Nilai ringgit yang rendah seiring mata wang pasaran pesat membangun lain berbanding dolar Amerika, mempunyai kekuatan untuk pulih, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
“Kita tidak perlu panik. Kita mempunyai ekosistem yang boleh membetulkannya, memastikan kestabilan politik kukuh dan (berterusan) melaksanakan dasar yang tepat untuk memudahkan pelabur,” katanya semasa ditanya mengenai kejatuhan ringgit kepada 4.4805 berbanding dolar AS awal hari ini.
Tambatan ringgit atau kawalan modal tidak perlu memandangkan Malaysia merupakan ekonomi terbuka, katanya selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian strategik antara Amanah Raya Bhd dan Kenedix Inc, Jepun.
Beliau berkata, dengan adanya semua faktor penting, ringgit akan kembali pulih.
Ringgit dan mata wang pesat membangun lain susut berbanding dolar AS berikutan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, Rabu lepas.
Rizab Persekutuan AS juga memberi petunjuk yang akan ada lebih banyak kenaikan kadar pada 2017.
Johari berkata, jumlah kenaikan kadar faedah oleh AS bergantung kepada dasar dilaksanakan Presiden baharu, Donald Trump dan Malaysia perlu menunggu perkembangannya.

Pegawai kanan polis didakwa ubah wang haram RM2.07 juta

Seorang pegawai kanan polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tujuh pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM2.07 juta, dari September 2014
hingga Disember tahun lalu.
Tertuduh DSP Mohd Ismail Syed Merah, 53, yang bertugas di Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nazir.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Sept 2014 hingga 28 Dis 2015 di tiga lokasi berlainan iaitu di bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak di Johor Bahru serta dua bank, masing-masing RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat.
Bagi lima pertuduhan, Mohd Ismail didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram masing-masing sebanyak RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000 untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takaful Life dan Pelan TakafulLink yang didaftarkan di atas namanya serta anak
kandung, Nur Aqillah Mohd Ismail.
Dua pertuduhan pula berkaitan melakukan pengubahan wang haram RM499,620 dan RM29,950 menggunakan akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee, 58, di dua bank tersebut.
Mohd Ismail didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Polis siasat 15 NGO disyaki terima dana asing


Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang disiasat kerana disyaki menerima dana yang meragui daripada pihak asing.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya juga akan memberi laporan penuh berkaitan siasatan dilakukan secepat mungkin.
"Saya akan memberi laporan interim dulu kepada Timbalan Perdana Menteri.
"Dan siasatan akan kita teruskan. Kita sedang mengkaji semua NGO yang (disyaki) menerima dana-dana asing," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di Senai, hari ini.
Khalid berkata, polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas NGO terbabit, dan ia masih belum selesai.
"Saya mengingatkan (NGO) apa nak takut. kalau tak salah, kalau tak ada menggunakan dana untuk tujuan-tujuan yang melanggar peraturan... melanggar undang-undang.
"Tetapi mereka yang tak mematuhi undang-undang, menggunakan dana itu untuk tujuan mengancam demokrasi berparlimen di negara ini, yang ini yang patut risau," katanya.

Ringgit kini 4.48, paras terendah sejak krisis kewangan 1998

Matawang tempatan, ringgit mencecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia pada 1998 iaitu RM4.48 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran aktiviti para pelabur yang secara berterusan menjual aset pasaran membangun.
Keadaan aliran keluar itu turut diburukkan lagi dengan tindakan yang disifatkan keras oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas spekulator mata wang pada bulan lalu, memetik laporan Bloomberg.
Ringgit menyusut sebanyak 0.1 peratus ke tahap yang tidak pernah disaksikan semenjak bulan Januari 1998, menurut beberapa harga dari bank-bank tempatan yang dikumpul Bloomberg.
Ringgit telah mengalami penyusutan lebih 6 peratus semenjak pilihan raya AS dengan menjadi penurunan terbesar di pasaran Asia membangun atas jangkaan bakal Presiden AS, Donald Trump akan memperkenalkan dasar fiskal berteraskan inflasi sehingga mendorong aliran keluar dari rantau ini.
"Ia merupakan pertemuan relatif penurunan dalam metrik tunai, pegangan asing dalam bon yang semakin terjual, kebimbangan pelabur mengenai kawalan FX dan risiko politik atau tajuk asas," kata Vishnu Varathan, ahli ekonomi kanan di Mizuho Bank Ltd di Singapura.
Beberapa hari yang lalu, Wall Street Journal melaporkan, Malaysia dilaporkan menjadi salah satu daripada ekonomi di rantau Asia yang paling teruk terjejas ekoran kenaikan kadar faedah dan dolar AS.
Para pelabur asing menjual saham dan bon Malaysia bernilai AS$5.3 bilion pada bulan November, menjadi aliran keluar bulanan terbesar sejak September 2011, menurut ANZ Bank, katanya.
"Ia hampir satu perempat daripada AS$22.1 bilion yang ditarik keluar dari pasaran membangun di rantau ini termasuk China," mengikut catatan WSJ.
Sebahagian besar daripada ini, ujar laporan itu, adalah bon bernilai AS$4.5 bilion dengan aliran keluar hutang bulanan terbesar dalam sejarah, jelas ANZ lagi.

