Isnin, 13 Jun 2016

BERIKUTAN IMPAK POSITIF, TUN M WAJIB DIDATANGKAN SEKALI LAGI KE SUNGAI BESAR DAN KUALA KANGSAR

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkempen secara terbuka pada hari Sabtu di Sungai Besar dan Ahad di Kuala Kangsar ternyata memberi impak yang baik kepada harapan kemenangan calon Amanah pada pilihanraya kecil 18 Jun ini.

Berdasarkan pengamatan rakan-rakan yang berada di kedua-dua kawasan tersebut, mereka melihat kehadiran Tun Mahathir telah memberi kesan lebih baik kepada calon Amanah dan seterusnya menggugat harapan BN untuk mengekalkan kemenangannya.

Kata mereka, pengundi bukan Melayu yang majoritinya memang tidak bersama BN dan kerajaan selama ini akan lebih melimpah sokongan mereka kepada Amanah selepas kehadiran Tun Mahathir bersama kelompok kaum itu.

Ini kerana pengundi bukan Melayu sememangnya lebih mengkagumi dan cenderung mempercayai kata-kata bekas Perdana Menteri selama 22 itu berikutan dasar ekonomi yang pro kepada kaum tersebut sepanjang pemerintahannya.

Dengan kata yang mudah, bukan Melayu lebih percaya dan yakin serta terhutang budi kepada Tun Mahathir berbanding Najib.

Pengundi Melayu turut dikatakan mula berbelah bagi dengan kehadiran dan sokongan terbuka Tun Mahathir kepada calon Amanah berikutan logik yang diberikan olehnya amat mudah difahami iaitu kekalahan calon BN tidak sama sekali menyebabkan kerajaan bertukar, sebaliknya hanya bertujuan menghantar mesej penolakan rakyat terhadap Najib semata-mata.

Mereka juga percaya, pertambahan dua Ahli Parlimen kepada Pakatan Harapan melalui kemenangan dalam pilihanraya kecil ini tidak memberi banyak kelebihan kepada gabungan itu, tetapi ia mungkin mampu memberi sinar harapan yang lebih baik kepada masa depan rakyat dan negara.

Kata rakan yang dihubungi itu lagi, memang ramai pengundi yang ingin bersama-sama untuk menghantar mesej penolakan itu kerana kebanyakannya turut lemas dengan pelbagai isu berkaitan Najib yang terdedah satu demi satu sejak kebelakangan ini.

Secara umumnya, ramai pengundi bersungut bahawa sampai  bila rakyat harus dihidangkan dengan cerita-cerita buruk mengenai Najib yang dari segi jangka panjangnya memang menjejaskan nama baik negara dan tidak memberi tekanan kepada rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Oleh itu, kemungkinannya ialah lebih ramai rakyat yang akan mengundi Amanah apabila melihatkan kesungguhan dan sokongan terbuka yang telah ditunjukkan oleh Tun Mahathir sepanjang sehari suntuk berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dalam keadaan ini, selain jentera Pakatan Harapan perlu meneruskan kempen seperti biasa sehingga hari pengundian pada 18 Jun, diyakini juga bahawa kelebihan akan terus memihak kepada calon Amanah sekiranya Tun Mahathir dapat didatangkan sekali lagi ke kedua-dua kawasan tersebut.

Tarikh yang paling baik untuk Tun Mahathir datang kembali ialah sehari sebelum pembuangan undi sama ada berucap dalam ceramah yang diadakan secara besar-besaran atau beramah mesra dengan pengundi di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kubu kuat UMNO.

Kehadiran kali kedua beliau ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar pasti menjadikan hasrat untuk menghantar mesej penolakan rakyat terhadap Najib lebih mudah lagi menjadi kenyataan.

Pemimpin dan menteri-menteri UMNO juga jelas gusar dan panik dengan kehadiran kali pertama Tun Mahathir dengan pelbagai serangan cuba ditujukan kepadanya, tetapi dengan hadir sekali lagi barangkali juga akan membuatkan mereka terus "mengigau" dan "meracau-racau"  macam cacing kepanasan tetapi tidak satu pun menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan.

INI AMANAT BARU KE?

Presiden Pas, Hadi Awang berkata, memilih wakil rakyat adalah suatu tanggungjawab dan mereka akan berdepan kemurkaan Allah jika salah membuat pilihan pada hari pengundian 18 Jun ini.

Kalau apa yang diucap oleh Ahli Parlimen adalah salah, maka berdosa dan celakalah kita, katanya ketika memberi peringatan kepada pengundi Sungai Besar dalam suatu ceramahnya di sini.

Ayoyo...adakah ini amanat baru lagi?

Siapa pilihan yang salah itu?

Adakah yang salah itu calon BN, calon Pas atau calon Amanah?

Atau yang betul di sisi Allah bagi Hadi Awang hanya calon Pas saja?

Jika memilih calon Pas sebagai betul dan terhindar daripada kemurkaan Allah, apakah Ahli-Ahli Parlimen Pas selama ini memainkan peranan yang sewajarnya di Dewan Rakyat atau lebih banyak diam, ponteng dan sebagainya?