Ahad, 19 Jun 2016

'Tampil ke depan kalau betul anak jantan' - Zuraida

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin"Kalau dia anak jantan, kalau dia berani, sila datang kemukakan bukti dan jangan hanya buat dakwaan,” demikian bidas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata demikian ketika menjawab dakwaan kekayaan luar biasa yang dimiliki seperti yang tersebar di Facebook sejak beberapa hari lalu.
“Saya tak faham khabar angin seperti itu. Kalau dia anak jantan, dia berani, sila datang kemukakan bukti.
“Saya tak nak rendahkan martabat saya melayan orang-orang yang buat cerita dan fakta tak betul,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
Sebuah akaun Facebook di atas nama Captain M sebelum ini mengeluarkan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menyiasat dan menahan Zuraida yang dikatakan sebagai proksi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menguasai semua projek dan tender Peruntukan Marris yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kos bawah RM3 juta.
Zuraida juga didakwa memiliki kekayaan luar biasa dan beberapa aset milik Zuraida turut disenarai dalam pendedahan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki hari ini berkata, pihaknya tidak menjalankan siasatan ke atas Zuraida seperti dakwaan yang tersebar.
“Kita ikut saluran yang betul. Kalau dia datang dengan cara yang betul, saya akan lawan dan jawab dengan saluran yang betul,” katanya lagi.

Budiman dilantik timbalan menteri?

Ia sebagai perangsang buat BN Selangor untuk bekerja lebih keras pada PRU akan datang dalam usaha untuk menawan kembali Selangor.
awang-pawi-budiman-1
PETALING JAYA: Selepas meraih majoriti besar pada PRK Sungai Besar semalam, Budiman Mohd Zohdi diramalkan akan dilantik sebagai timbalan menteri.
Ramalan itu dibuat penganalisis, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi memandangkan kerusi Parlimen Sungai Besar pernah disandang Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya itu berkata, jika dilihat daripada senarai anggota Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terdapat kuota untuk jawatan timbalan menteri bagi wakil rakyat Selangor.
“Jadi, peluang Budiman diangkat sebagai timbalan menteri juga besar. Ia juga sebagai perangsang kepada BN Selangor untuk bekerja keras pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk menawan Selangor.
“Berbanding dengan Datin Mastura Mohd Yazid yang memenangi PRK Kuala Kangsar, Budiman ada pengalaman lebih luas dalam politik,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Budiman berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar yang disandang Allahyarhamah Noriah yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pda 5 Mei lalu dengan majoriti amat selesa iaitu 9,191 undi.
Calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar sekadar meraih 7,609 undi sementara calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang juga Adun Meru mendapat mendapat 6,902 undi.

NAJIB TERUS MENCABAR MAHATHIR?

Selepas kemenangan membanggakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Najib Razak nampaknya tidak henti-henti melepaskan sindirannya kepada Tun Mahathir Mohamad.

Di Sungai Besar malam semalam, Najib berkata, kemenangan cemerlang BN menunjukkan "Idi Amin Malaysia" tetap popular di hati pengundi.

Hari ini pula, beliau menyifatkan kekerapan bekas Perdana Menteri itu turun berkempen memihak kepada pembangkang lebih menguntungkan BN.
Lagi kerap Tun Mahathir turun, lagi menguntungkan BN, saya harap dia jangan berhenti, turun lagi, kata Najib.

Walaupun berupa sindiran, Najib sebenarnya sedang mencabar Tun Mahathir.

Apakah Tun Mahathir akan menyahut cabaran itu?

Tidak sukar sebenarnya menduga langkah Tun Mahathir seterusnya, lagi pun sudah disebutnya sebelum ini, sama ada BN menang atau kalau di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, usaha menurunkan Najib tetap akan diteruskan sehingga berjaya.

Sama ada lebih kerap turun, terus bercakap atau dalam bentuk bagaimana cabaran itu disahut, sehingga PRU 14 akan datang, Najib pasti merasakan asakan dan serangan Tun Mahathir dengan lebih "menggila" lagi selepas ini.

Melayu bergurulah dengan Cina

Oleh Mohd Sayuti Omar
Kemenangan besar calon BN Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar dan Masturi Mohd Yazid di Kuala Kangar semalam ialah kerana peralihan undi Cina daripada pembangkang (sebuat Pakatan Rakyat) sebelum ini kepada BN. Pihak MCA mendakwa mereka berjaya meraih 35% undi Cina di Sekinchan berbanding 13% pada Peraum 2013 yang lalu. Manakala pihak Gerakan pula mengatakan mereka berjaya mengalihkan 40% undi Cina kepada BN.

Perubahan undi itu memang jelas dan menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan. Peralihan itu memberi signifiken kepada parti DAP kerana ia dilihat kegagalan parti itu mengekalkan sokongan lalu untuk melonjakkan undi kepada rakannya Amanah. Cina di Sekinchan adalah penyokong dan ahli DAP. Dun Sekinchan satu-satu Dun yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam Peraum lalu.
Manakala di Kuala Kangsar, undi Cina di Jerlon yang dulu dimenangi oleh pembangkang kini jadi sebaliknya.

Mungkin peralihan undi Cina itu meresahkan DAP? Ia akan menjadi lebih menakutkan kalau siptom yang ditunjukkan di Sungai Besar itu khasnya berpanjangan hingga ke pilihan raya umum akan datang. DAP sudah tentu akan bangkit dan bingkas mencari formula dan kaedah untuk membendung siptom itu agar tidak menjadi barah kepadanya.

Bagaimana pun, saya melihat peralihan undi Cina yang boleh dikira besar itu, bukan kegagalan DAP dalam berkempen dan menarik perhatian orang Cina. Ia ada hubung kait dengan masalah lain. Seperti mana kata seorang politician Cina, pengundi Cina beralih kepada BN kerana bosan dengan apa yang berlaku dalam parti pembangkang.

Perpecahan dalam parti agama (Pas) sehingga muncul parti Amanah menyebabkan pengundi Cina keliru dan mereka bingung kalau pun tidak nanar. Mereka mungkin juga jeluak memikirkan cara orang Melayu bermain politik menggunakan agama sebagai modal mengkafirkan sesama sendiri. Perpecahan dan perbalahan itu boleh menyebabkan mereka lari kepada BN sebagai memberi peringatan agar pembangkang kembali bersatu.

Dari sudut lain, perubahan pengundi Cina di Sekinchan dan Jerlon itu ada kena mengena dengan cara orang Cina bermain politik. Seperti juga peralihan besar undi Cina dalam pilihan raya negeri Sarawak tempoh hari. Mereka tidak bersemangat untuk kekal mengundi pembangkang, kerana mereka menyedari pilihan raya negeri Sarawak itu tidak akan membawa perubahan total, melihatkan kerajaan Persekutuan.

Pendekatan politik PAS mengundur ke belakang.

Oleh Mohammad Agus Yusoff
PRK ini menarik. Pertama, semua calon yang bertanding hebat dan mempunyai kelulusan yang tinggi. Kedua, banyaknya isu dalam kedua-dua PRK ini. Ketiga, kali pertama parti serpihan PAS, Amanah turut bertanding. Keempat, PAS kembali bertanding sendirian tanpa kerjasama dengan parti lain, tetapi masih yakin untuk mencipta kemenangan.

PARTI MANA MENANG?
Tanpa ragu BN akan menang di kedua-dua kawasan. Senarailah apa juga masalah dalaman dan luaran yang dihadapi oleh BN, namun parti ini tetap menang cemerlang dengan majoriti yang meningkat berbanding PRU 2013.
Amanah di tempat kedua. Biarpun parti baru, sokongan diterimanya dari bukan Melayu cukup kuat. Selain itu, Amanah juga mendapat sokongan kuat golongan Melayu Islamis yang progresif.
PAS yang telah lama dalam politik negara pula ketinggalan di belakang. PAS hanya bergantung undi kepada penyokong tegarnya sahaja. Pengundi bukan Melayu yang sebelum ini menyukai PAS tidak akan mengundi PAS lagi. Pengundi atas pagar juga begitu, tidak ramai yang akan mengundi PAS.
Berbeza sungguh dahulu dan sekarang. Dahulu PAS boleh berharap kepada pengundi atas pagar untuk menyokongnya, tetapi sekarang ini PAS sendiri pula yang berada di atas pagar—ke kanan tidak ke kiri pun tidak.
Mengapa begitu PAS sekarang? Panjang huraiannya. Yang pastinya selepas dua PRK ini, jika masih ada lagi penyokong tegar PAS berkata, kami tidak mengharapkan kemenangan dan hanya mahukan redha Alah sahaja, maka saya tidak boleh hendak komen lagi.
**************************************
Melihat perjalanan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, saya fikir pendekatan politik PAS mengundur ke belakang.
Nasihat saya, jika PAS mahu kekal bersaing dalam politik negara, bekerjasama dengan kaum lain dan juga parti lain yang kuat. Percayalah PAS tidak boleh hebat sendirian.

PRK: PAS paling tercorot?

Oleh SYED AHMAD FADHLI
Keputusan seperti dijangka, BN berjaya kekal di dua kerusi yang memang sudah disandang sebelum ini. Dengan pertandingan 3 penjuru, BN dapat menang dengan lebih bergaya berbanding PRU13.