Zunar ikrar terus lukis kartun bongkar rasuah, ketidakadilan

Zunar berkata, bakat adalah tanggungjawab yang lebih besar daripada ketakutan dipenjarakan dan kerajaan tidak boleh mengharamkan cara pemikirannya.
ZunarPETALING JAYA: Walaupun takut dipenjarakan, kartunis kontroversi Zunar berikrar akan terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir dalam usaha membongkar kegiatan rasuah dan ketidakadilan di negara ini.
Beliau berkata, bakat bukan anugerah, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang lebih besar daripada ketakutan.
“Mereka boleh haramkan buku saya, mereka boleh haramkan kartun saya, tetapi anda tidak boleh mengharamkan minda saya. Saya akan terus melukis hingga ke titisan dakwat terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkilflee Anwar Ulhaque berkata, beliau kini berdepan 9 pertuduhan di bawah Akta Hasutan, selain pernah ditahan 2 kali di bawah akta sama dengan 7 bukunya diharamkan, 3 kilang percetakan yang mencetak bukunya dan pejabatnya diserbu pihak berkuasa.
Katanya, pengendali laman webnya turut ditahan, selain beliau dilarang keluar negara sejak pertengahan bulan lalu.
Terbaru, beliau bersama 2 pembantu dan 2 peminatnya ditahan ketika menghadiri majlis “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kira-kira 3 petang Sabtu lalu dan disiasat di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan atas alasan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Notis tuntutan PAS hanya gimik politik, kata Zaid

Datuk Zaid Ibrahim berkata tuntutan saman PAS terhadap pengarang Sarawak Report itu akan hanya membawa kepada pendedahan yang memalukan.
Zaid-IbrahimPETALING JAYA : Keputusan PAS menghantar notis tuntutan kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menuntut penarikan balik artikel yang mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak merupakan gimik politik.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata Majlis Syura PAS perlu memikirkan semula tindakan berkenaan dan memberitahu ahli parti Islam itu mengenai implikasi terhadap ancaman untuk menyaman Clare.
Menerusi artikel terbaru di blognya hari ini, Zaid berkata saman fitnah yang dibuat PAS itu akan membuka semua jenis pendedahan yang memalukan.
Malah, katanya ramai ahli PAS yang tidak sedar saman difailkan di London itu akan membabitkan wang RM1.5 juta bagi kos guaman dan rakyat nanti akan bertanya dari mana wang sebanyak itu diperoleh.
Beliau berkata jika PAS meneruskan prosiding undang-undang, Clare akan sepina perdana menteri dan tindakan itu akan menjejaskan persahabatan PAS dan Umno yang “intim” kini.
“Mereka yang menasihati parti itu untuk menyaman Sarawak Report mengambil sikap yang mudah dan tidak cerdik.
“Walaupun ada wang, mereka sepatutnya tidak mahu memalukan perdana menteri dengan mengambil tindakan ini,” katanya.
Jumaat lalu, PAS menyenaraikan 3 tuntutan terhadap portal berita Sarawak Report dalam surat rasmi berhubung laporan yang mengaitkan parti itu menerima “imbuhan” RM90 juta daripada Umno.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata surat tuntutan itu diserahkan pada 13 Disember lalu kepada Clare yang beralamat di London.
Notis tuntutan itu mendesak Sarawak Report membuang artikel berkenaan daripada laman webnya, menyiarkan permohonan maaf atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui PAS serta portal itu perlu berjanji tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

PINDAAN AKTA 355 – APA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT MENURUT UMNO

 

"Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini...jika benar mahukan perpaduan sepatutnya tersangat penting ialah antara Islam dan bukan-Islam demi survival Malaysia."

Baca tiga petikan ini untuk faham kenapa usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 dilepaskan oleh UMNO kepada Presiden PAS untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat.
Selepas membaca nilai sendiri kesannya.
1.      Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan: "Ia (RUU) adalah satu pengikat antara perpaduan kita dengan PAS dan ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355.”
2.      Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom: “Kenapa undang-undang persendirian? Kenapa kerajaan tak bawa terus? Kita ada kekangan-kekangan kita, kita ada SOP kita. Kalau kerajaan bawa kita kena konsenses 14 buah negeri dibawa kepada kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja.”
3.      Ahmad Maslan: “...rang undang-undang itu selepas ini akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.”
Dan melalui tiga perkara yang tersurat ini Ahmad Maslan berhujah komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi boleh berkata tidak kepada rang undang-undang persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355.
Amat jelas jika dilihat kepada hujah Ahmad Maslan RUU adalah satu pengikat perpaduan UMNO-PAS apabila beliau menyebut, “satu pengikat antara perpaduan kita (UMNO) dengan PAS”.
Walaupun tiada kerjasama politik tetapi UMNO membuktikan betapa pentingnya ikatan perpaduan antara parti itu dengan PAS.
Kerana inilah  mungkin parti komponen dalam BN tidak diberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai tujuan pindaan dan kenapa diberikan hak kepada PAS untuk membawa usul berkenaan.
Jika benar ia amat penting untuk Melayu dan Islam, UMNO sebagai parti memperjuangkan dua perkara itu mesti ambil tanggungjawab untuk membawa usul.
Namun demi perpaduan UMNO-PAS, UMNO sanggup berdepan kritikan rakan komponennya, selain rakyat bukan Islam.
UMNO bimbang menerangkan kepada rakan komponen bahawa ia mempunyai biat untuk berbaik dengan PAS kerana akan dilihat mementingkan kesepakatan Melayu dan Islam.
Salahkah? Memang UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan memartabatkan Islam.
Dengan berselindung sebegini, lebih menimbulkan syak wasangka dan kini sudah didedah dan diakui mengenai wujudnya usaha perpaduan itu.

