SHAH ALAM - Bersempena genap setahun pengenalan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini, Ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar dengan sinis mengatakan bahawa zaman kini 'orang tua' kita hanya mampu membelanja kita ala kadar sahaja sekiranya mereka memperoleh gaji.
Nurul Izzah Menerusi coretannya di laman Facebooknya, Nurul Izzah membandingkan tahun 1996 dengan 2016 yang mana kapsyennya menyatakan nikmat 'belanja' ayah kita terhadap kita makin 'parah' kini berbanding tahun 1996.
"1996: Abah dah gajikan? Jom belanja kami makan KFC. 2016: Abah dah gaji kan? Jom belanja kami makan sardin," tulisnya di Facebooknya disertakan dengan gambar ikan sardin dalam tin.
Hari ini genap setahun pelaksanaan sistem GST selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri  Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus dalam pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013 lalu.
Dalam kelompok negara Asean, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST.
Sebanyak  160 negara di dunia melaksanakan GST kerana ia diiktiraf struktur percukaian baik, menyeluruh dan efisyen.