BANTING, 22 OKT: Pembentangan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak penuh dengan elemen provokasi dan politik
melampau, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Tanpa memberi tumpuan terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat
secara menyeluruh, Mohamed Azmin berkata Perdana Menteri gagal membuat
perancangan secara komprehansif mengenainya.
“Ini bukan Belanjawan yang dibuat secara komprehansif dan ini kali
pertama Belanjawan negara dipolitikkan dan kita tidak nampak satu
inisiatif bersungguh untuk bantu rakyat.
“Soal rasuah dan penyelewengan tidak disebut dan tidak dikaitkan langsung dalam pembentangan Belanjawan Perdana Menteri.
“Seharusnya Belanjawan ini bukan sekadar merangkumi aspek pertumbuhan
sahaja, tetapi ia merangkumi urus tadbir negara yang perlu dipimpin
secara bertanggungjawab,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar
Selangor.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Selangor
Agrofest di perkarangan tempat letak kereta Pantai Morib di sini,
petang ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2017 yang
disifatkan komponen pembangkang sebagai tidak realistik susulan
kegagalan urustabir pentadbiran Najib.
Saya bukan pakar dalam bidang kewangan jadi tidak layak
untuk mengulas Bajet 2017 yang dibentang Menteri Kewangan yang juga
Perdana Menteri Najib Razak semalam. Kita serahkan kepada pakar
penganalisis ekonomi dan kewangan untuk membuat ulasan dan sorotan.
Tentu pula pakar ini tidak sependapat dan berbeza pandangan dan
analisa. Ia tergantung kepada kapasiti dan kedudukan mereka. Pakar-pakar
yang berjawatan dan ada kepentingan diri dengan kerajaan tentu akan
memberi ualasan yang memuaskan hati pembentangnya. Memuji memuja bajet
Najib sebagai baik dan berpandangan jauh, berjiwa rakyat dan sebagainya.
Manalaka
mereka yang kurang senang dan tidak setuju dengannya sudah muak dengan
gula-gula manisan ditabur Najib pada setiap kali pembentangan bajet,
akan melontar kritikan dan sindiran sinis kepada bajet Najib itu. Apapun
mereka tetap juga mengulas tetapi dalam laras yang negatif.
Mudah sahaja untuk mengenali dua golongan ini. Penganalisa yang
disiarkan oleh media massa PB atau membuat ulasan langsung dalam tv,
adalah mereka yang berjawatan dan berkepentingan diri. Mereka adalah
propagandis kerajaan yang sanggup menyembunyikan kebenaran dalam poket.
Bila dengar ualasan mereka kita jadi seronok tetapi hakikatnya kosong,
retorik.
Jika mereka sarjana, mereka tidak akan diangkat menjadi Prof Madya
atau Prof sekiranya mereka berkata benar berdasarkan teori dan
pengalaman mereka. Dalam hal ini jarang mereka akan melihat kepada
situasi semasa dan realiti kehidupan rakyat. Jadi mereka terpaksa
bercakap mengikut irama yang dimainkan walaupun mereka tidak tahu seni
kata.
Manakala mereka yang membuat ulasan dari media alternatif atau
bercakap dalam blog dan media peribadi di pentas forum bebas adalah
mereka yang sudah muak dengan Najib. Pandangan mereka sangat negatif
sehinggakan sukar untuk mencari setitik pun kebaikan dari bajet itu.
Tetapi mereka ini bagi saya lebih boleh dipercayai daripada golongan
pembodek tadi. Mereka ada integriti dan tidak melacurkan pengetahuan
yang ada. Mereka tidak menjahit poket dengan benang kerajaan.
Saya dah katakan saya tidak mengulas angka dan unjuran yang Najib
bentangkan itu. Bagi saya yang jahil ini, bajet Najib untuk tahun depan
sama dengan bajet Najib tahun 2016, 2015 dan 2014. Yang berubah ialah
angka-angka dan muka surat sahaja. Najib tetap mengulangi mauduk yang
sama. Janji-janji palsu yang disapu cat baharu.
Perubahan paling ketara jika diperhatikan masa pembentangan bajet itu
hanya baju Melayu Najib pakai dari biru kepada hijau muda dari hijau
muda kepada pink dan bervariasi. Itu sahaja. Seolah-olah bagi Najib
pakaian dan penampilan lebih penting daripada isi dan hakikat bajet.
Dalam tilikan saya kelainan dalam bajet Najib kali ini kehebatan
Najib memanipulasian beberapa isu. Tampak sangat sikap dan tindakan ini
menunjukkan Najib terdesak. Bajet bukan lagi fakta atau solusi untuk
menyelesaikan masalah rakyat dan membangkitkan semangat ekonomi, tetapi
tempat untuk dia menjaja murah kehebatan dirinya yang tidak hebat di
samping untuk memburukkan oposisi.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan Belanjawan 2017 hari ini.
Saya ambil maklum dan baca mengenainya di sana sini, tetapi berasa
belum berkemampuan dan berinspirasi untuk mengulas mengenainya.
Muse – sumber ilham – saya pun tidak begitu bersemangat menyalakan obor kreativiti saya mengenai bajet tersebut.
Saya harap muse (dibunyikan “mius”) para pelawat dan pembahas lebih sedia bekerjasama, jadi bolehlah berbahas dengan tuntas.
Saya sediakan ruang untuk tujuan itu di sini. Tetapi kalau muse saudara dan saudari juga kurang memberi kerjasama, boleh lawati laman ini.
Dalam mitos Greek dan Rom, Muse adalah sembilan puteri Zeus dan
Mnemosyne yang dikatakan menjaga hal-hal berkaitan seni dan sains.
Tidak hairanlah muse saya lebih cenderung mengheret saya ke
arah sejarah, mitos dan legenda Rom. Mereka merujuk kepada saat-saat
genting tamadun Rom apabila Julius Caesar mula berkomplot merampas kuasa
untuk mengisytiharkan dirinya diktator.
Di kalangan pembesar Rom yang menentang cita-cita Caesar itu adalah pemikir Marcus Tullius Cicero.
Izinkan saya berkongsi dengan para pembahas dan pelawat sekalian satu perenggan dalam buku Dictator oleh
novelis Inggeris Robert Harris seperti berikut: “Perhubungan di antara
Terentia dengan Cicero lebih beradab, selain satu hal rumit yang menjadi
punca ketegangan sepanjang perkahwinan mereka – wang. Berbeza dengan
Cicero, Terentia mengalu-alukan pelantikan suaminya sebagai gabenor. Dia
melihatnya sebagai peluang keemasan untuk mengumpul kekayaan. Malah dia
membawa bersama ketua orang suruhannya, Philotimus dalam perjalanan ke
selatan supaya Cicero boleh memanfaatkan kepandaian Philotimus memeras
keuntungan. Cicero menangguhkan perbualan dengan Terentia, tetapi
Terentia terus membebel hinggalah ke hari terakhir mereka bersama
apabila Cicero hilang sabar.
“Ketaasuban awak dengan mencari kekayaan sangat-sangat tidak kena tempat.
“Keborosan awak membelanjakan wang tidak memberikan saya banyak pilihan,” katanya.
Cicero berhenti seketika bagi mengawal kemarahannya dan cuba
menjelaskan kepada Terentia dengan lebih tenang. “Awak nampaknya tidak
faham yang orang macam saya tidak boleh mengambil risiko melakukan
tindakan salah. Musuh-musuh saya sedang menunggu peluang untuk mendakwa
saya atas tuduhan rasuah.”
Syarul Ema Rena Abu SamaBlogger
Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai “Ratu Naga” yang
menyertai PKR hari ini menegaskan tidak murtad jika seseorang itu tidak
mengundi BN.
Beliau yang mendakwa dianiaya Umno BN berkata, sudah tiba masanya
beliau dan seluruh rakyat berkorban untuk mengalahkan BN dan
menggantikan parti itu dengan parti yang lebih baik.
“Kalau dulu
saya dan kita semua boleh berkorban demi pertahankan BN yang kita
percaya bagus untuk rakyat tapi hakikat kini BN sedang aniaya kita, apa
kata kita berkorban kalahkan BN yang suka aniaya kita ini dan gantikan
yang lebih baik. Percaya pada balasan Tuhan, tak murtad kalau tak undi
BN,” tulisnya di facebook selepas beberapa jam menyerahkan borang bagi
menyertai PKR kepada ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Ema
yang mula mendapat perhatian selepas berseteru dengan bekas anggota PKR
Badrul Hisham Saharin atau CheGU Bard Jun lalu juga berkata, untuk
melakukan sesuatu tidak memerlukan seseorang itu memegang apa-apa
jawatan.
“Nak buat semua pekara tak perlu pegang apa-apa
jawatan. Niat dah cukup, saya tak nampak salah jika golongan teraniaya
diberi perhatian, seperti mana saya di anaiaya Umno,” katanya lagi.
Sebelum
itu, dalam sidang media penyerahan borang itu, Ema berkata beliau
menyertai PKR bagi menebus keterlanjurannya terhadap parti itu.
Ema berkata, beliau memilih PKR berbanding parti pembangkang yang
lain kerana beliau melakukan banyak kesilapan terhadap parti itu.
“Bagi
saya sama ada masuk parti PKR, DAP atau pembangkang tidak penting. Saya
banyak kesalahan pada PKR, saya nak baiki ketelanjuran saya,” katanya.
Sementara itu, Zuraida menyifatkan tindakan Ema itu sebagai langkah positif untuk membantu sayap parti itu.
KOTA BHARU - Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan ahli
Parlimen perlu bersikap profesional, terutama ketika berada dalam
pembentangan Bajet.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kekecohan yang
berlaku ketika mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
membentangkan Bajet 2017 tidak sepatutnya terjadi kerana ia merupakan
masa dan ruang yang diperuntukkan khusus kepada perdana menteri.
Dalam masa yang sama katanya, Yang Di Pertua Dewan telah berusaha
bersungguh-sungguh membawa penambahbaikan dalam perjalanan Dewan agar
lebih mulia dan dihormati.
“Pembentangan Bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia
adalah hari dan masa khas untuk Perdana Menteri berucap membentangkan
Bajet.
“Tiada hak untuk mana-mana ahli parlimen mengganggu ucapan beliau yang
penting itu walaupun wujud sindiran dan kecaman olehnya terhadap
pembangkang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan ahli Parlimen
pembangkang mengganggu ucapan Perdana Menteri dan bertindak keluar Dewan
ketika ucapan bajet sedang berlangsung.
Tindakan itu bagaimanapun tidak dituruti oleh Ahli Parlimen Pas.
Sehubungan dengan itu, Nik Abduh mahu wakil rakyat yang diberikan
peluang untuk membahaskan Bajet itu nanti menggunakan kesempatan yang
diberikan dengan baik tanpa perlakuan tidak profesional.
“Saya harap ia digunakan sebaik-baiknya oleh semua ahli parlimen tanpa
membazirkan masa dengan perlakuan yang tidak profesional yang hujungnya
mematikan masa dan peluang ahli-ahli parlimen yang di giliran akhir
mengambil bahagian perbahasan dengan sempurna.,”katanya.
Dengan pengumuman Bajet 2017, terdapat banyak spekulasi bahawa ia akan menjadi belanjawan pilihan raya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada akhir ucapan beliau di parlimen semalam juga menggambarkan perkara itu. "Kerajaan Barisan Nasional dengan izin Allah jua, yakin dan percaya
bahawa, angin kemenangan besar Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang telah
berpuput-puput bayunya ke Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala
Kangsar, akan mula meniup obor perjuangan yang kami yakin dan percaya,
hari demi hari.
"Insya-Allah dengan kehendak Yang Maha Berkuasa, akan membawa pula
kemenangan besar di Pilihan Raya Umum Ke-14 kepada kerajaan Barisan
Nasional, Insya-Allah," katanya.
Dalam Bajet 2013, Najib juga membuat rujukan kepada Pilihan Raya Umum ke-13.
Tetapi ia harus diperhatikan bahawa 2013 juga merupakan tarikh akhir
untuk pilihan raya umum. Manakala pilihan raya umum akan datang mesti
diadakan sebelum Jun 2018.
Ketika ucapan Najib menambah kepada gembar-gembur pilihan raya umum
tahun depan, peruntukan yang disediakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) pula menunjukkan sebaliknya.
Di bawah Bajet 2017, SPR akan menerima peruntukan sebanyak RM48.6 juta.
Sebagai perbandingan, SPR diperuntukkan RM150.6 juta di bawah Bajet
2016 dan jumlah itu hanya untuk menjalankan pilihan raya negeri Sarawak.
Bagi PRU ke-13, RM461.1 juta diperuntukkan kepada SPR di bawah Bajet 2013.
Dalam kenyataan mengejutkan, pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md
Yunos berkata, lelaki yang menyerang penyokong BERSIH di Sabak Bernam
dan mengasari petugas media di Kuala Selangor sebenarnya adalah daripada
BERSIH.
