Kempen Tun Dr Mahathir Mohamad menentang BN dalam pilihan raya kecil
Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak akan banyak dapat membantu peluang
pembangkang kerana mereka tidak bersatu untuk mendapat manfaat
daripadanya, kata para penganalisis.
Pengarah program Merdeka
Center, Ibrahim Suffian berkata kehadiran Mahathir hanya boleh memberi
faedah kepada pembangkang jika mereka bersatu.
"Memandangkan
bahawa pembangkang berpecah dan bergerak dalam arah yang berbeza, maka
saya fikir ia adalah sukar walaupun bagi seseorang berkedudukan seperti
Mahathir untuk menarik pengundi supaya menyokong mereka," kata Ibrahim
kepada
Malaysiakini.

Dalam pertandingan banyak penjuru
yang menurut Ibrahim berkemungkinan berlaku, undi Melayu untuk
pembangkang akan berpecah kepada dua - mereka yang kekal menyokong PAS
dan yang cenderung menyokong parti-parti lain seperti Parti Amanah
Negara (AMANAH).
Secara realistiknya, tegas Ibrahim, peluang
pembangkang untuk merampas kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar dari BN
adalah kecil.
Pada pandangan beliau, peluang Pakatan Harapan
untuk menarik pengundi Melayu dari PAS adalah kecil ekoran perselisihan
di antara mereka dan kekurangan kepimpinan Melayu yang kuat.
Sebaliknya,
ketua kluster politik, keselamatan dan antarabangsa Majlis Profesor
Negara, Datuk Mohamed Mustafa Ishak, percaya pembangkang akan mendapat
manfaat daripada kempen Mahathir untuk mereka, sekiranya PRK bagi dua
kerusi tersebut, membabitkan satu lawan satu.
Umno, katanya, akan
perlu berdepan dengan pakatan pembangkang dan ia perlu membuat
persediaan untuk menghadapi Mahathir dan ia akan menjadi sukar untuk
Umno.
Tetapi, seperti juga Ibrahim, Mustafa berkata, isu yang
paling penting ialah sama ada pertandingannya satu lawan satu atau
banyak penjuru.
"Beliau (Mahathir) juga berkata beliau
mengharapkan pertandingan satu lawan satu. Jika ia satu-lawan satu, maka
pembangkang mungkin mempunyai peluang," tegas Mustafa.
PRK itu, katanya, adalah penting kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ingin menunjukkan bahawa BN masih lagi popular.
Najib,
katanya, mahu menunjukkan bahawa di sebalik semua isu-isu lain - 1MDB
serta kritikan Mahathir terhadap Najib - BN masih boleh menang.
Manakala
Mahathir pula, tambahnya, mungkin menggunakan peluang itu untuk
berkempen untuk Deklarasi Rakyat dan meneruskan serangannya terhadap
perdana menteri.