Penganjur, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah mendakwa beliau menyimpan dokumen dan perkara-perkara lain berkaitan kerana telah berjanji kepada Muhyiddin untuk berbuat demikian.

Katanya, kehadiran Muhyiddin pada acara 'Nothing To Hide 2.0' itu dibatalkan di saat-saat akhir dan kenyataan mengenai perkara itu dikeluarkan oleh pegawai khasnya.
Muhyiddin sebelum ini menolak dakwaan SD itu dan menyifatkannya sebagai fitnah. Pembantunya, Mohd Nardin Awang berkata semalam bahawa Muhyiddin tidak pernah bersetuju untuk menghadiri majlis itu dan juga tidak menerima sebarang jemputan.
Walaupun begitu, pada permulaan acara pada 3.00 petang, pengacara majlis mendakwa Muhyiddin masih dalam perjalanan dan akan tiba dalam masa 30 minit. Acara itu menyaksikan kehadiran kira-kira 200 orang.
Bagaimanapun, kira-kira dua pertiga daripada mereka termasuk petugas media berjalan keluar ketika Azwanddin berucap di mana beliau mendakwa telah dipermainkan Muhyiddin dan oleh itu mahu mengedarkan SD itu.
Dalam ucapannya dan semasa sidang media kemudian, Azwanddin mendakwa beliau menerima satu salinan SD melalui kurier, dan meneruskan untuk bertemu Muhyiddin mengenai dakwaan terkandung dalam SD itu.
Beliau mendakwa satu pertemuan dilakukan secara rahsia , di mana Muhyiddin menafikan dakwaan itu dan bersetuju untuk menjelaskan mengenainya di satu majlis anjuran JMM pada tarikh yang ditetapkan.