"Saya ingin menyatakan bahawa kekerasan adalah provokasi daripada BERSIH.
"Apa yang berlaku di Sabak Bernam, penunggang berbaju kuning yang
diterajang dari belakang itu adalah diupah oleh BERSIH dengan pakai T
Shirt sama seperti yang kami pakai. Boleh didapati di mana-mana," kata
Jamal.
Ditanya mengenai kekasaran terhadap wartawan minggu lalu, Jamal berkata bahawa ia juga adalah daripada BERSIH.
Bercakap kepada media selepas perhimpunan balas menentang konvoi
BERSIH di Kapar, Jamal berkata beliau tidak akan terkejut jika BERSIH
tiba-tiba "diserang" oleh penyamar yang memakai T-shirt merah.
Kumpulan Baju Merah itu berkumpul di sebuah stesen minyak dekat pejabat PKR Kapar di mana BERSIH mengakhiri konvoi mereka.
Kedua-dua kumpulan bersurai pada pukul 3.30 petang secara aman dan tanpa kejadian tidak diingini.
“Ideologi
dari segi politik secara umumnya seperti kompas atau GPS, sebagai
penanda arah. Bagi DAP, kami tidaklah menyembah ideologi. Ia adalah
jalan menuju matlamat,” kata Wan Hamidi dalam sesi dialog.
Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali menghalang DAP untuk terus
memperjuangkan demokrasi sosial yang berteraskan kebebasan, keadilan
dan solidariti dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Malah, DAP dalam Deklarasi Shah Alam 2012 juga telah mengulangi
pendirian dan komitmennya untuk mendaulatkan sepenuhnya Perlembagaan
Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Bagaimanapun, DAP sering mendapat tohmahan puak pelampau perkauman
dan agama dengan tuduhan melulu kononnya DAP berpegang kepada ideologi
komunisme.
Mengulas perkara tersebut Pengarah Eksekutif Jabatan Pendidikan
Politik DAP Kebangsaan Wan Hamidi Hamid berkata, ideologi Sosial
Demokrasi sangat jauh berbeza dengan komunisme.
“Tanpa membohongi siapa-siapa, lahirnya Sosial Demokrasi itu ialah asalnya daripada ideologi progresif Marxisme.
“Marxisme itu berkembang kepada pelbagai ideologi sosialisme yang
ada,” kata beliau dalam sesi dialog dan pelancaran buku Asas Sosial
Demokrasi di Perpustakaan REFSA dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya DAP memilih ideologi Sosial Demokrasi kerana ia merupakan ideologi paling moderat dalam sosialisme.
“Dalam erti kata lain kita terima pasaran tetapi kita takkan benarkan
pasaran ‘membeli’ kita, (we do not let the market dictate us) kerana
kita tidak mahu rakyat, pekerja dan pengguna ditekan oleh pasaran.
“Kalau ikut sejarah DAP, asalnya tahun 1966, 50 tahun dulu, ideologi
kita demokratik sosialisme. Iaitu sosialisme yang demokratik. Iaitu
sosialisme yang menolak komunisme, menolak diktator, dan menganggap
demokrasi itu penting. Itu dia, kemudian pada 2006-2007 kita pinda
perlembagaan parti untuk luaskan lagi tanpa meninggalkan prinsip itu,”
jelasnya yang juga pengetua Sekolah Demokrasi.
Wan Hamidi berkata ideologi itu amat penting kerana ia merupakan
penanda arah kepada sesebuah organisasi mahupun parti politik untuk
mencapai objektif perjuangannya.
“Ideologi dari segi politik secara umumnya seperti kompas atau GPS,
sebagai penanda arah. Bagi DAP, kami tidaklah menyembah ideologi. Ia
adalah jalan menuju matlamat.
“Ideologi Sosial Demokrasi, secara umum terbina di atas nilai asas
freedom, justice and solidarity. Di dalamnya terkandung tentang
keadilan, persamaan hak, peluang yang setara, dan sebagainya. Itu idaman
kita untuk Malaysia,” jelas beliau. Relevankah ideologi pada saat ini?
Menjawab persoalan itu, Wan Hamidi menegaskan ideologi amat penting
sebagai penanda arah yang baik dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang
lebih baik.
“Relevankah ideologi? Zaman Dr Mahathir, beliau kata ideologi tidak
penting, yang penting ialah pragmatis; ada logiknya, tapi bila
diterjemah (kepada tindakan) ia menjadi ‘aku buat apa yang aku suka’.
Hasilnya adalah seperti sekarang, walaupun saya tau kadang-kadang kita
kena berkawan dengan musuh lama. That’s realpolitik,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pegangan kepada ideologi akan meluaskan ruang
bicara dan wacana dalam masyarakat dari sekadar sudut kaum dan agama
yang seolah-olah tidak ada jalan keluarnya pada hari ini.
”Seperti yang dibangkitkan tadi apabila tidak ada perbahasan atau
dialog tentang ideologi, hampir 50 tahun atau lebih, politik di Malaysia
difokuskan kepada kaum dan agama dan saya tau ramai di antara kita
marah dengan fokus yang terlalu perkauman, nak kata terlalu keagamaan
bukan yang itu, tetapi lebih kepada ketaksuban,” jelas Wan Hamidi.
Rakyat khususnya generasi muda negara
ini terpaksa mewarisi beban yang berat ekoran hutang melebihi paras
RM811 bilion meliputi hutang negara dan hutang jaminan kerajaan dalam
Belanjawan 2017 semalam. Jumlah itu sekaligus merupakan aras
tertinggi hutang kerajaan BN dalam sejarah selain mencatat rekod baru
defisit sebanyak RM43.15 bilion dalam tempoh 20 tahun. “Defisit kali ini berjumlah 3.15
peratus dari jumlah KDNK, ini menunjukkan kerajaan BN gagal menepati
sasaran defisit kurang dari 3.1 peratus. “Hutang negara terus meningkat.
Jumlah kos bayar hutang negara pun meningkat dari RM26.5 bilion menjadi
RM29.17 bilion,” kata Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming kepada
Roketkini. Daripada jumlah tersebut katanya,
sebanyak RM2.46 bilion atau sebanyak 11.1 peratus daripada jumlah bajet
digunapakai setiap bulan untuk membayar hutang. Menurutnya lagi, rakyat pula semakin
terbeban dengan kos kehidupan yang semakin tinggi ekoran pemansuhan
subsidi minyak, diesel, gula, tepung, beras dan minyak masa. Dalam keadaan itu pun, kerajaan BN
akan terus memerah rakyat dapabila menyasarkan kutipan cukai GST
sebanyak RM40 bilion pada 2017. “Jumlah ini pasti akan meningkatkan beban rakyat,” katanya. Ujar anggota Majlis Eksekutif DAP
Pusat itu, selain hutang dan perolehan pendapatan kerajaan melalui GST,
apa yang menimbulkan tanda tanya ialah tindakan kerajaan memotong
peruntukan bagi pembangunan. “Jumlah belanja tinggi tetapi
Pembangunan amat kurang. Daripada jumlah RM262.8 bilion bajet 2017,
sebanyak 81.7 peratus diberi untuk belanja mengurus dan hanya 18.3
peratus saja untuk belanja membangun,” jelas beliau. Keadaan ini katanya hanya akan terus
menjadi beban kepada negara sekaligus rakyat terbanyak khususnya
generasi muda yang terpaksa mewarisi segala masalah akibat tadbir urus
kerajaan BN yang lemah.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar
menyifatkan gabungan Pillihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebagai
biadap kerana mencontohi sikap pemimpin pembangkang.
"Siapa di belakang kuning (BERSIH)? Ialah pembangkang.
"Kenapa kuning dia bertindak agak biadap, sebab pemimpin dia juga
biadap,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah
Malaysia 2016 di Pusat membeli belah Mid Valley di Kuala Lumpur hari
ini.
Beliau merujuk tingkah laku anggota parlimen pembangkang semasa
pembentangan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
di parlimen semalam.
Semalam sebahagian MP pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa
Najib membentangkan belanjawan dan mengangkat plakad 'Siapa MO1'.
"Semalam di dalam parlimen, you tengok, pembangkang, itu biadap. Contradict (bertentangan) peraturan 41(1). You tulis dalam Malaysiakini, pembangkang biadap, sebab itu kuning pun biadap," katanya.
BERSIH sebelum ini mengadakan konvoi selama tujuh minggu menjelang
perhimpunan besar-besaran pada 19 November depan, yang menyaksikan
beberapa pertembungan dengan gerakan Baju Merah diketuai Datuk Seri
Jamal Md YUnos.
Ini termasuk satu insiden di mana seorang peserta BERSIH dikepung dan
diserang oleh sekumpulan anggota Baju Merah serta kejadian di mana
petugas media dikasari penyokong anti-BERSIH itu.
Terdahulu, dalam majlis yang sama hari ini, apabila ditanya mengenai
kekecohan tersebut, Noh meminta wartawan bertanya kepada BERSIH mengenai
perkara itu terlebih dahulu.
"You go and ask kuning, mengapa dia buat (konvoi)? No kuning, no merah lah. Why you nak blame merah? Itu, you pergi tanya kuninglah," katanya.
Beliau atau nama sebenarnya Syarul Ema berkata
keputusannya menyertai PKR ialah untuk “menebus keterlanjurannya” dalam
parti itu.
PETALING JAYA: Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai
“Ratu Naga” menyertai Wanita PKR dengan harapan untuk “menebus
keterlanjurannya” terhadap parti itu.
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Ema berkata
beliau memilih PKR berbanding parti lain kerana ada banyak kesilapannya
dengan parti itu.
“Bagi saya sama ada masuk parti PKR, DAP atau pembangkang tidak
penting. Saya banyak kesalahan pada PKR, saya nak baiki ketelanjuran
saya,” katanya.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan itu sebagai langkah positif untuk membantu sayap parti itu.
“Kepakarannya akan membantu kami. Mungkin cara dia sebelum ini
sedikit negatif, tetapi saya yakin dia boleh memainkan peranan besar
dalam meningkatkan martabat wanita dan kesedaran mengenai dasar untuk
wanita,” kata Zuraida.
Katanya, Ema boleh melatih Wanita PKR mengenai media sosial kerana beliau mahir menggunakannya.
“Saya harap ini aka menjadi era baharu untuk Wanita PKR dalam media sosial untuk memartabatkan wanita,” katanya.
Ema menjadi perhatian kerana media sosialnya sebelum ini.
Limpahan sektor pelancongan meningkatkan pendapatan industri teksi, jelas Shamsubahrin
PETALING
JAYA: Pengusaha teksi terkejut Bajet 2017 ‘malapkan’ sektor pelancongan
selepas mendapati kerajaan tidak memberi penekanan kepada sektor
pelancongan.
“Saya terkejut dengan pembentangan bajet kali ini dan saya ingin
mempersoal kerana Kementerian Pelancongan dibawah Datuk Seri Nazri Aziz
tidak dapat perhatian yang meluas.” kata Penasihat Big Blue Capital Sdn
Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail di satu sidang media di KLCC hari ini.
Jelasnya ia memberi kesan kepada industri teksi memandangkan
pendapatan teksi juga bergantung kepada kehadiran jumlah pelancong ke
Malaysia.
“Pelaburan tingkatkan pelancongan penting kerana ia membantu
meningkatkan pendapatan industri teksi, jadi salah satu kepincangan
Bajet 2017 adalah tidak ada penekanan dibuat kepada sektor pelancongan,”
katanya.
Bagi sektor pelancongan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
semalam mengumumkan lima langkah promosi dan penambahbaikan iaitu:
Peruntukan RM400 juta antaranya untuk inisiatif clean air dan pelancongan eko.
Tempoh permohonan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi
pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31
Disember 2018.
Potongan cukai untuk sektor swasta yang menaja pertunjukan kesenian,
kebudayaan, warisan tempatan dan luar negara dinaikkan daripada
RM500,000 kepada RM700,000.
Mempromosi Malaysia melalui kempen Tahun Melawat Asean@50, Sukan Sea dan Sukan Para Asean 2017.
Meluaskan eVisa ke negara rantau Balkan dan Asia Selatan bagi mencapai sasaran 32 juta pelancong tahun hadapan.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah menjawab dakwaan bahawa pemantau
pilihan raya itu membuang masa dan wang dengan mengadakan satu lagi
perhimpunan mega pada 19 November.
Katanya, empat perhimpunan BERSIH sebelum ini telah mendorong
berlakunya perubahan, meskipun kehadiran BERSIH 4 pada tahun lepas lebih
ramai disertai kaum Cina. Antara kesan tersebut ialah pembentukan jawatankuasa pilihan parlimen
mengenai pembaharuan pilihan paya, penggunaan dakwat kekal dan jumlah
keluar mengundi sehingga 83 peratus.
Lebih ketara, katanya, adalah hakikat bahawa rakyat Malaysia bersama-sama untuk satu matlamat tanpa mengira kaum.
