Hilton menjadi markas jentera Mahathir, manakala Hotel Regent di Jalan Imbi menjadi markas Ku Li. Perhimpunan Agung UMNO dan pemilihan akan diadakan di PWTC keesokan harinya pada 24 April.
Perhimpunan di Hilton itu diadakan oleh Dr. Mahathir bagi mengumpul sokongan. Suasana amat terde­sak. Dr. Mahathir selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri terasa amat terancam. Dia cukup tertekan. Dia menghadapi tentangan maha hebat untuk mempertahankan jawatan Presiden. Ku Li bukan calang-calang orang dan Dr. Mahathir merasakan dia boleh dikalahkan.
Berlaku perpecahan yang amat dahsyat dalam sejarah politik Mela­yu ketika itu. Satu peperangan politik umpama kisah Clash of the Titans dan David and Goliath.
Akibatnya terbentuk dua team. Team A dan Team B. Team A Mahathir bersama Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim serta Team B Ku Li bersama Musa Hitam, Pak Lah, Datuk Manan Osman, Rais Yatim, Datuk Zainal Abidin Zain. Najib selaku Ketua Pemuda UMNO juga dikatakan menyatakan sokongan kepada Team B.
Dr. Mahathir yang terdesak membuat perancangan. Dipanggil semua penasihatnya, termasuk ADC atau Ketua Pengawal Peribadinya, Mohamad Ali (Pak Ali). Beliau perlu memikirkan dengan cepat. Masa tidak lama sebelum pengundian pagi keesokan harinya.
Hanya 11 jam sahaja yang tinggal.
“Ali pergi cari Najib cepat!” kata Dr. Mahathir kepada Pak Ali.
Pada waktu itu, di Bukit Tunku; Najib dan isterinya Rosmah sedang mengemas kediaman yang baru mereka sewa serta menyambut teta­mu. Najib tidak mahu memikirkan soal UMNO atau apa yang berlaku di Hotel Hilton pada malam itu.
Sebaliknya, Dr. Mahathir amat memerlukan sokongan Najib. Masa ketika itu cukup genting.
Di kediaman ibu Najib, Tun Rahah di Jalan Eaton pada malam yang sama, kelihatan masuk deretan radio car (kereta peronda polis) dan sebuah kereta besar semacam kereta Perdana Menteri.
“Saya yang tinggal depan rumah Tun Rahah nampak kereta itu ma­suk. Saya pun keluar menemui Tun Rahah.
“Kelihatan body guard Dr. Mahathir tiba bersama radio car itu.”
Dr. Mahathir mengarahkan pengawal peribadinya itu mencari Najib. Najib perlu dibawa dengan kereta besar Perdana Menteri ke Hotel Hilton pada malam itu juga. Najib perlu ditunjukkan kepada perwakilan. Sokongan Najib kepada Dr. Mahathir adalah penentu.
“Saya bertanya kepada Tun Rahah apa yang perlu dilakukan. Beliau berkata, mintalah Najib pergi sebagaimana Tun Razak taat kepada Tunku dahulu.”
Itu kata-kata Datuk Idris Shaari Mat Aris yang saya andaikan sebagai bapa angkat atau guidance angel kepada anak-anak Tun Abdul Razak.