PRU13 adalah peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menumbangkan
kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan. Kenyataan ini masih
dan tetap saya yakini sama ada sebelum, mahupun selepas 5 Mei 2013. "Ini
kali-lah," terlepasnya peluang keemasan ini, bermakna sejarah berlalu
begitu sahaja dari sisi kita. Untuk menemu semula detik saat sebegini,
kita kena tunggu "Lain kali-lah".
Biar berterus-terang dalam realiti politik. "Kuasa" yang menyatukan
parti pembangkang. Berkecainya harapan menawan Putrajaya, maka
berpecahlah parti pembangkang. Selangor jawapan terbaik untuk menguji
teori ini. Apakah PAS yang berdendam dengan DAP boleh duduk semeja di
Selangor, andainya bukan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri?

Justeru itu, selagi harapan menawan Putrajaya tidak cerah untuk
pembangkang, agak mustahil DAP, PAS, AMANAH, PKR dan BERSATU kembali ke
meja rundingan dan mencapai muafakat. Perkembangan hari ini bakal
memberi kesan terhadap keputusan PRU14, namun ramalan terhadap PRU14
juga sedikit sebanyak menentukan perkembangan sekarang. Apapun terjadi,
PRU14 tetap satu titik penting dalam sejarah politik Malaysia.
PRU terakhir Anwar dan Mahathir
PRU14 adalah PRU terakhir untuk Anwar Ibrahim. Anwar jatuh sebagai
orang kedua di tangga kuasa pada tahun 1998, sempat kembali pada tahun
2008, di usia 61 tahun.
PRU13 adalah cubaan terakhir Anwar untuk bangkit ke puncak hayat
politiknya, namun digagalkan oleh sistem pilihan raya yang memenangkan
parti 47 peratus. Pandangan pesimis mengandaikan nyawa politik Anwar
terkubur, setelah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, kerana beliau
hilang kelayakan untuk bertanding, barangkali untuk dua penggal.
Dengan andaian PRU14 dan PRU15 berlangsung pada tahun 2018 dan 2023,
apa yang tinggal untuk tokoh yang dilahirkan pada tahun 1947 ini?
Anwar sudah hampir pasti tidak boleh bertanding dalam PRU14, tetapi
susuk tubuh ini tetap relevan, memandangkan tiada tokoh yang seiring
pengaruh dan wibawanya untuk diterima parti pembangkang mahupun rakyat
secara umum buat masa kini.
Anwar sering dipersalahkan ketika di luar penjara, namun rakyat mula
sedar betapa sukarnya pembangkang bergerak tanpa Anwar selepas 10
Februari 2015. Dari segi teknikalnya, Anwar hanya disekat undang-undang,
yang boleh diatasi seandainya senario politik berubah dalam PRU14.
Namun, jikalau keputusan PRU14 tidak melonjakkan pembangkang ke mana,
malah kedudukan BN semakin selesa dengan peratusan kerusi yang
dipegang, maka masa depan Anwar akan menjadi semakin malap. Begitu juga
dengan musuh ketat yang bersalaman dengan Anwar selepas 18 tahun,
Mahathir Mohamad, PRU14 adalah peluang terakhir tokoh berusia 91 tahun
ini menumbangkan Najib.
Mahathir pernah berjenaka bahawa dirinya hanya mampu menjenguk
Malaysia "dari atas" pada tahun 2020, sama ada Malaysia berjaya
merealisasikan wawasan sebagai negara maju atau tidak. Kira-kira tiga
tahun sahaja yang menjarakkan kita dengan 2020, namun politik tempatan
nampaknya belum lagi terlepas dari genggaman beberapa tokoh veteran.
Najib Razak, 63, masih mampu bertahan untuk melanjutkan hayat
politiknya selagi skandal 1MDB tidak berkembang di luar kawalannya.
Peranan Mahathir menjadi tumpuan di sini bukan kerana diktator pencen
ini telah dinobatkan sebagai ikon reformasi, cuma seandainya pengasas
Umno Baru yang tebal dengan keMelayuannya itu pun gagal meyakinkan
masyarakat Melayu untuk menyingkirkan Najib, maka siapa lagi yang mampu
menggalas dan menyempurnakan misi sedemikian?
Kedua-dua orang Mahathir dan Anwar melambangkan generasi dan zaman
masing-masing. Pergelutan dua tokoh ini selama 18 tahun mencorakkan
politik tanahair. Ada yang menyifatkan perbalahan politik ini sebagai
konflik generasi, pertembungan dua paradigma politik yang berbeza - di
mana Anwar mencabar autoritarian Mahathir dengan tuntutan Reformasi.
Hakikatnya, reformasi sistem negara tidak pernah sempurna, sejak
dilanda kemelut ekonomi 1997, disusuli kemudian dengan krisis kewangan
2008.
PRU pertama AMANAH & BERSATU
Baik reformasi mahupun transformasi, laungan slogan ini gagal
menyelesaikan beberapa konflik yang timbul. Bukan sahaja sistem negara
tidak dirombak, malah sistem parti politik pun gagal berfungsi seiring
langkah peredaran zaman. Kemunculan AMANAH dan BERSATU, misalnya, adalah
manifestasi bagaimana konflik parti gagal diselesaikan melalui saluran
dalaman.
Maka serpihan keluar dan menubuhkan parti baru, memasuki gelanggang
yang direka untuk menindas parti baru yang kecil. AMANAH telah diuji
dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan dua pilihan raya kecil (PRK)
di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sepanjang tempoh setahun ditubuhkan.