"Buat kali pertama kita bersama-sama apabila kita menjalankan protes
jalanan kita - bukan sebagai satu bangsa, tetapi sebagai rakyat
Malaysia.
"Jika anda kata BERSIH 4 terdiri daripada majoriti Cina - ya, tetapi saya tidak menjadikannya alasan.
"Ada orang Melayu dan juga kaum-kaum lain dan bersama-sama saya
menganggap mereka sebagai rakyat Malaysia yang ingin mempunyai suara
dalam sistem yang menindas ini.
"Jadi apa kalau lebih daripada satu kaum - adakah rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk bercakap" soalnya di Facebook.
Maria berkata kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam
pilihan raya umum 2008, dan pengurangan majoriti BN dalam pilihan raya
umum 2013 sebagai bukti bahawa perhimpunan BERSIH pada 2007 hingga 2012
mempunyai kesan.
"(BERSIH) memecahkan faktor ketakutan dan juga mencabar politik perkauman," katanya.
"Saya tak fikir ada sesiapa telah membuang duit (dengan menderma kepada Bersih)," katanya.
Kerajaan perlu tahu perbezaan antara pemandu teksi terlatih dan orang miskin bawa Uber, kata Datuk Samsubahrin
KUALA
LUMPUR: Galakan kerajaan kepada golongan B40 supaya menjadi pemandu
Uber akan menjejaskan industri perkhidmatan pengangkutan awam, kata
pengusaha teksi.
“Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) harus
tahu perbezaan antara pemandu teksi dan orang miskin bawa teksi,” kata
penasihat Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Samsubahrin Ismail di satu
sidang media di KLCC hari ini.
“Saya ada ramai orang miskin menjadi pemandu teksi, dan kita latih mereka menjadi pemandu profesional.
“Bukannya dengan meluluskan Uber (kemudian galak B40 jadi pemandu tanpa latihan).”
Industri teksi dilaporkan terhimpit ketika ini menghadapi persaingan
daripada perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab.
Uber dan Grab memberi peluang kepada orang kebanyakan dan golongan
profesional menjana pendapatan tambahan sebagai pemandu menggunakan
kenderaan sendiri.
Semalam, Najib menyatakan sokongan kerajaan kepada perkhidmatan
tersebut dan mengalakkan penyertaan golongan B40 sebagai pemandu Uber.
Dalam Bajet 2017, kerajaan mahu menyediakan rebat RM4,000 bagi
membantu mereka mem beli Proton Iriz bagi tujuan Uber, selain
menggunakan BR1M untuk membuat bayaran pendahuluan.
“Sekarang kamu mahu orang miskin bawa Uber. Kerajaan pimpinan perdana
menteri meletakkan semua pemandu profesional sama taraf orang miskin.
“Saya juga mahu cadangkan Uber diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Semalam Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M)
Kamarudin Hussain berkata pemandu teksi tidak boleh lagi berharap kepada
kerajaan.
Timbalan Pengerusi PERS1M Kamarudin Hussain berkata insentif yang diberikan kepada pemandu teksi tidak mencukupi.
“Semasa pilihanraya umum ke-13 perdana menteri berjanji akan
tranformasi industri teksi, tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila
industri teksi dibunuh,” katanya.
Kerajaan mempunyai pelaburan dalam Uber melalui Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
‘Bah Kuning’ yang menerpa masuk ke dalam sejarah terburuk Kelantan
lewat dua tahun lalu tanpa ketukan amaran telah menjadi semacam
gelanggang untuk ahli-ahli politik bersilat lidah dan menunding jari
antara satu sama lain – hampir sepanjang tempoh ketika kerja-kerja
pemulihan infrastruktur masih diusahakan. Malah geran bernilai RM20 juta yang dianugerahkan kerajaan negeri
kepada 1,000 penyelidik bagi tujuan menjalankan kajian pasca banjir itu
mencapai kata putus yang sama, tanpa sedikit pun menyentuh faktor lain
sebagai punca menyumbang kepada terjadinya banjir terburuk dalam sejarah
negara itu.
Namun, pihak yang benar-benar mengamati permasalahan berkenaan, sama
ada dari luar dan dalam percaya aktiviti pembalakan yang beroperasi
sejak beberapa dekad yang lalu, telah menyumbang kepada banjir besar
yang telah menenggelamkan dan melumpuhkan sebahagian besar
kawasan-kawasan utama di negeri itu.
Ia diakui dengan mata kasar kita sendiri apabila lumpur kuning
menyerbak dan terpalit di mana-mana, yang diimani pelbagai pihak berlaku
akibat pembalakan rakus dan tidak terurus pemerintah negeri.
Sedang rakyat berendam air mata, meratapi kehilangan harta benda,
keluarga tercinta dan kenangan yang pernah tersemat di tangga rumah,
lidah ahli politik nampaknya tidak mampu untuk menampung beban yang
sedia dipikul mangsa-mangsa banjir.
Sebaliknya, kelompok akar umbi, yang sedia bekerja dan bebas dari
tatanan politik lebih cekap mengisi kelompongan yang ditinggalkan
ahli-ahli politik tertentu yang ketika itu masih berdiri dan bermain di
atas kayangan dan membumi di Amerika Syarikat menikmati terjahan bola
glof bersama Barack Obama.
Pada Januari 2015, Impian Kelantan pun ditubuhkan atas usaha murni
untuk mengembalikan semangat rakyat yang tercalar dek keabsurbdan alam
dan percaturan salah pemimpin.
Dan penyelarasnya, Young Syefura atau lebih mesra dipanggil Rara menceritakan kisah yang meruntun jiwa berkisar seputar kehidupan yang dilalui mangsa.
“Selepas banjir besar mulai surut dan apabila hujan turun semula
dengan lebat, anak-anak kampung memang sangat trauma, mereka menangis di
waktu malam.
“Saya sendiri mengalami pengalaman tersebut apabila saya tidur
bersama anak-anak kampung di asrama Sekolah Rendah Pasir Tumbuh. Mereka
memang sangat takut. Mereka menangis dan mereka rasa perkara yang sama
akan berlaku lagi.
“Saya rasa amat sedih dan juga kasihan kepada mereka kerana mereka
masih anak-anak kecil yang berusia dalam lingkungan tujuh dan lapan
tahun, tetapi terpaksa mengalami pengalaman yang sangat dahsyat.
“Apabila kita mendengar cerita-cerita penduduk kampung, kalau kita
berada di tempat itu pun kita tak tahu apa nasib kita. Kerana mereka
bercerita bagaimana mereka perlu meredah hutan pada waktu malam, tidur
di dalam hutan di dalam ladang getah. Yang paling kasihan sekali pada
ibu yang baru lepas melahirkan anak.
“Kerana nak larikan diri daripada banjir dari air yang sedang naik
itu, mereka terpaksa melarikan diri ke dalam hutan dan perlu bawa anak
yang baru dilahirkan, ini antara pengalaman yang mereka hadapi sewaktu
itu” katanya.
Kampung Pasir Tumbuh yang terletak di Gua Musang, iaitu antara
kawasan yang paling terjejas teruk, merupakan kampung angkat pertama
Impian Kelantan bagi meneruskan objektif murni penubuhannnya.
Bagi menceriakan kembali wajah-wajah sugul mangsa banjir, pasukan
Impian Kelantan dibantu hampir 20 sukarelawan, berkampung selama lebih
enam bulan di sana dengan mengisi tentatif program melakukan kerja-kerja
membina, membaiki dan mengecat lebih daripada 60 buah rumah yang
terjejas teruk.
“Penerimaan orang kampung sangat-sangat baik, mereka terharu dan
sangat gembira dengan kedatangan pasukan ‘medical camp’ daripada Impian
Kelantan kerana mereka memerlukan ubat-ubatan selepas banjir berlaku,
kehilangan harta benda dan wang. Kesihatan mereka juga turut terjejas.
“Apabila ‘medical camp’ ini masuk ke kampung pedalaman mereka
sangat-sangat gembira dengan kedatangan kami,” katanya sambil menambah
Impian Kelantan tidak terhenti di situ sahaja, malah turut membantu
membaik pulih Pasar Baru di Kuala Krai yang musnah akibat daripada arus
deras banjir. Pandangan mengenai aktiviti kesukarelawan
Dengan berbekalkan ilmu kejururawatan, Rara sememangnya tidak kekok
dengan kegiatan kesukarelawan, malah pernah menjalani latihan praktikal
di Hospital Mental, Tanjung Rambutan.
“Bukan semua orang ada akses ke dalam wad Tanjung Rambutan,” katanya sedikit ketawa.
Ketika dialihkan perbualan mengenai penglibatan masyarakat dalam
lapangan sukarelawan, beliau dengan mata bundar dan tersenyum
memaklumkan bahawa banyak tanda-tanda positif sejak akhir-akhir ini,
malah, Impian Kelantan menerima kunjungan ramai individu daripada
pelbagai latar belakang yang bersedia untuk melakukan kerja-kerja
membantu mangsa banjir.
MENTAKAB, 22 OKT: Kesal dengan ugutan bunuh ala Da’esh terhadap
Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah baru-baru ini, satu lagi laporan
dibuat mendesak pihak polis bertindak tegas menyiasat dan melaksanakan
keadilan. Laporan itu antara lain menyebut jika pihak polis dan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh menangkap individu yang memuat
naik gambar yang menghina Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, tidak
menjadi masalah jika pelaku ugutan bunuh ala Da’esh ini juga dikesan dan
dikenakan tindakan.
“Sekiranya
pihak PDRM dan SKMM boleh mengesan individu seperti ‘Ratu Naga’ yang
didakwa memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri dan Isteri,
saya percaya tidak menjadi masalah langsung untuk PDRM dan SKMM segera
mengesan dan menangkap individu atau pihak di sebalik sebaran gambar
ugutan bunuh terhadap Maria, Mandeep dan Dato’ Ambiga ini,” laporan itu
dipetik.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Mentakab itu dibuat oleh Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah.
Adun Mentakab itu turut ditemani pemimpin gabungan pembangkang Pahang
termasuk Ahmad Zubir Omar mewakili Amanah, Hassim Bin Abd Mubim
mewakili PKR dan Mohd Zin bin Talib mewakili Bersatu.
“Perbuatan ini adalah satu bentuk ugutan jenayah yang wajib dikutuk
oleh semua pihak tidak kira sama ada mereka bersetuju ataupun tidak
dengan usaha Bersih 5.
“Kami memohon agar pihak polis mengambil langkah berjaga-jaga bagi
memastikan keselamatan dan keamanan serta ketenteraman dapat dikekalkan
dan diteruskan sepanjang penganjuran Jelajah Bersih 5 di Temerloh dan
kawasan sekitarnya,” petik laporan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Transformasi
Nasional 2050 (TN50) bagi menggantikan Wawasan 2020 dalam pembentangan
Belanjawan 2017 di Parlimen semalam.
Langkah itu, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, membuktikan
bahawa Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan telah gagal dalam
merealisasikan visi untuk membawa negara ke arah mencapai status negara
maju dalam tempoh empat tahun yang akan datang. “Setelah menyaksikan 42 pembentangan belanjawan di Parlimen,
belanjawan kali ini lah yang paling banyak menarik sindirian pelbagai
pihak ekoran dua sebab – pertama kerana ketiadaan kredibiliti dalam
belanjawan itu sendiri, dan kedua kerana ketiadaan kredibiliti pada
pembentang belanjawan.
“Malah, amat mengejutkan apabila Najib menolak Wawasan 2020 sedangkan
dalam pembentangan belanjawan terakhir tahun lepas, beliau telah
mengulangi komitmen bersungguh untuk mencapai wawasan itu,” katanya
dalam ucapan di majlis makan malam DAP Bukit Kepayang semalam.
Wawasan kerajaan yang dibawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad dalam Rancangan Malaysia Keenam pada 1991 itu adalah bertujuan
untuk meningkatkan negara menjadi sebuah negara perindustrian dan negara
maju sepenuhnya menjelang 2020.
Namun, usaha hampir dua dekad itu nampaknya tidak akan berjaya dengan
usaha penangguhan oleh Najib Razak dengan memperkenalkan wawasannya
sendiri melalui TN50.
“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama (Wawasan
2020) berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui,” ucap
Najib di Dewan Rakyat 20 minit selepas pemimpin pembangkang kecuali PAS
bertindak keluar dewan beramai-ramai.
Ia sebagai tanda protes terhadap kenyataan Najib yang menolak dakwaan
‘seorang pemimpin pembangkang’ bahawa Malaysia sedang mengharungi ribut
ekonomi yang sukar pada tahun ini.
Mereka dilihat turut mengangkat plakad ‘#SiapaMO1’ sambil bergerak
keluar ke perkarangan lobi Parlimen selepas dijerkah Speaker Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memberi pilihan kepada mereka
untuk keluar dewan.
KUALA LUMPUR, 21 OKT: Wujud intimidasi dan provokasi dalam
pengisytiharan ‘perang’ terhadap Bersih seperti yang diucapakan ketua
samseng UMNO, Datuk Jamal Yunos kepada penyokongnya sejurus selepas
dibebaskan daripada tahanan reman semalam.
