SEPANG – Parti Alternatif Rakyat (PAP) mengesahkan akan bertanding di sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Presiden PAP, Zulkifli Mohd Noor berkata, parti berbilang kaum itu telah dan sedang mengenal pasti pemimpin berkaliber termasuk dalam kalangan generasi muda dan wanita untuk diletakkan sebagai calon.
“PAP mahu menampilkan kepimpinan yang sederhana dan cara berkempen yang bersih dengan kedudukan kewangan yang seimbang dan kita juga tidak mahu terlalu yakin.
“Isu yang akan difokuskan pada PRU14 nanti termasuk isu di peringkat nasional dan tempatan antaranya isu perumahan dan pendidikan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
PAP yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober 2015, ditubuhkan oleh bekas anggota DAP susulan krisis dalaman dan kepimpinan parti itu.
Sebelum ini, PAP turut mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Pulau Pinang pada PRU14 nanti.
Dalam pada itu, Zulkifli yang juga bekas naib pengerusi DAP berkata partinya menjangkakan Pakatan Harapan akan berkubur sebelum PRU14 kerana isu pembahagian kerusi.