BAGI seorang insan bergelar ibu, tiada apa yang lebih bermakna apabila doanya buat anak tersayang dimakbulkan yang maha Esa, apatah lagi jika anak itu sudah tiada di bumi yang fana ini.
"Akhirnya ALLAH makbulkan doa saya selama ini." Begitulah ungkapan yang diluahkan ibu Aminulrasyid Amzah, Norsiah Mohammad, 67, kepada pemberita hari ini setelah Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman keluarganya terhadap polis dan kerajaan.  Menurut Norsiah, pihaknya cuma berharap agar nama anak dan keluarganya dapat dibersihkan selepas ini memandangkan mahkamah telah memberi pembelaan terhadap kes tersebut.
"Saya ucapkan syukur yang teramat kerana apa yang saya minta selama ini ALLAH dah makbulkan, itu sahaja. Saya cuma minta mereka bersihkan nama anak saya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini.
Menurut Norsiah, tindakan saman yang diambil tersebut bukan kerana wang namun bagi membersihkan maruah keluarganya.
"Ini bukan kerana wang tapi untuk bersihkan maruah saya, keluarga saya, anak saya. Maruah bukan boleh dibayar dengan wang ringgit," katanya.
Selain itu, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa pihaknya hadir pada hari ni adalah bagi memberi sokongan moral kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid yang telah terkorban dalam insiden tersebut.
Beliau berkata, kejadian itu merupakan satu kehilangan besar buat keluarga Allahyarham dan pihaknya akan menyatakan sokongan penuh kepada ibu Aminulrasyid.
"Saya mendoakan roh arwah mendapat pengakhiran yang baik dan kita gembira dengan keputusan mahkamah yang telah membersihkan nama arwah.
"Ini bukan soal pampasan tapi ini adalah maruah keluarga beliau dan arwah sendiri yg telah difitnah sebagai seorang penjenayah," katanya.