Justeru, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kenyataan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini yang memandang
remeh ucapan Jamal itu adalah tidak wajar.
Menurut Charles, polis sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bagi memastikan insiden kekasaran
terhadap penyokong Bersih oleh kumpulan samseng UMNO yang berlaku
beberapa minggu lalu tidak berulang kembali.
“Dengan mengambil sikap lepas tangan, ketegangan di antara kumpulan samseng UMNO dan penyokong Bersih akan meningkat.
“Malah, ia berpotensi untuk bertukar menjadi lebih ganas, seperti mana yang kita lihat dua minggu yang lepas,” katanya kepada Roketkini.
Peserta konvoi Bersih telah diganggu dan dipukul oleh samseng UMNO di beberapa lokasi yang dilawati mereka sejak awal bulan ini.
Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
kelmarin bagi membantu siasatan mengikut seksyen 500 dan 503 Kanun
Keseksaan kerana fitnah dan ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi
dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan dituntut menjelaskan kepada umum
mengapa proses ekstradisi Sirul Azhar Umar masih tidak dibuat sehingga
ke hari ini sedangkan ia bercanggah dengan kenyataannya dalam
sidang-sidang Parlimen yang lalu.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata proses rundingan
untuk membawa Sirul kembali ke Malaysia adalah mustahil jika kerajaan
tidak pernah membuat sebarang permintaan kepada kerajaan Australia. Menurutnya, pengesahan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam satu soalan yang dibangkitkan
semula olehnya pada 17 Oktober lalu.
“Padahal, kerajaan sebelum ini memberi jaminan berulang kali bahawa
ia dalam proses rundingan dengan Australia untuk membawa pulang Sirul
sejak Mac 2015,” ujarnya, kesal sambil menambah, Sirul telah disabitkan
dan dijatuhi hukuman mati hampir dua tahun lalu.
Ramkarpal berkata kenyataan tidak konsisten kerajaan itu menimbulkan
syak wasangka sama ada ia tidak mempunyai kepentingan untuk
mengekstradisi Sirul atau membuat sebarang rundingan.
“Lebih-lebih lagi, alasan sejak Mac tahun lepas kononnya proses
ekstradisi itu rumit menunjukkan betapa tidak cekapnya Jabatan Peguam
Negara sehingga mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari jalan
bagaimana untuk mengekstradisi seseorang.”
Sirul dan seorang lagi anggota polis, Azilah Hadri disabitkan
bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Tinggi pada 2009,
namun berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013.
KOTA BHARU - Pas tidak melihat Amanah sebagai ancaman besar berdepan
PRU14, sebaliknya parti itu lebih memilih fokus perjuangan dekatkan dan
mengembalikan umat Islam kepada al-Quran.
Mursyidul Amnya, Hashim Jasin berkata, perjuangan itu dilihat lebih
mencabar dan tiada parti lain mampu melaksanakan tanggungjawab besar
itu.
“Pas mesti ke depan, jangan harap orang lain. Saya tidak nampak orang
lain (parti lain) yang boleh jadi penerokaan awal ke arah tersebut. Pas
mampu kerana kita ada presiden yang jadi Ketua Ulamak Sedunia. Kita
sudah ada jalan boleh kita ikut,” katanya kepada media, semalam.
Beliau hadir ceramah sulungnya di negeri ini sempena Ceramah Perdana 26
Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam yang turut dihadiri
kepimpinan tertinggi Pas negeri dan Pusat.
Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai Amanah yang dilihat musuh
politik terbaharu Pas selepas Umno dan DAP, malah turut wujud bayangan
Pas mungkin berdepan pertandingan tiga penjuru pada PRU14.
Menjawab pertanyaan itu, Hashim berkata, Pas parti matang dan mempunyai
jawatankuasa khas untuk membantu melihat dengan lebih mendalam mengenai
sesuatu isu.
“Kita ada Lajnah Politik. Dari situ mereka akan buat keputusan, Majlis
Syura hanya lihat kalau keputusan itu bertepatan syarak dan berdepan
masalah atau tidak, tetapi kalau bercanggah dengan syarak, Majlis Syura
bagi pandangan.
“Majlis Syura berkuasa batalkan keputusan jawatankuasa Pas Pusat,
tetapi jarang berlaku dalam Pas, lebih-lebih lagi jawatankuasa
sekarang.
"Pertemuan tiga penjuru, tunggu keputusan lajnah politik yang bawa
keputusan kepada Pusat nanti. Kalau mereka kata sedia nak lawan tiga
penjuru, kita tengok, kalau tidak bercanggah, Majlis Syura sokong,”
katanya.
Mungkin Transformasi Nasional 2050 (T50) menjadi 'senjata paling ampuh' untuk meminggirkan 'Wawasan 2020’.
Legasi lama itu harus diganti dengan gagasan baru yang diharapkan dicapai pada 2050.
Visi T50 itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
semalam pada ucapan Bajet 2017 yang dilihat sebagai serangan berani dan
terbesar terhadap legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
sejauh ini. Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri
Annuar Musa sebelum ini bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu
menghapuskan legasi Dr Mahathir untuk menjadikan Umno kuat.
Najib semalam membuktikan bahawa cara paling baik menghapuskan legasi
perdana menteri Malaysia 22 tahun itu ialah memperkenalkan gagasan
baru.
Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan memberitahu
seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau dan kepimpinannya merangka hala
tuju negara berdasarkan visi baharu yang dikenali sebagai Transformasi
Nasional 2050 atau TN50.
Bagi Najib, T50 adalah ‘azimat kerajaan dan rakyat’ untuk masa depan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui," tegas Najib.
Sebelum ini, rancangan pembangunan negara berdasarkan Wawasan 2020
hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ada menyebut Wawasan 2020 diperkenalkan ketika pembentangan Rancangan
Malaysia Keenam pada 1991 dan ada yang menyebutnya lahir hasil daripada
kertas kerja bertajuk “Malaysia-Melangkah ke Hadapan” yang dibentangkan
di Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991.
Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada
tahun 2020 dengan acuan tersendiri. Ia adalah kesinambungan daripada
usaha pemimpin negara terdahulu bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah
negara maju dalam segenap aspek kehidupan meliputi ekonomi, politik,
sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Untuk yang mahu mengetahui dengan jelas dan mudah, baca dokumen
‘KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN JAYAKAN WAWASAN 2020’ oleh Bahagian Penerbitan
Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia (Februari 2013) melalui
carian di internet.
Selepas diragui wawasan itu akan mencapai sasarannya dengan
pengenalan berbagai dasar baru sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad
Badawi yang diteruskan Najib sejak 2008, ia menjadi hambar.
Malah Dr Mahathir sendiri meragui untukm dicapai kerana pentabiran selepasnya dilihat seolah-olah ‘lepas tangan’.
Dalam pembentangan Bajet 2017 di Parlimen semalam, Najib berkata,
sejak 2010, Malaysia berada di atas landasan visi Dasar Transformasi
Negara (DTN).
Tanpa menyebut sepatah pun perkataan Wawasan 2020, Najib mengatakan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham Tun Abdul Razak
untuk generasi baharu berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 30 tahun.
Kerana itu, TN50 juga dijangka mengambil tempoh sama untuk proses dan gerak kerja.
Apakah dengan tidak menyebut Wawasan 2020 itu bermakna gagasan atau
visi pembangunan sebelum ini, khususnya di era Dr Mahathir tidak membawa
sebarang kemajuan kepada rakyat dan negara?
Apakah DEB yang dijadikan asas pembangunan sejak Dr Mahathir
mengambil alih pentadbiran pada 1982 dengan berbagai dasar untuk
bumiputera perlu dilupakan begitu sahaja?
Apakah Najib hanya melihat legasi bapanya tanpa menyebut legasi Tunku Abdul Rahman serta Tun Hussein Onn?
Pembiayaan untuk beberapa universiti awam utama dan hospital pengajar
telah dikurangkan ke tahap paling rendah selepas 2011, demikian menurut
Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen semalam oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan. Antaranya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia
(UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, jumlah peruntukan bagi
UM - operasi dan perbelanjaan pembangunan - akan dikurangkan hampir
satu pertiga, 28.5 peratus.
Jumlah pembiayaan bagi tahun depan ialah RM378.0 juta di bawah Bajet 2017 berbanding RM528.9 juta dalam Bajet 2016.
Begitu juga dengan USM dan UKM di mana pembiayaan mereka dipotong
sebanyak 32 peratus. Pembiayaan USM dipotong daripada RM584.6 juta
kepada RM397.9 juta. Manakala peruntukan untuk UKM pula dikurangkan
daripada RM523.3 juta kepada RM356 juta.
Sementara itu, peruntukan bagi UPM akan dipotong daripada RM579.8
juta kepada RM466.9 juta, manakala pembiayaan untuk UTM akan dikurangkan
daripada RM580.6 juta kepada RM381.5 juta.
Di bawah Bajet 2017, Kementerian Pengajian Tinggi akan memperuntukkan
RM12.1 bilion, di mana RM7.1 bilion (tidak termasuk perbelanjaan
pembangunan) diperuntukkan untuk universiti dan hospital pengajar.
Sebagai perbandingan, kementerian tersebut diperuntukkan RM13.4
bilion di bawah Bajet 2016, dan RM15.8 bilion di bawah Bajet 2015.
Universiti dan hospital pengajar telah diperuntukkan RM8.8 bilion
dalam Bajet 2016, dan RM9.9 bilion dalam Bajet 2015. Angka ini termasuk
perbelanjaan 'one-off' dan pembiayaan untuk perubahan dasar, dan
peruntukan bagi tahun depan adalah yang kedua terendah sejak bajet
pertama Najib pada 2010 .
KUALA LUMPUR 22 OKT: Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion
atau 68.8 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7
bilion pada akhir 2015.
Manakala hutang Kerajaan Persekutuan berada pada paras RM655.7 bilion
atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga
akhir Jun 2016.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, hutang dalam negeri kekal sebagai
bahagian terbesar daripada jumlah hutang iaitu sebanyak 95.9 peratus
manakala selebihnya daripada pinjaman luar pesisir.
Pada akhir Jun 2016, hutang dalam negeri Kerajaan Persekutuan
berjumlah RM628.8 bilion, sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti
Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII),
menurut laporan itu yang dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2017.
MGS, sebagai instrumen terbesar terbitan Kerajaan Persekutuan,
mencatat RM365.9 bilion atau 55.8 peratus daripada jumlah hutang
manakala MGII sebanyak RM230 bilion.
“Peratusan MGII kepada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan telah
meningkat kepada 35.1 peratus berbanding 21.8 peratus pada 2010,
mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam mempromosikan Malaysia
sebagai hab kewangan Islam antarabangsa,” demikian menurut Laporan
Ekonomi itu.
Sebahagian besar MGS dan MGII dipegang oleh institusi kewangan iaitu
sebanyak 27.1 peratus, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (23.1
peratus) dan syarikat insurans (4.9 peratus).
Sebagai langkah pengurusan aliran tunai yang lebih baik, Bil
Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia
diterbitkan secara berkala dengan tempoh matang 12 bulan dan ke bawah.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/2017, pinjaman luar persisir berjumlah
RM26.9 bilion, terdiri daripada pinjaman pasaran dan pinjaman projek.
Daripada jumlah ini, pinjaman pasaran merangkumi 75.3 peratus dan
bakinya pinjaman projek. Pinjaman projek diperoleh menerusi sumber dua
hala dan pelbagai hala terdahulu, bagi membiayai program khusus dan
projek infrastruktur seperti perumahan, pembetungan dan empangan.
Hutang luar Malaysia berjumlah RM848.2 bilion atau 68.8 peratus
daripada KDNK pada akhir Jun 2016 berbanding RM833.7 bilion pada akhir
2015.
Sebahagian besar hutang ini terdiri daripada deposit dan pegangan
bukan pemastautin ke atas sekuriti hutang berdominasi ringgit sebanyak
RM309.6 bilion atau 25.1 peratus daripada KDNK, diikuti hutang sektor
swasta sebanyak RM166.7 bilion atau 13.5 peratus daripada KDNK.
Sementara itu, pinjaman luar pesisir oleh sektor awam sebanyak 9.9
peratus daripada KDNK dengan hutang Kerajaan Persekutuan hanya berjumlah
2.0 peratus.
Pinjaman luar pesisir meningkat 0.7 peratus kepada RM466.7 bilion
pada akhir Jun 2016, terutama disebabkan oleh terbitan kertas hutang
mata wang asing termasuk terbitan Sukuk Global Wakalah berjumlah AS$1.5
bilion pada April 2016.
Hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM24.6
bilion disebabkan kesan penilaian serta terbitan pra-pembiayaan bagi
penebusan sukuk global US$1.2 bilion yang matang pada Julai 2016 dan
kekal rendah pada 5.3 peratus daripada jumlah pinjaman luar pesisir.
