Majikan mungkin melakukan "retrenchment" sebelum
Julai bagi mengelakkan tanggungan kos seperti pembayaran faedah berhenti
kerja yang lebih tinggi selepas tempoh itu

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan jadual gaji minimum meskipun Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) akan berkuatkuasa mulai 1 Julai tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, jika dasar ini terus dilaksanakan, dianggarkan 30,000 pekerja terutama di peringkat bawahan berdepan tindakan pemberhentian kerja oleh majikan sebelum Julai ini.
“Majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika PGM 2016 berkuatkuasa ekoran cabaran ekonomi semasa.
Bagi mengurangkan kos operasi, kemungkinan besar mereka akan melakukan “retrenchment” sebelum Julai kerana jika mereka melakukan selepas Julai, sudah tentu mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari segi pembayaran faedah berhenti kerja dan sebagainya,” kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau turut menganggarkan 60,000 pekerja akan diberhentikan kerja sepanjang tahun ini ekoran keputusan kerajaan menguatkuasakan PGM 2016 mulai 1 Julai dengan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,000 bagi pekerja di Semenanjung manakala RM920 untuk pekerja di Sabah, Sarawak dan Labuan.