SHAH ALAM - Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Umno, bukan satu langkah bijak oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kubu kuat parti di Johor, Kedah dan Sabah.
Penganalisis politik Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, insiden itu memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang yang pada PRU13 lalu, berjaya menembusi kubu kuat Umno dengan memenangi beberapa kerusi.
“Sudah pasti dengan tiadanya Muhyiddin, ia akan beri kesan kepada politik Johor, khusus dari segi sokongan.
Mukhriz sendiri dalam politik Kedah, umum merasakan dia diturunkan secara tidak demokratik oleh Najib. Apabila Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengalami masalah kesihatan dinaikkan di Kedah, sudah pasti ia memberikan imej dan reputasi buruk kepada Umno.
“Keadaan sama bila Umno gantung keahlian Mohd Shafie Sabah adalah benteng kuat Umno. Beliau antara tokoh kuat dalam kalangan masyarakat pantai timur Sabah dan ada pengaruh besar,” katanya kepada Sinar Harian.