Pegangan pelabur asing dalam MGS dan MGII meliputi 34 peratus
daripada jumlah kedua-dua instrumen berbanding 31.2 peratus pada akhir
2015.
Sehingga akhir 2015, hutang sektor awam Malaysia berjumlah RM870 bilion atau 75.2 peratus daripada KDNK.
Hutang Kerajaan Persekutuan sebagai komponen terbesar, berjumlah
RM630.5 bilion atau 72.5 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.
Mereka mahu bahagian yang adil, bukan umpan pilihan raya, kata ahli Parlimen DAP
PETALING JAYA: Dua ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima masyarakat Cina dan India dalam Bajet 2017.
“Belanjawan itu tidak melakukan yang secukupnya untuk masyarakat
Cina,” kata Nga Kor Ming (DAP-Taiping) kepada FMT. “Apa yang masyarakat
Cina mahu adalah keadilan dan peluang sama rata.”
Dalam belanjawan yang dibentangkan di Parlimen semalam, Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan mahu peruntukkan RM50
juta untuk pembangunan kampung baru Cina, RM20 juta untuk pinjaman
mikro-kredit di bawah seliaan Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia dan
RM20 juta untuk pinjaman kepada penjaja Cina.
Kor Ming menepis peruntukan itu sebagai “umpan” menarik sokongan pengundi Cina dan mendakwa Najib tidak menghormati mereka.
Apa yang masyarakat Cina mahu, jelasnya, adalah “bahagian yang adil”
daripada belanjawan itu, sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada
pembangunan negara.
Katanya peruntukan yang besar wajar diberi kepada pendidikan Cina.
“Pendidikan merupakan pelaburan terbaik ke arah membangunkan modal
insan,” tambahnya.
Katanya Putrajaya perlu melihat contoh Pulau Pinang dan Selangor,
yang memperuntukkan RM500,000 setiap tahun kepada sekolah menengah Cina.
Sementara itu, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) menyifatkan peruntukan
RM10 juta kepada sekolah Tamil cubaan Najib untuk “menyemai hubungan
istimewa dengan masyarakat India” sekiranya mereka mengundi Barisan
Nasional.
Belajar daripada sejarah, Kulasegaran berkata janji itu cuma “sementara”.
Jelasnya 4 tahun lalu kerajaan peruntukkan RM50 juta untuk latihan kemahiran 3,000 belia India.
“Tetapi sasaran tak tercapai,” katanya. “Tak sampai 1,000 orang pun dilatih.”
Beliau menyoal Menteri Sumber Manusia berhubung perkara itu dan jawapan yang diterima adalah ia sedang diusahakan.
Perdana Menteri nampaknya tidak mengendahkan tuntuan dua negeri itu, kata Bandar Kuching dan Penampang
PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang daripada Sarawak dan Sabah mendakwa negeri mereka tidak diendahkan Bajet 2017.
Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) menyifatkan pengurangan
peruntukan untuk Sarawak sebagai perkara yang “besar”, mungkin kerana
Barisan Nasional percaya sudah berakar berumbi di negeri itu.
“Jika kamu perhatikan belanjawan itu, Sarawak tidak disebut sebanyak mana dalam belanjawan terdahulu,” katanya.
Sementara itu, pemimpin parti baharu Parti Warisan Sabah Darell
Leiking (Warisan-Penampang) berkata layanan yang diterima Sabah dalam
belanjawan kali ini menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak tidak mahu mengiktiraf kedudukan sama taraf Sabah dan
Semenanjung Malaysia.
“Sabah bukan sekadar sebuah negeri; ia rakan pembentukan negara ini,”
katanya. “Dalam Perlembagaan Persekutuabn, Sabah dijanjikan 40% hasil
bersih daripada kutipan negeri.
Mohd Sayuti OmarSetiausaha
Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan digesa supaya tidak mengeluarkan
kenyataan berbelit berhubung penyertaan parti itu dalam himpunan Bersih,
19 November depan.
Penulis buku politik popular Mohd Sayuti Omar berkata, peguam itu
boleh sahaja tanpa perlu berselindung menyatakan menjalin hubungan
dengan Umno.
"Takiyuddin tidak payah banyak cakap berliku-liku macam jalan ke Bukit Tinggi.
"Terus terang sahaja Pas tidak mahu sertai Bersih kerana Pas sedia untuk berkerjasama dengan Umno. Cakap biar jelas dan terang.
"Ringkas, tidak menyusah dan mengelirukan orang. Dalam perjuangan
kena gentlemen tidak jadi macam ikan keli dalam besen," bidasnya dalam
status Facebook beliau.
Sayuti mengulas alasan Takiyuddin kononnya Pas tidak menyertai Bersih
5 kerana perjuangan gerakan kempen menuntut pilihan raya yang adil itu
sudah melencong.
Takiyuddin yang juga peguam mendakwa terdapat peserta Bersih sebelum ini memijak gambar pemimpin parti tersebut.
"Kalaulah itu alasan kenapa Pas tidak mahu sertai Bersih, betapa rendah jiwa orang Pas.
"Takkan kerana gambar dipijak sanggup menolak gagasan Bersih untuk memastikan pilihan raya adil dan bersih.
"Tengok Anwar walaupun matanya lebam dibaham polis Dr Mahathir tetapi
beliau boleh melupai peristiwa itu demi mencapai cita-cita bersama,"
tegas Sayuti lagi.
Walaupun pembentangan belanjawan setahun sekali tetapi Ahli Parlimen
Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam masih tidak dapat hadir ke
Dewan Rakyat.
Ketiadaannya ketika Perdana Menteri membentangkan Bajet 2017 dilihat
banyak pihak sebagai sudah menjadi kelaziman memandangkan beliau memang
dikenali kerap ponteng dalam sidang Parlimen.
Namun, terdapat penyokong Pas yang cuba menjelaskan punca ketidakhadiran Presiden mereka itu di Parlimen.
Pengguna Facebook, Aziz Al Qassam memberitahu Naib Ketua Kesatuan
Ulama Sedunia itu mempunyai Kuliah Jumaat diikuti majlis tahnik.
"Lepas itu (Kuliah Jumaat), memenuhi hasrat masyarakat Marang untuk tahnik anak mereka.
"Cakap-cakap buat dosa dok menimbulkan kebencian kepada tok guru yang banyak jasa kepada ummah," bidasnya lagi.
Dakwaan Aziz berkenaan adalah respon kepada status Facebook milik Naib Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak.
"Semua Ahli Parlimen Pas kekal dalam dewan hingga berakhir pembentangan bajet kecuali Marang," katanya bernada sindiran.
Anina Saadudin
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat
untuk menentukan gerak kerja dan pembabitkan parti itu dalam himpunan
Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November depan.
Ketua Srikandi Bersatu, Anina Saadudin memaklumkan, kehadiran
Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Naib Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam beberapa ceramah dan
Konvoi Bersih 5 sejak dua minggu lalu, telah membuktikan pimpinan parti
itu menyokong penuh himpunan Bersih 5.
"Pada asasnya kami menyokong lima tuntutan Bersih kerana Bersih juga
menuntut supaya Najib melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.
"Tetapi keputusan untuk membawa ahli parti Pribumi Bersatu dalam
himpunan besar pada November depan, secara teknikalnya pimpinan kami,
belum dimuktamadkan lagi kerana kita masih belum bermesyuarat mengenai
hal ini," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Katanya lagi, walaupun menyokong penuh lima tuntutan Bersih tetapi
parti itu mahu himpunan yang akan diadakan kelak dapat dilaksanakan
secara aman dikalangan penyokong Bersih.
"Kita dalam Srikandi mahu demontrasi aman dilaksanakan dan Bersih perlu cukup bersih.
* RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan
* RM77.4 bilion untuk emolumen, RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan
* Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi terima agihan
tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial RM12.2 bilion,
keselamatan RM5.3 bilion, pentadbiran RM2.5 bilion
* Hasil kerajaan Persekutuan 2017 dijangka berkembang tiga peratus kepada RM219.7 bilion
* Sasaran kerajaan untuk defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK pada 2017
* GST hampir RM30 bilion dikutip setakat 19 Okt 2016
* KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia meningkat daripada US$23,100 pada 2012 kepada US$26,891 pada 2015
* Jumlah pelaburan asing yang diluluskan bagi separuh pertama tahun
2016, adalah lebih RM28 bilion, peningkatan 32 peratus berbanding tempoh
sama tahun lepas.
* Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada Kumpulan Pelaksana
* Cuti Kuarantin lima hari tanpa rekod kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuaratin
* Menaikkan had kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam kepada RM200,000 hingga RM750,000
* Gred 56 diwujudkan bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar
* RM1.2 bilion bagi membina dan menaik taraf 616 km jalan kampung dan
jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan
bandar
* RM4.6 bilion bagi menyelenggara jalan negeri, di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)
* RM350 juta bagi membina dan membaik pulih 17,000 unit rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan Orang Asli
* RM800 juta untuk Projek Mesra Rakyat seperti menaik taraf dan membina
surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil
* RM495 juta untuk meneruskan 69 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara
* RM200 juta untuk bina 5,000 unit MyBeautiful New Home menerusi NBOS
bagi B40 pada harga RM40,000-RM50,000 seunit, dengan kerajaan biayai
RM20,000
* RM275 juta bagi membantu meningkatkan peluang pendapatan rakyat, terutamanya kelompok B40
* Peruntukan subsidi hampir RM10 bilion merangkumi subsidi gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.
* BR1M - isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan bantuan kepada RM1,200
* BR1M - isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 dinaikkan bantuan kepada RM900
“MENJAMIN PERPADUAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI, MENGHEMAH PERBELANJAAN INKLUSIF, MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT SELURUH”
Tuan Yang Dipertua,
Saya
mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi
menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2017 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
1.
Segala puji dan puja serta kalimah tasbih dipanjatkan ke hadrat Allah
Hu Ta’ala di atas limpah kurnianya yang menghimpunkan kita sekali lagi
pada petang Jumaat, 21 haribulan Oktober 2016, bersamaan 20 haribulan
Muharram 1438 Hijriah yang mulia ini, bagi maksud pembentangan sebuah
lagi dokumen besar negara yakni Bajet 2017.
2. Demikianlah, tentunya kita memohon limpahan rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, dengan selawat sesempurna anugerah.
3.
Wahai Tuhan Yang Maha Besar, sebaik-baik perancang, dipohon Taufik dan
Hidayah serta nikmat bahagia yang berkekal-kekalan kepada hamba-hambaMu
ini seluruh rakyat Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
4. Pada
kesempatan ini, kita mengalu-alukan kembalinya sejumlah lebih 23 ribu
orang Jemaah Haji ke tanah air dengan selamatnya. Didoakan semoga
semuanya telah memperoleh Haji yang mabrur. InsyaAllah. Tuan Yang Dipertua,
5. Saban tahun sejak kurang lebih enam dekad lalu, belanjawan-belanjawan atau bajet-bajet telah dipersembahkan.
6.
Jika kita mengimbas sejarah, bermula dengan belanjawan kali pertama
pasca merdeka, di Parlimen pada tahun 1959, yang hanya berbekalkan
peruntukan sebanyak 888 juta ringgit, hinggalah Bajet 2017 ini,
berperuntukkan sejumlah 260.8 bilion ringgit. 7. Dengan izin dan
kehendak Allah yang Maha Berkuasa jua, Kerajaan Perikatan,
bertali-temali kini, sebagai Kerajaan Barisan Nasional, telah berjaya
mempertahan dan memperkekalkan pertumbuhan KDNK, pada purata enam
peratus setahun, selama hampir enam puluh tahun berturut-turut.
Alhamdulillah, ..… Alhamdulillah.
Tuan Yang Dipertua,
8.
Bajet kali ini dengan diperuntukkan 260.8 bilion ringgit, merupakan
peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.
9.
Daripada jumlah ini, 214.8 bilion ringgit adalah Perbelanjaan Mengurus
dan 46 bilion ringgit pula, untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini tidak
termasuk simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.
10. Di
bawah Peruntukan Mengurus, 77.4 bilion ringgit adalah untuk Emolumen,
serta 32 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan.
11.
Manakala, 103.9 bilion ringgit untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.
Pembelian Aset pula, diperuntukkan 691 juta ringgit, dan 816.6 juta
ringgit lagi, untuk perbelanjaan lain.
Tuan Yang Dipertua,
12.
Di bawah Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan
tertinggi sebanyak 25.9 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 12.2
bilion ringgit. Sektor keselamatan mendapat 5.3 bilion ringgit, dan
sektor pentadbiran am lebih 2.5 bilion ringgit.
13. Oleh itu, berdasarkan prestasi semasa, hasil 2017 dijangka berkembang sekitar 3 peratus iaitu kepada 219.7 bilion ringgit.
14.
Selain itu,…sasaran Kerajaan untuk defisit fiskal 3 peratus daripada
KDNK pada 2017, mudah-mudahan dapat dicapai, berbanding,… 3.1 peratus
pada tahun ini.