Yang juga menjadi pertanyaan ialah kenapa dalam banyak-banyak pemimpin UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang pastinya Islam, Hadi yang menjadi pilihan?
Bukankah ini antara perkara yang dibangkitkan oleh parti komponen?
Juga kenapa ahli UMNO membisu apabila pemimpin mereka yang tidak kurang Islam berbanding Hadi diketepikan begitu sahaja sebaliknya pucuk pimpinan memilih Hadi untuk membentangkan usul berkenaan?
Tidak beranikah pemimpin UMNO dan rata-rata ahli UMNO untuk memperkatakan hal ini dan mempersoalkan ‘kenapa pilih Hadi’ kepada pucuk pimpinan?
Jika  menteri UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang bentangkan usul pindaan ini, rasanya tidak akan timbul masalah besar.
Hadi di mata orang Islam dan bukan Islam tidaklah mempunyai rekod cemerlang. Hadi yang terbukti terpalit dengan AMANAH HADI dan dilihat gagal memperjuangkan Hudud sebenarnya hanya mendatangkan masalah kepada UMNO dan kerajaan apabila dibenarkan membentangkan usul bagi pihak UMNO. Kini sudah jelas menjadi isu gara-gara ‘perpaduan’ seperti yang disebut Ahmad Maslan itu.
Fahamkah pemimpin UMNO dan Ahmad Maslan sendiri bahawa penentangan sejauh ini bukan mengenai tujuan dan kandungan Akta 355 tetapi kenapa Hadi yang mengusulkannya?
Fahamilah ketakutan bukan Islam kepada Hadi dan PAS dan jangan pula UMNO dan pucuk pimpinannya ‘sesat’ hanya kerana kepentingan UMNO untuk ‘bersepadu’ dengan PAS.
Semua pemimpin komponen BN dan pembangkang sejauh ini menghormati kedudukan Islam di Malaysia, Jangan bersyak-wasangka mengenai perkara ini.
Pemimpin komponen BN juga faham mengenai kedudukan Islam. Jangan anggap bantahan mereka terhadap Hadi bermakna mereka mengkhianati perjuangan Barisan Nasional (BN).
Jangan anggap mereka tidak tahu bahawa tokoh undang-undang tersohor almarhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas ketua pengajian undang-undang di beberapa universiti dan mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam tajuk: "Islam Dalam Perlembagaan" dengan menegaskan: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.
Mereka juga tahu bahawa Kuan Yew pun tidak menentang akta ini ketika dibentangkan di Dewan Rakyat kerana memang ia bertujuan menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam semata-mata.
Tetapi jangan pula jadikan parti komponen sebagai ‘anak sendiri yang terpinggir dan terbuang’ sebaliknya PAS yang sah ‘anak tiri’ tetapi diberikan keistimewaan dan ditatang bagai minyak yang penuh.
Kenapa jadi begini?
Di kalangan parti komponen pun mereka dapat melihat betapa UMNO kini semakin terdesak dan bimbang dengan hakisan sokongan orang Melayu dan Islam. Mereka tahu dan bukan buta serta pekak.
Negara Malaysia adalah negara berbilang kaum dan Islam agama rasmi yang diakui oleh seluruh rakyat dan parti.
Apa yang lebihnya PAS berbanding MCA, MIC atau Gerakan dan parti-parti di Sarawak dan Sabah dari segi sumbangan kerusi Parlimen kepada BN?
Apakah kerana mereka pemimpin ‘kafir’ dan Hadi ‘Islam bergelar Tok Guru’ serta PAS pula ‘Parti Islam’? Rekod kemenangan pilihan raya PAS pun baik sangat.
PAS kini hanya ada 14 kerusi Parlimen berbanding parti-parti komponen Bn yang lain?

DAIM TIDAK LAGI DIAM UNTUK TURUT MELEMAHKAN NAJIB

Tidak pasti sama ada Tun Daim Zainuddin masih ahli UMNO atau sudah menyertai PPBM sekarang ini, tetapi semua orang tahu hubungannya yang sangat rapat dan akrab dengan Tun Mahathir Mohamad.