Adakah PAS tercorot?

Ya dan tidak.

Di Sungai Besar, PAS berada di no 3 manakala di Kuala Kangsar pula PAN berada di kedudukan tercorot.

Mengapa kelihatan PAS hilang begitu banyak undi berbanding PRU13?

Kerana dahulunya penyumbang utama undi PAS ialah undi dari kaum Cina di kedua-dua Parlimen tersebut. Boleh rujuk keputusan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang lebih mikro sifatnya dalam menganalisis keputusan pilihan raya.

Apabila pengundi Cina sudah beralih arah, maka PAS begitu zahir terkesan hilang banyak undi.

Undi Cina beralih kepada siapa?

Ini bersifat 'alarm bell' kepada pembangkang kerana pengundi Cina sudah mula kembali kepada BN, dan selebihnya mengundi PAN-PH.

Risiko besar menanti di Selangor menjelang PRU14 kerana kelihatannya BN mampu memberi saingan untuk merampas kembali kerajaan daripada gabungan PH-PAS.

Undi Melayu persaingan antara siapa?

Jelas, apabila melihat keputusan semalam mengikut PDM, persaingan kekal tradisi antara Umno dan PAS di kawasan Melayu. PAN gagal mengganti PAS untuk mendapat undi Melayu.

Bagaimana PAS boleh tercorot di Sungai Besar tetapi no.2 di Kuala Kangsar?

Kerana di Sungai Besar adanya 33% jumlah pengundi kaum Cina manakala di Kuala Kangsar, pengundi kaum Cina tidak seramai itu.

Jalannya masih jauh jika rakyat sendiri terus ..

Oleh Rafizi Ramli
BismillahirRahmanirRahim.Saya mengikuti keputusan kedua-dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar di atas bas dalam perjalanan dari Pandan ke Kemaman. Hujung minggu ini adalah satu-satunya peluang untuk berbuka puasa bersama mak dan ayah.

Keputusan itu sudah jelas dan saya juga percaya semua pihak di Pakatan Harapan telah mencuba sebaik yang mungkin dengan kekangan yang ada. Sememangnya pertandingan politik di Malaysia tidak pernah adil kerana kita berdepan dengan pelbagai rasuah pilihanraya - jadi itu tidak pernah menjadi kejutan kepada kita apabila pengundi-pengundi beralih sokongan setelah dijanjikan dewan, jambatan dan lain-lain. Begitu juga kehadiran yang rendah semasa pilihanraya kecil juga dijangka.
Begitu juga perpecahan undi pembangkang apabila ada pertembungan 3 penjuru.
Satu-satunya perkara yang betul-betul mengejutkan saya ialah setelah pelbagai kepayahan yang ditanggung rakyat (dari GST, kenaikan kos sara hidup, skandal 1MDB, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri, kemewahan isteri Perdana Menteri yang dibayar oleh wang rakyat dan pelbagai isu lagi) pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberi isyarat bahawa mereka tidak kisah pun dengan segala perkara ini.
Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?
Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan oleh GST? Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?
Ada yang membuat komen bahawa isu-isu nasional tidak ada kesan kepada pengundi berbanding isu tempatan.
Saya rasa perkara ini perlu diperjelas dan diperbetulkan: isu tempatan dan isu nasional itu saling berkait. Kegagalan membina jambatan di Manong adalah kerana peruntukan yang tidak ada dan apabila disenaraikan, jambatan Manong lebih corot senarai keutamaannya berbanding projek-projek lain maka janji tinggal janji selama 5 penggal.
Harga getah yang rendah menjadi beban kepada penoreh getah kerana harga barang lain naik mendadak sedangkan pendapatan mereka turun. Harga barang naik disebabkan GST. GST diperkenalkan kerana kerajaan tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan akibat sumber sedia ada dibazirkan oleh pelbagai projek dan skandal.
Sebab itu saya tidak setuju dengan diagnosis mudah bahawa isu nasional tidak ada kesan berbanding isu tempatan.
Pendapat saya pengundi masih terlalu pekat dengan dua penyakit besar yang menjadi senjata pilihanraya Umno/BN sejak berdekad:
i) Penyakit sentimen perkauman/keagamaan - ramai pengundi pasrah dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi (sedang mereka mengeluh setiap hari) kerana bagi mereka memerangi Cina DAP dan sekutu mereka (KEADILAN dan AMANAH) itu lebih penting dari membantu diri mereka sendiri. Akhirnya serangan perkauman yang bertubi-tubi oleh kedua-dua Umno dan PAS telah meningkatkan sokongan kepada Umno dan mengekalkan baki sokongan pengundi Melayu kepada PAS

Kemenangan BN referendum rakyat tolak pembangkang - Ismail Sabri

Kemenangan itu juga jelas membayangkan rakyat menolak politik kebencian, fitnah dan pembohongan yang selama ini dibawakan pembangkang.
sabri-bn
BERA: Kemenangan besar BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti itu kian meningkat dan pada masa sama menggambarkan referendum rakyat menolak pakatan pembangkang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan itu juga jelas membayangkan rakyat menolak politik kebencian, fitnah dan pembohongan yang selama ini dibawakan pembangkang.
“Pembangkang sebelum ini mengatakan PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar akan menjadi referendum rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu jika rakyat menolak calon BN bermakna rakyat menolak kepimpinan beliau.
“Mereka menganggap ini menjadi referendum rakyat kepada Datuk Seri Najib tetapi sebenarnya ia menjadi referendum kepada kepimpinan pembangkang. Kalau BN kalah mereka suruh Najib berhenti, kenapa pula kalau pembangkang kalah pemimpin mereka tidak berhenti?
“Jadi saya berharap mereka juga kena berani (buat apa yang dikatakan),” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Batu Kampung Papan hari ini.
Dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam, BN bukan sekadar berjaya mempertahankan kerusi di dua Parlimen itu, tetapi turut melakar kejutan dengan mendapat majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-13.
Calon BN Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi manakala calon BN Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid pula mendapat 12,653 undi dengan majoriti 6,969 undi.
Ismail Sabri berkata, kemenangan itu turut menunjukkan rakyat menyokong Najib serta dasar yang telah kerajaan laksanakan menerusi pelbagai pendekatan bagi membantu rakyat.

Pengundi Cina tak setia – Dr Zuhdi

Mohd Zuhdi Marzuki berkata, berdasarkan pengamatannya, pengundi Cina akan beralih arah untuk menyokong parti lain selepas dua penggal.
zuhdi
PETALING JAYA: Kesetiaan pengundi Cina terhadap sesebuah parti itu yang tidak melebihi dua penggal adalah punca BN berjaya mendapat majoriti lebih besar di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata berdasarkan pengamatannya, pengundi Cina akan beralih arah untuk menyokong parti lain selepas dua penggal.
“Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan PRU 2013, mereka menyokong Pakatan Rakyat (PR), sekarang mereka akan kembali menyokong BN.
“Pola pengundian pengundi Cina sepanjang sejarah PRU di Malaysia saya perhatikan seperti itu,” katanya kepada FMT hari ini sebagai mengulas faktor yang mempengaruhi pengundi Cina beralih arah menyokong BN di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam.
Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang merupakan balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu, menewaskan tiga pencabar lain dengan majoriti lebih besar 6,969 undi.
Sementara Budiman Mohd Zohdi yang juga Adun Sungai Panjang berjaya mempertahankan kerusi Sungai Besar yang disandang Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon yang juga terkorban dalam tragedi helikopter itu dengan majoriti jauh lebih selesa iaitu 9,191 undi berbanding 399 undi yang diraih pada PRU13.
Untuk meraih sokongan pengundi Cina, Mohd Zuhdi menyarankan Dewan Himpunan Penyokong PAS memberi penjelasan berhubung tohmahan yang dilemparkan oleh DAP, MCA dan Gerakan.
“Pengundi Cina lari daripada PAS disebabkan PAS masih gagal memperjelaskan tohmahan yang dilemparkan oleh parti-parti itu,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menegaskan parti itu tidak kehilangan sokongan pengundi Cina pada dua PRK semalam kerana penubuhan parti itu belum sampai setahun.
“Bagi saya walaupun BN dapat meningkatkan peratusan pengundi Cina mereka, namun saya rasa itu fenomena yang biasa berlaku dalam mana-mana PRK.
“Sebab masyarakat Cina ini boleh ‘demand’, kadang-kadang dia tunjukkan sedikit berantakan tapi biasanya dalam PRU itu tidak akan terjadi,” katanya.

