
Saya telah melihat dua keajaiban pada hari Khamis 26hb 2016 semasa menghadiri sidang Parlimen. Besar kemungkinan dua keajaiban ini mempunyai hubungan rapat satu sama lain. Samada wujudnya hubungan rapat di antara dua keajaiban ini, atau sebaliknya, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai sendiri.
Keajaiban pertama.
Keajaiban pertama adalah persetujuan kerajaan Umno/BN untuk mengangkat usul persendirian YB Marang yang terletak di nombor 15 di dalam senarai peraturan mesyuarat ke kedudukan utama sehingga ianya dapat dibentang untuk dibahas. Ini bererti bahawa usul persendirian YB Marang diutamakan oleh kerajaan Umno/BN dari segala urusan kerajaan yang disenaraikan sebelumnya. Mengutamakan usul persendirian Ahli Parlimen pembangkang mengatasi urusan kerajaan tidak pernah berlaku di dalam sejarah persidangan Parlimen. Maka ianya dilihat sebagai sesuatu yang ajaib.
Saya telah bangun meminta penjelasan mengenai keajaiban ini. Saya turut menjelaskan bahawa saya setuju dan menyokong usul tersebut dibenarkan untuk dibentang untukdibahas dan telah menyatakan perkara ini dalam perbahasan saya. Tuduhan bahawa saya menentang pembentangan usul tersebut adalah tidak benar dan fitnah yang jahat. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dalam ucapan saya kerana mebenarkan perbahasan usul tersebut diutamakan. Hakikatnya perbentangan usul itu hanya mungkin berlaku dengan izin dan persetujuan kerajaan Umno/BN.
Saya seterusnya meminta kerajaan menjelaskan atas pertimbangan dan parameter yang bagaimana sesuatu usul persendirian akan diutamakan ke atas urusan kerajaan. Saya meminta penjelasan ini supaya ianya boleh menjadi panduan bagi diri saya pada masa-masa akan datang sekiranya saya juga ingin membawa usul persendirian. Soalan itu dikemukakan kerana sememangnya ianya satu keajaiban yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Turut disoal oleh diri saya adakah pilihan raya kecil salah satu parameter yang diambil kira oleh kerajaan.
Soalan saya tidak dijawab oleh kerajaan atau Speaker Dewan. Ianya kemudiannya diputar belit untuk dituduh saya menolak usul tersebut dibentangkan. Sedangkan sokongan saya telah saya nyatakan secara jelas terlebih dahulu. Namun, apakan daya, fitnah dan maki hamun telah menjadi budaya sebahagian masyarakat kita. Saya nasihatkan semua supaya bertaqwa atau takut kepada Allah dan ‘dosa jariah’ yang mendatang hasil amalan fitnah dan maki hamun ini.
Keajaiban kedua.
Keajaiban kedua adalah apabila ianya dibenarkan untuk dibentang, YB Marang bangun dan sekadar membaca usul persendirian beliau. Setelah selesai membacanya, maka beliau duduk dan terpaksa Speaker bertanya samada ingin usul beliau dibahas sekarang atau ditangguhkan sehingga sidang akan datang. Saya terperanjat apabila YB Marang menjawab bahawa beliau ingin ditangguhkan kepada sidang akan datang. Saya tersilap pada ketika itu kerana saya tidak bangun minta ianya terus dibahas! Jarang saya tersentak begitu, sehingga terdiam. Begitu terkejutnya saya dengan respon YB Marang!
Ianya amat malang sekali apabila diberi peluang sebegitu rupa, ia itu satu peluang keemasan dengan kebenaran yang disebut sebagai ‘precedent’ atau keputusan baru yang tidak pernah sebelum ini dibenarkan, ianya dipersia-siakan begitu sahaja. Maka segala keseronokan melihat ianya dibenarkan untuk dibentang dan segala harapan bahawa satu perbahasan akan diadakan, hilang melalui tindakan YB Marang meminta perbahasan ditangguhkan. Adakah benar ianya akan dibenarkan dibahas pada sesi akan datang? Percaya betul YB Marang kepada keikhlasan Umno/BN.