Tidak seperti Zahid Hamidi yang sampai meminta orang Bagan Datoh mendoakan agar ikatan "adik abangnya"  dengan Najib Razak terus berpanjangan dan tidak tergugat, Tun Daim tidak pernah merayu simpati hingga ke peringkat itu.

Namun, hubungan bekas Menteri Kewangan itu dengan Tun Mahathir kekal dan tidak tergugat sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, Tun Daim banyak berdiam diri. Beliau dilaporkan selalu mengembara untuk menghabiskan sisa-sisa usianya. Beliau seolah-olah ingin meninggalkan terus dunia politik.

Apabila Tun Mahathir memulakan serangan kepada Najib dan kemudian menubuhkan PPBM, hala tuju Tun Daim juga tidak diketahui. Beliau kekal menjadi Daim yang diam.

Tetapi, sejak dua hari lalu kelibat Tun Daim mula diperkatakan dan menjadi bualan. Tulisannya di akhbar ekonomi The Edge menjadikan namanya kembali diperkatakan.

Di mana-mana kedengaran orangramai memperkatakan tentang tulisannya yang menyentuh mengenai struktur ekonomi negara, masalah hutang, defisit keyakinan dan sudah tentu tidak lupa tentang Najib.

Meskipun apa yang ditulis oleh Tun Daim banyak berkaitan masalah dan hala tuju ekonomi negara, oleh kerana tulisannya itu muncul setelah wujudnya PPBM dan gendang PRU 14 mula dipalu, ia secara tersiratnya mengajak rakyat untuk melihat kegagalan Najib secara keseluruhannya.

Dengan munculnya tulisan pertama itu, Tun Daim tentunya akan menulis lagi. Bukan saja di akhbar di The Edge, malah mungkin banyak penerbitan lain, termasuk portal internet turut juga berminat terhadap pandangannya.

Tidak mustahil juga, ia mungkin akan disusuli dengan kehadiran beliau secara fizikal di pentas-pentas ceramah, forum, bicara rakyat dan sebagainya di seluruh negara.

PRU-14: KEADILAN terbuka bincang pembahagian kerusi

KEADILAN bersikap terbuka bagi membincangkan pembahagian kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama pimpinan parti yang mengambil kira persefahaman dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita harus mengambil sikap terbuka kerana ketika KEADILAN dibentuk, kita tiada kerusi sebaliknya diberikan DAP dan PAS.
“Justeru, kini giliran kita untuk bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam isu pembahagian kerusi kerana apa yang kita mahu adalah kemenangan dalam PRU-14,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.
Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi tertakluk pada kekuatan dan keupayaan parti di sesuatu kawasan selepas perbincangan diadakan.
Bagaimanapun, katanya, soal strategi tidak boleh dibincangkan secara terbuka dan menegaskan kerjasama terbabit tidak spesifik kepada beberapa negeri sahaja.
“Ketika ini, PAKATAN hanya mewakili tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Sudah tentu BERSATU di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kekuatan tersendiri di selatan Semenanjung,” katanya.
Terdahulu, PAKATAN dan BERSATU bersetuju untuk menjalin kerjasama berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963.
Melalui kerjasama itu, pimpinan bersetuju untuk menggunakan satu calon sahaja dalam PRU-14.

Gabungan PH-PPBM menakutkan BN, kata Hamidah Osman

Datuk Hamidah Osman berkata perebutan kerusi tidak akan berlaku di antara PH dan PPBM kerana mereka bersetuju untuk meletakkan calon pilihan raya berdasarkan boleh menang.
Datuk-Hamidah-OsmanPETALING JAYA : Barisan Nasional (BN) takut dan gusar dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Datuk Hamidah Osman.
Naib presiden PPBM itu berkata kegusaran jelas terlihat apabila Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan akan berlaku pertikaian atau perebutan kerusi pilihan raya umum (PRU) antara PH dan PPBM, selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani parti pembangkang berkenaan.
Naib Presiden PPBM Datuk Hamidah Osman berkata BN juga sepatutnya tidak boleh mempertikaikan mengenai memorandum persefahaman (MoU) terbabit kerana ia juga belum sampai seminggu.
“Pada saya setakat ini semuanya positif. BN juga tidak patut mempertikaikan MoU itu kerana ia masih terlalu baru.
“Ahli jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.
“Saya lihat sendiri dalam mesyuarat sebelum menandatangani MoU itu, semua pimpinan amat positif,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Minggu lalu PH dan PPBM menandatangani MoU gabungan pilihan raya. Bagaimanapun, PPBM belum menyertai PH secara rasmi, sekalipun mendakwa mereka berkongsi perjuangan dan prinsip sama dengan blok pembangkang.
Semalam, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata tidak mustahil akan berlaku perebutan kerusi antara PH dan PPBM sekalipun sudah menandatangani MoU.

Hutang lagi atau naikkan GST ?