PRK: Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS akan kekal entiti berbeza


Suasana hari mengundi di  Sungai Besar
Suasana hari mengundi di Sungai Besar
Sudah awal lagi BN dijangka menang di kedua-dua pilihan raya ini apabila berlakunya situasi 3 penjuru melibatkan BN, Amanah, dan PAS di Sungai Besar manakala 4 penjuru di Kuala Kangsar dengan menyaksikan calon bebas turut sama bertanding.
Jika ditinjau di Sungai Besar, BN memenangi 16 800 undi mengalahkan calon Amanah yang mendapat 7609 undi manakala PAS pula ditempat ketiga dengan mendapat 6902 undi. Jika dicampurkan undi AMANAH dan PAS sekalipun, parti pembangkang hanya memperoleh 14 511 undi dengan majoriti 2289 undi.
Di Kuala Kangsar pula, BN memenangi kerusi ini dengan mendapat 12 653 undi mengalahkan calon PAS dengan undi 5684 dan calon Amanah mendapat 4883 undi. Undi parti pembangkang jika dicampur antara AMANAH dan PAS 10 567 undi dengan majoriti 2086 undi.
Maka dapat diperlihatkan bahawa jika undi Amanah dan PAS dicampur sekalipun masih tidak dapat mengatasi undi BN dengan perbezaan lebih 2000 undi. Jadi bagaimana ini boleh berlaku?
Sedikit Analisis
Pertama, antara faktor yang menyumbang kekalahan parti-parti pembangkang ialah jumlah keluar mengundi yang rendah. Di Kuala Kangsar hanya 71.4% membuang undi manakala di Sungai Besar hanya 74.4% keluar mengundi. Berbeza pada PRU ke-13, Kuala Kangsar mencatatkan 84.1% keluar mengundi manakala di Sungai Besar pula 88%. Faktor penyumbang kepada jumlah yang rendah ini ialah dibuat pada bulan ramadhan yang hampir kepada hari raya yang mengakibatkan pengundi luar keberatan untuk pulang. Jumlah inilah yang biasanya dilihat dalam siri-siri pilihan raya kecil apabila jumlah yang keluar mengundi hanya sekitar 70-80 % sahaja.
Undi kaum Cina yang mengundi Pakatan Harapan nyata memperlihatkan beberapa kemerosotan. Ini bermaksud BN berjaya meningkatkan penguasaan undi kaum Cina namun masih belum lagi mengatasi undi dari Pakatan Harapan. Ini dapat ditunjukkan menerusi saingan sengit Amanah dan BN di kawasan majoriti Cina. Paling menarik di Kuala Kangsar, BN menang di Jerlun iaitu kawasan majoriti Cina paling besar di Kuala Kangsar. PAS pula tewas teruk di kawasan-kawasan Cina apabila jauh ditinggalkan BN dan AMANAH. Kegagalan PAS mendominasi kawasan pengundi Cina seperti di Sekincan adalah merupakan sebab mengapa PAS gagal mendapat sokongan di kawasan tersebut.

'Lebih kerap Tun M turun, lagi untung BN' - Najib


KUALA KRAI - "Lebih kerap Tun Dr Mahathir turun, lebih menguntungkan BN, saya harap dia jangan berhenti, turun lagi."
Demikian sindiran sinis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas kemenangan besar BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam.
Najib berkata, kehadiran bekas Perdana Menteri itu di dua pilihan raya termasuk berkempen untuk membuat pengutan suara menyingkirkannya jelas gagal.
"Pengutuan suara kononnya banyak pihak yang menyokong tetapi tidak diterjemahkan di dalam di dua PRK  dan PRN Sarawak,  ini kerana BN mendapat majoriti yang melipat kali ganda,
"Pungutan suara pula dilakukan tidak sah termasuk isu tandatangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Banjir di Kampung Staponal di sini hari ini.
Di PRK Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang oleh suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi berbanding 1,082 undi.

Siapakah sebenarnya SINGA, SERIGALA dan ANJING-ANJING di negara kita ??


Biar semua naik janji rakyat syukur apa yang ada skrg..

Rakyat Malaysia patut bersyukur kepada Umno/BN kerana tanpa SINGA, SERIGALA & ANJING-ANJING di negara kita negara kita tak akan aman dan dapat suapan BR1M dan dedak..

Jatuh bangun pembangkang perkara biasa, DAP tidak putus asa

Walaupun mengalami kekalahan dalam pilihan raya kecil berkembar semalam dan pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu, Ketua Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, Pakatan Harapan akan bangkit semula.
Menurut beliau, keadaan semasa adalah sama seperti apa yang dihadapi pembangkang semasa pilihan raya umum 1995, pilihan raya kecil Machap dan Ijok pada tahun 2007.
"Pada pilihan raya umum 1995, pembangkang 'hancur' dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih semula.
"Pada bulan April 2007, selepas kehilangan Machap dan Ijok, tiada seorang pun yang berfikir bahawa kurang daripada satu tahun kemudiannya, tsunami politik berlaku pada 8 Mac 2008.
"Dalam masa yang sukar seperti ini, kita tidak boleh berputus asa tetapi bangkit untuk menyerlahkan kepimpinan baru dan lebih baik untuk Malaysia," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.
BN menang besar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam dengan meraih lebih banyak undi berbanding jumlah undi yang diperolehi oleh PAS dan AMANAH.
'Keruh dan berserabut'
Liew menambah, adalah sesuatu yang ajaib jika AMANAH dapat mengalahkan BN semalam, namun keputusan pilihan raya kecil itu diharapkan dapat menyelaraskan semula keadaan politik Malaysia dengan lebih jelas.
"Namun, perpecahan dalaman Umno dan PAS tidak diterjemahkan kepada undi yang mencukupi untuk calon-calon AMANAH. Oleh itu, suasana politik negara dilihat masih keruh dan berserabut," katanya lagi.
Melangkah ke hadapan, Liew berkata, Pakatan Harapan perlu meyakinkan pengundi luar bandar dan separa bandar bahawa perubahan dalam kerajaan adalah perkara yang betul untuk Malaysia.

Hidupkan semula Pakatan Rakyat, kembali bersatu - PRM

Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru Pakatan Rakyat 'dihidupkan' semula dengan bersatu untuk melawan BN, melaksanakan dasar dan mengambil tindakan yang dapat memenuhi kehendak dan kepentingan rakyat bagi membawa perubahan.
Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong berkata, kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan rakyat tidak mempunyai pilihan yang lebih baik walaupun ada sebahagian pengundi yang menuntut perubahan.
"Pada masa yang sama, peningkatan undi BN itu boleh dikatakan bahawa rakyat menunjukkan kekecewaan terhadap ketiga-tiga bekas komponen Pakatan Rakyat," katanya dalam kenyataan.
Dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu, walaupun BN memperoleh majoriti undi sebanyak 9191 undi di Sungai Besar dan 6969 undi di di Kuala Kangsar namun peratusan undi BN hanya sebanyak 53.01 peratus di Sungai Besar dan 53.81 peratus di Kuala Kangsar, katanya.
Keadaan ini berbeza kerana pada pilihan raya umum tahun 2013, BN menang dengan 50.53 peratus di Sungai Besar dan 51.14 peratus di Kuala Kangsar yang membuktikan peningkatan undi BN yang kecil, katanya.

Kemenangan BN isyarat rakyat tak kisah susah

Rafizi mempersoalkan adakah segala keresahan yang ditimbulkan sebelum ini hanya satu kepura-puraan.
rafizi-kuala-kangsar-sungai-besar-bn
PETALING JAYA: Keputusan dua PRK semalam memberi isyarat pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak kisah dengan pelbagai kepayahan ditanggung rakyat selama ini yang berpunca daripada pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan BN.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan skandal 1MDB.
“Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?
“Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan GST?
“Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?” soalnya menerusi Facebook miliknya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berpendapat, pengundi masih terpengaruh dengan dua senjata utama Umno dan BN sejak berdekad lalu, iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.
Dari segi sentimen perkauman atau keagamaan, beliau mendakwa ramai pengundi ‘pasrah’ dengan masalah rasuah dan penyelewengan kerana bagi mereka, memerangi Cina DAP dan sekutu mereka iaitu PKR dan Amanah lebih penting daripada membantu diri mereka sendiri.
Manakala dari segi kebendaan, faktor projek yang dijanjikan dan wang yang diagihkan semasa berkempen oleh Umno dan BN tetap berkesan untuk meraih undi rakyat tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.
“Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa,” katanya.

Analisis PRK: Amanah mampu bertanding PRU, undi Cina berubah

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan bahawa Amanah memang mampu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. Tetapi apa yang paling membimbangkan untuk Pakatan Harapan (PH) sekarang ialah tanda-tanda pengundi Cina telah kembali menyokong BN.
Di Sungai Besar, BN telah memperolehi 16,800 undi, Amanah 7,609 undi dan PAS 6,902 undi. Dalam pilihanraya umum yang lalu, BN telah menang dengan majoriti 399 undi.
Di Kuala Kangsar pula, BN telah meraih kemenangan dengan 12,653 undi, PAS telah memperolehi 5,684 undi dan Amanah 4,883 undi.
Analisis PRK: Amanah mampu bertanding PRU, undi Cina berubahKeputusan di atas menunjukkan BN bertambah kuat kerana walaupun undi yang diperolehi oleh Amanah dan PAS dicampurkan, BN pun masih menang dengan kelebihan 2,000 undi untuk Sungai Besar dan juga untuk Kuala Kangsar. Ini bererti kalau Amanah atau PAS sahaja yang bertanding melawan BN 1 lawan 1, BN masih akan menang.
Di Sungai Besar, undi Amanah dicampur undi PAS bersamaan 14,511 undi. Di Kuala Kangsar pula undi Amanah dicampur undi PAS bersamaan 10,567 undi
Hakikat yang harus diterima oleh PH ialah pengundi Cina mungkin secara besar-besaran akan mengundi BN dalam PRU14 nanti. Titik permulaan ini bermula dalam pilihanraya negeri Sarawak Mei lalu dan sekarang pula di dua PRK.
Amaran yang diberi oleh pengundi Cina patut diberi perhatian lanjut oleh ketiga-tiga parti dalam Pakatan khususnya DAP. Kalau tindakan awal tidak diambil untuk mencari sebab masalah ini, maka PH pasti akan mengalami kesusahan dalam PRU14.

