Tidak
mudah sebenarnya menjadi Dr Wan Azizah Wan Ismail. Malah, barangkali
paling susah. Di antara sekian ramai isteri pemimpin di negara kita,
beliau mungkin yang paling tabah.
First Lady kita pun belum tentu ada jiwa setabah dan segagah Dr Wan Azizah.
Apabila
isteri Anwar Ibrahim itu mengatakan beliau tidak lagi berdendam dengan
Tun Mahathir Mohamad, kemuncak ketabahan beliau memang tiada
tandingannya.
Sesetengah
isteri, suami mereka bermasalah dalam JKKK kampung atau berbalah dengan
ketua UMNO cawangan pun, berdendamnya kadang-kadang boleh sampai ke
mati.
Walaupun
mengambil sedikit masa, pengakuan tiada dendam, bukan saja menyerlahkan
besarnya jiwa Dr Wan Azizah, bahkan melegakan kita semua yang sedang
ternanti-nanti perubahan dalam negara.
Sebagai
seorang wanita dan isteri yang memang dalam diri mereka lebih banyak
emosi dan airmata, apa yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah tidaklah
semudah seorang lelaki melakukannya.
Daripada
rentetan peristiwa sejak Anwar dipecat pada 1998, dipukul dan dihina,
dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan, kemudian di penjara, bukan
kepalang isteri mampu meghadapinya.
Malah,
atas permintaan suaminya, Dr Wan Azizah kemudian berkorban jiwa raga
serta tenaga dengan mengetuai sebuah parti untuk memperjuangkan apa
yang mereka rasa ketidakadilan kepada Anwar.
Anwar
dijadikan simbol ketidakadilan dan reformasi dengan mesej bahawa jika
Anwar boleh diperlakukan sedemikian rupa, maka apatah lagi rakyat biasa.
Selepas
Anwar dibebaskan, Dr Wan Azizah berkorban lagi dengan melepaskan kerusi
Parlimen Pernatang Pauh dan jawatan Ketua Pembangkang yang sedang
disandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar mengisi jawatan tersebut.