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sumber untuk membiayai hutang-hutang negara tatkala kerajaan yang ada pada hari ini tidak ada duit.
"Hutang lagi atau naikkan cukai dalam negeri dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Dan ini akan membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi," katanya dalam blognya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejatuhan nilai matawang tempatan pada masa ini, hutang RM55 bilion dengan syarikat dari China bagi membangunkan landasan keretapi elektrik di Pantai Timur, pinjaman RM42 bilion untuk 1MDB, hutang RM50 bilion pembinaan keretapi berkelajuan tinggi antara Malaysia dan Singapura yang menjadikan kesemuanya sebanyak RM160 bilion.
Semalam, menteri kewangan era Mahathir, Tun Daim Zainuddin turut menzahirkan pendapat beliau krisis ekonomi negara dan penyelesaiannya dengan menyebut cara kerajaan mengawal ekonomi negara yang amat cetek malah ekonomi negara dijana oleh hutang.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, berhutang untuk menyediakan harta benda yang boleh menjana kepantasan perkembangan ekonomi tidak jadi masalah.
"Isu dia ialah, kalau kita nak berhutang perkara ini kena tanya, hutang ini untuk apa? Sebab bila kita buat hutang, kita mesti berkebolehan membayar, kalau kita tak boleh membayar, itu ada masalah.
"Jadi, sebab itu saya ingat dari segi hutang ini tidak ada masalah, cuma kita nak tengok setakat mana kita boleh berhutang dan boleh bayar," katanya dalam menjawab luahan Daim itu.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, beliau turut merasa dengan dengan aliran keluar dana menerusi projek-projek pembangunan yang dijalankan.
"Kalau benar kos landasan Pantai Timur ialah 55 billion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini.
"Mereka akan membawa masuk segala bahan teknologi, pekerja dari negara mereka. Projek ini akan ambil masa sekurang-kurangnya 7 tahun, mungkin lebih. Pekerja mereka, seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana.
"Di masa yang sama bayaran hutang sebanyak 55 billion dengan faedah akan kembali ke negara itu juga," ujar beliau lagi.

BOLEHKAH NAJIB SELAMAT DENGAN DASAR LUAR TALAM DUA MUKA


Pertanyaan PM Malaysia Datuk Seri Najib “Kita buat baik dengan China apa salahnya? dan jawapannya sendiri ialah realiti ” China akan jadi the biggest economy by 2040 dan mereka adalah sebahagian Asia.”
Ini adalah suatu kenyataan yang berani memandangkan pimpinan baru AS Donald Trump mahu menjalinkan kerjasama rapat dengan Russia untuk bersama menghadapi ancaman China yang semakin meningkat.
Memandangkan Najib sebagai Ketua ASEAN maka kenyataannya itu mungkin dianggap sebagai ugutan terhadap AS atas sikap permusuhan Trump terhadap negara negara Asia Africa.
Barat selama ini melihat Malaysia dan Singapura sebagai rakan perkongsian setia dalam membantu dasar luarnya terutama dalam strategi dan operasi membantu dasar globalisasinya yang melihat extremisme Islam sebagai halangan utama. Malaysia adalah bersama dengan beberapa negara Islam lain di Timur Tengah dalam hal ini.
Sumbangan RM 2.6 Billion boleh juga dilihat bagi mempastikan penerusan sokongan Malaysia.
Malaysia (Malaya) dan Singapura telah pun memberikan sumbangan yang sangat besar kepada Kuasa Barat dalam mematahkan gerakan komunisme di Asia ketika perang dingin (Blog Barat dan Blog Timur).
Ketakutan orang Melayu terhadap penduduk China di Malaya di zaman penjajah telah diexploitasi sepenuhnya bagi meyakinkan mereka bahawa komunisme akan berakhir dengan penjajahan China. Malaysia juga membantu mematahkan kebangkitan PKI (Parti Komunis Indonesia) dalam masa konfrantasi Indonesia.
Pemimpin PKM(Parti Komunis Malaya) Chin Ping juga tidak senang dengan konfrantasi Indonesia yang didalangkan oleh PKI(Parti Komunis Indonesia) kerana sekiranya berjaya akan memperkecilkan kedudukan PKM yang akan terletak dibawah PKI pimpinan Melayu.(Lihat buku Parti Komunis Malaya yang ditulis oleh seorang pegawai tinggi polis Malaysia)
Walaupun Malaysia merupakan negara Asia yang pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan China tetapi ini tidak merubah dasar anti Komunisnya.
Bagaimanapun perubahan geopolitics setelah runtuhnya komunisme dunia telah menukarkan AS menjadi new imperialsime yang kejam atas nama demokrasi dengan membunuh pemimpin-pemimpin besar Islam yang menjadi ancaman kepadanya(Yahudi) disamping melagakan orang Islam untuk berbunuhan sesama sendiri di beberapa negara Islam yang kuat ekonominya dengan menggunakan senjata Barat.
Disamping gerakan menghancurkan negara-negara Islam terus berjalan, AS dengan kerjasama Russia akan mengadap secara serius terhadap ancaman ekonomi dan keselamatan yang didatangkan oleh China. Sudah ada persafahaman Russia Amerika dalam hal ini.