BN menang sebab dua penyakit pengundi

PKR menyifatkan kemenangan BN di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam akibat dua penyakit yang dideritai pengundi sejak sekian lama.

Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata, perjuangan masih jauh sekiranya rakyat terus dijangkiti dua penyakit ini iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.

“Penyakit sentimen perkauman atau keagamaan di mana ramai pengundi pasrah dengan rasuah, penyelewengan dan pelbagai lagi sedang mereka mengeluh setiap hari kerana bagi mereka memerangi Cina DAP dan sekutu mereka iaitu PKR dan Amanah itu lebih penting dari membantu diri mereka sendiri.

“Akhirnya serangan perkauman yang bertubi-tubi oleh kedua-dua Umno dan Pas telah meningkatkan sokongan kepada Umno dan mengekalkan baki sokongan pengundi Melayu kepada Pas,” katanya.

Katanya lagi, penyakit kedua iaitu kebendaan apabila dijanjikan pelbagai projek dan wang yang diagih semasa kempen.

“Baik pengundi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua yang lain faktor projek yang dijanjikan dan wang kebendaan yang diagihkan semasa kempen tetap berkesan mengekalkan sejumlah undi kepada mereka.

“PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan bahawa penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa,” katanya.

Tambahnya, beliau akan mengkaji dan memperhalusi dapatan-dapatan ini di peringkat PKR dan Pakatan Harapan.

Semalam, BN mengekalkan kemenangan di dua PRK dengan majoriti lebih besar apabila meraih  majoriti 6,969 undi di Kuala Kangsar berbanding 1,082 undi dalam pilihan raya umum 2013 dan majoriti 9,191 undi di Sungai Besar, berbanding majoriti 399 undi pada 2013.

Percanggahan dalam isu tebusan RM12 juta, Ketua Polis wajar dipecat


KUALA LUMPUR, 19 JUN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa bertanggungjawab atas percanggahan maklumat yang berlaku antara pihak polis dan keluarga empat rakyat Malaysia yang diculik di selatan Filipina.
lipeng__Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata jika Khalid menafikan dari awal bahawa polis telah menerima apa-apa wang tebusan dari keluarga mangsa, perkara itu pasti tidak akan menimbulkan kecelaruan hari ini.
“Khalid tidak pernah belajar untuk menutup mulut tempayannya. Sepatutnya, beliau tidak memberi apa-apa komen apabila ditanya media tentang pembayaran wang tebusan itu.
“Malangnya, tindakan Khalid cuba mempolitikkan isu tebusan RM12 juta dengan menyalahkan pihak pembangkang kerana kononnya menghangatkan isu tersebut memakan tuan apabila kini ada pihak menganggap polis terlibat dengan pihak penculik,” katanya.
Sebelum ini, keluarga empat kelasi Sarawak yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 1 April lalu mendakwa mereka telah menyerahkan kesemua wang yang dikumpul sebanyak RM12 juta bagi pembebasan mangsa culik kepada polis Cawangan Khas di Sandakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa wang tebusan RM12 juta berkenaan tidak diserahkan kepada kumpulan militan Abu Sayyaf, sebaliknya kepada badan Islam di Filipina melalui pihak polis.
Kenyataan berkenaan dibuat selepas keluarga mangsa menuntut penjelasan selepas mereka yang menyumbang mahu mengetahui apa yang berlaku terhadap wang tersebut.

Parti kalah kena bangkit untuk PRU14


PRK Kuala Kangsar, PRK Sungai Besar

SHAH ALAM – Parti yang kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar hari ini perlu menerima kekalahan dan mula memperbaiki kelemahan parti masing-masing.
Penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, langkah tersebut lebih penting bagi meraih sokongan pengundi dan masyarakat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Antara Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) kita tahu memang wujud persaingan. Sekiranya Pas atau Amanah kalah antara satu sama lain, parti yang kalah perlu cari kelemahan parti sendiri dan segera baiki.
"Samalah juga dengan BN, sekiranya BN mengalami kekalahan ada kedua PRK atau salah satu PRK, BN perlu segera memantapkan parti sebelum menjelangnya PRU,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.
PRK bagi kawasan Parlimen Sungai Besar diadakan hari ini bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
Ia diadakan serentak dengan PRK Kuala Kangsar, Perak juga berikutan kematian Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas yang sama.

Politik Malaysia perlu berubah dari 3M kepada 3A

Ekoran kekalahan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam pilihan raya kecil berkembar semalam, Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu mengubah asas pendekatan berpolitik di Malaysia.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, politik Malaysia harus beralih daripada 'formula 3M' iaitu wang (money), jentera (machinery) dan media (media) yang diguna pakai pada masa sekarang.
Ia harus ditukar kepada menangani isu (addressing issues), menyokong dasar (advocating policies) dan memberikan komitmen (applying commitment) atau 'formula 3A'.
Perubahan ini tidak akan menjadi sukar, ujar Mujahid, kerana kedua-dua pilihan raya kecil telah membuktikan bahawa AMANAH mempunyai prospek yang baik untuk memimpin 'politik baru' itu.
"Slogan kami 'progresif dan memberi perhatian' perlu disampaikan tanpa AMANAH menjadi lebih Islam daripada PAS atau lebih Melayu dari Umno.
"AMANAH hanya perlu menjadi inklusif dan menghayati konsep 'keberkatan untuk semua'," tambahnya dalam kenyataan hari ini.
BN memenangi pilihan raya berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam dengan meraih lebih banyak undi daripada PAS dan AMANAH walaupun jumlah undi mereka digabungkan.
Lemas dalam 3M
Mujahid berkata, para pengundi telah 'disumbat' secara berlebihan dengan wang, jentera dan media sehingga mereka tidak dapat memilih dengan bijak pada pilihan raya.
Mereka hanya meraih keuntungan jangka pendek dengan mengorbankan kerugian jangka panjang, katanya.
Di samping, katanya, perbezaan antara isu penting yang meliputi kumpulan etnik yang berbeza juga perlu ditangani.
Ujar beliau, pengundi Cina mengundi bagi menunjukkan penentangan terhadap salah urus kewangan negara, manakala undi Melayu melambangkan ketakutan kuasa Melayu akan terhakis jika mereka mengundi pembangkang.
"(Tetapi) apa jua yang diperkatakan mengenai kekalahan AMANAH tidak akan bermakna AMANAH perlu tunduk kepada realiti politik semasa.

Strategi Sg Besar diperluas ke seluruh S'gor, kata Noh Omar

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dilihat lonjakan untuk memantapkan lagi aturan langkah bagi mengembalikan Selangor kepada parti itu.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata kemenangan itu juga dilihat sebagai 'seruan' supaya jentera BN Selangor terus mengatur langkah lebih padu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kemenangan ini adalah satu kebanggaan kepada kita di Selangor namun tugas yang paling penting kepada kita adalah gerak kerja menuju PRU-14.
"Saya lihat strategi dan cara kita bekerja di sini boleh dikembangkan ke seluruh Selangor untuk mengembalikan semula negeri ini kepada BN," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata bantuan daripada semua jentera BN negeri, pemimpin pusat serta parti-parti komponen amat dihargai dan ia sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat yang masih tinggi terhadap pentadbiran negara.
Dalam pada itu, Ketua Wanita BN Selangor, Datin Nor Hayati Onn berkata kemenangan BN ibarat membela maruah parti itu yang tercalar setelah tewas kepada pembangkang sejak dua penggal lepas.
Katanya, segala penat lelah sepanjang PRK itu berbaloi malah meniupkan semangat baharu dalam sanubari setiap anggota UMNO Selangor untuk bersiap siaga merampas semula negeri termaju itu daripada pembangkang.
Beliau berkata solidariti, perpaduan dan kesepaduan gerak kerja jentera memperlihatkan kesungguhan anggota UMNO Selangor dalam mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu.
"Setelah kita kalah pada PRU sebelum ini, ia amat memberi kesan mendalam namun kita cuba dapatkan balik semangat itu menerusi PRK ini.

