SHAH ALAM – Susulan keputusan terbaharu kerajaan yang membekukan pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh, Veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini tampil dengan satu persoalan untuk kerajaan.
Menurutnya, dalam tempoh kurang 24 jam, satu dasar telah menjadi ‘flip flop’.
“Setelah jenuh berpolemik , debat dan bahas, setelah berhempas pulas dan macam-macam hujah diutarakan oleh pelbagai pihak (yang) menyokong, menentang dan mempersenda, maka semalam perjanjian dimeterai.
“Belum pun sempat kering dakwat pada kertas perjanjian itu, keluar pula kenyataan hari ini mengatakan bahawa semua pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh dibekukan serta-merta.
“Apa dah jadi? Mengapa jadi begini? Mengeluh lagilah kita...,” demikian reaksi bekas Ketua Wanita Umno ini melalui status di Facebooknya.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembekuan pengambilan itu berkuat kuasa serta-merta sementara kerajaan mengkaji semula program levi dua peringkat untuk pekerja asing.
Semalam, Bangladesh dan Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.
Menurut laporan berita The Daily Star, perjanjian itu ditandatangani di Bangladesh antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh, Nurul Islam.