Najib pinjam lagi, rakyat tanggung beban berpuluh tahun

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytihar pinjaman sebanyak RM55 billion dari sebuah syarikat di masa lawatannya ke China. Pinjaman ini adalah untuk membangunkan landasan keretapi letrik di pantai timur.
Kerajaan Najib telah pun pinjam RM42 billion untuk 1MDB. Kerana tidak membayar faedah dan pokok, hutang ini meningkat kepada lebih RM53 billion. Tidak ternampak sedikit pun pelaburan yang memberi keuntungan yang boleh diguna untuk bayar hutang.
Sudah tentu jika tidak dibayar faedah hutang ini akan meningkat lagi.
Najib juga merancang untuk mengadakan keretapi kelajuan tinggi antara Singapura dan Kuala Lumpur. Untuk projek ini Najib perlu hutang lebih kurang RM50 billion lagi.
Jumlah semua melebihi RM160 billion.
Kita tidak diberi maklumat tentang pelaburan 1MDB selain dari kerugian membeli stesen janakuasa dan menjualnya kepada syarikat China dengan kerugian yang besar.
Tetapi berkenaan pinjaman sebanyak RM55 billion untuk landasan keretapi, kita boleh ramal ke mana akan perginya wang RM55 billion ini.
Kalau benar kos landasan pantai timur ialah RM55 billion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini.
Mereka akan membawa masuk segala bahan teknologi, pekerja dari negara mereka. Projek ini akan ambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun, mungkin lebih.
Pekerja mereka, seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana.
Pada masa yang sama bayaran hutang sebanyak RM55 billion dengan faedah akan kembali ke negara itu juga. Mungkin pembayaran akan ambil masa 30 tahun atau lebih. Jumlah bayaran bersama dengan faedah selama 30 tahun akan meningkat kepada RM90 billion.
Kemudian datang keperluan membeli “rolling stock” iaitu gerabak-gerabak elektrik yang akan menelan belanja berbillion lagi. Sekali lagi wang berbillion akan mengalir keluar negeri.

Perjuangan untuk Rohingya: Politik atau prihatin?

PAS dan Umno sepatutnya menangani masalah Orang Asli jika mereka prihatin mengenai hak asasi manusia.
faisal-1
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat bantahan PAS dan Umno terhadap kezaliman ke atas etnik Rohingya di Myanmar lebih menjurus kepada tindakan untuk mempamerkan pakatan politik baharu berbanding kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan.
“Daripada menangani isu Rohingya, perhimpunan itu kelihatan lebih seperti usaha mempamerkan kerjasama Umno dan PAS sebagai sebuah pakatan politik berbanding kerjasama 2 parti atas nama hak asasi manusia.
“Jika itu niatnya, saya rasa pembangkang berhak mempersoalkan motif mereka dan jenis imej mereka cuba tunjukkan,” kata Prof Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada FMT.
Beliau berkata, ada banyak isu nasional yang memerlukan kerjasama di luar politik partisan, contohnya isu Orang Asli di Kelantan di bawah pimpinan PAS.
Katanya, Umno dan PAS sepatutnya bekerjasama menyelesaikan masalah dihadapi Orang Asli akibat aktiviti pembalakan.
“Sudah tentu krisis Rohingya penting. Tetapi pada masa sama, ada isu di belakang rumah yang memerlukan perhatian.”
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, tidak salah parti politik berlainan ideologi bekerjasama dalam isu Rohingya.
Beliau berkata, semua organisasi politik tanpa mengira ideologi perlu menunjukkan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan.
“Krisis Rohingya tidak boleh semata-mata disebabkan Islam kerana ia jelas adalah krisis kemanusiaan,” katanya.
Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang sependapat dengan Sivamurugan berkata, isu Rohingya tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia merupakan isu kemanusiaan.
“Persoalannya ialah mengapa usul membincangkan krisis Rohingya ditolak di Parlimen?” katanya merujuk usul dibawakan Ahli Parlimen Amanah Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin yang ditolak speaker Dewan Rakyat pada 22 November lalu.
Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti nasib semua pelarian, bukannya mengehadkan minat kepada etnik Rohingya sahaja.
Pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpin Umno lain dan PAS berkongsi pentas bagi menyuarakan bantahan terhadap penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya menerusi Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam.