Sokongan kaum Cina kepada BN kini 35%, kata MCA

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menyaksikan peningkatan sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) sebanyak 35 peratus, berbanding hanya 13 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon berkata ini sekali gus melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus yang dimahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Secara keseluruhan kawasan yang dijaga MCA mendapat 40 peratus pengundi, termasuk selain daripada kaum Cina dalam kawasan Sekinchan.
"...(Tetapi) adalah lebih selamat jika kita katakan sebanyak 35 peratus sokongan diterima daripada pengundi Cina," katanya kepada pemberita selepas meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.
Budiman menang dengan majoriti besar 9,191 undi mengalahkan calon PAS yang merupakan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar.
Chong turut menyifatkan PRK itu sebagai satu permulaan buat MCA untuk meneruskan misi mentransformasikan parti berkenaan.
Dalam pada itu, Chong mengakui kejayaan kerajaan BN membawa pulang dua nelayan Sekinchan yang ditahan di Indonesia baru-baru ini, antara faktor yang melonjakkan sokongan pengundi Cina pada PRK itu.
"Selain itu, semangat kerjasama yang bagus terjalin antara parti komponen BN iaitu UMNO, MCA dan Gerakan membolehkan kemenangan tersebut memihak kepada kita bagi melebarkan majoriti berbanding PRU13," katanya.
Pada PRU13, BN meraih majoriti sebanyak 399 undi bagi kerusi Parlimen Sungai Besar.

Keputusan PRK buktikan Amanah mampu sertai arena politik negara, kata Khalid Samad


Amanah berjaya buktikan kemampuannya meraih sokongan rakyatAmanah berjaya buktikan kemampuannya meraih sokongan rakyat
Pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata keputusan PRK serentak semalam menunjukkan parti itu telah berjaya membuktikan ia mampu mendapat sokongan yang membanggakan selain memberi saingan sengit kepada lawan dalam pilihanraya kecil ini walaupun baru ditubuhkan.
“Hasil kerjasama PKR dan DAP, kita telah dapat keputusan yang membanggakan bagi sebuah parti yang hanya berusia sembilan bulan.
“Kita telah berjaya mengasaskan keberadaan Amanah dan Pakatan Harapan dalam arena politik negara. Tak ada orang yang boleh kata kita ini parti nyamuk atau kita ni parti yang tak ada sokongan dan kekuatan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi dan semua yang terlibat menjayakan kempen Amanah dalam PRK ini.
Menurut beliau, politik ugut dan serangan perkauman berterusan antara punca yang menyebabkan pola pengundian masyarakat Melayu tidak banyak berganjak berbanding pilihanraya lepas dan menyebelahi Barisan Nasional (BN).
Tambahan pula, dalam pilihanraya kecil kali ini, Barisan Nasional (BN) menggunakan seluruh jentera kempen yang ada bagi menabur pelbagai janji dengan niat melencongkan rakyat dari isu sebenar yang melanda negara.
Menurut Khalid, mainan perkauman dengan menuduh bahawa parti itu khadam DAP bukan sahaja dilemparkan terhadap Amanah oleh BN malah ia turut dilakukan oleh PAS.
“Kita diserang begitu teruk dan itu antara sebab undi Melayu tak seperti yang kita harapkan.

Bukan saja lawan BN tapi seluruh jentera kerajaan


Buggy disediakan SPR tapi dilihat seperti inisiatif BN apabila lebih banyak diguna perayu undi BNBuggy disediakan SPR tapi dilihat seperti inisiatif BN apabila lebih banyak diguna perayu undi BN
Kekalahan Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam berpunca daripada ketidakadilan sepanjang tempoh kempen.
Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan berkata, parti itu yang baru berusia sembilan bulan terpaksa berdepan dengan BN bersama seluruh jentera kerajaan.
"PRK yang tidak adil dan bersih. Terang-terang depan mata, jentera kerajaan dan media diguna oleh Umno-BN utk memenangkan calon mereka," jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Beliau memberitahu, terdapat juga pertukaran pusat pengundian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti berlaku di Kuala Kangsar semalam.
"Pertukaran dibuat tanpa pengetahuan pengundi baik dalam Kuala Kangsar itu sendiri atau di luar dari Kuala Kangsar yang menyulitkan proses pengundian," ujarnya.
Menurut Sany lagi, keadaan diburukkan lagi dengan sentimen kaum kononnya menggambarkan Melayu terancam jika barisan pembangkang menang pilihan raya.
"Isu perkauman dimainkan oleh Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan DAP," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerhatian Malaysia Dateline di Parlimen Sungai Besar semalam mendapati salahguna peralatan milik kerajaan oleh BN juga berlaku pada hari pengundian.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama misalnya, perkhidmatan kereta 'buggy' oleh SPR dilihat didominasi penggunaannya oleh peraih undi BN.
Inisiatif yang difahamkan diperkenal pertama kali oleh SPR itu bertujuan untuk membawa pengundi warga emas dan kurang upaya ke tempat pembuangan undi.

PAS 'dimalukan' AMANAH kerana berseorangan, kata Ideas

Pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah menyaksikan PAS telah 'dimalukan' oleh parti serpihannya sendiri, Parti Amanah Negara (AMANAH), menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Keadaan itu disebabkan keputusan PAS sendiri yang mahu berseorangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataannya.
Kesan buruk tersebut akan turut dirasai oleh parti pembangkang lain kerana akan menghadapi masa yang sukar pada pilihan raya umum akan datang jika PAS terus 'memaksa' pertandingan tiga penjuru, katanya.
"Kehadiran PAS adalah rahmat kepada UMNO dan berita buruk bagi Pakatan , melainkan jika boleh membuat perjanjian sesama mereka. Ini adalah sebab mengapa saya yakin usaha awal (Datuk Seri) Azmin Ali untuk menjadi pengantara antara PAS dan AMANAH penting.
"Pakatan memerlukan lebih ramai pemimpin yang berkongsi aspirasi Azmin untuk menjadi pengantara dan berunding antara pihak-pihak yang berbeza dalam blok pembangkang.
"Jika tidak, mereka akan mempunyai masa yang sangat sukar bergerak ke hadapan, " katanya dalam laman Facebook malam tadi.
BN mendapat 16,800 undi di Sungai Besar , berbanding 7,609 undi yang diperolehi AMANAH dan 6902 undi oleh PAS.
Di Kuala Kangsar, BN memperolehi 12,653 undi berbanding AMANAH dengan 4,883 undi, PAS pula dengan 5,684 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan 54 undi sahaja.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, dengan berlabuhnya dua pilihan raya berkembar itu, AMANAH kini wajar dilihat sebagai pencabar yang serius buat PAS.
"AMANAH telah menerima lebih undi di Sungai Besar dari Kuala Kangsar kerana AMANAH mendapat manfaat daripada penyokong DAP di Sungai Besar, sesuatu yang tidak berlaku di Kuala Kangsar," katanya lagi.

PAS sedia jadi kuda untuk pastikan Umno menang

Berakhir sudah dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang juga merupakan yang terakhir dan tidak akan ada lagi selepas ini.
Kita tidak mahu membicarakan siapa yang menang kerana daripada awal lagi sudah tahu siapa pemenangnya, cuma kita perlu melihat sampai bila PAS mahu menjadi kuda untuk parti lawannya suatu ketika dahulu, Umno.
Jika suatu ketika dahulu, PAS mungkin dituduh menjadi kuda DAP tapi mereka masih ada lagi harapan untuk memenangi mana-mana PRK yang ditandingi, tapi sangat malang apabila sejak menjadi kuda Umno ini mereka masih belum mendapat apa-apa manfaat lagi.
Jeneral perang PAS pun sudah hilang, tapi kita sudah dapat menjangka apa yang akan bakal dikata lebai PAS ini, semua fatwa agamawan dan agamawi akan keluar mereka walaupun kalah.

Mungkin akan juga keluar kenyataan PAS tidak beriman dalam pilihan raya lagi, tak beriman tapi masih gatal mahu bertanding, apa punya dangkal hujah orang agama macam ini.
Mungkin PAS sudah tidak perlu lagi menjadi sebuah parti dan sudah sampai masanya Presiden membawa kapal dan layar PAS bersama Umno secara rasminya kerana pada akhirnya Datuk Seri Abdul Hadil Awang juga mahu menjadi perdana menteri.
Adalah lebih senang jika Hadi menyertai Umno lagi mudah untuk beliau menjadi perdana menteri, tidak perlu berebut dengan PKR, PAN dan DAP.
Mungkin dengan kejayaan PAS menjadi kuda Umno di dua PRK, usaha tersebut akan membuahkan hasil, “PAS jadi kuda Umno, Hadi jadi perdana menteri”.
Tahniah PAS, lama Umno cari kuda akhirnya sudah ditemui.

PRU14: Pemuda Pas ramal BN kekal di Putrajaya, Pas akan tawan Terengganu dan Kedah


Nazman yakin Pas akan lebarkan pengaruh ke Terengganu dan Kedah selain mengekalkan KelantanNazman yakin Pas akan lebarkan pengaruh ke Terengganu dan Kedah selain mengekalkan Kelantan
Pemuda Pas Kelantan menganggap keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar hasil pertandingan tiga penjuru bakal memberi laba kepada Pas dan Barisan Nasional.
"Tanpa menghormati kerusi tradisi Pas, dan Pas akan meletakkan calonnya di kerusi DAP dan PKR," kata Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim di status fecebooknya.
Keadaan ini katanya akan mejadikan "pola tiga penjuru terus digilai PAN (Amanah), dan diapi-apikan DAP dan PKR".
Menurut beliau hasilnya BN akan terus menguasai Putrajaya, dan mengekalkan beberapa negeri sedia ada.
"BN pasti akan merampas Selangor dan Pulau Pinang," katanya.
Menempelak tuduhan Pas undur ke belakang dalam PRK serentak baru-baru ini beliau berkata pada waktu itulah baru boleh tahu parti mana yang undur selangkah, dan parti mana yang terundur 5 langkah ke belakang.
"Pada masa itu peluang yang ada hanya kepada PAS untuk mengekalkan Kelantan, merampas Terengganu dan Kedah," katanya.

