Deklarasi Rakyat yang dibaca oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib hari ini telah menuntut supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berundur dari jawatan Perdana Menteri.
Deklarasi tersebut menyenaraikan empat tuntutan penyingkiran yang perlu dilakukan termasuk penyingkiran menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.
Selain itu, penyingkiran ini perlu juga dilakukan terhadap mereka yang bersekongkol dengan Najib.
Tun M adakan sidang media bersama pemimpin pembangkang
Deklarasi ini juga menuntut pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih.
Selain itu, deklarasi ini juga menuntut pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.
“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, ugama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Dato Seri Najib.
“Ini untuk membuka jalan kepada mereformasi institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi-institusi nasional,” deklarasi itu dipetik.