Bekas mufti 'kesipuan' lihat Hadi di Tehran

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya secara sinis berkata, beliau berasa 'kemaluan dan kesipuan' membaca suatu catatan dibuat seorang tokoh ulama luar berhubung Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menulis di Facebooknya, Juanda berkata, maruah Malaysia ketika ini 'jatuh ke tanah di mana-mana' akibat penyertaan presiden PAS itu dalam persidangan antarabangsa di Iran.
Berkongsi status dibuat oleh seorang profesor dalam bidang hubungan antarabangsa, Juanda berkata, beliau tidak sanggup menterjemahkan kenyataan dibuat dalam bahasa Arab itu.
"Bagi yang sudi, pohon terjemahan teks catatan ini agar umat Melayu faham. Saya tak sanggup terjemah kerana herdikannya amat tajam..." katanya.
Juanda kini adalah ADUN Jemoreng di Sarawak mewakili BN.
Antara lain, Prof Dr Abd Al-Fattah El-Awaisi menyatakan tentang kemarahannya terhadap penyertaan Abdul Hadi dalam persidangan antara mazhab di Tehran.
Menurut maklumat pada laman sesawang Abd al-Fattah El-Awaisi adalah cendekiawan British berdarah Palestin dan berpengalaman mengajar di negara Arab, Britain, Turki dan Malaysia.
Kata Abd Al-Fattah, pemimpin yang berkunjung ke Tehran itu bersekongkol dengan penjenayah yang bertanggungjawab mencabul kanak-kanak dan wanita, selain pembunuh serta pihak yag terlibat dalam perang di Syria.
"Sesuatu yang amat memalukan dan buruk untuk sesiapa yang yang pergi ke Tehran, ibu negara musuh dan penjajah Iran dan menyertai persidangan anjuran mereka berkaitan Kesatuan Umat Islam.
"Persidangan ini telah dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Bagi Penyatuan Mazhab Islam berakhir pada petang semalam (Sabtu 17/12/2016) dengan ucapan penutup telah disampaikan oleh ketua mereka yang juga merupakan penjenayah dan pembunuh iaitu Ayatullah Ali Khameini.
"Antara nama nama yang telah hadir pada persidangan ini seperti dilaporkan oleh media Iran ialah:- 1. Sheikh Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Malaysia (PAS) yang juga merupakan Naib Ketua bagi Kesatuan Ulama Sedunia. Beliau telah menyampaikan ucapan pembukaan persidangan ini pada hari khamis yang lepas (15/12/206). 2. Iddah Falahi yang diberikan gelaran sebagai 'Pemikir Al-Jazair' juga menyampaikan ucapan penutup pada persidangan ini. 3. Safinaz Kazim wakil dari Mesir 4. Uthman Batikh (Mufti Tunisia yang dilantik melalui Kedutaan Tunisia di Tehran).

Hutang keterlaluan bawa kesan buruk pada negara

Hutang tidak semestinya buruk, tetapi ‘keterlaluan’ jana atau pacu pertumbuhan melalui hutang bawa pelbagai konsekuensi buruk.
Menurut Pengarah Strategi Parti Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, model pertumbuhan negara mutakhir ini amat jelas dipacu oleh ‘hutang’ dan ia akan memberi kesan buruk kepada kelestarian untuk jangka masa panjang.
Dr Dzulkefly Ahmad "Pada saya, lebih penting dari persoalan angka hutang ini ialah adakah kita dapat menjana pertumbuhan secara efisien tanpa ketirisan, kerana sistem delivery yang ‘tempang’ dan sarat dengan kebocoran kerana ‘birokrat’ dan penguasa politik yang tidak amanah.
"Apakah yang dibelanjakan itu satu yang menepati susun atur keutamaan keperluan rakyat dalam menjana pembangunan sosial yang adil dan berkira dengan ‘agihan kekayaan’ yang dikecapi rakyat, sambil membina ‘kelas menengah’ yang semakin besar. Bukan hanya terus-terusan dibolot segelintir kroni dalam pelbagai projek mega dan mutakhir dalam inisiatif pembiayaan swasta (PFI) menggantikan penswastaan," katanya.
Dzulkefly juga persoalkan peranan yang bertanggungjawab, mengawal dan awasi prestasi ekonomi negara.
"Bank Negara Malaysia (BNM) juga punya peranan dalam kajian Makroekonomi seperti pertumbuhan dan perihal Dasar Monetari seperti penetapan kadar dasar semalaman (OPR) . Kita nampak macam over-managing tapi hasil atau outcome tidak boleh dibanggakan," katanya.