Amanah tak perlu lebih Islamik, Melayu untuk jadi juara

Politik di negara ini perlu keluar daripada mentaliti perkauman sempit, pemikiran agama dogmatik dan taksub kepartian kepada politik advokasi dasar serta penyertaan pembentukan negara.
Dr Mujahid Yusof Rawa
PETALING JAYA: Amanah tidak perlu menjadi lebih Islamik daripada PAS atau lebih Melayu daripada Umno untuk muncul sebagai juara politik baru.
Sebaliknya, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu hanya perlu bersikap inklusif dengan melaksanakan konsep ‘Rahmat untuk semua’.
Jelasnya, Amanah juga tidak perlu tunduk kepada realiti politik sedia ada sebaliknya ia perlu terus membina agenda politik baru.
Tambahnya, politik di negara ini perlu keluar daripada mentaliti perkauman sempit, pemikiran agama dogmatik dan taksub kepartian kepada politik advokasi dasar serta penyertaan pembentukan negara.
“Masyarakat Cina mengundi atas ketidaksetujuan mereka kepada kebejatan tatakelola kewangan negara manakala pengundi Melayu mengundi atas ‘kebimbangan’ kuasa Melayu akan ‘terhakis’ jika undi pembangkang, walaupun mereka tahu salah tadbir kewangan yang berlaku.
“Sampai bila pemikiran pengundi ini hendak dibiarkan membuat penentuan politik sehingga akhirnya pola perkauman akan terus membawa politik negara kepada berantakan dan permusuhan kaum berpanjangan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpendapat, adalah salah untuk merumuskan kemenangan BN dan kekalahan PH di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan ‘cara lama’ lebih berkesan dan pendekatan baru tidak perlu untuk mencapai kemenangan.
Di Sungai Besar, BN menang dengan 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS (6,902 undi).
Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan Amanah berada di tempat ketiga dengan 4,883 undi selepas BN (12,653 undi) dan PAS (5,684 undi).

Undi India meningkat kepada 70% di dua PRK

Subramaniam mengingatkan kerajaan BN supaya menangani isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat bagi membolehkan BN terus mendapat sokongan kuat daripada rakyat pada PRU14.
subramanian
KUALA LUMPUR: Peratusan undi kaum India terhadap BN meningkat kepada 70% pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam.
Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam berkata, peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka semalam juga mencecah 70% hingga 75%.
“Kami agak gembira peratusan pengundi India yang kami sudah kenal pasti keluar mengundi agak tinggi.
“Ini bermakna usaha MIC untuk mendekatkan komuniti India kepada BN amat baik,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Yoga Antarabangsa di Stadium Badminton Cheras hari ini.
Seramai 71% pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka di Kuala Kangsar dan 74% di Sungai Besar semalam, angka itu bagaimanapun lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak 75%.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Datin Mastura Mohd Yazid, isteri Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei, dengan majoriti lebih besar iaitu 6,969 undi.
Sementara Budiman Mohd Zohdi yang juga Adun Sungai Panjang turut berjaya mempertahankan kerusi Sungai Besar yang disandang Allahyarhamah Tan Sri Noriah Kasnon yang juga terkorban dalam nahas helikopter itu dengan majoriti selesa iaitu 9,191 undi.
Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, BN telah mengenal pasti mesej yang hendak disampaikan masyarakat India kepada kerajaan melalui dua PRK itu.
“Ia perlu bagi kami untuk mengenal pasti supaya apa yang dimahukan mereka dapat dipenuhi dan sokongan ini akan berterusan dan menjadi lebih baik.
“Dan sudah tentu isu komuniti perlu diutamakan,” katanya sambil mengingatkan kerajaan BN supaya menangani isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat bagi membolehkan BN terus mendapat sokongan kuat pada PRU akan datang.

PRK : BN boleh senyum, Amanah berpuas hati Pas tersengeh..

Oleh Mohd Sayuti Omar
Menerima keputusan dua Pirake, Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang selesai lewat petang tadi, BN boleh tersenyum dengan kejayaan mempertahankan kedua-dua kerusi itu, namun tidak boleh berpuas hati.

Kemenangan dengan majoriti besar (9,191) di Sungai Besar dan (6,969) Kuala Kangsar itu tidak mencerminkan hakikat kemenangan yang sebenar. Ini kerana sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, pecah undi Pas dengan Amanah, BN boleh bergerudum.

Hakikat majoriti diraih oleh BN ialah, (2,289) di Sungai Besar dan (2,086) di Kuala Kangsar, jika dikira gabungan undi yang diuperolehi Pas dan Amanah.

Seperkara lagi perlu diingat selalunya dalam Pirake BN menguasai sepenuhnya kerana memiliki segala kemudahan termasuk jentera kerajaan. Jadi advantage ada kepadanya.

Sebaliknya Amanah, boleh berpuas hati dengan kejayaan meraih undi sebanyak (7,609) di Sungai Besar dan (4,883) di Kuala Kangsar. Sebagai penyertaan sulung dalam pilihan raya di Semenanjung, Amanah harus berbangga dengan pencapaian itu, tetapi tidak boleh bergembira. Dalam suasana ditekan, dihina kiri kanan oleh BN, media dan bekas rakannya Pas, namun Amanah berjaya juga meletakkan dirinya di persada politik tanah air. Dapat menyelamatkan wang deposit suatu tuah besar bagi Amanah.

Pencapaian Amanah itu mengenalkan (demostrasi) parti itu kepada rakyat negara ini. Dan hasrat Amanah pun saya kira bukan obses mengimpikan kemenangan, apabila ia turut ditentang sama oleh Pas, tetapi cukup sekadar untuk berada di atas abangnya dari segi urutan pencapaian undi. Di Sungai Besar Pas meraih 6,902 di Kuala Kangsar 5,684 melebihi daripada Amanah.

Manakala Pas pula bukan sahaja tidak boleh berpuas hati dengan kedua Pirake itu, tetapi untuk tersenyum sumbing pun tidak boleh. Yang mampu Pas lakukan hanya tersengeh sahaja. Dengan kedudukan ditempat ketiga dibawa parti compingan yang dihina dan ditekan demikian rupa, ia memberi pukulan kepada Pas dan parti itu patut menutup muka kerana malu. Usia Pas jauh lebih tua berbanding dengan Amanah yang baharu berumur belum sampai setahun.

Pencapaian Pas itu dilihat bahawa apa yang dibimbang sebelum ini menjadi kenyataan. Bahawa Pas tidak akan menguak jauh kalau ia mengambil sikap bersuku dan "berkera" sumbang dalam politik. Dalam realiti politik rencam seperti Malaysia, bersikap kera sumbang tidak banyak membawa kebaikan.

Keyakinan dan strategi Pas untuk bertanding secara bersendirian jelas membawa bencana memalukan kepada parti yang pernah menjadi harapan umum untuk menjadi alternatif kepada Umno itu. Lainlah kalau ada nawaitu kecil disebalik kalbu Pas penyertaan itu bagi membantu BN, yakini Umno yang kini sudah dipelukinya demi mempertahankan kerusi itu dari jatuh ke tangan pembangkang.

Apa yang berlaku di dua Pirake itu bakal menggambarkan pencapaian dan senario pada Piraum ke 14 nanti. Sekiranya momentum ini dikekalkan, khasnya bagi Amanah ia tidak syak lagi parti bongsu itu bakal menjadi parti kedua atau ketiga selepas DAP dan PKR. Mungkin juga Amanah akan menjadi pengganti kepada Pas tidak mustahil. Hal ini saya yakin kalau Amanah dapat bertahan untuk lima enam tahun, selepas Piraum ke-14 nanti, Amanah ada potensi menjadi parti diminati generasi baru.

PKR - Pas mungkin ‘putus cinta’ selepas PRK

Hubungan ikatan politik antara PKR dan Pas mungkin bakal menemui titik akhir selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ini kerana menurut penganalisis politik, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, PKR dilihat secara jelas lebih memihak kepada Parti Amanah Negara (Amanah) berbanding Pas.
“Saya rasa PKR akan merasai beban atau kesan jika parti itu benar-benar ‘berpisah’ dengan Pas.
Pas PKR “Ini kerana Pas memegang sokongan majoriti masyarakat Islam dan Melayu. Kalau undi Amanah lebih banyak daripada Pas, mungkin tak apa,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Menurutnya lagi, PKR perlu mengelakkan berlakunya perpisahan antara parti itu dengan Pas kerana pembangkang memerlukan kekuatan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
“Bila berlaku perpecahan macam ini (pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar, empat penjuru di PRK Kuala Kangsar), PKR terus memilih untuk menyokong dan bersama Amanah.
“PKR kena ingat yang naiknya Azmin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sebagai menteri besar pun disebabkan oleh sokongan daripada Pas. PKR juga kena ingat bahawa Pas lebih disokong masyarakat Melayu berbanding Amanah,” katanya lagi.