15. Jadinya,….. Tuan Yang Dipertua, saudara dan
saudari,….. saya faham, angka dan nombor-nombor yang disebut barangkali
tidak mudah difahami ramai.
16. Sebenarnya, apa yang hendak saya
sampaikan adalah, Kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan bajet
yang terbaik melalui perbelanjaan berhemah, sekalipun,… kita berhadapan
dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Saudara dan saudari,
17.
Maksud perbelanjaan berhemah oleh Kerajaan di sini, kalau hendak
dipercontohkan dalam sesebuah keluarga, seorang bapa atau ketua keluarga
harus bijak dalam menguruskan kewangan untuk keperluan seisi rumah.
18.
Ertinya, jika dulu,… dapat dibelikan mainan yang agak mahal untuk
anak-anak,… dalam keadaan sekarang,… beli tetap beli juga,… tetapi yang
bersesuaian dengan kadar kemampuan.
19. Manakala, makan minum,…
kalau sebelum ini boleh sedikit bermewah dan makan-makan di restoran
mahal,… kini boleh bersederhana serta berjimat, barangkali di
restoran-restoran berpatutan, namun tidak kurang enak makanannya.
20. Tambahan lagi, Malaysia dikenali sebagai ‘Syurga Makanan’.
21.
Misalnya, dalam Amanat Merdeka baru-baru ini, saya telah memberi contoh
makanan yang sedap dan harga pun boleh tahan, namun masih enak seperti
Nasi Kandar Vanggey di Ipoh.
22. Terkini pula, saya dapat
tahu,…telah viral tentang ‘Nasi Lemak Anak Dara’ di Shah Alam yang
diusahakan oleh seorang graduan wanita muda dari Universiti
tempatan…Kesiannnn katanya dah kena saman pulak.
23. Apa pun,…
Kerajaan kini harap dan kita galakkan individu-individu terutamanya para
graduan, yang ingin menjadi usahawan seperti ini didoakan agar terus
berusaha dan berjaya.
Tuan Yang Dipertua,
24. Berbalik
kepada Bajet 2017 ini,… kita ingin mengambil ibarat dan teladan daripada
kisah-kisah di zaman Nabi Allah Yusof Alaihi Salam, bersempena Kitab
Suci Al-Quran Surah 12, ayat-ayat 43 hingga 49, tentang perancangan
tujuh tahun pertama dan persediaan, selanjutnya tujuh tahun cabaran
mengekalkan keutuhan ekonomi negara.
25. Beriktibar daripada
peristiwa bersejarah itu, merujuk kepada situasi yang berlaku kepada
ekonomi negara kita, pada tahun 2008, yakni tujuh tahun lalu, Malaysia
tidak terlepas daripada dilanda kelembapan ekonomi global.
26.
Justeru, selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan, di bawah pimpinan
Mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kami telah
melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama, berjumlah hampir tujuh
bilion ringgit, bagi merangsang kembali pertumbuhan ekonomi negara.
27.
Sebenarnya, pakej pertama itu, merupakan langkah interim sahaja.
Kemudiannya, kira-kira sebulan sebelum saya dilantik menjadi Perdana
Menteri pada Mac 2009, Pakej Rangsangan Kedua bernilai 60 bilion ringgit
telah digerakkan.
28. Ternyata, langkah pro-aktif ini berjaya
memangkin ekonomi negara yang lembap pada masa tersebut. Hasilnya,
ekonomi Malaysia kembali berkembang, dengan pertumbuhan KDNK mencecah
7.4 peratus pada tahun 2010.
Tuan Yang Dipertua,
29.
Alhamdulillah, rentetan daripada inisiatif-inisiatif pakej-pakej
stimulus tersebut, dan tujuh bajet yang telah dilaksanakan, ekonomi kita
stabil dan kekal berada di landasan positif.
Tuan Yang Dipertua,
30. Sesungguhnya, keadaan ekonomi global atau external economy masakini adalah tidak menentu dan berada di luar kawalan kita.
31.
Pertumbuhan perlahan ekonomi antarabangsa berpunca, daripada kelembapan
kesemua Kuasa-Kuasa Besar Ekonomi Dunia secara serentak.
32.
Sebab itulah, pertumbuhan KDNK dunia menurun daripada 3.2 peratus pada
2015, ke paras 3.1 peratus yang diunjurkan bagi tahun 2016.
33.
Kendatipun begitu, kita amat bersyukur, pertumbuhan ekonomi kita masih
kekal stabil dan sustainable bagi separuh pertama tahun ini.
34.
Jelasnya, ekonomi negara terus berkembang pada 4.1 peratus dan kita
yakin sasaran pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus bagi tahun 2016 dan 4
hingga 5 peratus pada 2017 akan tercapai, Insya-Allah.
35.
Sesungguhnya jua, we are now on the right track kerana berani membuat
membuat keputusan-keputusan yang tepat, sekalipun ia tidak popular.
36. Saya hendak nyatakan di sini, bahawa all those major and crucial decisions were deliberately done.
37.
Bak kata pepatah Melayu, Menyediakan Payung Sebelum Hujan dengan
mempasak dan memancang, foundation yang kukuh demi kedudukan jangka masa
panjang kewangan dan ekonomi negara.
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari sekalian,
38.
Segalanya ini dicapai berkat kegigihan dan perancangan Kerajaan dengan
menumpukan kepada beberapa dasar strategik, sejak tahun 2010.
39.
Pertamanya: Mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan, terutamanya
mengurangkan kebergantungan hasil negara daripada sektor minyak dan gas
sebanyak 41.3 peratus pada tahun 2009 kepada, 14.6 peratus pada tahun
2016.
40. Hasil daripada mempelbagaikan ekonomi secara lebih
meluas ini, pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertahankan dan masih
terpelihara, sungguhpun harga minyak telah merosot hampir 50 peratus.
41.
Keduanya: Langkah berani Kerajaan memperkenalkan GST untuk meluaskan
sumber pendapatan Kerajaan. Perlu kita sedar, hasil cukai langsung dari
individu hanyalah terdiri daripada 2.1 juta pembayar sahaja, daripada
14.6 juta jumlah warga kerja negara.
42. Tambahan pula, dengan
kejatuhan harga minyak, dianggarkan Kerajaan kehilangan pendapatan
kira-kira 30 bilion ringgit setahun, daripada sumber cukai pendapatan,
cukai korporat, royalti, dividen PETRONAS dan cukai petroleum.
43. Sedarilah, dengan adanya GST, Kerajaan berupaya menampung perbelanjaan di kala sumber yang lain berkurangan.
Tuan Yang Dipertua,
44. Sukacita saya melaporkan, melalui GST sebanyak hampir 30 bilion ringgit telah berjaya dikutip setakat 19 Oktober 2016.
45.
Apa yang pastinya, ingin saya tegaskan di sini,…janganlah percaya
gembar-gembur bahawa kadar GST akan dinaikkan. Itu cuma cakap-cakap
kosong dan tidak benar sama sekali.
46. Langkah Ketiganya,
Rasionalisasi Subsidi: Sebagai contoh, jika hendak dibandingkan bagi
minyak, pada tahun 1995, masa itu subsidi hanyalah 123 juta ringgit.
Jumlah ini hanya mewakili 0.24 peratus daripada bajet keseluruhan
negara.
47. Kemuncaknya, pada tahun 2012, mencecah jumlah
subsidi 24.8 bilion ringgit, atau 9.8 peratus daripada bajet keseluruhan
negara.
48. Secara langsungnya, dasar subsidi pukal jelas
membebankan kewangan negara dan menggalakkan ketirisan, dan kita telah
ganti dengan subsidi bersasar, yang manfaatnya sampai kepada golongan
yang benar-benar memerlukan bantuan.
Tuan Yang Dipertua,
49.
Terbukti, melalui segala inisiatif yang diambil oleh pihak Kerajaan
ini, ekonomi kita berkembang secara mampan, dan kini, mengikut ukuran
Purchasing Power Parity,… Malaysia telah menjadi sebuah negara upper
middle income, mengatasi banyak negara bukan sahaja di Asia, namun di
seantero dunia.
50. Maknanya, menurut KDNK PPP per kapita rakyat
Malaysia, telah meningkat daripada 23,100 dolar Amerika pada tahun
2012, kepada 26,891 dolar Amerika pada tahun 2015.
Tuan Yang Dipertua,
51.
Pada sudut lain,… Kerajaan sedar tentang desas desus bahawa, para
pelabur sekarang kononnya tidak lagi berkeyakinan dengan ekonomi
Malaysia.
52. Perlu difahami, ekonomi sesebuah negara sangat
berkait rapat dengan persepsi, sebabnya, tanpa keyakinan mana mungkin
datangnya pelaburan untuk ekonomi digerakkan.
53. But,..… if our own people,…. undermine and sabotage our own economy, ibaratnya merudumkan rumah dan tanah air kita sendiri.
54.
Justeru, perbuatan seperti ini oleh musuh-musuh luar apatah lagi
tangan-tangan kotor dalam negara, yang tidak bertanggungjawab seperti
ini,… mesti dihentikan!!!
Tuan Yang Dipertua,
55. Bagi
kita,… Kerajaan Barisan Nasional,….. bak kata orang, sekalipun seribu
panah tersusuk di badan,… seandainya sejuta luka terbenam diserang, demi
rakyat Malaysia yang tercinta, dari Semenanjung hingga Sabah dan
Sarawak, kita akan terus mara menjulang Malaysia ke hadapan.
Tuan Yang Dipertua,
56. Syukur Alhamdulillah, fakta-fakta telah membuktikan hakikat sebenarnya.
57.
Misalnya, jumlah pelaburan asing yang telah diluluskan bagi separuh
pertama tahun 2016, adalah lebih 28 bilion ringgit. Ini merupakan
peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
58. Ini,… tidak termasuk pelaburan domestik lebih 60 bilion ringgit.
59.
Malah, semasa lawatan ke Jerman bulan lalu, pertemuan saya dengan
komuniti perniagaan di sana, mereka menyatakan minat untuk terus kekal
dengan pelaburan di sini, kerana yakin dengan dasar-dasar Kerajaan
Malaysia yang jelas.
60. Contohnya, syarikat Osram telah mengumumkan pelaburan bernilai 1 bilion Euro, atau hampir 5 bilion ringgit.
61. Pelaburan untuk kilang LED di Kulim Kedah ini adalah yang terbesar dan terkini di seluruh dunia.
62.
Insya-Allah, minggu hadapan, saya akan ke China pula. Doakanlah agar
lawatan ini akan membawa kejayaan yang lumayan untuk negara kita.
63.
Terkini, menurut Kaushik Basu, Chief Economist and Senior Vice
President of the World Bank,…as many nations suffer because of falling
global commodity prices, Malaysia stands out for having transformed
itself from a poor, commodity-exporting nation to a modern diversified
economy.
Tuan Yang Dipertua,
64. Setiap kali bajet
dibuat, ramai akan merujuk dan membahas kepada beberapa ayat penting
dalam Al-Quran, antaranya Surah Al-Hasyr ayat 7, bahawa, janganlah harta
itu berlegar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu sahaja.
65.
Saya telah merujuk kepada pandangan pakar dan alim ulama tentang
perkara ini dan difahamkan bahawa tafsiran ayat ini perlulah dilihat
dalam konteks yang lebih luas dan holistik.
66. Memetik huraian
Imam Al-Mawardi, sesuatu pemberian atau peruntukan seperti bajet ini,
kepada masyarakat adalah bersifat subjektif dengan mengambil kira
keperluan dan maslahah semasa rakyat terbanyak.
67.
Sesungguhnya, untuk menggubal sebuah bajet yang kompleks, bukanlah
perkara enteng. Sebagai Kerajaan yang merasa denyut nadi rakyat,
sepanjang beberapa bulan yang lalu, Kerajaan juga telah menerima ribuan
idea daripada rakyat pelbagai lapisan dan kategori. Tuan Yang Dipertua,
68. Bertapak dari itu, makanya Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada Lima Prinsip dan Falsafah Kerajaan.
Satu:
Kerajaan ini adalah Kerajaan yang mengutamakan kesepaduan nasional
dalam pembinaan negara bangsa. Kepelbagaian etnik dan kemajmukan sebagai
aset teras kemajuan dan pembangunan negara semenjak dulu, kini dan
selamanya; Kedua: Kerajaan ini adalah Kerajaan yang mementing dan
memelihara kedaulatan, keluhuran perlembagaan dan undang-undang serta
keselamatan negara;
Ketiga: Kerajaan ini, adalah Kerajaan yang kohesif dan stabil serta bekerja sebagai satu pasukan yang jitu;
Keempat:
Kerajaan ini, adalah Kerajaan yang gigih berusaha, dengan arah tuju
yang jelas, perancangan yang sistematik dan pelan pelaksanaan yang
tersusun, efisyen lagi holistik. Indeed, this Government has delivered,…
we are still delivering and most importantly, we will continue to
deliver.
dan,…
Kelimanya: Kalau dalam bernegara, kita
berpegang kepada ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Maka dalam
mentadbir Malaysia, Kerajaan ini akan terus berpandukan kepada falsafah
Islami yang universal sifatnya yakni Wasatiyyah, merangkumi
kesederhanaan, keseimbangan, keadilan sosial, kesaksamaan dan
kecemerlangan.