Isu kepimpinan, ekonomi sumbang peningkatan kos sara hidup


Liew Chin Tong (tiga dari kiri) dan pekerja kedai pakaian bantuan sekolah Al-Fayyadh yang memberi sumbangan kelengkapaan ke sekolah kepada adik Shafiq yang ditemani ibu dan bapanya.Liew Chin Tong (tiga dari kiri) dan pekerja kedai pakaian bantuan sekolah Al-Fayyadh yang memberi sumbangan kelengkapaan ke sekolah kepada adik Shafiq yang ditemani ibu dan bapanya.
Isu-isu melingkari kepimpinan dan ekonomi negara adalah antara faktor besar yang menyumbang ke arah peningkatan kos sara hidup,kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.
Beliau berkata, hal ini menjadi sebab kos sara hidup khususnya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah kian meningkat. S
"Skandal mega 1MDB, cukai GST, pemotongan subsidi dan banyak lagi polisi yang tidak menyebelahi rakyat era kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengakibatkan pendapatan boleh guna (disposable income) isi rumah terhakis.
"Logik mudah, dengan jumlah pendapatan isi rumah sekitar RM2500-RM3000 sekalipun, rakyat tetap berhadapan kesulitan untuk menanggung kos perbelanjaan harian yang tinggi," ujarnya.
Justeru beliau mengambil inisiatif bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu pada musim persekolahan yang baru untuk tahun 2017 membantu mereka.
"Walaupun anak-anak sedang gembira meluangkan masa percutian bersama keluarga dan rakan sepermainan, ibu bapa dari kelompok berpendapatan sederhana dan rendah hakikatnya bergelut kepayahan menyediakan keperluan mereka termasuklah yuran, buku dan pakaian persekolahan.
"Dengan segala keterbatasan sebagai ahli parlimen pembangkang, saya dan rakan-rakan DAP Kluang telah mengambil inisiatif mendekati rakyat Kluang yang pemurah untuk menyalurkan sumbangan berupa pakaian seragam persekolahan kepada beberapa keluarga yang memerlukan," ujarnya.
DAP Kluang telah membawa keluarga ini ke kedai menjual baju persekolahan Al-Fayyadh Kluang membekalkan pakaian persekolahan.
Antara penerima sumbangan ini ujarnya lagi,adalah adik Mohd Shafiq, 15 tahun. Ayahnya yang diberhentikan kerja akibat serangan strok/angin ahmar telah menyebabkan keluarga Shafiq hilang punca kewangan.

Jangan tersekat, Pakatan perlu melangkaui Anwar Ibrahim

Penganalisis politik berkata Pakatan Harapan perlu mencari calon lain, bukan hanya tersekat dengan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarganya.
wan-saiful-faisal-1
PETALING JAYA: Pakatan Harapan perlu melihat melangkaui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarga bekas ketua pembangkang itu ketika menamakan calon untuk menjadi perdana menteri, kata penganalisis politik.
Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Faisal S Hazis berkata Wan Azizah tidak cukup untuk menjadi ketua negara kerana jika beliau terbukti kuat, sudah pasti pembangkang kini tidak berdepan kekusutan dan mampu bersatu.
Bagaimanapun, beliau mengakui Wan Azizah ialah pilihan terbaik pembangkang pada masa ini.
“Anda tidak boleh cadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden PPBM) kerana partinya belum ada wakil di Parlimen.
“Jumlah wakil rakyat PKR ramai dan Wan Azizah ialah ketua mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan penasihat DAP Lim Kit Siang mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon pemangku perdana menteri sehingga Anwar dapat dibebaskan dari penjara.
Faisal berkata tindakan Kit Siang menamakan Wan Azizah menunjukkan beliau faham keperluan untuk meletakkan orang Melayu sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, katanya pembangkang perlu memikirkan isu kepimpinan secara serius.
“Pembangkang perlu ada kepimpinan baharu dan beri peluang kepada pemimpin daripada generasi kedua untuk bangkit.
“Anwar memainkan peranan penting dalam 2 pilihan raya umum, tetapi hikmah pemenjaraannya ialah pembangkang berpeluang melihat di luar Anwar. Malangnya, mereka gagal berbuat demikian,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata apabila menamakan Wan Azizah sebagai calon perdana menteri, pembangkang menunjukkan ia masih enggan maju ke depan.
“Meskipun Wan Azizah berjaya mengetuai pembangkang, masyarakat tidak melihatnya sebagai ketua. Ramai masih memandangnya sebagai isteri Anwar dan seolah-olah dia terikat dengan kehendak Anwar, katanya.

Isa Samad kena bertanggungjawab kerugian Felda, kata PAS

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Felda berdepan masalah nilai saham FGV semakin merosot, penyelewengan di Felda Iffco Gilda Sanayi dan kontrak LiDAR ditandatangani tanpa kebenaran yang sah.
isa-tuan-ibrahimPETALING JAYA : Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Isa Samad perlu bertanggungjawab atas kerugian yang dialami dan bukan hanya mengambil tindakan terhadap individu terlibat, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata sejak pelancaran Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) pada 2012 di Bursa Malaysia pada harga RM4.45 sesaham, nilai saham FGV terus merosot ke tahap paling teruk pada RM1.68 seunit, Jumaat lalu.
“Hakikatnya, saham FGV boleh dikategorikan sebagai saham yang berprestasi terburuk dalam sektor pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata masalah FGV bukan berpunca daripada kelemahan pengurusan dan juga harga minyak sawit yang rendah.
“Sukar bagi peneroka Felda biasa memahami bagaimana penyelewengan boleh berlaku di Felda Iffco Gida Sanayi, iaitu anak syarikat yang dimiliki 50% saham oleh FGV di Turki, mengalami kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.
“Penyelewengan itu menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September melebar daripada RM33.9 juta tahun lalu kepada RM94.86 juta tahun ini,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata ketika perkara itu didedahkan, jumlah kerugian saham luar biasa itu akan tertakluk kepada hasil audit forensik.
“Apakah perkembangan audit forensik setakat ini? Apakah ada pihak atasan FGV dan Felda yang akan bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Audit Negara juga mendedahkan 64 kontrak untuk perolehan “light detection and ranging” (LiDAR) bernilai RM148.42 juta ditandatangani tanpa kebenaran yang sah.