SHAH ALAM - Pas mendakwa terdapat kekeliruan dan salah faham dalam laporan media berhubung kenyataan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) ketika sidang media pengumuman pembentukan blok politik ketiga, semalam.
Pengarah Media Baru Jabatan Penerangan Pas Pusat, Syaiful Hizam berkata, dalam konteks sebenar kenyataan Presiden Ikatan itu adalah sebagai seorang Muslim kita tidak dapat lari daripada menerima hudud kerana ia terpakai ke atas setiap individu Muslim.
Namun untuk melaksanakannya terserah kepada rakyat dan sistem demokrasi negara iaitu pilihan raya.
“Dalam kenyataan beliau juga menyebut berdasarkan keutamaan terkini ialah isu salah guna kuasa, rasuah, ekonomi, bahasa kebangsaan, pekebun-pekebun kecil dan pelbagai isu yang melanda negara.
“Tidak sesekali ada kenyataan daripada beliau yang menyebut beliau atau Ikatan menolak hudud,” katanya dalam satu kenyataan.
Tajuk video ‘Pas, Ikatan Setuju Tangguh Hudud’ yang dimuat naik sebuah portal berita menjadi tumpuan netizen terutama di media sosial.
Video itu menunjukkan kenyataan pemimpin Pas dan Ikatan tentang hudud yang dirakam ketika sidang media pengumuman pembentukan blok politik ketiga itu.
Melalui video itu, Presiden Ikatan menyebut bahawa sebagai orang Islam kita perlu menerima hukum hudud namun dalam Islam, ada keadaan-keadaan tertentu di mana lebih elok jika ia ditangguhkan maka ia perlu ditangguhkan seketika kerana pada akhirnya nanti rakyat yang akan menentukan pelaksanaan tersebut.