DAP, yang masih dianggap broker pengundi Cina pun turut menghangatkan pertelagahan dalam menentukan parti mana berhak ke atas dua kerusi yang tradisinya milik Pas itu.
Pengundi Cina - 31 peratus di Sungai Besar dan 24 peratus di Kuala Kangsar - dijadikan alasan untuk menekan Pas agar secara sukarela menyerahkannya kepada PKR atau PAN.
Setakat ini, dua minggu lagi sebelum penamaan calon belum jelas parti mana yang akan bertanding dalam kalangan pembangkang.
Yang jelas Pas bertegas daripada awal tidak akan melepaskan dua kerusi itu. Pintu rundingan pun telah ditutup.
PAN mahukan kerusi Parlimen Kuala Kangsar. PKR pula mengidamkan kerusi Parlimen Sungai Besar. Kedua-dua parti ini menggunakan hujah sama bahawa Pas tidak boleh menang kerana pemilih Cina tidak akan mengundi parti itu.
Khabarnya PAN akan meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Kuala Kangsar. Di Kuala Selangor pula, PKR disebut-sebut bakal mempertaruhkan seorang pensyarah Universiti Selangor (Unisel).
Dua pilihan raya kecil ini menunjukkan belang sebenar parti-parti pembangkang. Kita semua wajar bertanya benarkah mereka berjuang untuk rakyat. Semuanya lintang-pukang dan kelam-kabut.
Exco Pas yang didakap erat oleh Kerajaan PKR Selangor tiba-tiba dikhabarkan diberi amaran oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Tindakan tersebut dibuat kerana Azmin yang telah menafikan khabar itu, dikatakan tidak mahu Pas bertanding di Sungai Besar.