Warkah mahasiswa Al-Azhar untuk Tuan Guru Haji Hadi

oleh Al-Filfilany
warkah haji hadi
Tuan Guru yang mulia, kami para mahasiswa sangat tertanya-tanya tentang tindakan, perancangan, strategi, dan hala tuju apa dan ke mana yang Tuan Guru sedang halakan kapal yang sedang dinakhoda.
Apabila Pakatan Harapan di bawah Datuk Seri Dr Wan Azizah bersama semua Ahli Parlimen pembangkang utama dalam Parlimen membawa usul menolak belanjawan yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tuan Guru dan semua Ahli Parlimen PAS kecuali beberapa orang bertindak berkecuali.
Begitu juga, apabila saya membaca jawapan Tuan Guru, ketika dipelawa Tun Dr Mahathir untuk gerakan Deklarasi Rakyat bagi menyingkir Najib Razak, Tuan Guru juga tidak bersetuju.
Saya juga membaca tulisan Tuan Guru sebelum ini yang berpedomankan fatwa Al-Azhar dan ulama Syria yang menolak gerakan menjatuhkan pemimpin, kerana akan menggugat keamanan dan kestabilan negara.
Bukankah situasi Mesir, Syria, dan negara Timur Tengah yang terlibat dengan ‘Arab Spring’ merupakan situasi yang berbeza dengan keadaan Malaysia?
Satu persoalan pokok di dalam warkah ini, mengapa Tuan Guru tidak menentang isu 1MDB secara terang-terangan hingga memberi isyarat kepada Perdana Menteri bahawa rakyat menyampah dengan skandal syarikat bermasalah ini.
Skandal 1MDB sedang disiasat oleh berbilang agensi antarabangsa, dan terkini telah mengundang saman arbitrasi di London, menuntut jumlah keterhutangan yang amat besar.
Sekiranya Tuan Guru inginkan keamanan dan kestabilan negara, mengapa tidak menentang syarikat yang merosakkan dan menjatuhkan ekonomi dan maruah negara?
Saya ingin menarik perhatian Tuan Guru terhadap apa yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tentang penjualan aset negara kepada China, persetujuan menandatangi TPPA, dan pelbagai kerosakan yang terjadi pada era Najib Razak yang menggugat keamanan dan kestabilan negara. Ramai melihat, mengekalkan Najib Razak lebih berpotensi menghancurkan negara.
Namun kenapa Tuan Guru masih bertegas dengan pendirian untuk tidak kita turunkan Najib Razak dengan pelbagai kaedah dalam kerangka demokrasi yang boleh kita pilih tanpa kita bertindak seperti Arab Spring?

Amanah beri saingan sengit, namun pertandingan tiga penjuru merugikan


SUNGAI BESAR, 18 JUN: Meski Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan parti baru yang mewakili Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil kali ini, ia sebenarnya sudah menunjukkan prestasi yang baik, malah berjaya mengatasi PAS dalam satu kawasan yang dipertandingkan.
prkMengikut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PRK P093 Sungai Besar, Calon Amanah, Azhar Abdul Shukur berjaya memperoleh 7,609 undi, diikuti calon PAS, Dr. Abdul Rani Osman dengan 6,902 undi.
Calon Barisan Nasional, Budiman Mohd Zohdi mengekalkan kerusi yang disandang BN itu dengan 16,800 undi, sekaligus meraih 9,191 majoriti undi dengan
Bagaimanapun, di P067 Kuala Kangsar, Calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang memperoleh 4,883 undi hampir mengatasi calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684).
Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid memperolehi 12,653 undi dan menang dengan majoriti 6,969 undi. Calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 54 undi.
PRK Kuala Kangsar mencatatkan peratusan keluar mengundi hanya 71.4 peratus berbanding 84.3 peratus semasa PRU13.
Sementara itu, Azhar dalam sidang medianya sebentar tadi mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pengundi dan seluruh jentera Pakatan Harapan yang telah bertungkus lumus menjalankan kempen bersama dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Najib: Mereka menolak pembohongan Dr M

Najib tidak membuang masa mensasarkan serangannya ke atas Dr Mahathir, sambil berkata "Idi Amin Malaysia lebih popular".
najib-mahathir-pru
KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Datuk Seri Najib Razak melancarkan serangan tajam ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan rakyat menolak semua dakwaan bekas perdana menteri itu.
“Kini dengan dua kemenangan majoriti besar, dan kemenangan BN 72 daripada 82 kerus di Sarawak bulan lalu, rakyat menunjukkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap BN.
“Mereka menolak pembohongan Tun Mahathir, mereka menolak kerjasama di antara bekas musuh, dan mereka menolak pembangkang yang tidak keruan, sebahagiannya kerana mereka bersekutu dengan Tun Mahathir,” kata Najib dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri semalam.
Sebelum itu, berucap di Sungai Besar semalam, Najib tidak membuang masa mensasarkan serangannya ke atas Dr Mahathir.
“Dia (Mahathir) panggil saya Idi Amin Malaysia.
“Idi Amin Malaysia lebih popular,” katanya, merujuk bekas diktator Uganda pada 1970-an yang terkenal dengan rasuah dan pembunuhan.

Kemenangan BN bukti rakyat terima kepimpinan Najib

Pembangkang dan kumpulan anti-Najib menjadikan dua PRK itu sebagai pungutan suara dengan meminta pengundi menyatakan sama ada mereka masih mahu Najib menjadi Perdana Menteri.
salleh-keruak
KUALA LUMPUR: Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar menghantar mesej kepada pembangkang dan kumpulan anti-Najib bahawa mereka masih mahu Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, walaupun PRK itu semata-mata untuk pengundi di kedua-dua kawasan terbabit memilih wakil rakyat mereka, pembangkang dan kumpulan yang menentang Najib menjadikan PRK itu sebagai pungutan suara dengan meminta pengundi menyatakan sama ada mereka masih mahukan Najib menjadi Perdana Menteri.
“Itu adalah mesej mudah yang pembangkang dan kumpulan anti-Najib hantar kepada pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dan pengundi menghantar balik mesej kepada pembangkang dan kumpulan anti-Najib dengan mengundi BN.
“Dan mesej yang lebih jelas ialah kali ini pengundi memberi BN majoriti lebih besar berbanding 2013,” katanya dalam catatan blog beliau http: //sskeruak.blogspot.my/.
Salleh berkata, BN terlibat dalam pertandingan tiga penjuru, namun perpecahan undi tidak menjejaskan prestasi BN apabila ia menang dengan peratusan undi lebih besar berbanding PRU13, menjadikan ia kemenangan berganda di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Pada PRU 2013, majoriti yang dimenangi oleh calon BN di Kuala Kangsar cuma kira-kira 2% (51% berbanding 49%) manakala di Sungai Besar ia hanya kira-kira 1% (50.5% berbanding 49.5%),” katanya.

Pingat perak PAS dan Amanah bukan kemenangan

Menu utama PAS pada PRK ini ialah hukum hudud, dan kritikan terhadap BN hanyalah lauk tambah.
amanah-pas
“Tepuk kuat-kuat, nanti pangkah BN juga,” seloroh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada satu ceramah ketika berkempen di Kuala Kangsar baru-baru ini.
Walaupun ia satu gurauan, di sebaliknya adalah pengakuan betapa sukarnya menewaskan Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi pada pilihan raya kecil (PRK) yang dibanjiri taburan janji pembangunan.
Sejak dari mula, kemenangan Datin Mastura Mohd Yazid pada PRK Kuala Kangsar memang sudah dijangka.
Begitu juga kemenangan Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar.
Apa yang tidak dijangka barangkali majoriti besar yang diterimanya, 6969 di Kuala Kangsar (dari hanya 1,083 pada 2013) dan 9,191 di Sungai Besar (dari hanya 399 pada 2013).
Menyedari kenyataan ini, maka pembangkang, PAS dan Amanah, seolah-olah lebih tertumpu mendapatkan pingat perak, iaitu tempat kedua.
Ceramah PAS menjadi medan menghentam Amanah, dengan fokus terhadap usul memperkasakan undang-undang Syariah, yang dilihat sebagai batu loncatan sebelum melaksanakan hudud di Kelantan.
Kritikan terhadap BN hanyalah lauk tambah. Tidak jelas apakah tawaran dan program PAS untuk rakyat.
Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pula, walaupun konsisten membawa isu nasional dan menyerang BN, seperti sudah tahu sukar menewaskan BN.
Tetapi hakikatnya, undi yang diterima calon PAS di Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah, tidak banyak beza daripada calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli.
Kedua-dua pihak tidak boleh mendabik dada mendapat tempat kedua, iaitu PAS di Kuala Kangsar dan Amanah di Sungai Besar.
Selain itu, PRK ini juga pertandingan antara pemimpin tertinggi BN, PAS dan Pakatan Harapan.
Karisma pada calon, kalau pun ada, ditenggelami pemimpin mereka yang mendominasi kempen serta saban hari bertikam lidah antara satu sama lain.

