Najib sehingga kini disifatkan sebagai gagal menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau tidak pindaan akta tersebut.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Najib Razak untuk memberi keutamaan kepada usul pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 berbanding usul kerajaan yang lain pada sidang Dewan Rakyat 17 Oktober ini.
Beliau turut mempertikaikan sama ada usul itu pada akhirnya akan berjaya dikuatkuasakan atau sebaliknya, kerana sehingga kini Najib gagal menjelaskan pendiriannya terhadap usul yang akan dibawa oleh Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang.
“Selagi Najib diam seribu bahasa seperti mana beliau diam dalam hal 1MDB, maka kita juga tidak usahlah bergaduh, bertegang leher dalam hal pembentangan usul Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi Awang).
“Jika semua ini difahami, mudahlah semua pihak membuat keputusan kerana ia akan menjurus kepada satu perkara sahaja iaitu mendesak Najib mengisytiharkan pendirian beliau sendiri,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelas beliau isu yang telah mendatangkan kekeliruan pelbagai pihak sehingga mengakibatkan pakatan pembangkang sebelum ini berpecah, seharusnya difahami bahawa terdapat beberapa  tahap yang perlu dilalui dan dipatuhi terlebih dahulu khususnya pembentangan usul, perbahasan dan kemudian pengundian untuk proses yang seterusnya.
Semua prosuder tersebut tambah Rafizi yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR di bawah bidang kuasa Najib selaku Perdana Menteri untuk memberi kebenaran.
“Ramai yang menjangkakan akan tonggang terbaliklah Dewan Rakyat jika ia sampai ke peringkat pengundian, kerana jika ia diluluskan maka terlaksanalah hudud di Malaysia. Yang tidak setuju berpandangan ini satu bahaya yang kita mesti hentikan. Yang bersetuju menegaskan kalau tidak setuju maka orang itu menolak Islam.
“Sebenarnya seluruh negara terkeliru, sebab itu saya mahu menulis hari ini iaitu dua hari sebelum sidang bermula.