Ini bererti,… kita senantiasa berusaha
bersungguh-sungguh untuk memperoleh yang terbaik,… bukan sederhana,
complacent atau berpuas hati dengan pencapaian ala kadar sahaja.
Tuan Yang Dipertua, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
69.
Dalam melalui suka duka episod memacu kejayaan negara,… kita tidak lupa
kepada tokoh-tokoh juga pimpinan-pimpinan yang menjadi sumber inspirasi
dan teladan kepada semua.
70. Lalunya,… di kesempatan ini, kita
menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga beberapa insan yang banyak
berjasa kepada negara. Mereka yang akan saya sebutkan sememangnyalah
bukan terdiri daripada ahli Parlimen namun, sekadar berkongsi cerita dan
rasa.
71. Pertamanya, Allahyarham Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa
yang menumpah taat setia kepada perjuangan bangsanya dan partinya hingga
ke hujung usianya, 93 tahun.
72. Kedua, kepada seorang lagi sahabat peribadi saya dan keluarga, yakni Allahyarham Tuan Guru Ustaz Dato’ Dr. Haron Din.
73. Sesungguhnya, kita rakyat Malaysia telah kehilangan dua tokoh yang sangat dihormati.
74.
Jelas sekali, meskipun Allahyarham Tuan Guru berada di landasan politik
berbeza, namun, kita tetap menyanjung tinggi perjuangan beliau untuk
ummah, dan pihak Kerajaan telah menganugerahkan gelaran Tokoh Khas Maal
Hijrah 2016 kepadanya. Tapi kita berasa sedih dan kecewa, kerana ada
kalangan pihak pembangkang sendiri yang terang-terangan membenci dan
menista beliau.
Tuan Yang Dipertua,
75. Pernah, semasa
saya melawat beliau di hospital, secara peribadi tokoh ilmuwan Islam
ini, ada menyebut kepada saya bahawa, “jika kita suka kepada seseorang
itu berpada-padalah,… mana tahu kelak kita akan membencinya. Kalau kita
benci kepada seseorang itu pula, berpada-pada jugalah,… kerana mungkin
orang yang dibenci itu kelak akan menjadi orang yang kita sayang”…..
76. Kepada kedua-duanya, yang telah dipanggil pulang ke ribaan Yang Maha Esa, kita sedekahkan – ummul kitab Al-Fatihah… Tuan Yang Dipertua,
77.
Kita kini berada di ambang enam dekad kemerdekaan watan tercinta ini.
Selama itulah penjawat awam yang kini jumlahnya mencecah 1.6 juta orang,
menjadi tonggak pentadbiran dan jentera kemajuan negara.
78. Sebagai menghargai khidmat bakti dan jasa mereka, sukacitanya saya mengumumkan:
Pertama:
Kemudahan Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa yang
sebelum ini hanya kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, kini akan
diberikan juga kepada Kumpulan Pelaksana;
Kedua: Pemberian Cuti
Kuarantin kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuaratin
menerusi cuti tanpa rekod sebanyak 5 hari;
Ketiga: Kalau seperti
sedia ada kemudahan pembiayaan diberikan kepada pembelian komputer,
bajet kali ini memutuskan agar kemudahan ini diperluaskan meliputi
pembelian smartphone dengan had pinjaman sehingga 5 ribu ringgit bagi
setiap tiga tahun; dan
Keempat: Tidak cukup dengan itu,…tidak
cukup…..Kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal akan
dinaikkan daripada 5 ribu ringgit kepada 10 ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Kelima: Kerajaan tetap mengambil berat tentang perumahan penjawat awam, dan terus komited supaya mereka memiliki rumah sendiri.
Maka dengan ini, sukacita Kerajaan bersetuju menaikkan kelayakan
pinjaman perumahan penjawat awam daripada serendah-rendahnya 120 ribu
ringgit kepada 200 ribu ringgit, manakala pinjaman paling tinggi
sebelumnya 600 ribu ringgit, kini dinaikkan kepada 750 ribu ringgit;
Keenam:
Sebanyak 30 ribu unit lagi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan
disiapkan; dengan harga jualan sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah
harga pasaran; yakni berharga antara 90 ribu ringgit hingga ke 300 ribu
ringgit;
Ketujuh: Kepada pegawai contract of service dan
contract for service yang akan tamat pada penghujung tahun ini pula,
usahlah bimbang, kontrak tuan-tuan dan puan-puan akan Kerajaan lanjutkan
sekurang-kurangnya setahun lagi;
Kelapan: Bagi mengatasi
masalah para doktor pakar yang mahu meninggalkan perkhidmatan awam atas
isu kelewatan naik pangkat,… Kerajaan memandang serius,… seraya kita
umumkan satu lapisan gred baru, yakni gred 56 antara gred 54 dan JUSA C
diwujudkan, bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar;
dan
Kesembilan: Kerana kekangan jawatan tetap, Kerajaan
mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan
perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016.
Untuk
makluman,… hampir 2,600 doktor yang sebelum ini tidak dapat penempatan
housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship
secara kontrak. Harapnya, berita ini akan membawa khabar gembira kepada
mereka dan keluarga.
Tuan Yang Dipertua,
79. Sebelum
pembentangan diteruskan, saya ingin memperbetulkan beberapa tuduhan dan
misconceptions yang dimomok oleh pihak tidak bertanggungjawab, sehingga
mengeliru dan menimbulkan keresahan tidak menentu di kalangan masyarakat
tentang ekonomi Malaysia.
80. Salah faham dan salah persepsi yang pertama,… dikatakan – Kerajaan Akan Bankrap atau Muflis.
81.
Berkait perkara ini, saya ingin maklumkan bahawa, sesebuah Kerajaan
hanya dikategorikan sebagai bankrap atau muflis, sekiranya Kerajaan
tersebut tidak mampu membayar tanggungan hutang-hutangnya.
82.
Letak duduk ini, dinilai melalui penarafan oleh antaranya tiga buah
agensi antarabangsa yang sangat berwibawa yakni, Fitch, Moodys dan
Standard & Poors.
83. Institusi-institusi inilah Badan-Badan
Penarafan yang diterima pakai rating dan laporan keupayaan
negara-negara dalam membayar-balik hutang.
84. Sebagai
perbandingan, menerusi agensi penarafan Fitch, terkini Malaysia diberi
penarafan A- berbanding dengan Filipina BBB -, Thailand BBB + dan
Vietnam BB -.
85. Malah penarafan Malaysia, adalah sama dengan
kelompok negara yang saiz ekonominya lebih besar dan maju daripada
negara kita, seperti Korea AA- , China A+ , Taiwan A+ , dan Jepun A.
86. Maknanya di sini,… istilah muflis atau bankrap itu jauh sekali daripada kamus ekonomi Malaysia!!!
Tuan Yang Dipertua,
87. Salah faham dan salah persepsi kedua,… dikatakan bahawa Malaysia is a Failed State, atau Negara Yang Gagal.
88.
Inipun fitnah semata-mata. Saya nak terangkan apa maknanya Failed
State….. Ia terjadi seandainya sesebuah negara itu gagal melaksanakan
sebahagian besar tanggungjawab dan fungsi asas Kerajaan.
89. Ini
termasuklah kegagalan anggota polis dan askar mengawal keamanan dan
keselamatan negara, kegagalan Kerajaan untuk membayar gaji penjawat
awam, kegagalan untuk membekalkan keperluan asas seperti air dan
elektrik, kadar inflasi melambung tinggi atau hyper inflation, sehingga
membawa kepada kehancuran ekonomi.
90. Ternyata ciri-ciri
tersebut tidak wujud di Malaysia!!! …dan,… dengan Pertolongan Allah,
Kerajaan ini tidak sesekali akan membiarkan kita terjerumus ke kancah
negara yang gagal.
Tuan Yang Dipertua,
91. Bajet ini
bukanlah digubal bagi kepentingan, atau berlegar kepada kumpulan rakyat
tertentu sahaja. Namun direkayasa, bersifat inklusif demi kesejahteraan
rakyat seluruhnya.
92. Justeru, jika digambarkan melalui
piramid, dalam negara kita, terdapat tiga kategori utama rakyat
berdasarkan kepada julat pendapatan isi rumah yakni T20, M40 dan B40.
93.
Bagi golongan rakyat M40 secara umumnya, adalah kelompok isi rumah yang
berpendapatan sekitar 3,900 ringgit hingga 8,300 ringgit.
94.
Golongan M40 termasuklah individu bujang, dan kebanyakkannya merupakan
suami isteri bekerja, berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
95.
Alhamdulillah, golongan ini tidak mempunyai masalah memenuhi keperluan
asas mereka. Namun, menjadi hasrat Kerajaan untuk meningkatkan
disposable income atau pendapatan boleh guna mereka.
96. Ini
merangkumi aspek-aspek kerjaya yang terjamin, peluang peningkatan
pendapatan dari masa ke semasa, perumahan, keselamatan, pendidikan,
kesihatan dan keseimbangan antara kesibukan kerja, berekreasi serta masa
yang berkualiti bersama keluarga masing-masing.
Tuan Yang Dipertua,
97.
Untuk kefahaman ramai, B40 pula ialah golongan isi rumah berpendapatan
40 peratus terendah, dengan pendapatan isi rumah sekitar 3,900 ringgit
ke bawah. Dari perspektif ekonomi makro, wujudnya golongan ini adalah
lazim di mana-mana negara membangun.
98. Menurut Laporan
Khazanah Research Institute, kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah B40
ini meningkat lebih pantas, jika dibandingkan dengan pertumbuhan
pendapatan golongan M40 dan T20.
Tuan Yang Dipertua, saudara-saudari dan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
99.
Sekiranya dalam Bajet 2015, saya telah mentafsirkan People Economy dan
Capital Economy, kali ini, saya mahu menambah satu lagi konsep penting
dalam kita menuju status negara maju yakni, public happiness.
100.
Maksud saya, bajet ini bukan hanya tentang pendapatan semata-mata,
tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman dari
jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan
kebudayaan yang berwarna warni.
101. Juga,… pencapaian
pendidikan yang tinggi, mengangkat kesarjanaan dan keintelektualan,
adanya khidmat kesihatan yang terjamin serta memiliki akses kepada
pengangkutan awam yang efisyen.
102. Sehubungan dengan hal alam
sekitar, kita perlu terus memelihara alam semulajadi terutama kawasan
tadahan air dan mempastikan bahawa kawasan-kawasan yang telah
diisytiharkan sebagai hutan simpanan dan taman-taman nasional dijaga
serta sentiasa dipertahankan agar tidak dicerobohi. Ini hanya akan
menjadi kenyataan seandai semua Kerajaan Negeri memberikan kerjasama
sepenuhnya dengan gandingan sektor swasta dan rakyat jelata.
Tuan Yang Dipertua,
103.
Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan akan terus komited melaksanakan
projek dan program Rakyat Centric di bandar dan luar bandar seperti
berikut:
Pertama: Melalui maklumat dan sesi turun padang,
terdapat kampung-kampung yang masih berada dalam keadaan suram malah
gelap tanpa kelengkapan tiang-tiang lampu jalan.
Makanya,
menjadikan kampung di waktu malam lebih terang, bercahaya lagi selamat,
sebanyak 97 ribu lampu jalan dan 3 ribu lampu LED di persimpangan jalan
akan dipasang.
Ini melibatkan 7,500 kampung di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak;
Kedua:
Membina dan menaik taraf 616 kilometer jalan kampung dan jambatan bagi
meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar, dengan
peruntukan 1.2 bilion ringgit;
Ketiga: Bagi menyelenggara jalan
negeri, 4.6 bilion ringgit disediakan kepada semua negeri di bawah
Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS;
Keempat:
Membina dan membaik pulih 17 ribu unit rumah usang dan daif di kampung
terpencil dan penempatan Orang Asli dengan peruntukan 350 juta ringgit.
Setiap
unit rumah diberi bantuan baik pulih antara seribu hingga 15 ribu
ringgit bergantung kepada usangnya keadaan rumah tersebut;
Kelima:
Meningkatkan penyediaan bekalan air bersih dengan peruntukan 732 juta
ringgit, mensasarkan 5,200 buah rumah, termasuk menaik taraf sistem
bekalan air FELDA.
104. Terkini pula, terdapat pelbagai masalah
bekalan air di beberapa negeri, antaranya kekurangan kapasiti bekalan,
cuaca kemarau, pencemaran sisa industri dan pembalakan serta kebocoran
paip.
105. Bagi menaik taraf kapasiti dan menjamin bekalan air,
Kerajaan memperuntukkan geran 156 juta ringgit dan 509 juta ringgit
dalam bentuk pinjaman.