PRU14: Elak pertandingan tiga penjuru, kata Suhaizan


Sikap Pas yang dilihat mesra BN menyukarkan blok pembangkang menewaskan BN pada pilihan raya.Sikap Pas yang dilihat mesra BN menyukarkan blok pembangkang menewaskan BN pada pilihan raya.
Barisan pembangkang harus mengelak berulangnya pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, tegas Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kai'at.
Mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar malam tadi, beliau berkata, kegagalan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu hanya akan memberi lebih banyak keuntungan kepada BN.
"Dua PRK dan PRN (Pilihan Raya Negeri Sarawak" sebelum ini membuktikan bahawa suatu formula untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang merugikan barisan pembangkang perlu dirangka segera.
"Semua barisan pembangkang perlu duduk semeja membuat perundingan," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.
Untuk rekod, jumlah diperoleh calon BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masing-masing 16,800 dan 12,653 undi melebihi undi gabungan calon Amanah, Pas, Bebas dan undi rosak.
Menurut Suhaizan, kesepakatan kesemua parti pembangkang pada PRU14 nanti penting bagi memastikan hasrat rakyat untuk menumbangkan BN tercapai.
"Jangan hampakan harapan rakyat yang mahukan perubahan," tambahnya lagi.
Keputusan PRK di P67 Kuala Kangsar dan P93 Sungai Besar menyaksikan perbezaan jumlah undi diperoleh Amanah dan Pas masing-masing 801 undi dan 702 undi.
Sebelum ini, Pakatan Harapan cuba mengajak Pas untuk berunding berhubung penentuan kerusi untuk ditandingi tetapi parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu enggan.

APAKAH SEKARANG NAJIB MAKIN KUAT, TUN M MAKIN HILANG PENGARUH?

Keputusan dua pilihanraya kecil  semalam barangkali paling membingungkan untuk difikirkan. Bukan saja Pas dan Amanah tidak percaya dengan majoriti kekalahan sebanyak 9,191 di Sungai Besar dan 6,969 di Kuala Kangsar, malah UMNO dan BN sendiri tidak menduga sebesar itu kemenangan mereka.

Ia tidak saja bersandarkan majoriti pilihanraya 2013 lalu hanya 399 dan 1,082 iaitu masing-masing di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi juga melihatkan bagaimana sambutan hangat rakyat terhadap program-program anjuran Pakatan Harapan sepanjang masa berkempen diadakan.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen dan turut mendapat sambutan cukup baik penduduk tempatan, tiada sesiapa menduga kemenangan sebesar itu mampu diraih BN.

Apakah dengan keputusan ini menunjukkan Najib Razak semakin kuat dan Tun Mahathir makin hilang pengaruhnya?

Apakah ini menunjukkan harapan lebih baik untuk BN terus berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang?

Di Sungai Besar, BN memperolehi 16,800 undi manakala Amanah 7,609 dan Pas 6,902 undi. Jika dicampurkan undi Pas dengan Amanah ia menjadi 14,511. Masih kalah kepada BN.

Tetapi dalam pilihanraya 2013 lalu, BN memperolehi 18,695 undi manakala Pas 18,296.

Bermakna undi yang diterima BN dalam pilihanraya kecil ini berkurangan sebanyak 1,896 dan undi blok pembangkang (Pas + Amanah) juga berkurangan sebanyak 3,785 undi.

Di Kuala Kangsar, BN memperolehi 12,653 undi, manakala Pas 5,684, Amanah 4,883 dan Bebas 54. Jika dicampurkan undi menentang BN ialah sebanyak 10,621. Juga masih kalah kepada BN.

Dalam pilihanraya 2013, BN di Kuala Kangsar memperolehi 14,218, Pas  13,136 dan Kamilia Ibrahim dari Bebas 447 undi.

Bererti undi BN berkurangan sebanyak 1,565 undi manakala undi blok pembangkang menurun sebanyak 2,962 undi.

Keputusan PRK Kuala Kangsar semarakkan perpaduan Pakatan Harapan

Keputusan ini berikan landasan lebih kukuh untuk PH kata Dr RamliKeputusan ini berikan landasan lebih kukuh untuk PH kata Dr Ramli
Pakatan Harapan berjaya membuktikan wujdunya kerjasama yang padu dalam Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kata calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi Ramli.

Meskipun hanya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan tersebut, beliau tidak kecewa malah sangat berbangga dengan kerjasama padu daripada Amanah, PKR dan DAP.

“Ini satu yang sangat kita banggakan, sangat berharga iaitu satu kerjasama yang padu yang tidak mungkin dapat dibina secara realiti kalaau tidak ada PRK ini.

“Mungkin secara konsep (kerjasama) boleh ada tapi ini terbukti dan pembuktian ini sangat hendak dilihat oleh rakyat agar kita dapat menjadi kerajaan dan parti yang dipercayai untuk menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum ke-14,” kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar malam tadi.
Suruhanjaya pilihan raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Mastura meraih 12,653 undi manakala calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).

JANGAN MIMPILAH NAK TUMBANGKAN UMNO@BN PADA PRU14 !!!

Alhamdulillah.. akhirnya keputusan PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar telah memihak BN. Tahniah diucapkan kpd semua..

Pada kedua PRK kali ini, cukuplah PAS mahupun AMANAH... kedua parti anda tetap kalah.. tidak perlu nak tuding jari pada mana2 pihak.. KALAH is KALAH... Parti Najib terguling guling dan terbongkang gelak atas jalanraya, siap bakar mercun lagi..

SEBAB APA ???

Sebab PKR, DAP, PAS tidak bersatu hati sebagaimana anda semua kuat bersama utk lawan Umno/BN dahulu !!!

Kami di SR telah sedaya upaya bongkar & kupas segala kebobrokan Umno/BN utk pendedahan buat rakyat tetapi rakyat tetap masih nak undi BN.. KENAPA ???

ANDA SENDIRI TAHU JAWAPANNYA...

Jika anda masih tidah bersatu sebagaimana terdahulu, kami cuma nak kata... JANGAN MIMPILAH NAK TUMBANGKAN BN PADA PRU14 !!!

Buat barisan pimpinan pembangkang semua, jadikanlah keputusan kedua2 PRK kali ini sbg satu pengajaran kpd anda semua.

Yang baik jadi kan tauladan... yang buruk jadikan sempadan... contohi lah UMNO / BN dalam soal bekerjasama.. hingga sukar dikalahkan W'PON KITA SEDIA MAKLUM BN 'Cash is KING'..

Kemenangan PRK, Selangor sasaran utama PRU 14 – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja mahu Barisan Nasional menang di Pilihan Raya Kecil (PRK), Sungai Besar malah beliau mahu kemenangan di Parlimen tersebut mengembalikan negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan.
“Saya mahu semangat baru dan daya juang ini berterusan. Jangan fikir kerja kita sudah selesai, belum selesai, belum boleh tidur belum boleh lunjur kaki. Kita kena menyingsing lengan.
“Jangan ada ego. Jangan taksub dengan kemenangan. Kita memang dah menang tapi kita nak kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan kembalikan BN di negeri Selangor ini.
“Selangor ada harapan dan ada perubahan boleh berlaku. Buktikan di bumi Sungai Besar. Kalau kita ulang balik sejarah, permulaan dan pemulihan BN bermula di tapak Sungai Besar,” kata Najib.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis meraikan kemenangan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi pada PRK parlimen berkenaan.
Menurut Najib lagi rakyat hari ini tidak boleh bergantung kepada parti yang tidak ada persefahaman melainkan bergantung harap kepada BN yang boleh bawa kepada kemajuan dan menjamin masa depan rakyat.
Malah rakyat juga tidak boleh bergantung kepada pemimpin terdahulu yang lebih tua seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tak boleh bergayut kepada pembangkang, bergayut kepada orang dah berumur 91 tahun. Dulu cakap lain, hari ini cakap lain. Dulu ludah, sekarang dia jilat balik. Mana ada maruah. Mana ada prinsip. Dia nak kata apa katalah, saya gentlemen. Saya tak kata balik.

PH pelawa PAS kembali ke meja rundingan

Pembangkang perlu elak pertembungan tiga penjuru
Salahuddin-Ayub24
KUALA KANGSAR: Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP senada mahu mempelawa PAS kembali ke meja rundingan demi kebaikan bersama.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kekalahan Amanah di kerusi Parlimen Kuala Kangsar adalah petanda rakyat mahu gabungan parti pembangkang yang benar-benar kukuh.
“Masih ada masa untuk baiki. Kita akan buat kajian semula mengenai keputusan ini.
“Kita selalu terbuka untuk buat perbincangan dengan PAS,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah Perak sejurus keputusan PRK Kuala Kangsar diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.
Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming turut senada dengan Salahuddin untuk mengajak PAS kembali ke meja rundingan bersama PH.
Ini kerana jelasnya, pertandingan empat penjuru jelas memberi kesan kepada pembangkang untuk menewaskan BN.
“PAS kena pergi rundingan dengan PH. Jika PAS tak nak kalah perlu elak pertandingan empat penjuru. Kita sentiasa terbuka, tetapi PAS perlu ikhlas,” katanya.