SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Deklarasi Rakyat yang sedang giat disebarkan ke seluruh pelosok negara bakal dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.
Meskipun ada pihak yang menyatakan bantahan dengan tindakan mengheret istana terlibat dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, Tun Mahathir ada alasannya.
"Suara rakyat adalah suara keramat," demikian antara penjelasan beliau terhadap tindakan gerakan yang diketuainya itu pada  Forum Laporan PAC 1MDB : Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah?, di sini, malam tadi.
Tun Dr Mahathir Mohamad Malah beliau melahirkan keyakinan bahawa suara rakyat itu mampu mencapai matlamat deklarasi itu.
"Kalau kita dapat tunjuk kepada Raja-raja, deklarasi ini datang daripada berjuta rakyat, saya yakin Raja-raja pun gentar juga. Bukan itu saja, saya fikir mereka akan mendesak Najib suruh berhenti (letak jawatan).
"Mungkin jadi, mungkin tidak tetapi jika tidak buat apa-apa, memang tidak (jadi) lah. Saya yakin, jika berjuta rakyat Malaysia menandatangani deklarasi ini, Raja-raja akan ambil berat," katanya.
Menyelak lipatan sejarah, Tun Mahathir berkata, suara rakyat pernah merubah keputusan yang telah diambil Raja-raja ketika sebelum merdeka.
"Ada orang datang jumpa saya kata, 'buat apa pun, Najib tak akan turun, Raja-raja pun tak akan peduli'. Saya nak cerita sedikit ketika kita melawan dengan Malayan Union, Raja-raja sudah tandatangan untuk serah negeri mereka kepada British untuk dijadikan Malayan Union. Rakyat tak ada kuasa, tak ada Perlembagaan yang memberi apa-apa kuasa kepada rakyat.
"Oleh itu rakyat tidak boleh buat apa mengikut undang-undang. Yang boleh dilakukan hanyalah mendesak Raja-raja supaya menolak perjanjian yang ditandatangani oleh mereka. Pada hari pertabalan 'high commisioner' bagi Malayan Union, Raja-raja didesak rakyat supaya tidak hadir dalam upacara itu dan mereka tidak hadir.
"Akhirnya Raja-raja menuntut supaya dibatalkan perjanjian tersebut. Walaupun tak ada dalam Perlembagaan, rakyat masa itu tidak ramai, tidak bijak tetapi suara rakyat adalah suara keramat," katanya.
Tun Mahathir dan pembangkang sedang giat mengajak rakyat menurunkan tandatangan bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.
Sebelumnya, Pas membantah tindakan yang mahu memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk menjatuhkan perdana menteri.