106. Sebagai tambahan, untuk mengatasi
masalah bekalan air, di seluruh negara, Tabung Bekalan Air akan
diwujudkan dengan segera, berperuntukkan 500 juta ringgit.
Keenam: Menyediakan bekalan elektrik luar bandar, mensasarkan hampir 10 ribu buah rumah dengan peruntukan 460 juta ringgit; dan
Ketujuhnya:
Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk bandar khususnya
yang tinggal di flat. Didapati rumah-rumah pangsa ini banyak berkeadaan
luntur dan kusam kerana tidak dipulihara sebaiknya. Begitu juga keadaan
lif-lif yang rosak dan bermasalah.
Oleh itu, Kerajaan
menyediakan 300 juta ringgit untuk membaik pulih kemudahan kawasan flat
dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar.
107.
Kerajaan juga akan melaksanakan Projek Mesra Rakyat dengan peruntukan
800 juta ringgit. Antaranya, menaik taraf dan membina surau, titi,
parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil. Keutamaan projek
diberi kepada kontraktor kelas G1 dan G2 tempatan.
108. Selain itu, 69 projek Rancangan Tebatan Banjir akan diteruskan di seluruh negara dengan peruntukan 495 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
109.
Sukacita saya mengumumkan satu lagi inisiatif baharu Strategi Lautan
Biru Kebangsaan atau NBOS yakni, MyBeautiful New Home, khusus kepada
golongan B40, dengan peruntukan 200 juta ringgit.
110. Sebagai permulaan, 5 ribu unit rumah akan dibina dengan harga 40 ribu hingga 50 ribu ringgit seunit.
111.
Menariknya, Kerajaan akan membiaya 20 ribu ringgit dan bakinya dibayar
secara ansuran oleh pemilik. Syaratnya, rumah ini akan dibina di tanah
milik sendiri, tanah yang telah mendapat kebenaran tuan tanah dan tanah
kurniaan Kerajaan Negeri.
112. KPKT pula akan membina 9,850 unit rumah di bawah PPR dan menyediakan sebanyak 134 juta ringgit bagi tahun 2017.
113.
Sementara itu, 11,250 unit rumah PPR sedang dalam pembinaan dan 576
juta ringgit disediakan. Rumah ini dijual dengan harga antara 35 ribu
sehingga 42 ribu ringgit, walaupun kos pembinaannya menelan 120 hingga
160 ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
114. Bagi membantu
meningkatkan peluang pendapatan rakyat, terutamanya kelompok B40, 275
juta ringgit diperuntukkan seperti berikut:
Pertama:
Memperluaskan Program MySuria dengan peruntukan 45 juta ringgit. Panel
solar akan dipasang di lebih 1,600 rumah. Setiap peserta program akan
menerima 250 ringgit sebulan;
Kedua: Memperluas Program
Mobilepreneur oleh GIATMARA, dengan peruntukan 30 juta ringgit, yang
mensasarkan 3 ribu peserta bermotosikal;
Ketiga: Melaksanakan
program Agropreneur, dengan peruntukan 100 juta ringgit bagi melahirkan 3
ribu usahawan tani muda yang terlibat di dalam pengeluaran hasil tani
bernilai tinggi; dan
Keempat: Menggiatkan program eUsahawan dan
eRezeki di bawah MDEC, merangkumi 300 ribu peserta dengan peruntukan 100
juta ringgit.
Saudara dan saudari,
115. Bagi
meringankan kos sara hidup rakyat, Kerajaan menyediakan peruntukan
subsidi hampir 10 bilion ringgit, merangkumi subsidi bahan api termasuk
gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.
116. Untuk
membantu golongan pesawah padi pula, Kerajaan memperuntukkan 1.3 bilion
ringgit untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi, termasuk
padi bukit.
117. Sebagai insentif kepada pekebun kecil getah
yang berdaftar, Kerajaan memperuntukkan 250 juta ringgit untuk
pelaksanaan pembelian ‘harga lantai’.
118. Sebagai langkah
tambahan, bajet ini juga mengumumkan, Kerajaan akan memperkenalkan
Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak 200 ringgit sebulan bagi 3 bulan pada
November, Disember dan Januari memanfaatkan 440 ribu pekebun kecil dan
penoreh getah.
119. Selanjutnya, bagi meringankan beban sara
hidup 57 ribu nelayan, pemberian elaun 200 hingga 300 ringgit sebulan
akan diteruskan.
Tuan Yang Dipertua,
120. Sejak Bantuan
Rakyat 1Malaysia atau BR1M diperkenalkan, setiap tahun tanpa gagal,
program ini terus mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat positif
daripada penerima.
121. Pada satu program yang saya hadiri,
seorang penerima BR1M dari keturunan India, telah datang dan menggenggam
erat tangan saya sambil berkata,… ‘saya tarak kisah apa orang mau cakap
pasal Kerajaan, yang penting Dato’ Najib,… BR1M bantu saya dan
keluarga’.
122. Jadinya, Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari rakyat Malaysia sekalian,… kata orang,…
Dedak bukan,… umpan pun bukan, BR1M yang ikhlas satu pemberian, Keperluan rakyat kita dahulukan, Jumlah BR1M, kita tambah-tambahkan.
123. Sehubungan itu, untuk tahun hadapan, kadar BR1M dinaikkan seperti berikut:
Pertama:
BR1M kepada isirumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di
bawah 3 ribu ringgit, akan dinaikkan daripada 1,050 dan 1,000 kepada
1,200 ringgit;
Kedua: BR1M kepada isirumah berpendapatan 3 ribu hingga 4 ribu ringgit, akan dinaikkan daripada 800 kepada 900 ringgit; dan
Ketiga: Bagi individu bujang berpendapatan di bawah 2 ribu ringgit, BR1M akan dinaikkan daripada 400 kepada 450 ringgit.
124.
Tidak sekadar itu, Skim Khairat Kematian akan diteruskan dengan
pampasan seribu ringgit kepada waris penerima BR1M bagi kategori isi
rumah dan warga emas. Keseluruhan Program BR1M ini akan memanfaatkan 7
juta penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
125.
Bagi menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan
industri, kapasiti pendidikan TVET akan diperkasakan dengan peruntukan
4.6 bilion ringgit kepada institusi-institusi TVET.
126.
Menerusi NBOS, untuk mengoptimakan aset-aset Kerajaan, maka sembilan
buah kampus Institut Pendidikan Guru, akan diubah-suai untuk menjadi
Politeknik dan Kolej Vokasional.
127. Akhirnya, empat buah akan
menjadi Politeknik, empat lagi Kolej Vokasional, dan sebuah lagi sebagai
pusat latihan jurulatih TVET.
128. Di atas inisiatif kreatif
ini, hanya kira-kira 400 juta ringgit diperuntukkan, berbanding 250 juta
ringgit, untuk membina hanya sebuah politeknik yang baharu. Ini
menjimatkan wang Kerajaan kira-kira 2 bilion ringgit.
129.
Selanjutnya, 270 juta ringgit disediakan untuk naiktaraf peralatan
pembelajaran di institusi TVET serta 360 juta ringgit bagi Perbadanan
Tabung Pembangunan Kemahiran.
130. Berhubung ini, potongan cukai
sebanyak dua kali diberikan ke atas perbelanjaan syarikat swasta yang
menyediakan Structured Internship Programme bagi pelajar di peringkat
ijazah sarjana muda, diploma dan pelajar Tahap 3 dan ke atas di bawah
Program TVET. Insentif ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun mulai tahun
taksiran 2017 hingga tahun taksiran 2019.
131. Selain itu, geran
padanan latihan dan pembangunan kurikulum akan diberi kepada institusi
TVET awam yang berjaya mendapatkan sumbangan dalam bentuk peralatan
daripada industri.
Tuan Yang Dipertua,
132. Bagi
meningkatkan kebolehpasaran graduan, 50 juta ringgit disediakan untuk
perluasan program Skim Latihan 1Malaysia oleh GLC kepada 20 ribu graduan
bagi tahun 2017, berbanding 15 ribu graduan pada tahun 2016.
Tuan Yang Dipertua,
133.
Rumah tempat berteduh adalah soal yang amat dekat di hati saya. Mahu
tidak mahu,… Kerajaan terus komited dalam ehwal perumahan rakyat di mana
setiap keluarga mampu memiliki kediaman sendiri.
134. Untuk meningkatkan keupayaan pembeli rumah pertama, konsep berikut akan diperkenalkan:
Konsep
Pertama: Melalui NBOS lagi, kita akan menyediakan tanah Kerajaan yang
tidak diguna-pakai di lokasi strategik kepada GLC dan PR1MA, untuk
membina lebih 30 ribu unit rumah membolehkan harga jualan antara 150
ribu ringgit hingga 300 ribu ringgit. Harga ini jauh lebih rendah dari
pasaran;
Konsep Kedua: Membina 10 ribu unit rumah di bandar
untuk disewa oleh golongan muda yang layak dengan pekerjaan yang tetap,
termasuk graduan muda yang baru memasuki alam pekerjaan.
Mereka
boleh menyewa dengan tempoh maksima lima tahun, pada kadar yang lebih
rendah daripada kadar pasaran, sementara mereka membina kemampuan
kewangan untuk membeli rumah sendiri; dan
Ketiganya: Syarikat
Perumahan Negara Berhad diperuntukkan 200 juta ringgit untuk membina
lebih 5 ribu unit Rumah Mesra Rakyat dengan subsidi Kerajaan sehingga 20
ribu ringgit seunit.
Tuan Yang Dipertua,
135. PR1MA
telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Setakat ini, lebih
12 ribu unit kediaman, berjumlah 3.3 bilion ringgit telah ditempah.
Manakala 85 ribu lagi dalam pelbagai peringkat kelulusan.
136.
Di kesempatan ini, saya ingin mengumumkan satu skim pembayaran akhir
atau end-financing khas jenis step-up untuk program PR1MA.
137.
Melalui skim khas ini, pembiayaan lebih mudah dan accessible kepada
pembeli, dengan jumlah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus, dan
kadar penolakan pinjaman akan berkurangan secara drastik.
138.
Proses permohonan bagi skim ini akan mula dilaksanakan pada 1 Januari
2017. Skim ini merupakan hasil kerjasama di antara pihak Kerajaan, Bank
Negara Malaysia, KWSP dan juga 4 bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB
dan AmBank.
139. Contohnya, pemohon yang berpendapatan 3 ribu
ringgit sebulan, hanya layak mendapat pinjaman lebih 187 ribu ringgit.
Melalui skim pembiayaan khas ini, pemohon boleh mendapatkan pinjaman
sehingga lebih 295 ribu ringgit.
140. Di samping itu diumumkan
pengecualian duti setem dinaikkan kepada 100 peratus ke atas surat cara
pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan. Ini membantu
mengurangkan kos pemilikan rumah pertama, berbanding 50 peratus pada
masa ini.
141. Walau bagaimanapun, layanan pengecualian ini
terhad kepada nilai rumah sehingga 300 ribu ringgit bagi pembelian
kediaman pertama sahaja, antara tempoh 1 Januari 2017 sehingga 31
Disember 2018.
Tuan Yang Dipertua,
142. Untuk
pembangunan infrastruktur bagi Rumah Generasi Kedua, FELDA, FELCRA dan
RISDA masing-masing diperuntukkan 200 juta ringgit, 100 juta ringgit dan
100 juta ringgit lagi.
Tuan Yang Dipertua,
143.
Seterusnya berita gembira untuk pembayar cukai. Jika kini terdapat 21
kategori pelepasan cukai individu, terbaru, untuk pembelian bahan
bacaan, komputer dan peralatan sukan digabungkan sebagai pelepasan cukai
gaya hidup.
144. Ini diperluaskan meliputi pembelian
akhbar-akhbar arus perdana, smartphone dan tablet, langganan internet
serta bayaran keahlian gimnasium. Pelepasan ini diberi sehingga 2,500
ringgit setiap tahun, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2017.
Tuan Yang Dipertua,
145. NBOS telah menjimatkan 3.5 bilion ringgit perbelanjaan negara.
146.
Oleh kerana sambutan hebat daripada rakyat, 4 lagi UTC di Negeri
Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, dan 3 lagi RTC di Selangor,
Sabah dan Sarawak akan dibina dengan peruntukan 100 juta ringgit.
147.
Sebagai langkah baru, setiap UTC akan disediakan sebuah Job Centre
untuk membantu memadankan antara pencari kerja dan bakal majikan.
148.
Di sini saya ingin bertanya,…mana ada Kerajaan dalam dunia yang
menyediakan pusat khidmat sehenti beroperasi tujuh hari seminggu,
bermula 8 pagi hingga 10 malam? Mana ada,… melainkan Kerajaan Barisan
Nasional.
149. Selain itu, inisiatif NBOS yang lain seperti
program Bahasa Inggeris 1Malaysia, Coding di sekolah, Volunteering for
International Professional dan Global Entrepreneurship Community 2
diperuntukkan 40 juta ringgit.