ADALAH dijangkakan PRK di Sungai Besar bakal menyaksikan sekurang-kurangnya tiga parti bersaing berebut kerusi parlimen ini. Ramai juga menjangkakan BN pasti akan menang jika berlaku tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan.
Namun, bagaimana pula dengan pertembungan satu lawan satu? Di situlah pengundi Cina yang berjumlah 30.68 peratus yang dianggap cukup penting dalam menentukan keputusan dalam PRK ini.
OBT Melalui analisis Orientaldaily, akhbar ini percaya pengundi Cina di Sungai Besar akan menjadi tumpuan sama ada BN mahupun parti pembangkang sepanjang kempen yang bermula pada 5 Jun depan.
Pada PRU lalu, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon mendapat 18,695 undi dengan majoriti hanya 399 undi mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi. Apa yang mengejutkan, undi rosak ialah sebanyak 690, lebih banyak daripada undi majoriti.
Adalah dipercayai, sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu, pembangkang mempunyai peluang cerah untuk menang di Sungai Besar memandangkan pengundi Cina lebih cenderung menyokong parti pembangkang. Dan ditambahkan lagi sekiranya pembangkang berjaya meraih 40 peratus undi Melayu, kekalahan pastinya akan dialami oleh BN.
Mengikut rekod, Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi dengan pecahan kaum, Melayu seramai 28,776 (67.18 peratus); Cina 13,142(30.68 peratus); India 820 (1.91 peratus) dan lain-lain kaum 98 ( 0.23 peratus).
Berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini, parti ini sudah hampir pasti akan bertanding di Sungai Besar. Begitu juga dengan Pakatan Harapan yang buat pertama kalinya secara rasmi meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya. Sekiranya ada calon bebas yang turut serta, ia akan mengurangkan lagi peluang untuk pembangkang capai kemenangan.
Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, dua parti pembangkang, iaitu PKR dan DAP berlawan sesama sendiri antara mereka dengan calon BN di enam kawasan, yang akhirnya keenam-enam Dun itu dimiliki BN. Pas dan Pakatan Harapan sebenarnya sedar sekiranya keadaan ini berlaku lagi di Sungai Besar, ia tidak akan menguntungkan mereka.
Akhbar ini menulis lagi, sekiranya berlaku saingan antara Pas, Pakatan Harapan dan BN, kira-kira 40 peratus undi Melayu dipercayai akan dikongsi bersama calon Pas dan Pakatan Harapan. Manakala dari segi undi Cina, Pakatan Harapan dikatakan berpeluang memperoleh lebih banyak berbanding Pas.
Mengenai Umno pula, walaupun parti Melayu ini tidak akan dapat undi yang banyak daripada pengundi Cina, namun dengan sokongan 60 peratus pengundi Melayu dan ditambahkan lagi sedikit undi Cina, calon BN mampu menang tipis mengalahkan pembangkang yang sudah berpecah kepada dua.
Akhbar ini membuat analisis lagi bahawa BN begitu mengharapkan PRK Sungai Besar tidak akan berlaku pertembungan satu lawan satu, tetapi banyak penjuru. Lebih banyak parti tanding, lebih besarlah peluang untuk BN menang.